 |
BERITA |
22/11/2001 |
Biodata Sultan Sharafuddin Idris Shah
Biodata Sultan Sharafuddin Idris Shah
KUALA LUMPUR 22 Nov. - Sultan Selangor ke-9, Sultan Sharafuddin Idris Shah diputerakan pada 24 Disember 1945 di Istana Jemaah, Klang hasil pernikahan Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah dengan Raja Nor Saidatul Ehsan Tengku Badar Shah.
Tengku Idris, 55, yang merupakan putera sulung Almarhum mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Jalan Raja Muda, Kuala Lumpur pada tahun 1950 dan kemudian berpindah ke St. John's Institution, Kuala Lumpur.
Pada tahun 1960, baginda melanjutkan pelajaran ke sekolah menengah Hale School di Perth, Australia.
Baginda seterusnya menyambung pelajaran di Kolej Langhurst di Surrey, Britain pada tahun 1964.
Sekembalinya dari Britain, Tengku Idris menimba pengalaman dalam bidang pentadbiran dengan menyertai perkhidmatan awam kerajaan, antaranya di pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Pejabat Daerah Kuala Lumpur dan pejabat Polis Kuala Lumpur.
Ketika berusia 15 tahun baginda telah diisytiharkan sebagai Raja Muda iaitu pada 3 September 1960. Upacara pelantikan rasmi sebagai Raja Muda Selangor yang kelapan bagaimanapun diadakan pada tahun 1970 dalam satu majlis yang penuh istiadat di Istana Alam Shah, Klang.
Tengku Idris kemudian dilantik sebagai Pemangku Raja Selangor pada 24 April 1999, berikutan pelantikan ayahanda baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-11.
Baginda telah bernikah dengan Raja Zarina Raja Tan Sri Zainal pada tahun 1968 dan dikurniakan dua orang puteri, Tengku Zerafina (1969) dan Tengku Zatashah (1973).
Bagaimanapun, jodoh baginda berdua berakhir pada tahun 1986. Tengku Idris kemudian bernikah dengan Puan Nur Lisa Idris binti Abdullah, seorang rakyat Amerika Syarikat pada tahun 1988.
Hasil pernikahan tersebut baginda dikurniakan seorang putera, Tengku Amir pada tahun 1990.
Bagaimanapun, sekali lagi jodoh baginda berakhir pada Jun 1997.
Sultan Sharafuddin Idris Shah ditauliahkan sebagai Komander Kehormat Pasukan Simpanan Sukarela Tentera Laut Diraja Malaysia pada 27 Ogos 1998.
Pentauliahan dibuat sebagai mengiktiraf kegigihan baginda mengelilingi dunia selama 644 hari mulai 4 Februari 1995 dengan menaiki kapal layar peribadinya, Jugra.
Kisah pengalaman baginda mengelilingi dunia tersebut telah disiarkan eksklusif secara bersiri oleh akhbar Mingguan Malaysia.
Baginda juga telah mendapat sijil pengiktirafan daripada `The Malaysia Book of Records' kerana menggunakan kereta antik, Ford Model B untuk mengembara sejauh 16,000 kilometer dari Peking ke Paris selama 43 hari pada tahun 1997.
Tengku Idris hari ini dimasyhurkan sebagai Sultan Selangor berikutan kemangkatan ayahanda baginda semalam.
Dengan pemasyhuran itu, Tengku Idris Shah, kini bergelar Sultan Sharafuddin Idris Shah.
|