3 September 2014

:: UCAPAN

18/06/2003
Memperkasa perjuangan UMNO

Memperkasa perjuangan UMNO

20/06/2003 6:21 p.m.

UCAPAN dasar Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Azalina Datuk Othman Said di Perhimpunan Agung Pergerakan Puteri UMNO Malaysia 2003 di PWTC, Kuala Lumpur pada 18 Jun, 2003.

Bunga melati dari seberang; Baunya harum semerbak kesturi; Saya mengucap selamat datang; Ke perhimpunan agung Puteri yang julung kali.

1. Terlebih dahulu, tahniah saya ucapkan kepada sidang perwakilan Puteri UMNO. Saudari-saudari sekalian telah selamat menjalankan persidangan-persidangan Puteri di peringkat cawangan dan bahagian, ramai di antaranya buat pertama kali, dan berjaya menunaikan satu kewajipan asas terhadap parti, sebagai ahli UMNO. Saya dimaklumkan bahawa persidangan-persidangan ini, umumnya berlangsung dalam keadaan yang baik dan teratur. Saya mengucapkan terima kasih kepada ahli-ahli Puteri yang telah membuktikan kemampuan saudari-saudari sekalian sebagai sebahagian daripada keluarga parti. Insya-Allah tahun-tahun yang akan datang, dapat menampakkan lebih banyak lagi persidangan cawangan-cawangan Puteri khususnya, melambangkan keahlian pergerakan kita yang diyakinkan akan semakin bertambah.

2. Hari ini sekali lagi kita mencipta sejarah. Sejarah yang pasti akan mencatatkan perhimpunan agung Puteri UMNO yang pertama ini sebagai pemangkin kepada era kebangkitan generasi wanita Melayu muda. Tiada siapa sebelum ini pernah menyangka UMNO pada ketika usia matangnya akan membuat satu perubahan besar kepada strukturnya dengan mengiktiraf peranan yang boleh dimainkan oleh golongan wanita Melayu muda melalui Puteri UMNO. Pindaan perlembagaan UMNO yang dibuat pada perhimpunan agung UMNO 2002 bagi mewujudkan Puteri UMNO bukan sahaja memperbaharui imej UMNO di alaf baru tetapi juga telah membuktikan bahawa golongan wanita muda tidak sekali-kali menjadi golongan yang dipinggirkan di dalam keluarga besar UMNO ini.

3. Penubuhan sayap terbaru UMNO telah berputik dari sebuah ilham. Ilham ini ditempa dan di corak. Wanita-wanita Melayu muda telah dipertanggungjawabkan untuk menggerakkan entiti baru ini, di peringkat kebangsaan dan juga negeri. Bukan sedikit pengorbanan yang telah diberikan oleh mereka. Ada di antaranya sanggup mengetepikan masa remaja, meninggalkan anak-anak dan suami tercinta, melupakan sebentar profesion dan tugas, demi menjayakan ilham ini. Dalam tempoh empat minggu penubuhannya, 10,000 wanita Melayu muda di seluruh Negara, dari kalangan yang dikatakan sudah menolak Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu, bersama-sama menyambut seruan untuk bersatu, bersetia dan berkhidmat, bersama-sama melangkah ke arah suatu laluan baru yang telah dibuka khas untuk mereka, oleh UMNO sendiri. Dari langkah-langkah awal ini maka lahirlah Pergerakan Puteri UMNO Malaysia.

4. Saya amat berbangga, melihat saudari-saudari pada hari ini. Berbaju putih, kain merah jambu, hasil kacukan dua warna parti keramat kita, hasil gandingan tradisi semangat UMNO dan inovasi idea serta kebijaksanaan pemimpin parti. Ingatlah wahai saudari-saudari puteri. Saudari semua membawa harapan besar parti untuk membentuk yang terbaik dari warisan UMNO dan terbagus antara segala yang ingin UMNO kecapi. Kita telah pun berikrar bahawa kita tidak akan lupa. Puteri UMNO tidak akan lupa asal usul perjuangan parti dan kita tidak lupa juga, matlamat utama parti untuk membawa kecemerlangan buat agama, bangsa dan negara.

Dulu tiada,

kini menjelma,

namun perjuangan bangsa

kan Puteri dokong selamanya

5. Merah jambu telah mewarnai setiap pelosok kota dan desa. Wajah-wajah muda ceria mula kelihatan di beberapa siri kempen pilihan raya kecil. Bermula di Likas, kemudiannya Indera Kayangan, Ketari, Anak Bukit dan Pendang, dan seterusnya Gaya, ahli-ahli Puteri telah menunjukkan komitmen yang tinggi membantu jentera parti. Malah, yang amat membanggakan, ahli-ahli Puteri ini telah amat digeruni oleh pembangkang sehinggakan mereka sanggup melakukan pelbagai helah, fitnah dan juga berkelakuan tidak senonoh kepada ahli Puteri. Terbukti, idea penubuhan Puteri tidaklah sia-sia, seperti mana anggapan awal sesetengah pihak. Sungguhpun usia pergerakan kita masih muda, kita telah mula membuktikan peranan kita sebagai ahli UMNO.

6. Pergerakan Puteri UMNO lahir di bawah pemimpin yang bukanlah calang-calang orangnya. Puteri diwujudkan di bawah kepimpinan seorang khalifah Melayu agung yang telah berjaya mengangkat martabat bangsa dan negara di mata dunia, pemimpin yang kini disegani oleh kawan dan lawan, pemimpin yang hanya ada satu dalam sejuta, iaitu Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad, Presiden UMNO yang kita semua kasihi. Dato Seri Presiden bukan sahaja menjadi sumber inspirasi kepada Puteri tetapi juga telah memainkan peranan sebagai seorang ayah yang sabar, penyayang dan tidak jemu memberikan bimbingan serta dorongan kepada Puteri. Walaupun kita semua maklum bahawa Presiden, atas kehendaknya sendiri akan mengundurkan diri dari kepimpinan parti, tetapi saya percaya semangat serta pemikiran beliau akan terus hidup subur di dalam diri kita semua.

7. Sungguhpun kita terlalu berat hati untuk membiarkan Dato Seri Presiden mengambil keputusan ini, kita haruslah menghormati langkah beliau yang lebih arif tentang apa yang dianggap sesuai untuk UMNO pada masa-masa tertentu. Selama beliau memegang tampuk kepimpinan parti dan negara, idea-idea beliau, usaha-usaha beliau, serta keputusan-keputusan beliaulah yang telah membawa Malaysia mencapai kemajuan dan pembangunan yang tidak diduga. Dr Mahathir Mohamadlah nama yang kerap kali dijulang ketika dunia menyebut tentang kejayaan Malaysia dalam apa jua bidang. Walaupun pahit ditelan, kita haruslah menerima keputusan beliau seperti mana keputusan-keputusan lain yang telah pun kita turuti, sebagai menghormati pilihan seorang yang tidak pernah memberikan kurang dari yang terbaik demi UMNO mahupun Malaysia.

8. Orang tua kita ada menyatakan, yang patah kan tumbuh, yang hilang kan berganti. Dalam konteks kepimpinan dalam UMNO, yang mengganti akan terus memperjuangkan agenda bangsa dan pertiwi. Kita mengamalkan tradisi peralihan kuasa yang akan berlaku dalam suasana yang penuh harmoni. Timbalan Presiden, Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi atau lebih mesra lagi Pak Lah, telah diberi kepercayaan untuk memimpin UMNO selepas ini. Puteri UMNO yakin bahawa Pak Lah akan dapat menunaikan tanggungjawab beliau dengan cemerlang. Wajah yang sentiasa menguntum senyuman itu sebenarnya mempunyai bukan sahaja kekuatan dalaman yang luar biasa tetapi juga pengalaman yang amat luas bagi memungkinkan beliau meneruskan kecemerlangan kepimpinan yang telah ditunjukkan oleh Presiden selama ini.

9. Bagi Puteri UMNO, Pak Lah yang selama ini sentiasa bersama dengan kami, waktu suka dan duka, sudah semestinya akan terus memberi sokongan, dorongan dan bimbingan bagi memastikan misi dan visi penubuhan Puteri dapat terus dibuktikan. Taat setia kepada pucuk pimpinan adalah amalan pergerakan kita. Yang penting adalah kekuatan parti UMNO yang bergantung kepada perpaduan ahli-ahli.

10. Rumah yang cantik dan indah telah pun terbina. Namun, perjuangan, peranan, dan pengorbanan Puteri masih tetap diperlukan. Cabaran telah pun dilontarkan kepada bangsa Melayu, lebih-lebih lagi generasi muda, untuk menyiapkan diri bagi menghadapi era globalisasi di mana tiada sesiapapun akan menyuakan kita sebarang tongkat sebagai bantuan. Janganlah kita Puteri-Puteri UMNO gagal untuk menyambut lontaran ini. Sebagai wakil generasi wanita Muda di dalam UMNO, Puteri wajib mengorak langkah terlebih dahulu dalam proses perubahan minda yang kerap kali diperkatakan sebagai sesuatu yang menjadi kemestian jika kita ingin terus membangun. Kita semua harus ingat bahawa kita mempunyai wawasan untuk menjadikan Malaysia pada tahun 2020 kelak bukan sahaja sebuah negara maju tetapi juga sebuah bangsa yang kuat dan dihormati oleh semua bangsa-bangsa di dunia. Jati diri saudari-saudari sekalian terlalu penting dan saya suka mengingatkan ahli-ahli Puteri tentang hakikat ini. Kehebatan mana-mana pertubuhan pun, terlebih dahulu bergantung pada kehebatan ahli-ahlinya sendiri.

11. Hukum alam menentukan tiada yang kekal di dunia ini selain dari Allah SWT. Pemimpin datang, pemimpin pergi. Kita semua yang ada di dewan ini adalah pemimpin hari ini. Berapa ramai di antara kita yang benar-benar memahami erti kepimpinan? Masa, tanggungjawab dan amanah yang dipikul di bahu kita semua adalah amat berat sekali. Dalam kita memimpin, kita perlu memahami serta sedar bahawa kita perlu sentiasa menyesuaikan diri dengan keperluan-keperluan semasa dan sedia bertindak untuk melakukan perubahan. Kita tidak boleh membiarkan diri kita diperalatkan dan hanya mengikut telunjuk pihak-pihak tertentu sahaja. Dalam konteks Puteri, kita mesti berani untuk memperjuangkan kebajikan ahli-ahli kita khususnya, dan memperjuangkan nasib bangsa kita seterusnya. Kita mesti sentiasa berani memberikan pendapat, berani mengkritik demi kebenaran, berani melakukan perubahan demi kebaikan dan seterusnya mestilah berani menghadapi risiko atas apa jua tindakan yang dilakukan.

12. Walau bagaimanapun para perwakilan yang saya kasihi sekalian, setiap tindakan atau perubahan yang hendak dilakukan, mestilah dilakukan secara bersama. Seorang ketua tidak akan dapat melakukan sesuatu perkara tanpa kerjasama pengikut-pengikutnya yang lain. Pepatah Melayu mengatakan, bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat. Oleh yang demikian, semua ahli Puteri di seluruh negara mestilah bersatu hati serta mempelajari erti perjuangan. Yang telah dipilih menjadi pemimpin, mestilah memenuhi kehendak serta ciri-ciri kepimpinan, manakala yang menjadi pengikut pula harus sedar bahawa anda tidak terlepas dari tanggungjawab serta amanah sebagai ahli UMNO. Dan semua pihak haruslah accountable, iaitu menyedari bahawa setiap seorang dari kita adalah pemegang tanggungjawab yang diamanahkan oleh tugas-tugas kita, rakan-rakan seperjuangan kita, ibu bapa serta keluarga kita, parti kita, bangsa dan tanah air kita dan paling utama, tanggungjawab terhadap Allah SWT.

13. Dalam proses membina kepimpinan, kefahaman serta kesetiaan terhadap dasar-dasar perjuangan parti amat penting sekali. Bukan itu sahaja, kesungguhan serta penumpuan untuk menjayakan matlamat perjuangan tanpa mengenal batasan masa, pengorbanan, komitmen dan tindakan yang berterusan mestilah menjadi amalan anda semua. Hanya mereka yang memahami erti perjuangan layak digelar pejuang bangsa.

14. Keperibadian yang ditunjangi dengan kekuatan amalan ajaran Islam dan kecintaan yang mendalam terhadap bangsa sahajalah yang dapat mengelakkan seseorang itu dari terpengaruh dengan perkara-perkara yang boleh melemahkan bangsa itu sendiri. Orang yang lemah sahajalah yang sanggup menggadai maruah bangsa, orang yang lemah sahajalah yang sanggup memburuk-burukkan nama baik orang yang lain semata-mata untuk menaikkan diri, orang yang lemah sahajalah yang sanggup menjual-beli undi dan sokongan dan orang yang lemah sahajalah yang perlu menyalahgunakan kedudukan dan kuasanya semata-mata untuk mempertahankan kedudukan dan kuasa ini. Ingatlah, bangsa dan negara yang kita cintai ini akan musnah sekiranya kita menyalahgunakan kedudukan demi untuk kepentingan diri sendiri.

15. Orang Melayu pada suatu ketika dahulu telah dijajah oleh kuasa imperialis dan direkodkan oleh British sebagai kaum yang malas. Hari ini, bangsa Melayu sudahpun dikenali di mata dunia, sungguhpun kita cuma merangkumi tidak sampai satu peratus pun dari jumlah penduduk dunia. 3 juta daripadanya adalah ahli UMNO. UMNO sejak dulu hingga kini menjadi tunjang kepada Barisan Nasional. UMNO adalah sebuah institusi yang selama ini menjadi pelindung serta pembela kepada orang Melayu. Sewaktu zaman penjajahan, Melayu bersatu di bawah UMNO untuk mencapai kemerdekaan. Kini setelah kita merdeka, Melayu bersatu di bawah UMNO untuk mencapai kecemerlangan. Walau apa pun tumpuan perjuangan UMNO, harus kita ingat bahawa tanpa kekuatan akar umbi, UMNO tidak akan dapat mencapai sebarang kejayaan dalam perjuangannya.

16. Akar umbi adalah teras kekuatan parti. Saudari-saudari yang hadir pada hari ini mewakili akar umbi Puteri UMNO. Janganlah lupa akan peranan saudari-saudari sekalian sebagai perwakilan. Umumnya saudari-saudari telah dipilih sebagai wakil hasrat serta harapan ahli-ahli Puteri cawangan dan bahagian. Tugas wakil itu amatlah besar. Apa yang saudari-saudari bawa ke persidangan ini, luahkan di dewan ini, usahakan pada hari ini, adalah perutusan daripada kumpulan yang lebih besar lagi dari individu-individu yang mengisi tempat-tempat di dewan ini. Laksanakanlah tanggungjawab kamu sebagai wakil kumpulan ini, yakni akar umbi Puteri UMNO. Dan apabila pulang nanti, bawalah pula perutusan dari dewan ini kerana sesungguhnya apa yang dibincangkan serta dibahaskan dalam persidangan ini bukan sahaja untuk kebaikan kita, tetapi juga demi kebaikan mereka yang menunggu kepulangan kita di cawangan dan bahagian.

17. Saya ingin mengingatkan, dalam kita mengharungi arena politik bermacam jenis dugaan yang mungkin kita hadapi. Harga diri dan maruah yang sebenarnya tidak ternilai, kini boleh dilelong pada tawaran yang paling tinggi. Inilah yang dikatakan korupsi moral dan etika. Saya berharap perkara ini belum lagi menular kepada ahli-ahli Puteri kita.

18. Kita telah diingatkan bahawa mereka yang sanggup membeli dan memperalatkan kita telah pun terlebih dahulu menggadaikan maruah sendiri. Mungkin kita sanggup malah senang membuka tangan menerima itu dan ini dari orang-orang tertentu apabila sesuai dengan keadaan, tetapi ingatlah pada hari muka. Jangan anggap bahawa perbuatan ini adalah kecil dan tidak mempunyai hubung kaitnya dengan perkara-perkara yang lebih besar. Perbuatan kita melapangkan jalan bagi amalan ini sebenarnya merupakan sebahagian dari satu rangkaian tindakan-tindakan yang lain yang akhirnya akan memusnahkan parti dan seterusnya bangsa. Sanggupkah kita membiarkan orang yang dianggap pemimpin-pemimpin ini meletakkan nilai atau harga terhadap kedudukan serta pengaruh mereka, seperti mana kita meletakkan nilai atau harga bagi ketaatan kita terhadap pemimpin dan parti? Sanggupkah kita membiarkan pemimpin-pemimpin yang sama ini menjualkan maruah bangsa dan negara, seperti mana kita membiarkan sokongan dan kesetiaan kita kepada mereka dijual beli? Berwaspadalah wahai Puteri. Janganlah kita membesarkan kandang musang menyempitkan reban ayam.

19. UMNO adalah sebuah parti yang kaya dengan sejarah serta tradisi pejuang-pejuang yang tidak pernah meletakkan nilai terhadap penat lelah, serta titisan peluh, darah dan air mata mereka demi bangsa dan tanah air. Mereka telah sanggup mengorbankan jiwa dan raga, harta dan benda, menunjukkan suatu semangat yang begitu tinggi. Janganlah kita, di hari-hari ini pada suatu zaman yang dikatakan begitu maju dan mewah bagi orang Melayu malah, di hari-hari yang akan datang, membiarkan parti kita meredai mereka yang tidak malu memakai gelaran pejuang, sedangkan perbuatan mereka sendiri jelas membuktikan bahawa mereka telah mengkhianati perjuangan dan menjadi petualang.

20. Asas kepada kecemerlangan sesebuah bangsa ialah penguasaan bidang ilmu. Allah SWT menurunkan wahyunya yang pertama kepada Nabi Muhammad SAW dengan Surah Al Alaq. Surah yang memerintahkan nabi dan umatnya: bacalah dan mendalami ilmu. Ini menunjukkan bahawa dalam Islam, ilmu bukan sahaja sesuatu yang diberi pilihan tetapi diperlukan dan dianggap fardu ke atas semua umat Islam. Imam Al Ghazali, seorang ilmuwan Islam mengatakan bahawa, pembentukan insan yang sempurna di dunia dan di akhirat adalah hanya dengan penguasaan ilmu. Penguasaan ilmu amat berkait rapat dengan pendidikan. Pendidikan memainkan peranan yang penting dalam membina tamadun manusia dan menerusi pendidikan, lahirlah para pemikir dan pelaksana yang membina serta mengembangkan sebuah tamadun.

21. Atas kesedaran ini Puteri UMNO telah mengambil ketetapan melancarkan program English on Wheels bagi memantapkan lagi kebolehan anak-anak kita, terutama di kawasan-kawasan luar bandar, dalam mencari dan memperolehi ilmu. English is a tool, a means to an end. Hanya mereka yang jahil akan menafikan kepentingan bahasa Inggeris dalam usaha mencari ilmu. Bahasa Inggeris merupakan bahasa yang digunakan oleh masyarakat antarabangsa untuk berurusan dalam pelbagai bidang dan merekodkan bermacam jenis ilmu pengetahuan. Dan apabila kita dapat menguasai bahasa Inggeris, kita akan dapat menguasai ilmu pengetahuan yang amat luas. Ia akan menjamin ke arah kemajuan bangsa dan negara kita setaraf dengan bangsa dan negara lain di dunia. Alhamdulillah, Yang Amat Berhormat Presiden merangkap Perdana Menteri kita begitu berpandangan jauh dan telah mengambil keputusan untuk melaksanakan pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris.

22. UMNO sejak awal penubuhannya amat mementingkan ilmu dan pendidikan. Kita amat berterima kasih kepada UMNO dan para pemimpinnya kerana telah mengutamakan pendidikan dalam membangunkan bangsa, agama dan negara. Kerajaan Barisan Nasional yang ditunjangi oleh UMNO telah membelanjakan sejumlah besar peruntukan untuk pembangunan dan pengurusan bidang pendidikan negara. Contohnya semenjak tahun 1996, lebih dari RM10 bilion setahun telah pun diperuntukkan kepada Kementerian Pendidikan dan angka ini terus meningkat tahun demi tahun.

23. Kemajuan yang kita nikmati hari ini, telah berkembang selaras dengan pencapaian pendidikannya. Jika dibandingkan dengan negara lain di dunia, pencapaian kita pada hari ini, iaitu selepas 46 tahun merdeka, amatlah membanggakan. Walau bagaimanapun, kita tidak boleh berpuas hati. Apa yang kita capai, belum lagi boleh dikatakan cemerlang. Pelajar-pelajar terbaik umumnya datang dari kalangan yang bukan Melayu. Pemberian kuota 55% bagi kemasukan pelajar Melayu ke IPTA melalui Dasar Ekonomi Baru telah digantikan dengan sistem meritokrasi. Tindakan berani ini dibuat bertujuan untuk menggalak serta memberi cabaran kepada anak-anak Melayu untuk berdaya saing dengan bangsa-bangsa lain. Puteri UMNO merakamkan terima kasih yang khusus kepada YB Tan Sri Musa Mohamed, Menteri Pendidikan Malaysia, merangkap ahli Majlis Tertinggi UMNO, terutamanya atas ketegasan beliau dalam menangani isu-isu yang begitu rumit dan serius. Terbuktilah bahawa sebarang kesangsian yang telah timbul tentang pelantikan seorang yang bukan 'politikal' bagi sebuah kementerian yang begitu signifikan dan penting bagi orang Melayu, malah rakyat Malaysia secara amnya, tidak perlu kita sebut-sebutkan lagi.

24. Secara keseluruhannya, apabila ia dilaksanakan, ternyata lebih banyak lagi tempat-tempat yang disediakan di IPTA telah menjadi milik anak Melayu melepasi jumlah peruntukan yang dahulunya wujud dalam bentuk kuota Bumiputera. Namun, kita juga melihat kemerosotan bilangan pelajar-pelajar Melayu dalam beberapa fakulti dan jurusan tertentu. Kita tidak harus melihat ini sebagai kegagalan sistem meritokrasi. Berilah peluang dan sedikit masa bagi sistem ini untuk memutikkan hasil-hasil yang ingin kita lihat dari segi status pelajar-pelajar kita. Saya yakin bahawa anak-anak Melayu akan bangkit dan menyahut desakan ini. Kita sebenarnya wajar mengambil iktibar di sini. Anggaplah ia sebagai cabaran yang pertama dalam langkah berani kita untuk menyiapkan diri supaya dapat bertahan dalam suatu keadaan di mana kita harus berdikari dan bergantung kepada kekuatan diri sendiri.

25. Sungguhpun kerajaan UMNO telah pun mula melatih bangsa Melayu untuk berdikari dan pandai bertahan dalam apa jua keadaan yang terbuka dan kompetitif, kerajaan UMNO tidak sekali-kali akan melepaskan tanggungjawabnya dalam menyediakan apa sahaja yang diperlukan bagi kita untuk mengorak langkah menuju matlamat ini. Mungkin kita tidak akan lagi disuap seperti insan yang tidak berdaya, semata-mata kerana kita terdiri dari kaum yang tertentu, tetapi kerajaan Barisan Nasional akan tetap memastikan segala yang diperlukan bagi membolehkan kita menyuap diri sendiri, diberi kepada semua rakyat Malaysia. Tiada short-cut di sini. Hanya pendidikan yang baik sahajalah yang mampu menjamin masa depan yang cerah, berbekalkan ilmu pengetahuan yang memungkinkan segala-galanya. Antara perkara yang paling penting di sini ialah menentukan sistem pendidikan kita senantiasa memenuhi matlamat pembangunan agama, bangsa dan negara serta menepati aspirasi rakyat Malaysia yang kian berubah. Kerajaan sudahpun mengambil inisiatif yang amat besar dan menggerakkan usaha-usaha di semua peringkat untuk memperkasakan sekolah kebangsaan kita. Tahniah diucapkan kepada Menteri Pendidikan kita, Tan Sri Musa Mohamed, seorang bekas Naib Canselor yang telah membawa Kementerian Pendidikan yang bersifat politikal ada asalnya ke arah kecemerlangan.

26. Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, imej sekolah-sekolah kebangsaan kalau pun tidak sekolah-sekolah itu sendiri, telah begitu berubah dan merosot. Dahulu sekolah-sekolah ini dianggap antara yang terbaik, di mana-mana pun serata tanah air, tidak kira yang Melayu atau bukan, golongan yang berada atau yang susah, di bandar mahupun di desa, yang Islam atau penganut agama lain semuanya memilih sekolah kebangsaan. Kini masyarakat Cina berpusu-pusu menyertai Sekolah Jenis Kebangsaan, sesiapa yang mampu menoleh pula ke Sekolah Swasta, seolah-olah murid-murid serta pelajar-pelajar Sekolah Kebangsaan hanya mendaftarkan diri oleh kerana tidak mempunyai pilihan yang lain. Yang lebih mendukacitakan lagi, Sekolah Kebangsaan ini langsung menjadi seperti Sekolah Melayu Islam kerana tidak lagi menampakkan ciri-ciri masyarakat Malaysia yang sebenarnya majmuk atau melambangkan kepelbagaian rakyat kita. Sungguhpun Melayu menjadi begitu dominan di sekolah-sekolah ini, ada yang di kalangan bangsa kita sendiri pula, berpendapat bahawa sekolah-sekolah ini tidak cukup Islamnya dan mereka mengambil keputusan untuk pergi ke Sekolah-Sekolah Agama Rakyat.

27. Sekolah Agama Rakyat kebanyakannya malang sekali tidak memenuhi hasrat mereka yang inginkan lebih Islam dan lebih agama. Sekolah-Sekolah ini tidak mempunyai standard yang baik, ramai di kalangan guru-gurunya tidak terlatih dan tidak dibayar gaji yang sepatutnya, kemudahan-kemudahan di sekolah ini serba kekurangan dan dalam bilangan kes-kes yang begitu tinggi, bukannya didikan agama yang diberikan tetapi ajaran dan latihan untuk membenci, yang melahirkan kumpulan-kumpulan ekstrem. Oleh yang demikian, Kerajaan mengambil keputusan memberhentikan bantuan per kapita kepada Sekolah Agama Rakyat kerana tidak sanggup bersubahat dalam sesuatu yang sebenarnya meruntuhkan Islam. Kerajaan UMNO yang sentiasa peka terhadap kehendak rakyat juga membuat keputusan bahawa pendidikan Islam yang sebenarnya dan tersusun bebas daripada elemen benci dan maki hamun di Sekolah-Sekolah Kebangsaan, diperkasakan lagi kurikulumnya. Dan tidak lupa pada hakikat bahawa Malaysia ini berbilang bangsa dan agama rakyatnya, Kerajaan turut memutuskan bahawa Sekolah-Sekolah Kebangsaan perlu dimantapkan lagi supaya dapat melambangkan sekolah yang sememangnya untuk semua anak Malaysia. Selaras dengan matlamat ini, serta matlamat untuk membina anak Malaysia yang lebih berdaya saing lagi, kerajaan juga merancang agar pembelajaran bahasa-bahasa lain boleh dimanfaatkan oleh sesiapa yang mahu.

28. Puteri UMNO menyokong penuh usaha murni kerajaan ini, dan mencadangkan agar sistem pembelajaran di Sekolah Kebangsaan diperkasakan lagi melalui bentuk yang bukan sahaja lebih baik malah lebih menarik. Konsep kelas mengikut mata pelajaran misalnya, boleh memberikan suasana pembelajaran yang lebih kreatif dan inovatif daripada sistem bilik darjah yang statik seperti sekarang. Dengan floating classes atau kelas terapung sebegini, setiap bilik darjah, makmal atau bengkel dapat digunakan secara optimum, dilengkapkan sepenuhnya dengan segala keperluan apa-apa jua mata pelajaran pun, malah kedua-dua pihak, pelajar dan juga guru, akan menghadapi suasana pembelajaran yang selesa dan menyeronokkan. ia akan juga meringankan beban guru-guru yang terpaksa berpindah randah dari sebuah bilik darjah ke sebuah bilik darjah, dengan membawa pelbagai alat bantuan mengajar.

29. Menyebut tentang guru, Prinsip pendidikan Islam memuliakan ilmu, ilmuwan dan golongan pendidik. Ilmu itu mulia. Begitu juga guru-guru adalah orang yang mulia dalam Islam selaku pemberi ilmu. Guru dan murid seharusnya mempunyai hubungan psikologi saling timbal balas dan harmonis yang akhirnya akan memberi kesan yang positif dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Guru mesti stabil dari segi emosi, mempunyai kasih sayang terhadap murid, bertanggungjawab terhadap moral profesion, bersifat mulia, yakin dan penuh minat terhadap pilihan kerjayanya, boleh membimbing pelajar dan tulus melakukan tugas. Oleh yang demikian, Puteri UMNO berpendapat sudah tibalah masanya profesion perguruan di negara ini diangkat martabatnya setaraf dengan profesional lain seperti peguam, doktor, jurutera, akauntan dan sebagainya. Hanya dengan cara ini kita berharap, menjadi guru bukan lagi menjadi pilihan terakhir sebagai kerjaya.

30. Saudari-saudari sekalian, tidak bermakna jika kita berpendidikan tinggi, berpelajaran, menjadi seorang profesional, pandai menulis dan membaca, bererti kita tahu segala-galanya dalam ilmu politik. Dalam pertubuhan politik pengalaman serta kefahaman adalah teras kepada apa yang diperjuangkan. Oleh demikian, adalah menjadi salah satu daripada tanggungjawab kita mengetahui sejarah perjuangan bangsa. Oleh itu, saya berharap semua ketua-ketua Puteri bahagian dapat menganjurkan kursus orientasi Puteri kepada semua ahli Puteri yang baru di bahagian-bahagian UMNO. Seiring dengan sesi-sesi orientasi ini, Puteri akan mengadakan Perkhemahan Nasionalisme bersiri kepada semua ahli jawatankuasa cawangan dan bahagian mulai bulan Julai seperti yang telah kita bincangkan dengan Yang Amat Berhormat Timbalan Presiden dan telah dipersetujui oleh beliau secara prinsipnya.

31. Dalam kursus-kursus ini, para peserta akan dipupuk dengan semangat patriotisme kepada negara dan semangat nasionalisme kepada bangsa. Kebanyakan kita dilahirkan pada zaman selepas merdeka dan tidak pernah merasai pahit maung perjuangan ahli-ahli UMNO yang terdahulu daripada kita. Anak-anak muda zaman ini mungkin leka dan mengambil mudah perjuangan UMNO untuk bangsa Melayu. Oleh itu, kursus-kursus ini diharap akan menjadi ingatan kepada ahli-ahli Puteri bahawa perjuangan bangsa masih berterusan dan masih belum selesai.

32. Mengikut anggaran terkini, bilangan penganggur siswazah ialah kira-kira 50,000 orang. Dalam angka yang mencemaskan ini, telah dikenal pasti bahawa lebih 80% daripadanya adalah Bumiputera. Kita tidak ada jalan lain untuk membantu mereka ini mendapatkan pekerjaan selain dari menggalakkan mereka untuk tidak bergantung kepada makan gaji semata-mata.

33. Perlembagaan Persekutuan serta dasar kerajaan sejak dari DEB hingga kini, sentiasa memberi peluang kepada orang Melayu untuk mempertingkatkan taraf ekonominya. Sikap bergantung kepada orang lain serta budaya subsidi mestilah dihakis. Kita tidak akan berjaya menjadi sebuah bangsa yang cemerlang kalau ekonomi kita tidak kukuh. Mengikut perangkaan, pada tahun 1995, pendapatan isi-rumah kasar bulanan orang Melayu ialah RM1,604, Cina RM2,890 dan India RM2,140. Pada tahun 1999 pula, pendapatan isi-rumah kasar Melayu adalah sebanyak RM1,984 Cina RM3,456, dan India RM2,702. Ternyata, kita telah ketinggalan dengan kaum-kaum lain dari segi ekonomi secara keseluruhannya. Kekuatan politik kita dilunturkan oleh kedudukan yang lemah dalam sektor ekonomi.

34. Apakah kelemahan kita akibat dari tongkat yang menyukarkan larian? Atau adakah kita tidak tahu untuk memanfaatkan segala jenis bantuan dan keistimewaan yang telah dirancang dan dihulurkan bagi kita? Apa pun, kerajaan telah memberi pelbagai skim dan rangsangan kepada orang Melayu untuk meningkatkan taraf ekonominya.

35. Dalam pakej rangsangan ekonomi yang baru-baru dikemukakan ini pun, pelbagai inisiatif telah dirancang. Antaranya ialah Skim Pinjaman Mikro daripada Bank Pertanian Malaysia sebanyak RM500 juta untuk menguruskan pinjaman untuk perniagaan dan usahawan kecil di sektor pertanian, dan Skim Pinjaman Mikro daripada Bank Simpanan Nasional sebanyak RM300 juta untuk membiayai projek-projek bukan pertanian. Kerajaan juga mensyaratkan bahawa perolehan ekuiti bagi syarikat usaha sama antara Malaysia dan luar negara harus dipegang oleh bumiputera sekurang-kurangnya sebanyak 30%. Selain itu, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM200 juta untuk menjalankan kerja-kerja pembaik pulih serta penaikan taraf flat kos rendah milik kerajaan yang berusia 5 tahun ke atas termasuk kerja-kerja cat semula, landskap dan pemasangan pagar dan kontrak ini akan diberi kepada kontraktor bumiputera. Kerajaan juga menjaga kebajikan kaum wanita terutamanya ibu tunggal dengan menawarkan skim sewa-beli dan skim pembelian semula kepada balu-balu kakitangan kerajaan termasuk balu tentera dan polis serta ibu-ibu tunggal yang tidak memiliki rumah. Melalui skim ini, mereka hanya perlu membayar semula sewa sebanyak RM50.00 dan akan diberikan pilihan untuk membeli rumah-rumah ini selepas tiga tahun. Puteri mencadangkan agar kerajaan menyediakan satu badan khidmat nasihat yang khusus bagi menggabungkan semua kemudahan latihan dan tabung atau skim pinjaman untuk menggalakkan penglibatan penganggur siswazah dalam bidang keusahawanan.

36. Kerajaan sememangnya telah menyediakan pelbagai skim galakan, bantuan dan program bagi membangunkan golongan usahawan terutamanya di kalangan kaum Bumiputera. Sungguhpun demikian, berapa ramaikah di antara kita yang arif tentang inisiatif-inisiatif ini, malah tahu di mana untuk mendapatkan maklumat tentangnya. Pada hari ini, suka saya mengumumkan bahawa Puteri UMNO ingin memberi sumbangan pro-aktif dalam usaha membangunkan semangat keusahawanan di kalangan ahli-ahlinya dan wanita Bumiputera muda amnya. Puteri telah mengambil keputusan untuk mengumpul maklumat tentang sumber-sumber kewangan yang tersedia bagi usahawan Bumiputera untuk menjalankan aktiviti-aktiviti keusahawanan dan Puteri bercadang hendak menerbitkan sebuah buku panduan sumber-sumber kewangan tersebut untuk kegunaan ahli-ahli kita sendiri dan juga usahawan-usahawan Bumiputera muda. Rancangan ini akan kita laksanakan dalam masa terdekat.

37. Puteri UMNO ingin menyarankan agar syarikat-syarikat besar lebih prihatin dengan masalah pengangguran yang akhirnya boleh membawa kesan yang negatif terhadap pencapaian ekonomi negara. Syarikat-syarikat ini sepatutnya lebih mencerminkan komposisi yang lebih mewakili masyarakat Malaysia yang berbilang kaum. Apa salahnya jika syarikat-syarikat gergasi Cina misalnya, berusaha untuk menawarkan pekerjaan kepada masyarakat Melayu juga. Sedikit sebanyak, langkah ini boleh juga membantu ke arah menurunkan kadar pengangguran di kalangan pemegang ijazah-ijazah yang ramainya terdiri dari golongan Melayu. Kita juga menggesa agar pihak kerajaan memberi insentif kepada syarikat-syarikat ini untuk menggiatkan usaha-usaha membuka pintu kepada staf, eksekutif malah pegawai di peringkat pengurusan yang terdiri dari golongan Melayu.

38. Sebagai seorang wanita, kita semua terpaksa menghadapi keadaan yang lebih mencabar. Wanita di Malaysia umumnya, masih lagi hidup dalam realiti yang menggambarkan seolah-olah golongan kita ini adalah warga kelas kedua. Fenomena glass ceiling di tempat kerja, peruntukan gaji yang lebih kecil, keperluan serta pandangan kita yang sering tidak menerima prioriti sungguhpun kita merangkumi separuh dari jumlah penduduk seluruh Malaysia malangnya bukan perkara yang asing, malah sudah menjadi suatu kebiasaan. Tambahan pula, ketidakpekaan terhadap isu-isu yang melibatkan gender, turut menyumbang kepada masalah-masalah sosial yang dihadapi oleh kaum wanita di Malaysia.

39. Adalah menjadi tanggungjawab kita semua yang mewakili wanita Melayu muda di negara ini untuk memastikan kesaksamaan gender dipraktikkan di dalam semua bidang. Kita bukannya meminta persamaan tetapi kita inginkan keadilan berlandaskan perlembagaan Malaysia sendiri yang telah dipinda dua tahun yang lepas untuk tidak membenarkan diskriminasi di atas dasar jantina. Kita ingin memastikan bahawa gender tidak menjadi penghalang kepada pengiktirafan kepada sesuatu kepakaran dan kebolehan. Kita juga mahu meningkatkan kesedaran tentang masalah gangguan seksual terhadap wanita di tempat kerja, keganasan rumah tangga dan juga kes-kes sumbang mahram yang masih berleluasa yang di antaranya turut disebabkan oleh pandangan serta prejudis tertentu sesetengah golongan masyarakat terhadap kaum Wanita.

40. Dalam kes gangguan seksual di tempat kerja, amat sukar bagi seseorang mangsa mendapat pembelaan. Kes-kes keganasan rumah tangga pun memperlihatkan masalah yang sama. Masyarakat sepatutnya peka kepada isu-isu sedemikian dan bertanggungjawab untuk memastikan perkara tersebut tidak berlaku. Keganasan terhadap wanita merupakan isu yang amat serius. Menurut perangkaan Polis Diraja Malaysia, sebanyak 322 kes keganasan rumah tangga telah dilaporkan di Kuala Lumpur pada tahun1999. Pada tahun 2000 pula, angka ini telah menurun kepada 264 kes dan pada tahun seterusnya angka ini terus menurun ke 162 kes. Walaupun kes-kes yang dilaporkan ini semakin berkurang semenjak beberapa tahun yang lepas, kita tidak harus berpuas hati dengan keadaan ini dan melupakan terus perjuangan demi hak dan keadilan bagi kaum wanita. Pertubuhan-pertubuhan khidmat wanita menganggarkan bahawa bagi setiap kes keganasan seperti ini yang dilaporkan, ada sekurang-kurangnya dua kes lain yang tidak dilaporkan. Ini turut merangkumi jenayah-jenayah seperti rogol dan pencabulan kehormatan.

41. Saban hari kita juga membaca melalui akhbar tentang kes-kes yang melibatkan sumbang mahram. Abang, ayah serta datuk telah hilang pertimbangan sehingga sanggup merogol darah daging sendiri. Puteri UMNO mengutuk sekerasnya-kerasnya akan jenayah yang dilakukan ini. Sejak dari tahun 2002 Puteri telah menganjurkan Kempen Membanteras Sumbang Mahram. Melalui Kempen ini, Puteri berharap agar anggota-anggota masyarakat dapat dipupuk dengan kesedaran tentang betapa seriusnya isu ini yang rata-ratanya menunjukkan pemangsaan terhadap kaum wanita khususnya.

42. Puteri ingin menyarankan supaya kerajaan memastikan bahawa sebarang undang-undang yang secara khususnya melibatkan wanita hanya akan digubal setelah mengadakan perbincangan atau perundingan yang berkesan dengan kaum wanita. Selain dari Kementerian Pembangunan Wanita dan Keluarga, pertubuhan-pertubuhan wanita juga harus diambil kira. Selain itu, Puteri juga meminta agar latihan kesedaran gender dianjurkan, untuk ahli-ahli Parlimen, pegawai-pegawai Kerajaan peringkat tinggi serta anggota-anggota badan-badan penguat kuasa undang-undang. Latihan ini penting untuk meningkatkan kesedaran bahawa kaum wanita bukanlah kaum yang lebih rendah tarafnya daripada kaum lelaki dan tidak boleh diperlakukan sesuka hati terutamanya sebagai objek seksual. Kerajaan harus mengadakan perbincangan atau perundingan secara konsisten dengan kumpulan-kumpulan yang mewakili kepentingan kaum wanita termasuk Kementerian, sayap-sayap wanita dalam parti politik, badan-badan bukan kerajaan wanita, serta ahli-ahli parlimen wanita sebagai satu kumpulan.

43. Kerajaan harus menggubal dasar-dasar secara khusus untuk memastikan supaya tidak wujud jurang gender dalam pembangunan negara. Kerajaan juga harus memastikan bahawa undang-undang yang boleh mewujudkan diskriminasi terhadap kaum wanita tidak digubal, serta mengkaji semula undang-undang sedia ada yang boleh membawa kepada, atau membenarkan diskriminasi terhadap kaum wanita, misalnya Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Hudud dan Qisas) kerajaan Kelantan dan Terengganu. Ini memang pernah dilakukan oleh Kerajaan BN seperti mana kita saksikan sewaktu Akta Keganasan Rumah tangga 1994 digubal bagi membela nasib kaum Wanita. Sama sekali ini tidak mungkin dapat kita harapkan daripada parti pembangkang terutamanya PAS. Kalau turutkan mereka, tak hadirlah kita di dalam dewan ini dalam keadaan dan suasana sebegini. Duduklah di rumah. Tak usahlah bekerja, dan janganlah bercita-cita untuk melibatkan diri secara aktif dalam politik pada semua tahap kebolehan kita.

44. UMNO sebagai tunjang kerajaan perlu mengambil peluang dari semua ini untuk menyatakan dengan jelas pendiriannya tentang wanita, terutamanya wanita dalam Islam. UMNO harus membezakan pendiriannya berbanding dengan parti-parti pembangkang yang mendiskriminasikan wanita, dan sekali gus membuktikan sikap UMNO yang progresif, peka dan prihatin terhadap nasib separuh daripada rakyat Malaysia.

45. Dalam mana-mana pertubuhan pun, jumlah keahlian memainkan peranan yang penting sebagai petunjuk penting kepada sambutan dan penerimaan kumpulan sasaran kepada pergerakan tersebut, lebih-lebih lagi dalam sebuah pertubuhan politik seperti UMNO. Bagi Puteri, keahlian melambangkan kekuatan parti. Sepatutnya setiap ahli Puteri dapat diterjemahkan kepada satu undi bagi Barisan Nasional. Oleh itu, saya menyeru kepada ahli-ahli Puteri agar meramaikan lagi saf-saf Puteri, dan seterusnya mendaftar sebagai pengundi dengan Suruhanjaya Pilihan raya. Jika kita tidak mengundi pada pilihan raya akan datang, kita mensia-siakan peluang untuk memberi mandat kepada parti kita sendiri, malah kita akan gagal melaksanakan tanggungjawab serta hak yang paling asas dalam sebuah demokrasi. Maka segala usaha kita untuk memastikan UMNO kekal berkuasa tidak berhasil jika kita gagal dalam memberikan mandat kepada UMNO dalam pilihan raya.

46. Terlalu banyak peranan yang boleh kita semua mainkan untuk memberikan kesedaran kepada masyarakat tentang perkara-perkara yang telah saya sentuh tadi. Selain dari menjalankan aktiviti politik, kita perlu menjadi agen perubahan kepada sikap negatif yang ada pada orang Melayu. Hanya dengan cara itu, kita akan dapat satu kekuatan politik. Kekuatan yang akan disegani oleh kawan atau lawan. Buktikanlah bahawa Puteri mampu, yakin dan boleh melakukannya.

47. Tidak lama lagi kita akan menghadapi pilihan raya umum yang pertama dalam sejarah penubuhan Puteri. ia sangat berbeza dengan pilihan raya pilihan raya kecil yang telah kita tempuhi. ia akan lebih mencabar dan menuntut komitmen yang penuh dari kita semua. Di sinilah nanti kekuatan politik kita akan diuji.

48. Saya menggesa agar kita semua bersiap sedia. Jentera pilihan raya di peringkat akar umbi seharusnya telah dikenal pasti dan digerakkan. Senjata yang paling berkesan ialah memenangi hati rakyat. Ahli-ahli Puteri di semua peringkat hendaklah memulakan gerakan mesra rakyat. Setiap program hendaklah bukan sahaja melibatkan ahli UMNO semata-mata tetapi juga melibatkan rakyat di segenap lapisan masyarakat. Moto generasi wanita prihatin serta bersatu bersetia dan berkhidmat hendaklah sentiasa dihayati dan menjadi amalan kita. Setiap aktiviti biro hendaklah dijalankan secara bergandingan dengan biro-biro lain bagi kemanfaatan masyarakat. Oleh sebab itulah, kita di peringkat kepimpinan pusat telah melancarkan sebuah program yang diberi nama; Operasi Bakti Puteri. Operasi ini kita jalankan dengan jayanya di Parit, Perak baru-baru ini. Operasi ini adalah gerak kerja pilihan raya Puteri UMNO yang dipersetujui oleh Yang Amat Berhormat Timbalan Presiden. Program Operasi Bakti Puteri yang diadakan secara menyeluruh di seluruh negara mulai bulan Julai sehinggalah pilihan raya umum diadakan. Kawasan-kawasan kelabu hitam telah dikenal pasti dan Unit Khas Pilihan raya Puteri UMNO (UKPP) yang dianggotai oleh beribu-ribu anggota terlatih telah pun dikerahkan.

49. Kesimpulan daripada kenyataan saya di atas adalah untuk memperlihatkan bahawa keutamaan bagi Puteri UMNO mulai sekarang ialah Pilihan raya Umum yang akan datang. Sepanjang tempoh ini, tidak harus wujud perkataan kepentingan individu, atau melobi untuk jawatan dalam kamus Puteri UMNO. Kita mesti sedar bahawa sebagai ahli-ahli Puteri, segala apa yang kita lakukan boleh dijadikan isu untuk dikaitkan dengan Barisan Nasional. Lebih-lebih lagi jika kita memegang jawatan. Kita harus lebih berhati-hati dengan tindak-tanduk kita sehari-hari supaya tidak terjerat dalam perangkap yang dipasang oleh pihak lawan. Oleh itu, saya meminta saudari-saudari perwakilan sekalian supaya berjanji bahawa kita sesungguhnya akan meletakkan Pilihan raya Umum, sebagai prioriti utama kita dan kita akan mengharungi hari-hari kita selepas ini dengan disiplin yang tinggi.

50. Akhirnya, sekali lagi saya menyeru para perwakilan sekalian untuk memantapkan jati diri bagi memastikan kecemerlangan bangsa. Tugas kita amat besar. Di bahu kitalah terletak tanggungjawab untuk terus mengisi kemerdekaan negara. Ingatlah pesanan Yang Amat Berhormat Presiden UMNO yang kita semua kasihi, perjuangan tidak tamat kerana individu gagal, tetapi perjuangan akan tamat jika parti hancur.

[Keputusan]


 

 

Utusan Melayu (M) Bhd.

46M, Jalan Lima Off

Jalan Chan Sow Lin,

55200 Kuala Lumpur.
E-mel:
online@utusan.com.my