3 September 2014
 
 
 

 

 

 RENCANA 22/11/2001
Salasilah kesultanan Selangor mulai 1756

Salasilah kesultanan Selangor mulai 1756

KESULTANAN Selangor bermula seawal tahun 1756 apabila ia berada di bawah pemerintahan Raja Lumu yang menjadi Yang Dipertuan Besar Selangor dan bergelar Sultan Salehuddin Shah.

Biarpun berasal dari kalangan orang Bugis, kesultanan baginda diiktiraf oleh Sultan Perak pada pertengahan kurun ke-18 yang turut membawa kepada pembebasan negeri Selangor daripada kekuasaan kerajaan Johor.

Pemerintahan Sultan Salehuddin berterusan sehingga tahun 1778 apabila baginda mangkat lalu digantikan oleh putera baginda, Raja Ibrahim Marhum Saleh yang kemudian bergelar Sultan Ibrahim Shah.

Sepanjang pemerintahan Sultan Ibrahim Shah, Selangor menempuh pelbagai peristiwa antaranya, serangan tentera Belanda pada 13 Julai 1784 yang berjaya menawan kota Kuala Selangor.

Ini diikuti perjanjian kerjasama antara kerajaan baginda dengan kerajaan negeri Perak yang akhirnya membawa kepada perselisihan hutang piutang yang diselesaikan melalui campur tangan Robert Fullerton, Gabenor Inggeris di Pulau Pinang.

Selepas kemangkatan Sultan Ibrahim Shah pada 27 Oktober 1826, anakanda baginda, Raja Muda Selangor dilantik menjadi Sultan Selangor dan bergelar Sultan Muhammad Shah.

Menurut sejarah, pemerintahan baginda dianggap lemah ekoran ketidakupayaan baginda untuk menguasai raja-raja dan para pembesar di daerah-daerah lain di Selangor.

Oleh itu, berlaku perpecahan daerah di Selangor iaitu Bernam, Kuala Selangor, Kelang, Langat dan Lukut.

Sungguhpun begitu sepanjang 31 tahun memerintah, baginda telah menampakkan beberapa perubahan dengan pembukaan lombong bijih timah di Ampang diikuti dengan pembinaan kedai-kedai bagi keperluan rakyat terutamanya para pelombong.

Kemangkatan baginda secara mengejut pada penghujung tahun 1857 menyebabkan timbul perbalahan di kalangan kerabat di raja dan para pembesar Selangor dalam soal memilih Sultan yang baru.

Keputusan akhirnya dicapai dua tahun kemudian untuk melantik Raja Abdul Samad Raja Abdullah sebagai Sultan Selangor, biarpun baginda hanyalah anak saudara kepada almarhum Sultan Muhammad Shah.

Sejak permulaan pemerintahan baginda, lombong bijih timah di Ampang mula mengeluarkan hasil untuk diperdagangkan ke negeri-negeri Selat serta berjaya menarik kemasukan lebih ramai pelombong Cina.

Pada tahun 1868, Sultan Abdul Samad melantik menantunya, Tengku Dhiauddin ibni Almarhum Sultan Zainal Rashid (Tengku Kudin) selaku Wakil Yamtuan Selangor dan menyerahkan Langat sebagai hak milik menantunya itu.

Selepas memerintah Selangor selama 39 tahun, Sultan Abdul Samad akhirnya mangkat ketika berusia 93 tahun pada 6 Februari 1898 lalu dimakamkan di Jugra dan disebut `Marhum Jugra'.

Almarhum digantikan oleh cucundanya, Raja Muda Sulaiman ibni Almarhum Raja Muda Musa pada 17 Februari 1898 dan bergelar Sultan Alauddin Sulaiman Shah.

Semasa pemerintahan baginda, Selangor mula mengalami perubahan besar apabila lebih banyak jalan raya dan landasan kereta api dibina begitu juga meningkatnya pembinaan rumah dan kedai terutama di Kuala Lumpur dan Kelang.

Kebijaksanaan baginda memerintah telah mendorong rakyat mengadakan sambutan keramaian Jubli Emas di Kelang sempena genap 40 tahun pemerintahan baginda.

Namun begitu, beberapa bulan kemudian, pada 30 Mac 1938, baginda pun mangkat dan dimakamkan di Kelang dengan gelaran `Marhum Atiqullah'.

Pemerintahan Selangor diambil alih oleh anakanda almarhum Sultan Alauddin Tengku Alam Shah yang ditabalkan pada 4 April 1938 dan diberi gelaran Sultan Hisamuddin Alam Shah.

Kerajaan baginda bagaimanapun tidak kekal lama apabila dipaksa turun takhta pada tahun 1942 oleh tentera Jepun yang sebelum itu menyerang dan mengalahkan negeri-negeri Melayu.

Jepun yang merasakan kekanda Tengku Alam Shah, Tengku Musauddin lebih layak menjadi pemerintah Selangor telah melantik baginda sebagai Sultan Musa Ghiatuddin Riayat Shah dan Tengku Alam Shah diminta memberi kerjasama membantu kekandanya dalam soal pemerintahan.

Penguasaan Malaya yang berubah ekoran kemasukan semula tentera Britain lebih tiga tahun kemudian turut mengubah struktur pemerintahan kerajaan Selangor kembali kepada pimpinan Sultan Hisamuddin Alam Shah.

Berikutan perisytiharan kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, Sultan Hisamuddin Alam Shah dilantik sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong Negara Persekutuan Tanah Melayu, sementara jawatan Yang di-Pertuan Agong yang pertama disandang oleh Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Abdul Rahman ibni almarhum Tuanku Muhammad.

Berikutan kemangkatan baginda Tuanku Abdul Rahman pada 1 April 1960, Sultan Hisamuddin Alam Shah pula dilantik menjadi Yang di-Pertuan Agong kedua.

Lima bulan kemudian, baginda pula mangkat pada 1 September 1960 setelah gering selama 27 hari lalu pemerintahan Selangor diterajui oleh putera sulung baginda Raja Abdul Aziz sebagai Sultan Selangor yang bergelar Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

Kesultanan Selangor di bawah pemerintahan Sultan Salahuddin banyak meninggalkan perubahan yang membanggakan rakyat lantas baginda tetap kekal dalam kenangan selepas kemangkatan baginda di Pusat Perubatan Gleneagles Intan, Jalan Ampang, di sini semalam.

Anakanda Almarhum, Tengku Idris Shah pada 22 November 2001 dimasyhurkan sebagai Sultan Selangor kesembilan.

 
Tajuk-tajuk Berita
  • Tengku Idris Shah berpengalaman luas
  • Salasilah kesultanan Selangor mulai 1756
  • Kebajikan rakyat di hati Tengku Idris


  • © UTUSAN MELAYU (M) BHD, 46M Jalan Lima Off Jalan Chan Sow Lin, 55200 Kuala Lumpur.
    E-mail: online@utusan.com.my