25 April 2014
 
 

 

 

Teks Ucapan Ketua Wanita UMNO

UCAPAN DASAR

DATUK SERI RAFIDAH AZIZ
Ketua Pergerakan Wanita UMNO


DI PERHIMPUNAN AGUNG PERGERAKAN PEMUDA UMNO MALAYSIA
PADA 20 JUN 2001 (RABU)
TEMPAT: DEWAN TUN HUSSEIN ONN
PUSAT DAGANGAN DUNIA PUTRA
KUALA LUMPUR

 

Syukur Alhamdulillah kita telah dapat mengadakan Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Wanita UMNO tahun ini, iaitu tahun di mana UMNO telah menjangkau usia 55 tahun, dan telah sampai kepada persimpangan jalan di mana keputusan-keputusan asas yang penting perlu dibuat, dan haluan masa depan ditentukan dengan jelas. 
 
Sebagai tulang belakang Parti, dan jentera di peringkat akar umbi yang menjadi Parti tunjang Kerajaan, Pergerakan Wanita UMNO sendiri mesti membuat kajian terperinci tentang struktur, perancang dan strategi, halatuju serta kemampuannya, jika ianya hendak dipastikan terus berupaya menangani dan mengatasi cabaran-cabaran yang dihadapi oleh UMNO dan Kerajaan BN sekarang dan di masa akan datang. 
 
Pemilihan kepimpinan Pergerakan Wanita UMNO di peringkat Cawangan dan Bahagian telahpun selesai. Saya ingin mengucapkan tahniah kepada semua yang telah berjaya – sama ada dalam mengekalkan jawatan masing-masing, ataupun dalam pertandingan. Perlu diingatkan bahawa jawatan yang disandang meletakkan tanggungjawab dan pegangan amanah kepada setiap dari kita, dan harapan UMNO & Pergerakan Wanita UMNO ialah, semua pemimpin-pemimpinnya akan bersama-sama membawa ahli-ahli dan masyarakat ke tahap yang lebih tinggi, dalam kemajuan dalam semua aspek. Yang penting ialah, di semua peringkat Parti, pemimpin-pemimpin bekerja sebagai Pasukan-Pasukan yang teguh, saling memperkukuh dan sehaluan. Tidak ada haluan selain daripada haluan yang dihasratkan oleh Parti, dan tidak ada objektif atau matlamat selain daripada yang ditentukan oleh Parti. Apabila di mana-mana peringkat atau keadaan, terdapat penyimpangan daripada hasrat, objektif dan matlamat Parti, maka akan timbul kegiatan-kegiatan sumbang, yang akan melemahkan Parti, dan dengan itu melemahkan kedudukan Parti dalam Kerajaan. 
 
Ahli-ahli UMNO tidak boleh lari daripada hakikat bahawa kewibawaan UMNO terletak kepada kedudukan UMNO sebagai Parti dalam Kerajaan, dan sebagai tunjang dalam Barisan Nasional. Hanya sebagai Parti dalam Kerajaan akan UMNO berupaya meneruskan kedua-dua agenda Melayu dan Bumiputera, serta agenda negara. Dan, dalam konteks ini UMNO berupaya pula menentukan agenda wanita di Malaysia. Ahli-ahli UMNO di Negeri-Negeri di mana UMNO tewas dalam pilihanraya, tentu merasakan kekecewaan dan kehampaan, kerana tidak dapat menyumbang kepada perjalanan pentadbiran Kerajaan. Dasar-dasar sekarang ditentukan oleh bekas Parti pembangkang yang jelas mempunyai agenda sendiri yang hendak mereka laksanakan. Hasil daripada persengketaan dalam UMNO sendiri, ada di antara ahli-ahli dan pemimpin-pemimpin UMNO yang telah menyertai mereka, dan membawa bersama-sama mereka apa yang mereka tahu tentang rahsia dan strategi UMNO, dan kelemahan-kelemahan UMNO. 
 
Parti-Parti pembangkang masa kini berusaha untuk memperkenalkan imej mereka sebagai kononnya “Barisan Alternatif”, dengan meniru strategi penggunaan nama seperti Barisan Nasional. Jelas ini untuk menarik perhatian dan dalam keadaan-keadaan tertentu, mengelirukan rakyat, terutama dalam masa pilihanraya. 
 
Rakyat harus diperingatkan sentiasa bahawa tidak ada alternatif kepada Barisan Nasional, yang merupakan Pakatan untuk perkongsian kuasa secara adil dan bertolak ansur. Parti-Parti pembangkang hanya berpakat, dan menentukan Barisan semasa menghadapi pilihanraya, semata-mata untuk menentang dan mengalahkan calon-calon dari Barisan Nasional. 
 
Sebaliknya, Barisan Nasional adalah gabungan Parti-Parti Komponen yang bukan sahaja menentukan barisan calon-calon untuk bertanding pilihanraya, tetapi, seperti yang telah terbukti, berkerjasama dalam Kerajaan Negeri dan Pusat, untuk menentukan pelaksanaan, agenda dan wawasan Negara dan Rakyat. Ini jauh bezanya daripada usaha Parti-Parti pembangkang, yang membuat barisan semata-mata untuk menafikan kemenangan calon-calon Barisan Nasional. Setiap dari mereka mempunyai agenda masing-masing, dan didorong oleh matlamat-matlamat berlainan. 
 
Namun demkian, Parti-Parti pembangkang telah berjaya menewaskan Barisan Nasional di Kelantan dan Terengganu. Tetapi jika diteliti kemenangan mereka, ianya bukanlah kerana mereka secara hakikatnya kuat, tetapi kerana terdapat kelemahan-kelemahan dalam UMNO sendiri, yang memudahkan pembangkang mengambil kesempatan. Pergerakan Wanita UMNO wajar membantu Parti mengatasi kelemahan-kelemahan tersebut. Usaha memperkukuhkan jentera dan struktur Parti mesti dijalankan, dan gerak kerja Pergerakan Wanita UMNO mesti lebih menyeluruh, supaya tidak ada kelompok-kelompok masyarakat yang tercicir, atau tertinggal dari jangkauan kegiatan Parti. 
 
Matlamat Pergerakan Wanita UMNO ialah untuk membantu Parti mengembalikan negeri-negeri dan kawasan-kawasannya yang tewas, balik semula ke tangan Barisan Nasional, sambil menentukan kawasan-kawasan yang lain tetap dimenangi oleh Barisan Nasional. 
 
Matlamat ini memerlukan strategi yang rapi dan usaha gigih di semua peringkat. Pemimpin-pemimpin dan ahli-ahli Pergerakan Wanita UMNO di Bahagian-Bahagian dan di Cawangan-Cawangan, mesti merangkakan strategi pilihanraya dari sekarang, dan ke arah ini, Exco Pergerakan Wanita UMNO telahpun menyediakan rangkakerja yang perlu dilaksanakan. Rangkakerja itu hanya akan tinggal di peringkat dokumen, jika pemimpin-pemimpin dan ahli-ahli tidak, secara teliti, melaksanakan apa yang sepatutnya. 
 
Perlu ada Komitmen dan Azam yang kuat dari kita bersama, untuk berusaha memenangkan calon-calon Barisan Nasional dalam pilihanraya pada bila-bila masa. 
 
Kemenangan berterusan Barisan Nasional akan menentukan bahawa apa yang telah dimaktubkan dalam OPP3 atau Rangka Rancangan Jangka Panjang Ketiga (RRJP3) serta dalam Dasar Wawasan Negara akan dapat dilaksanakan, sejajar dengan apa yang dihasratkan oleh rakyat. 
 
Hanya Kerajaan yang terdiri dari Parti-Parti Komponen Barisan Nasional yang diterajui oleh UMNO mempunyai keupayaan membawa negara dan masyarakat, dengan jaya, ke dalam abad-abad akan datang alaf baru ini. 
 

Evolusi dalam UMNO. 
 
Tetapi, adakah UMNO, ataupun Barisan Nasional, boleh terus berupaya dan berkemampuan dalam bentuk dan cara seperti sekarang ? Tidakkah perlu ada perubahan-perubahan dan evolusi dalam UMNO, yang perlu berlaku, supaya dapat memupuk ketahanan menghadapi cabaran-cabaran dan keadaan-keadaan yang sudah banyak berbeza, daripada apa yang UMNO dan pemimpin-pemimpin dan ahli-ahli UMNO hadapi di masa-masa yang lepas ? 
 
UMNO sekarang menghadapi cabaran-cabaran dalaman dan dari luar. Cabaran-cabaran dalaman timbul dari jangkaan-jangkaan baru ahli-ahli, serta persepsi-persepsi yang berbeza yang dibawa oleh generasi-generasi baru ahli-ahli yang ramainya terdiri daripada warga selepas merdeka dan selepas pelancaran Dasar Ekonomi Baru. Generasi baru Melayu dan Bumiputera ini hanya mengetahui apa yang UMNO telah hasilkan, dan bukan apa dan bagaimana Perjuangan UMNO itu. 
 
Ramai yang tidak mengenali sejarah UMNO, dan tidak memahami bahawa dasar-dasar yang telah dilaksana, yang telah membawa faedah kepada sebahagian besar orang-orang Melayu dan Bumiputera, adalah sebenarnya dasar-dasar yang telah dipelopori dan dirangkakan oleh UMNO sebagai Parti ulung dalam Kerajaan Barisan Nasional. 
 
UMNOlah yang telah menentukan agenda Melayu dan Bumiputera, dan Insya Allah UMNO akan terus menentukan agenda Melayu dan Bumiputera di masa-masa akan datang, dengan sokongan orang-orang Melayu dan Bumiputera sendiri. 
 
Tetapi UMNO tidak akan terus mendapat sokongan tersebut jika ada generasi baru Melayu dan Bumiputera yang tidak tahu akan perjuangan UMNO, dan tidak dapat mengaitkan relevannya UMNO dengan agenda Melayu dan Bumiputera. Keadaan dan situasi dalam era Teknologi Maklumat dan Komunikasi ini mengajak generasi muda memandang jauh ke hadapan, dan mereka kerapkali tiada masa, atau tiada keinginan untuk menoleh ke belakang dan menghayati sejarah, walaupun hanya untuk mendapat faedah dari pengajaran-pengajaran sejarah. 
 
Ada di antara mereka akan berkata bahawa sejarah telah berlaku, dan mengakui bahawa memang benar UMNO telah berjasa. Tetapi mereka bertanya apa pula yang UMNO akan lakukan di masa akan datang – iaitu era dalam mana generasi muda itu sendiri melihat diri mereka. Hakikat ini benar untuk UMNO dan juga Pergerakan Wanita UMNO dan juga Pemuda UMNO. 
 
Bahkan ada yang sudah mula bertanya tentang sama ada UMNO itu masih relevan ? 
 
Jawapan kepada soalan ini mudah – iaitu UMNO sebagai Parti menaungi orang-orang Melayu dan Bumiputera masih dan akan tetap relevan. 
 
Yang penting ialah cara UMNO bergerak dan bertindak dan strategi-strategi UMNO itu perlu sentiasa diubahsuai, ditokok tambah dan dihalusi supaya sesuai dengan mana-mana masa, keadaan dan generasi ahli. 
 
Inilah antara cabaran-cabaran yang dihadapi bersama oleh Pergerakan Wanita UMNO. Soal sama ada UMNO ataupun Pergerakan Wanita UMNO “relevan” atau tidak, adalah mengikut tanggapan mana-mana kelompok atau generasi ahli-ahli. 
 
Mereka yang darah dagingnya telah sebati dengan UMNO dan Pergerakan Wanita UMNO, dan telah bersama-sama dengan Parti dalam apa juga keadaan, akan tetap mempertahankan bahawa UMNO itu relevan. Kepada mereka, jelas bahawa tanpa UMNO, orang-orang Melayu dan Bumiputera tidak akan memperolehi apa yang mereka capai sekarang.  
 
Mereka yang mempunyai agenda peribadi yang gagal dicapai melalui UMNO akan menganggap UMNO tidak relevan. 
 
Dan mereka yang tidak pernah berkhidmat dalam dan dengan UMNO tidak akan merasakan relevannya UMNO. 
 
Walau apapun keadaan, tidak perlu sesiapa menafikan relevannya UMNO itu untuk orang-orang Melayu dan Bumiputera. 
 
UMNO tetap Relevan. Namun demikian, evolusi yang sewajarnya mesti berlaku dalam UMNO, kedua-dua dalam bentuk struktur dan organisasi, dan juga halatuju dan gerak kerja. 
 
Penubuhan Puteri UMNO mencerminkan usaha untuk memberi struktur khusus bagi golongan wanita yang muda dan yang mahukan identiti sendiri dan berlainan dari Pergerakan Wanita UMNO yang juga mempunyai ramai ahli-ahli muda di bawah umur 30 tahun. Adalah diharapkan dengan adanya Pergerakan Puteri UMNO itu, akan lebih meluas jangkauan pengaruh UMNO di kalangan wanita muda di negara ini, dengan menjadi pelengkap kepada usaha-usaha Pergerakan Wanita UMNO sendiri. 
 
Tetapi perubahan-perubahan struktur sahaja tidak memadai untuk evolusi dalam UMNO berkesan bagi memenuhi aspirasi orang-orang Melayu dan Bumiputera, yang semakin berubah dan semakin pelbagai. 
 
Perlu ada perubahan-perubahan dalam cara-cara UMNO mengolah gerak-gerak kerjanya, supaya menepati kehendak-kehendak kumpulan-kumpulan sasaran yang berbeza-beza. Pergerakan Wanita UMNO sendiri perlu mendahului dengan mempastikan bahawa aktiviti-aktivitinya meliputi kelima-lima cabang-cabang dan kegiatan iaitu Politik, Ugama, Ekonomi, Sosial dan Kebudayaan seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan UMNO itu sendiri. 
 
Biro-Biro Pergerakan Wanita UMNO di peringkat Pusat, Negeri dan Bahagian mesti inovatif dalam merangka dan melaksanakan program-programnya, supaya bukan sahaja menjangkaui ahli-ahli Parti, tetapi juga wanita dan masyarakat amnya. 
 
Dalam masa setahun yang lalu, Pergerakan Wanita UMNO telah menjalinkan semula hubungan rapat dengan Pasukan Keselamatan dan Tentera melalui lawatan dan ramah mesra ke Kem-Kem di mana terdapat ramai perajurit-perajurit dan keluarga masing-masing. Pergerakan Wanita UMNO menghargai dan menyanjung tinggi segala jasa dan bakti perwira-perwira negara itu dalam mempertahankan kedaulatan dan keamanan negara, dan akan terus berusaha untuk membantu mempermudahkan beban dan tugas mengujudkan benteng yang kuat untuk negara. 
 
Begitu juga kaitan kerja yang efektif telah dan akan terus dijalin antara Pergerakan Wanita UMNO dengan badan-badan sukarela Wanita, yang mempunyai matlamat dan objektif yang selari dengan Pergerakan Wanita UMNO. 
 
Dalam konteks Barisan Nasional, Pergerakan Wanita UMNO mengambil peranan utama untuk mengembeling keupayaan-keupayaan yang terdapat di kalangan Pergerakan Wanita Parti-Parti Komponen Barisan Nasional, melalui perlaksanaan program-program bercorak politik, ekonomik dan sosial, yang melibatkan kerjasama di peringkat akar umbi ahli-ahli wanita dalam Barisan Nasional. Perlu dipupuk dengan tebal semangat dan penghayatan bekerja sebagai pasukan-pasukan Barisan Nasional, supaya matlamat-matlamat kolektif Parti-Parti komponen dapat dicapai untuk faedah Barisan Nasional, dan untuk faedah rakyat amnya. 
 
Di peringkat Pergerakan Wanita UMNO sendiri, proses melengkapkan rantaian komunikasi dan matlamat secara elektronik telahpun dimulakan dengan penubuhan Laman Web Pergerakan Wanita UMNO di peringkat pusat, serta pembekalan set-set komputer di peringkat negeri dan Bahagian-bahagian. Penggunaan kemudahan-kemudahan yang disediakan oleh media elektronik seperti Internet, dan lain-lain aplikasi Teknologi Maklumat dan Komunikasi, akan membantu Pergerakan Wanita UMNO di semua peringkat memperolehi ilmu, maklumat dan pengetahuan baru, untuk memanafaatkan bidang-bidang aktiviti dalam mana mereka terlibat. Bagi organisasi Pergerakan Wanita UMNO, rantaian melalui komputer dan Internet akan membantu memperkukuhkan asas-asas Pergerakan, serta mempertingkatkan prestasi dan gerak kerja politik. 
 
Di samping itu, media elektronik di Ibu Pejabat UMNO dan Pejabat-Pejabat Perhubungan Negeri dan Bahagian-Bahagian Pergerakan Wanita UMNO, akan membantu masyarakat dan orang-orang awam untuk menghubungi Pergerakan Wanita UMNO bagi mendapatkan maklumat, mengemukakan masalah, serta menghubung jalinan komunikasi. Secara talian elektronik atau “on-line”, urusan-urusan Pusat Aduan Wanita boleh ditingkatkan kekesanannya, kerana mereka dapat berhubung secara “on-line” dengan Pergerakan Wanita UMNO tanpa perlu datang sendiri ke Pejabat Pergerakan Wanita UMNO untuk membuat aduan dan menyampaikan masalah. 

Para Perwakilan sekalian, 
 
Pergerakan Wanita UMNO telahpun secara rasmi melancarkan Gerak kerja di seluruh negara, yang bertujuan menggerakkan semua jentera yang telah disusun di peringkat akar umbi untuk mula berfungsi secara berterusan hingga selesai Pilihanraya Umum yang akan datang. Gerak kerja ini perlu dijayakan melalui pendekatan-pendekatan dan tatacara-tatacara yang telahpun digariskan secara terperinci oleh Unit Penerangan Pergerakan Wanita UMNO, dan kejayaan Gerak kerja ini, akan secara langsung, meningkatkan tahap kesediaan Parti menghadapi Pilihanraya, sama ada Pilihanraya Kecil atau umum. 
 
Dalam konteks ini peranan jentera-jentera seperti Ketua dan Pasukan sepuluh di Cawangan-cawangan sangat penting, dan mekanisma penyampaian penerangan dan penjelasan tentang isu-isu dan masalah semasa, sama ada di peringkat nasional atau tempatan, perlu di perkemaskan, supaya seramai yang mungkin ahli-ahli Parti dan ahli-ahli masyarakat, dapat dimaklumkan tentang keadaan dan situasi yang sebenarnya. 
 
Yang penting ialah Pergerakan Wanita UMNO berfungsi sebagai perantaraan yang efektif antara Parti dengan ahli, serta antara Parti dan Kerajaan dengan rakyat amnya. 

Para Perwakilan sekalian, 
 
Pendorong utama pemimpin-pemimpin dan ahli-ahli Pergerakan Wanita UMNO bekerja dan berkhidmat sewajarnyalah semangat. Semangat ini pula perlu diapikan oleh hasrat untuk melihat orang-orang Melayu dan Bumiputera terus berjaya di negara ini, dan oleh kesedaran bahawa, tanpa UMNO, masa depan orang-orang Melayu dan Bumiputera akan samar dan tergugat. 
 
Di masa kinipun telah mula dipersoalkan hak-hak keistimewaan orang-orang Melayu dan Bumiputera, oleh pihak-pihak yang nampak akan bibit-bibit kelemahan dalam UMNO, atau pun yang menganggap UMNO berada dalam keadaan yang mudah ditekan.  
 
Semangat yang mendorongi ahli-ahli Parti untuk bekerja dengan gigih wajar diiringi oleh azam untuk tidak mengizinkan sesiapa mencabar hak-hak keistimewaan orang-orang Melayu dan Bumiputera. Semangat itu pula tidak cukup dengan semata-mata pidato beremosi serta berdebat dan berhujjah. Semangat mesti diterjemahkan kepada bekerja, dan berusaha, untuk memastikan UMNO dan Barisan Nasional menang dalam setiap Pilihanraya. 
 
Selagi UMNO kukuh sebagai Parti tunjang Kerajaan, hak-hak keistimewaan orang-orang Melayu dan Bumiputera tetap akan terpelihara. 

Para Perwakilan sekalian, 
 
Semenjak beberapa pemilihan Parti yang lalu, isu politik wang telah menjadi satu perkara yang berpotensi untuk mengganggu gugat ketahanan Parti, dan membawa unsur-unsur kelemahan. Tidak perlu dihuraikan panjang lebar tentang mudharat yang disebabkan oleh politik wang. Memadai jika kita ingati bersama bahawa apabila pemimpin memperolehi jawatan melalui membeli sokongan dan undi, maka pemimpin itu akan sentiasa terhutang budi, dan tidak akan bertindak secara objektif dan rasional. Dan pemimpin itu juga akan mudah terbuka kepada budaya rasuah politik. 
 
Ahli-ahli yang mengharap atau meminta upah sebagai balasan kepada sokongan dan undi yang mereka berikan, tidak akan memberi sokongan tulin, dan melalui masa, harga upah dan sokongan itu akan semakin meningkat. Juga wang akan menjadi penentu sokongan kepada Parti dan pemimpin. Soal semangat dan khidmat akan tidak lagi menjadi dorongan. Dan ini akan menjadi punca Parti hilang ketahanannya. 
 
Pergerakan Wanita UMNO mesti mengelakkan daripada politik wang menular merosakkan organisasi dan kekuatannya. Pemimpin-pemimpin wajar dipilih kerana kemampuan masing-masing dan keupayaan memberi kepimpinan, dan bukan kerana upah dan janji yang ditawarkan. Kemenangan yang dibeli tidak ada makna, seperti juga sokongan yang berupah tidak bererti sama sekali. 
 
Pemimpin-pemimpin UMNO adalah kebanyakannya pemimpin-pemimpin dalam Kerajaan. Mereka mesti bebas daripada kongkongan hutangbudi dan tekanan penyokong yang diupah, supaya mereka mempunyai kekuatan yang hakiki dalam jawatan Kerajaan. 
 
Maruah dan harga diri lebih penting daripada jawatan, dan tidak berfaedah jika menang sorak, maruah tergadai. 
 
UMNO perlu sentiasa pastikan bahawa setiap generasi ahli dan pemimpin mewarisi budaya, semangat dan nilai-nilai yang baik, yang terus dapat menjamin ketahanan dan kewibawaan Parti dalam apa juga keadaan, serta yang berterusan dapat diterima dan dihormati oleh orang-orang Melayu dan Bumiputera khasnya dan rakyat Malaysia amnya. Oleh itu proses evolusi dalam UMNO perlulah menghala kepada mempertahan dan memperkukuh budaya, semangat dan nilai-nilai tersebut. 

Para Perwakilan Sekalian, 
 
Semenjak beberapa dekad yang lalu, Pergerakan Wanita UMNO telah berjaya menyuarakan isu-isu dan masalah-masalah yang berkaitan dengan kaum wanita, keluarga dan masyarakat umumnya. Cadangan-cadangan yang telah dikemukakan oleh Pergerakan Wanita UMNO, sama ada kepada Parti atau terus kepada Kerajaan, telah menjadi sebahagian daripada dasar dan amalan dalam Kerajaan. 
 
Dalam banyak keadaan, Pergerakan Wanita UMNO bersama-sama dengan Pertubuhan-Pertubuhan Sukarela di kalangan wanita telah mengembeling tenaga untuk lebih berkesan mengutarakan isu-isu dan cadangan-cadangan. Satu daripada tuntutan kepada Kerajaan yang sama-sama dibuat oleh Pergerakan Wanita UMNO ialah untuk diujudkan satu Kementerian Khas untuk kemajuan wanita dan keluarga. 
 
Syukur Alhamdulillah, telahpun ditubuhkan oleh Kerajaan Kementerian Pembangunan Wanita dan Keluarga yang diterajui oleh seorang Pemimpin dari Pergerakan Wanita UMNO. Kementerian ini bukanlah semata-mata untuk menangani masalah wanita, tetapi mempunyai objekif menyeluruh untuk mengintegrasikan kaum wanita Malaysia ke dalam arus utama kemajuan dan pembangunan negara dan masyarakat. Dalam proses integrasi tersebut, wajar dititikberatkan penyelesaian terhadap masalah-masalah yang dihadapi oleh kaum wanita dalam berfungsi sebagai ahli masyarakat – seperti dalam konteks isteri dan ibu yang mempunyai pekerjaan, ibu tunggal, usahawan, ahli professional dan akademik. Pendek kata perlu dipastikan supaya suasana persekitaran tidak menghalang, dalam apa juga cara dan bentuk, mana-mana wanita, sebagai tenaga sumber manusia negara, mendapat apa yang sewajarnya dari peluang-peluang dan faedah-faedah yang ada. Pergerakan Wanita UMNO akan membantu Kementerian baru ini dalam mengenal pasti halangan-halangan dan masalah-masalah dalam suasana persekitaran tersebut, dan berusaha mengatasinya. Sistem maklumbalas akan dibentuk antara Pergerakan Wanita UMNO dengan Kementerian supaya usaha itu lebih berkesan. 
 
Dalam konteks ini, Pergerakan Wanita UMNO akan menjalin kerjasama dengan Pergerakan Wanita Parti-Parti Komponen Barisan Nasional, serta Pertubuhan-Pertubuhan Sukarela di kalangan wanita, supaya dapat diselaraskan usaha dan tindakan, dan diperkukuhkan suara dan tenaga kaum wanita di negara ini. Kerjasama ini akan dijalin di semua peringkat, dan diharapkan Pertubuhan-Pertubuhan Wanita yang lain akan secara proaktif dengan Pergerakan Wanita UMNO, menangani isu-isu kepentingan bersama, sama ada di peringkat nasional atau di peringkat akar umbi. 

Para Perwakilan Sekalian, 
 
Penubuhan sebuah Kementerian Khas untuk pembangunan wanita dan keluarga tidak bererti segala-galaya akan selesai dan beres. Masih banyak perkara asas yang harus ditangani di peringkat unit-unit keluarga, yang melibatkan tanggungjawab ibu bapa dan penjaga, dan tidak boleh dilepaskan kepada pihak lain untuk menanganinya. 
 
Perkara-perkara seperti pembentukan nilai-nilai positif, disiplin, amanah, kerajinan dan keimanan mesti bermula dan bertapak di dalam unit keluarga itu sendiri. Nilai-nilai tersebut, antara yang lain-lain, akan membantu individu-individu dalam keluarga, seperti generasi muda, membina benteng yang teguh menghindar dari gejala-gejala anti sosial, seperti salah guna dadah, jenayah dan sikap cenderong menentang masyarakat dan negara. 
 
Pergerakan Wanita UMNO, dalam aktiviti-aktiviti dan gerak kerjanya mesti membantu dalam membentuk nilai-nilai positif yang penting itu. Setiap ahli Pergerakan Wanita UMNO mesti diingatkan sentiasa akan tanggungjawab mereka dalam memupuk nilai-nilai tersebut di dalam unit-unit keluarga dan di kalangan lingkungan pengaruh masing-masing. Segala-galanya akan bermula dari keluarga, dan sangat penting diberi perhatian berat kepada unit keluarga masing-masing. Tidak ada pengganti kepada Ibu, Bapa atau penjaga dalam mana-mana keluarga, dan institusi pendidikan, seperti sekolah serta guru-guru, tidak patut dibebankan dengan tanggungjawab melentur nilai-nilai anak muda, tanpa nilai-nilai tersebut diasaskan dalam keluarga terlebih dahulu. 
 
Namun demikian di institusi-institusi pendidikan, mereka yang di pertanggungjawabkan mendidik dan mengajar, tidak seharusnya menggunakan kesempatan yang ada pada mereka, untuk menyemai bibit-bibit anti Kerajaan dan anti pemimpin, atau pandangan-pandangan dan persepsi-persepsi yang akhirnya menyebabkan penuntut dan pelajar dipupuk dengan sikap-sikap negatif. 
 
Sementara begitu ramai para guru dan pendidik yang berfungsi dengan penuh tanggungjawab dan berethika, ada terdapat segolongan yang begitu ketara membawa kecenderungan-kecenderungan politik mereka ke dalam suasana persekitaran sekolah dan institusi pendidikan. Pihak Ibu bapa dan penjaga wajar mengesan tindakan-tindakan tersebut, supaya proses pendidikan pembelajaran anak-anak muda tidak diganggu-gugat oleh unsur-unsur politik menentang Kerajaan, terutama di kalangan penuntut-penuntut dan pelajar-pelajar Melayu dan Bumiputera. Persatuan-persatuan Ibu Bapa dan Guru mesti bertindak tegas menghalang kegiatan-kegiatan tersebut, dan mempastikan setiap institusi pendidikan itu bebas daripada unsur-unsur dan dakyah-dakyah politik tersebut. 

Para Perwakilan Sekalian, 
 
Kesan daripada langkah-langkah yang telah diambil oleh Kerajaan, Malaysia telah dapat mengatasi masalah kegawatan ekonomi, yang telah melanda rantau ini bermula pada pertengahan tahun 1997. Pertumbuhan ekonomi telah berterusan positif, dan pada asasnya negara telah dapat dihadang atau “insulate” daripada tekanan-tekanan ekonomi dari luar, yang boleh mencetuskan krisis dan kegawatan ekonomi. 
 
Namun demikian, kekesanan apa juga langkah-langkah Kerajaan dalam menghadapi dan menangani masalah-masalah ekonomi akan bergantung kepada sokongan padu ahli-ahli Parti dan masyarakat, serta kepada adanya suasana persekitaran yang mengizinkan langkah-langkah tersebut dilaksana dengan jaya. 
 
Secara berterusan, situasi di negara-negara lain memberi contoh bagaimana Kerajaan di negara-negara berkenaan tidak berjaya menghadapi dan mengatasi kegawatan ekonomi, kerana diganggu-gugat oleh huru hara politik jalanan, dan keadaan politik yang tidak menentu dan tidak stabil, memaksa perhatian Kerajaan kepada perkara-perkara yang lain daripada pemulihan ekonomi. 
 
Syukur Alhamdulillah, di Malaysia kita telah kembali kepada asas kukuh perkembangan ekonomi yang dapat dipertahankan. Yang penting ialah momentum pertumbuhan itu perlu diteruskan, supaya dapat dicapai matlamat Wawasan 2020, yang berasaskan kepada pertumbuhan ekonomi purata 7% setahun sehingga tahun 2020. 
 
Satu pra syarat utama mencapai matalamat ini ialah keadaan politik dan sosial yang stabil, yang membolehkan perlaksanaan dasar-dasar dan rancangan-rancangan yang telah dirangkakan. 
 
Kestabilan tersebut wajar ujud daripada perpaduan di kalangan rakyat menyokong Kerajaan Barisan Nasional. 
 
Kerapkali timbul unsur-unsur luaran yang mencabar negara, sama ada berbentuk politik ataupun ekonomi. Tidak boleh dinafikan bahawa sebagai negara berdagang yang mengekspot barangan lebih daripada RM373.3 ribu juta dalam tahun 2000, Malaysia akan merasa kesan-kesan pergolakan dan perubahan dalam pasaran serantau dan antarabangsa. Kelembapan ekonomi di negara-negara rakan dagangan utama pasti akan memberi kesan kepada hasil ekspot negara. Namun demikian, Kerajaan sentiasa mengambil langkah-langkah yang sewajarnya untuk menangani cabaran-cabaran tersebut, bersama-sama dengan komuniti industri dan perdagangan di negara ini. 
 
Di samping cabaran-cabaran luaran yang berbentuk ekonomi, seperti perdagangan, terdapat unsur-unsur berbentuk politik dan bermotif politik yang, jika tidak dibendung, akan mencampuri urusan dalaman negara, dan mengizinkan campur tangan pihak asing di dalam politik dan pentadbiran negara. 
 
Pergerakan Wanita UMNO tidak rela mana-mana pihak luar mencampuri urusan dalaman Malaysia, dan mengutuk mana-mana pihak di Malaysia sendiri, yang dengan sengaja membuka ruang bagi gejala-gejala luar campur tangan dalam urusan dan politik dalaman negara. 
 
Malaysia mempunyai Perlembagaan, Undang-Undang dan Peraturan-Peraturannya sendiri yang diterima pakai secara saksama untuk semua warga negara, dan semua pihak yang tertakluk kepada institusi-institusi tersebut. 
 
Orang-orang luar tidak berhak untuk membuat penentuan dan penilaian subjektif mereka sendiri, dan cuba mempengaruhi terhadap apa-apa yang menjadi hak kepada negara dan Kerajaan. 
 
Pergerakan Wanita UMNO akan berdiri teguh di samping Kerajaan, menentang campur tangan mana-mana pihak luar ke atas urusan dalaman negara. Semangat “patriotic” di kalangan ahli-ahli Pergerakan Wanita UMNO adalah menjadi benteng kepada cabaran-cabaran luaran tersebut. Kita tidak mahu apa-apa keadaan timbul seperti kata pepatah – lulus jarum lulus kelindan. 
 
Malaysia telah merdeka dari penjajah selama lebih 43 tahun. UMNO telah banyak berjasa dalam usaha mengisi kemerdekaan, terutama dalam membebaskan orang-orang Melayu dan Bumiputera daripada kongkongan minda dan budaya penjajahan. Tetapi 43 tahun adalah hanya seketika dalam riwayat hidup sesebuah negara yang merdeka dari penjajah. 
 
Proses mengisi kemerdekaan tidak akan selesai. 
 
Apabila satu ruang telah diisi, timbul pula ruang-ruang baru, kesan daripada kemajuan-kemajuan, seperti dalam bidang teknologi, pendidikan, ekonomi dan dalam bidang ilmu. 
 
Usaha perlu dilaksanakan untuk membawa orang-orang Melayu dan Bumiputera khasnya, dan rakyat Malaysia amnya ke tahap-tahap kemampuan dan keupayaan baru yang lebih tinggi, supaya mereka dapat mengambil tempat dalam ruang-ruang dan peluang-peluang baru itu. 
 
Kaum wanita, khususnya, perlu, dipastikan mempunyai peluang yang sama dengan orang lain dalam mengisi ruang-ruang dan peluang-peluang tersebut. 
 
Sungguhpun kita telah, secara hakiki, Merdeka selama lebih 4 dekad, ianya tidak bererti kita, sebagai rakyat, dan Malaysia sebagai negara, akan dijamin terus merdeka dan bebas dari penjajahan. 
 
Walaupun tidak mungkin kita dijajah semula secara kekerasan oleh mana-mana pihak, namun kita masih terdedah kepada unsur penjajahan pihak luar secara halus dan tidak ketara. 
 
Penjajahan di zaman ini berlaku dalam berbagai bentuk, antaranya penjajahan minda, penjajahan ekonomi, penjajahan politik serta penjajahan budaya dan sosial. 
 
Unsur-unsur penjajahan sedemikian berlaku apabila ketahanan sosial, politik dan ekonomi masyarakat dan negara menjadi rapuh, akibat hakisan-hakisan dalaman, dan begitu mudah pengaruh-pengaruh dan akhirnya kawalan luaran menjajah masyarakat. Dalam keadaan sebegini, masyarakat dengan mudah menerima pengaruh-pengaruh ideologi, nilai dan tanggapan orang-orang lain dan “penjajahan” minda dan nilai itu akan menukar corak masyarakat ke arah yang hendak dilentur oleh pengaruh-pengaruh yang menjajah. 
 
Masa kinipun telah mula dilihat penjajahan minda, yang menyebabkan pihak-pihak tertentu terbawa-bawa dengan konsep dan tanggapan pihak luar terhadap perkara-perkara seperti demokrasi, hak-hak asasi manusia, kebebasan dan perjuangan. Penjajahan minda ini, jika tidak diawasi akan menular menjadi kongkongan kepada tindaklaku ahli-ahli mayarakat di pelbagai aspek. 
 
Apabila penjajahan dalam bentuk-bentuk baru telah berkesan, maka masyarakat dan negara akan mendapati hak dan kuasa menentukan destini sendiri akan terserah kepada pihak lain. 
 
Kemerdekaan tidak lagi bermakna, kerana destini negara ditentukan oleh orang lain secara langsung. 

Para Perwakilan Sekalian, 
 
Tidak boleh dinafikan bahawa kita menghadapi persimpangan jalan. Kita perlu memilih jalan yang terus menjamin kemerdekaan negara dan masyarakat, supaya orang-orang Melayu dan Bumiputera sentiasa mendapat tempat yang sewajarnya. 

Bersatu Kita Teguh, Bercerai Kita Runtuh. 
 
Marilah kita bersatu padu di dalam Pergerakan Wanita UMNO dan dalam UMNO, untuk mendirikan benteng-benteng teguh menghalang apa-apa cabaran kepada Parti dan Negara, dan memberi kekuatan kepada Kerajaan dalam menangani masalah-masalah yang dihadapi pada bila-bila masa. 
 
Kesedaran akan menimbul dan mengapikan semangat; semangat pula akan menentukan azam; dan azam akan mendorongkan khidmat dan bakti kepada Ugama, Bangsa dan Negara. 
 
Selamat Bersidang. 
 
Wabilillah hi taufik walhidayah. Assalamualaikum Warahmatullah hi wabarakatuh.

 


© UTUSAN MELAYU (M) BHD, 46M Jalan Lima Off Jalan Chan Sow Lin, 55200 Kuala Lumpur.
E-mail: online@utusan.com.my