25 April 2014
 
 
 

 

 
 LAPORAN EKONOMI 19/10/2001
Prestasi perusahan awam bukan kerajaan terus kukuh

Prestasi perusahan awam bukan kerajaan terus kukuh

KUALA LUMPUR 19 Okt - Prestasi keseluruhan Perusahaan Awam Bukan Kewangan (PABK) dijangka terus kukuh pada tahun depan berikutan permintaan yang menggalakkan terhadap produk petroleum, elektrik dan perkhidmatan telekomunikasi.

Berikutan itu, PABK terutama Petronas, Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Telekom Malaysia Berhad (Telekom) dijangka terus memainkan peranan yang penting dalam perkembangan ekonomi negara.

Sejajar dengan prestasi yang lebih baik itu, hasil PABK yang disatukan dijangka meningkat dengan ketara sebanyak 14.2 peratus kepada RM116.83 bilion berbanding hanya 2.5 peratus atau RM102.31 bilion pada tahun sebelumnya.

Walaupun perbelanjaan semasa dan perbelanjaan pembangunan meningkat, baki keseluruhan PABK akan terus kekal kukuh iaitu sebanyak RM15.16 bilion atau 4.4 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Daripada 37 PABK, Petronas menunjukkan prestasi terbaik dengan peningkatan hasil sebanyak 21 peratus.

Ini berikutan harga produk petroleum yang kekal tinggi dan pulangan dari pelaburan strategik di 25 negara.

TNB juga dijangka menunjukkan peningkatan hasil kepada RM14.38 bilion berikutan peningkatan dalam bekalan elektrik kepada isu rumah (10.8 peratus), sektor komersia1 (6.9 peratus) dan industri (3.5 peratus).

Telekom pula dijangka mencatatkan pertumbuhan hasil sebanyak 12 peratus kepada RM10.16 bilion berikutan peningkatan mendadak penggunaan telefon bimbit.

Dalam pada itu, perbelanjaan mengurus dan pembangunan di ketiga-tiga PABK utama juga turut meningkat iaitu sebanyak 12.9 peratus dan 20.5 peratus.

Peningkatan dalam perbelanjaan mengurus adalah disebabkan oleh pelarasan gaji dan projek baru yang mula beroperasi manakala peningkatan dalam perbelanjaan pembangunan adalah kerana program pemodenan dan pengembangan operasi.

Mengenai projek pembangunan, pada tahun ini, antara projek utama Petronas termasuk membina loji pemprosesan gas, penambahan kapal gas asli cecair (LNG) dan projek usahasama di luar negara.

Bagi TNB pula, sebahagian besar perbelanjaan pembangunannya adalah untuk mengembang dan menaik taraf rangkaian penghantaran tenaga elektrik.

Selain itu, TNB juga banyak melabur untuk membina stesen janakuasa, Fasa 3 Universiti Tenaga Nasional dan membeli tenaga daripada dua buah pengeluar tenaga bebas (IPP).

Menjelang akhir tahun ini, penjanaan TNB dijangka meningkat lima peratus kepada 66,817 Gigawatt sejam.

Telekom juga banyak melabur dalam projek-projek pemodenan sistem telekomunikasi negara, sekali gus meningkatkan perbelanjaan pembangunannya.

Selain menaik taraf dan mengembangkan rangkaian sedia ada, Telekom juga melabur untuk memperkenalkan teknologi terkini kepada pelanggannya seperti litar jalur lebar, internet berkelajuan tinggi dan sistem multimedia interaktif.

Telekom juga akan melabur sebanyak RM551 juta untuk membekalkan perkhidmatan komunikasi ke luar bandar di seluruh negara.

Ini kerana, walaupun perkhidmatan telefon bimbit dijangka tumbuh melebihi 100 peratus, talian tetap masih menjadi pendapatan utama Telekom dengan menyumbang 70 peratus daripada pendapatan syarikat tersebut.

 
Tajuk-tajuk Berita
  • KDNK hanya 1-2 peratus tahun ini
  • Ekonomi negara disasar 4-5 peratus tahun depan
  • Prakata Menteri Kewangan Malaysia
  • Pertumbuhan ekonomi tahun depan dijana sumber dalaman
  • Inflasi dijangka kekal rendah
  • Pertumbuhan ekonomi dunia lebih perlahan
  • ASEAN lebih bersedia hadapi kejutan ekonomi
  • Lebihan besar lima tahun imbangan pembayaran
  • Kedudukan imbangan pembayaran terus kukuh
  • Akaun semasa imbangan catat lebihan
  • Defisit kewangan Kerajaan Persekutuan lebih tinggi
  • Eksport, import alami pengurangan
  • Hutang negara kekal rendah
  • Negara berdaya saing, miliki rangkaian sejagat
  • Kedudukan kewangan Kerajaan negeri defisit
  • Sumber Institusi Pembiayaan Pembangunan
  • Penstrukturan semula sektor kewangan dan korporat
  • Perbankan tempatan terus mampu hadapi kelembapan ekonomi
  • Perkembangan bank Islam tanda penerimaan meningkat
  • Prestasi perusahan awam bukan kerajaan terus kukuh
  • Kegiatan pinjaman bertambah baik
  • Prestasi pasaran hadapan merosot
  • BSKL atasi prestasi bursa serantau
  • 14 dana baru saham amanah dilancarkan
  • Pendapatan premium insurans hayat meningkat
  • Malaysia-China setuju atur tukar mata wang ketika krisis
  • Sektor perkhidmatan berkembang 4.4 peratus
  • Sektor perkilangan catat keluaran lebih rendah
  • Sektor pembinaan tumbuh 4.9 peratus
  • Sektor pertanian meningkat 1.2 peratus
  • Prospek guna tenaga lemah
  • Bursa buruh beroperasi awal tahun depan
  • Pembuangan kerja lemahkan pasaran buruh
  • Upah meningkat, produktiviti menurun
  • Buruh asing diambil pastikan perniagaan tidak terjejas
  • 356 pakar profesional kembali ke Malaysia
  • Caruman bersih PPF meningkat
  • Jumlah eksport MSC berganda


  • © UTUSAN MELAYU (M) BHD, 46M Jalan Lima Off Jalan Chan Sow Lin, 55200 Kuala Lumpur.
    E-mail: online@utusan.com.my