26 Julai 2014
 
 
 

 

 
 LAPORAN EKONOMI 19/10/2001
Pertumbuhan ekonomi tahun depan dijana sumber dalaman

Pertumbuhan ekonomi tahun depan dijana sumber dalaman

KUALA LUMPUR 19 Okt - Pertumbuhan ekonomi negara pada tahun 2002 akan terus bergantung kepada sumber dalam negeri berikutan keadaan ekonomi luar negara yang dijangka terus tidak stabil dan tidak menentu.

Bagaimanapun, berikutan prestasi hasil yang lebih baik dan perbelanjaan pembangunan yang rendah, defisit keseluruhan dijangka akan menjadi lebih kecil.

Bagi sektor awam, meskipun perbelanjaan mengurus sektor kerajaan adalah tinggi, prestasi hasil yang lebih baik dijangka membawa kepada lebihan semasa yang besar iaitu RM14.004 bilion.

Tetapi, lebihan semasa Perusahaan Awam Bukan Kewangan (PABK) dijangka berkurangan 20.4 peratus kepada RM32.99 bilion berikutan prospek hasil PABK utama yang rendah terutama dalam sektor eksport dan utiliti.

Justeru, kedudukan akaun semasa sektor awam disatukan dijangka berkurangan kepada RM47.002 bilion atau 12.7 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Bagi Kerajaan Persekutuan, defisit keseluruhan dijangka berkurangan kepada RM18.62 bilion atau lima peratus daripada KDNK berikutan pengambilan langkah untuk merangsang ekonomi, mengekalkan kemapanan fiskal jangka panjang serta kestabilan makro ekonomi.

Untuk itu, belanjawan Kerajaan Persekutuan akan terus memberi penekanan ke atas program dan projek yang memberi kesan pengganda ke atas aktiviti dalam negeri bagi mengukuhkan potensi ekonomi dalam jangka panjang.

Dari segi hasil, jumlah kutipan dijangka meningkat 6.4 peratus kepada RM73.40 bilion, sejajar dengan prestasi korporat yang baik dan peningkatan dalam kutipan cukai pendapatan syarikat.

Cukai tidak langsung pula dijangka meningkat 7 peratus hasil daripada cukai jualan dan perkhidmatan yang tinggi.

Bagaimanapun, cukai pendapatan petroleum dijangka turun sejajar dengan pengeluaran minyak mentah yang rendah pada tahun ini.

Kutipan hasil bukan cukai pula dijangka meningkat 3.4 peratus kepada RM17.01 bilion dengan hasil daripada lesen dan permit terutama daripada kenderaan bermotor dijangka meningkat 4.6 peratus kepada RM6.06 bilion.

Mengenai belanjawan, peruntukan belanjawan mengurus akan meningkat 6.9 peratus kepada RM65.34 bilion bagi memenuhi keperluan emolumen, bayaran perkhidmatan hutang dan bekalan serta perkhidmatan yang lebih tinggi.

Bagaimanapun, peruntukan tambahan disediakan bagi penyenggaraan jalan kampung dan sistem perparitan di seluruh negara.

Daripada jumlah belanjawan mengurus itu, sebanyak RM4.72 bilion disediakan untuk bayaran subsidi ke atas beras dan baja, produk petroleum, makanan dan buku teks.

Belanjawan pembangunan pula akan terus memberikan penekanan kepada pembangunan industri, infrastruktur, pertanian dan pembangunan luar bandar.

Ini termasuklah pembangunan perusahaan kecil dan sederhana dan projek infrastruktur utama seperti jalan raya, projek landasan kereta api berkembar, mendalamkan pelabuhan serta membina dan menaik taraf lapangan terbang.

Selain itu, sebanyak RM1.56 bilion disediakan untuk pembinaan sekolah satu sesi, institusi vokasional dan teknik, rumah guru dan tabung pinjaman pendidikan tinggi.

Sejumlah RM1.82 bilion lagi diperuntukkan untuk pembinaan kuarters tentera, polis dan kakitangan kerajaan serta penempatan semula setinggan.

Projek hospital dan klinik turut diberikan pertimbangan serius dan sebanyak RM1.27 bilion disediakan untuk tujuan tersebut.

 
Tajuk-tajuk Berita
  • KDNK hanya 1-2 peratus tahun ini
  • Ekonomi negara disasar 4-5 peratus tahun depan
  • Prakata Menteri Kewangan Malaysia
  • Pertumbuhan ekonomi tahun depan dijana sumber dalaman
  • Inflasi dijangka kekal rendah
  • Pertumbuhan ekonomi dunia lebih perlahan
  • ASEAN lebih bersedia hadapi kejutan ekonomi
  • Lebihan besar lima tahun imbangan pembayaran
  • Kedudukan imbangan pembayaran terus kukuh
  • Akaun semasa imbangan catat lebihan
  • Defisit kewangan Kerajaan Persekutuan lebih tinggi
  • Eksport, import alami pengurangan
  • Hutang negara kekal rendah
  • Negara berdaya saing, miliki rangkaian sejagat
  • Kedudukan kewangan Kerajaan negeri defisit
  • Sumber Institusi Pembiayaan Pembangunan
  • Penstrukturan semula sektor kewangan dan korporat
  • Perbankan tempatan terus mampu hadapi kelembapan ekonomi
  • Perkembangan bank Islam tanda penerimaan meningkat
  • Prestasi perusahan awam bukan kerajaan terus kukuh
  • Kegiatan pinjaman bertambah baik
  • Prestasi pasaran hadapan merosot
  • BSKL atasi prestasi bursa serantau
  • 14 dana baru saham amanah dilancarkan
  • Pendapatan premium insurans hayat meningkat
  • Malaysia-China setuju atur tukar mata wang ketika krisis
  • Sektor perkhidmatan berkembang 4.4 peratus
  • Sektor perkilangan catat keluaran lebih rendah
  • Sektor pembinaan tumbuh 4.9 peratus
  • Sektor pertanian meningkat 1.2 peratus
  • Prospek guna tenaga lemah
  • Bursa buruh beroperasi awal tahun depan
  • Pembuangan kerja lemahkan pasaran buruh
  • Upah meningkat, produktiviti menurun
  • Buruh asing diambil pastikan perniagaan tidak terjejas
  • 356 pakar profesional kembali ke Malaysia
  • Caruman bersih PPF meningkat
  • Jumlah eksport MSC berganda


  • © UTUSAN MELAYU (M) BHD, 46M Jalan Lima Off Jalan Chan Sow Lin, 55200 Kuala Lumpur.
    E-mail: online@utusan.com.my