30 Julai 2014
 
 
 

 

 
Ucapan Belanjawan Tahun 2002 oleh Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan Malaysia

Ucapan Belanjawan Tahun 2002
oleh Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan Malaysia,
Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad
ketika membentangkan Rang Undang-undang Perbekalan (2002)
di Dewan Rakyat pada 19 Oktober 2001.


Tuan Yang Dipertua,

Saya mohon mencadangkan supaya suatu Rang Undang-undang bertajuk ``Suatu Akta bagi menggunakan sejumlah wang daripada Kumpulan Wang Disatukan untuk perkhidmatan bagi tahun 2002 dan bagi memperuntukan wang itu untuk perkhidmatan bagi tahun itu'' dibaca bagi kali yang kedua.

I. PENDAHULUAN

Tuan Yang Dipertua,

Alhamdulillah, dengan izin Allah Subhanahu Wa Taala dan limpah kurnia-Nya, dapat kita sekali lagi bersama-sama membentangkan Belanjawan 2002 pada hari ini. Belanjawan ini merupakan satu belanjawan yang amat penting bagi kita semua untuk menghadapi rintangan dan cabaran persekitaran luar yang semakin tidak menentu dan mencabar.

Pertumbuhan ekonomi dunia yang telah mula menurun pada permulaan tahun 2001, iaitu tahun ini, berikutan terutamanya kelembapan ekonomi Amerika Syarikat dan Jepun, kini menjadi semakin serius dan lebih berlarutan daripada yang dijangkakan. Serangan dahsyat ke atas Amerika Syarikat yang tidak diduga serta di luar batas kemanusiaan, telah mengorbankan beribu nyawa. Seluruh dunia terkejut dan kesannya dirasai oleh semua, dengan melemahkan lagi prestasi ekonomi, bahkan turut mengancam kestabilan politik dan keselamatan dunia sejagat. Kita menentang sebarang keganasan. Namun, kita juga tidak bersetuju dengan peperangan yang tidak dapat dikawal untuk mengatasi keganasan, kerana ini akan hanya memburukkan lagi keadaan tanpa menyelesai masalah. Perang bukanlah langkah bijak untuk menangani keganasan kerana lebih banyak nyawa akan terkorban, lebih banyak aset negara akan musnah dan lebih ramai yang akan menderita. Dan ia tidak akan berjaya menumpas pengganas atau membendung kegiatan mereka. Sebabnya ialah pengganas yang terlibat bukan orang Afghan dan mungkin tidak ramai yang berada di Afghanistan. Mereka boleh berada di mana-mana sahaja dan mungkin bertindak balas dari lokasi lain. Kita telah berperang dengan pengganas di Malaysia selama 42 tahun. Tindakan ketenteraan kita hanya tertumpu kepada pengganas. Di masa yang sama, kita telah lancar perang saraf untuk menawan hati penyokong pengganas dan menghentikan sokongan kepada pengganas melalui penghapusan sebab-sebab berlakunya keganasan.

Sementara tindakan ketenteraan semata-mata tidak akan menyelesaikan masalah keganasan, peperangan juga akan memburukkan lagi ekonomi dunia yang sudah pun buruk. Awal-awal lagi kita perlu tanggung, dengan izin, war risk, atau risiko peperangan dan pengangkutan ke negara tertentu yang menjadi rakan dagang kita akan terjejas. Insurans ke atas kapal, freight dan penerbangan akan meningkatkan lagi kos perdagangan. Permintaan untuk barangan tertentu akan menurun sedangkan kos akan meningkat.

Peristiwa 11 September telah menyebabkan pasaran ekuiti utama jatuh dengan mendadak. Bagi beberapa bursa utama, kejatuhan merupakan yang terburuk pernah dialami. Pasaran ekuiti Amerika Syarikat paling teruk terjejas dengan Dow Jones menjunam dua digit mencecah pasar terendah sejak beberapa tahun. Sehari selepas serangan, berlaku penjualan terbesar di pasaran saham di seluruh dunia. Indeks Dax jatuh 8.5 peratus, penurunan terbesar dalam sehari. Indeks FTSE turun 5.7 peratus, juga merupakan kejatuhan terbesar dalam satu hari sejak 1987. Indeks Nikkei yang telah pun berada di paras rendah untuk tahun ke-17, merosot lagi sebanyak 6.6 peratus kepada paras lebih rendah. Indeks saham bursa-bursa utama yang lain, seperti Hang Seng dan STI, juga merosot. Indeks pasaran di Taiwan, Thailand dan Kuala Lumpur yang dibuka pada 13 September, juga menjunam.

Industri kewangan dan insurans akan menghadapi bebanan tuntutan yang tinggi. Sentimen pelabur dan keyakinan pengguna kian lemah. Terdapat, dengan izin, flight to quality, dengan pelabur memindahkan dana ke pasaran yang lebih selamat dan terjamin. Sekarang Amerika Syarikat tidak lagi dianggap sebagai safe heaven, dengan izin. Dalam persekitaran sebegini, prospek bagi pemulihan awal bertambah pudar. Malahan, wujud risiko negara-negara industri utama akan terperangkap dalam kemelesetan. Serangan ke atas Afghanistan mungkin berpanjangan dan tidak menentu. Prospek pemulihan ekonomi dunia sudah tentu akan menjadi lebih buruk.

Sebagai langkah segera untuk memulih ekonominya, Pentadbiran Amerika Syarikat telah menyuntik kecairan ke dalam sistem kewangan dan mengurangkan kadar faedah kepada 2.5 peratus daripada 6.5 peratus. Ini merupakan kali kesembilan kadar faedah diturunkan sejak awal tahun ini. Kongres Amerika Syarikat turut meluluskan 40 bilion dolar peruntukan fiskal bagi pembinaan semula infrastruktur, bantuan menyelamat dan keselamatan. Sebanyak 75 bilion dolar telah diumumkan sebagai tambahan kepada rangsangan fiskal. Pentadbiran Amerika Syarikat juga meluluskan pakej bail-out sebanyak 15 bilion dolar bagi membantu syarikat penerbangan mereka. Apabila Malaysia mengambil langkah untuk menstruktur semula syarikat-syarikat, termasuk syarikat penerbangan negara, institusi kewangan antarabangsa terutamanya Bank Dunia dan IMF menganggapnya sebagai bail-out kepada syarikat-syarikat kroni kerajaan. Kita dituduh mengamalkan nepotisme dan tidak telus dalam urus tadbir. Sekarang ternampak, dalam keadaan cemas negara lain juga mengguna cara yang dikecam oleh pengkritik Malaysia. Selain dari bail-out, amalan-amalan Malaysia yang dikutuk dahulu oleh media asing sekarang diamal juga oleh negara yang cemas. Dan media asing tidak pula mengutuk amalan ini. Media asing sendiri sekarang tidak begitu bebas. Keselamatan majoriti adalah lebih utama dari kebebasan liberal.

Sebagai sebuah ekonomi terbuka, di mana perdagangan merupakan lebih daripada 200 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), ekonomi Malaysia amat terdedah kepada keadaan turun naik pasaran luar. Ekonomi negara baru sahaja bebas daripada cengkaman krisis kewangan tahun 1997-1998. Kini, kita terpaksa berdepan pula dengan perkembangan luaran yang lebih sukar. Pertumbuhan KDNK bagi tahun 2001 yang telah diturunkan daripada 7 peratus kepada 5 hingga 6 peratus pada Mac 2001, kini diturunkan lagi kepada 1 hingga 2 peratus. Langkah proaktif, bijak dan pantas perlu diambil bagi membendung kejatuhan ini daripada berterusan. Kini, kita tidak boleh bergantung terlalu sangat kepada perdagangan luar, sebaliknya, pertumbuhan ekonomi mesti didorong oleh kegiatan perdagangan dan aktiviti ekonomi dalam negeri dan penumpuan kepada pasaran-pasaran baru yang boleh kita bangunkan.

Selaras dengan dasar, dengan izin, domestic led growth, kerajaan telah mengumumkan pakej rangsangan tambahan berjumlah RM4.3 bilion pada 25 September 2001. Ini merupakan langkah tambahan kepada pakej pre-emptive sebanyak RM3 bilion yang telah diumumkan pada Mac 2001. Di samping merangsang aktiviti ekonomi dalam negeri, pakej ini juga bertujuan untuk membendung kesan negatif terhadap golongan berpendapatan rendah dan lemah. Ia juga bertujuan menjana aktiviti perniagaan, menambah peluang pendapatan kepada usahawan kecil dan membantu perniagaan runcit. Dalam hubungan ini, projek khas kerja kecil luar bandar akan ditawarkan khusus kepada kontraktor bumiputera tempatan kelas F dan juga kontraktor bukan bumiputera. Pakej ini juga akan memberi latihan kemahiran kepada pekerja yang diberhentikan serta graduan yang menganggur.

Pakej rangsangan fiskal ini akan menjadi sia-sia dan tidak akan membantu menjana pertumbuhan yang lebih tinggi, sekiranya program dan projek di bawah pakej tersebut tidak dilaksanakan dengan pantas. Menyedari hakikat ini, kerajaan telah mengemas kini semula semua kaedah, peraturan dan garis panduan berkaitan dengan pelaksanaan projek pembangunan dan pembayaran kepada kontraktor-kontraktor yang terlibat.

Bagi mempercepatkan pelaksanaan projek, kuasa kewangan yang lebih besar diberi kepada semua kementerian dan agensi pelaksana. Lembaga Tender di peringkat kementerian diberi kuasa untuk meluluskan tender sehingga RM50 juta untuk perolehan kerja dan RM30 juta untuk bekalan dan perkhidmatan tanpa perlu merujuk kepada Perbendaharaan. Lembaga Tender kementerian juga dibenar meluluskan tender terhad sehingga RM5 juta. Bagi badan-badan berkanun, had kelulusan tender bagi semua bekalan, perkhidmatan dan kerja-kerja dinaikkan kepada RM100 juta, sementara untuk tender terhad, sehingga RM10 juta. Adalah diharap kuasa yang lebih mestilah diiringi dengan tanggungjawab yang lebih.

Satu pasukan petugas di Kementerian Kewangan telah diwujudkan untuk mengawal selia kemajuan, mengenal pasti dan menangani masalah pelaksanaan bagi memastikan semua langkah rangsangan dilaksanakan dengan segera. Manakala Flying Squad pula ditubuhkan bagi memastikan pembangunan sektor awam dan projek yang diswastakan, dilaksanakan mengikut jadual. Bagi mempercepatkan bayaran, semua kementerian dan agensi dikehendaki membayar 50 peratus daripada nilai tuntutan terlebih dahulu. Semua tuntutan hendaklah diselesaikan dalam tempoh 30 hari dari tarikh tuntutan dikemukakan. Anggota kerajaan seperti Menteri akan mengawasi pengurusan kewangan tanpa campur tangan dalam decision making, dengan izin. Pihak yang terkilan boleh mengadu kepada Menteri. Menteri pula perlu berhati-hati dalam penyeliaan yang dilakukan, supaya tidak ada tuduhan pilih kasih.

Dasar kewangan yang akomodatif juga terus dilaksanakan untuk memperkukuhkan lagi rangsangan fiskal. Sehubungan ini, Bank Negara Malaysia pada 20 September, telah mengurangkan kadar campur tangan 3 bulan kepada 50 mata asas iaitu 5 peratus untuk menggalakkan sentimen perniagaan dan memulihkan keyakinan pengguna. Pengurangan ini merupakan potongan pertama dalam tempoh lebih dari dua tahun dan selaras dengan tindakan yang diambil oleh bank-bank pusat di beberapa buah negara industri utama. Berikutan ini, kadar asas pinjaman, dengan izin, base lending rate bagi bank perdagangan dan syarikat kewangan telah mencecah paras terendah pernah dicatatkan, masing-masing sebanyak 6.4 peratus dan 7.45 peratus.

II. CABARAN EKONOMI

Tuan Yang Dipertua,

Kita telah membuktikan kemampuan kita menguruskan ekonomi dalam segala keadaan, senang mahupun sukar, boom or bust. Kemampuan dan kejayaan ini sepatutnya meyakin dan merangsangkan kita supaya menggembleng usaha dan ikhtiar, bertindak dengan pantas dan bijak, dalam berdepan dengan ancaman ketidakstabilan persekitaran luar. Untuk terus melangkah ke hadapan, kita perlu melipat gandakan usaha bagi menangani segala cabaran yang boleh mengugat matlamat kita untuk menjadi negara maju.

Pergantungan Berlebihan Kepada Eksport Barangan Elektronik 

Malaysia merupakan negara ke-17 terbesar di dunia dari segi perdagangan dengan negara asing. Eksport utama negara adalah dalam sektor elektronik yang menyumbang hampir separuh daripada jumlah pendapatan eksport perkilangan dan 41 peratus daripada pendapatan eksport negara. Namun, lebih 70 peratus daripada import negara merupakan barangan perantaraan. Pergantungan ini menyebabkan negara tidak dapat menikmati sepenuhnya faedah daripada nilai ditambah bagi barangan eksport. Eksport kasar negara dijangka merosot sebanyak 10.6 peratus berikutan permintaan global barangan elektronik yang jatuh mendadak tahun ini. Justeru, kita perlu mempelbagaikan asas eksport negara, di samping menerokai pasaran baru. Kita tidak boleh bergantung terlalu sangat kepada satu jenis barangan sahaja. Dan sudah tentu kita tidak boleh bergantung kepada barangan yang mengguna terlalu banyak bahan import. Namun, kita tidak harus kurangkan jumlah barangan elektronik tetapi peratusan sumbangan kepada jumlah eksport perlu dikurangkan dengan menambah eksport lain-lain barangan. 

Peranan Sektor Perkhidmatan Belum Menyerlah 

Sektor perkhidmatan yang merupakan antara penyumbang utama kepada KDNK, iaitu sebanyak 55 peratus pada tahun 2001, mempunyai banyak ruang untuk dimajukan. Negara mempunyai pelabuhan dan lapangan terbang termoden, yang berpotensi menjadi hub pergerakan kargo dan menarik syarikat penghantaran ekspres bersepadu dengan izin, integrated express operators tempatan dan antarabangsa. Pelabuhan Johor mesti merebut peluang daripada lokasi strategiknya yang berdekatan dengan Singapura, untuk menyediakan perkhidmatan pelabuhan bertaraf dunia. Sementara lapangan terbang Senai, perlu dijadikan hub kargo udara di rantau ini. Melihatkan kepada potensi pelabuhan Johor dan lapangan terbang Senai, sistem pengangkutan bersepadu, dengan izin, integrated transportation system, mesti dibangunkan segera bagi menghubungkan semua rangkaian pengangkutan udara, darat dan laut di selatan Semenanjung supaya efisien dan berkesan.

Sektor pelancongan telah mencatat prestasi yang cemerlang. Pada masa ini, kedatangan pelancong asing telah mencatatkan bilangan tertinggi melebihi 1 juta orang sebulan. Namun, serangan 11 September menimbulkan kekhuatiran terhadap keselamatan penerbangan di negara-negara Barat terutamanya, dan ini akan menjejaskan kedatangan pelancong, dari negara-negara berkenaan. Oleh itu, usaha perlu digandakan untuk menarik pelancong dari Asia, terutama dari negara-negara Teluk Parsi dan Asia Barat serta negara-negara India, China dan ASEAN, di samping menggalakkan lagi aktiviti pelancongan dalam negeri. Industri pengangkutan, perhotelan dan pelancongan perlu berganding bahu dan mengambil bahagian dalam usaha mempromosi pelancongan bersama dengan kerajaan.

Prestasi Sektor Pertanian Kurang Memberangsangkan 

Negara ini bertuah kerana dianugerahkan bumi yang subur yang boleh menghasilkan pelbagai tanaman pertanian dan ternakan. Sungguhpun demikian, pertumbuhan sektor pertanian hanya tertumpu kepada beberapa komoditi sahaja seperti getah dan kelapa sawit. Barangan mentah ini sebagai komoditi, mudah terdedah kepada turun naik harga tentunya menjejaskan punca pendapatan, terutamanya pekebun-pekebun kecil. Kita juga terlalu bergantung kepada import makanan, hinggakan pada tahun lepas melebihi 11 bilion ringgit. Adalah penting, negara mempelbagaikan sektor pertanian untuk menghasilkan barangan yang mempunyai nilai ditambah yang lebih tinggi. Tumpuan tidak diberi kepada ternakan ikan air tawar dan masin, lembu dan kambing serta ternakan lain seperti burung unta, rusa dan itik. Pertanian campuran atau dengan izin, mixed farming belum diperkenalkan. Semua usaha pertanian ini tidak dibuat secara besar-besaran walaupun kekuatan kita ialah dalam mengurus projek pertanian yang besar. Petani kecil masih tidak gabungkan diri melalui koperasi atau syarikat untuk maksud ini.

Sektor Swasta Kurang Dinamik 

Sektor swasta terjejas teruk oleh kelembapan ekonomi dunia. Sumbangan pelaburan sektor swasta kepada KDNK kini hanya 12.8 peratus berbanding dengan hampir 32 peratus sebelum krisis kewangan. Sejak 1997, perkembangan ekonomi didorong, terutamanya oleh pelaburan sektor awam. Namun, bagi jangka masa panjang, pertumbuhan ekonomi negara tidak boleh terus bergantung kepada pelaburan sektor awam melalui rangsangan fiskal sahaja. Ekonomi kita juga tidak boleh bergantung kepada kemasukan pelaburan langsung asing semata-mata, memandangkan ia amat volatile dengan izin, di samping terpaksa bersaing dengan negara-negara lain seperti China dan Amerika Latin. Sektor swasta tidak mengenal pasti kemampuan dan kelebihan daya saing kita dalam bidang-bidang tertentu untuk mempertingkat pengeluaran dalam bidang-bidang ini.

Tahap Daya Saing Masih Rendah 

Dalam era globalisasi dan liberalisasi, negara kita berdepan dengan saingan hebat daripada pengeluar yang lebih kompetitif di pasaran antarabangsa, terutamanya berikutan kemunculan negara membangun seperti China. Mengikut beberapa laporan, kedudukan daya saing negara bagi tempoh jangka sederhana telah menunjukkan arah aliran yang menurun. Dengan perkataan lain, produktiviti kita tidak meningkat berbanding dengan kos pengeluaran kita. Jika arah aliran ini tidak dibendung, negara akan kehilangan bahagiannya dalam pasaran antarabangsa. Dengan ini, pekerja akan kehilangan kerja, upah tidak akan meningkat dan peluang kerja yang baru tidak akan bertambah.

III. STRATEGI BELANJAWAN 2002

Dengan mengambil kira prospek ekonomi dunia dan cabaran-cabaran yang telah saya sebutkan serta isu dalaman yang perlu ditangani, Belanjawan 2002 akan memberi tumpuan kepada strategi berikut:

i. Memperkukuhkan semula pertumbuhan ekonomi negara melalui peningkatan perbelanjaan dalam negeri, mempergiatkan lagi peranan sektor swasta serta meningkatkan daya saing;

ii. Mempelbagaikan sumber pertumbuhan melalui aktiviti dagangan dan perusahaan dalam negeri tanpa mengurangkan peranan pelaburan dari luar dan memastikan eksport negara terus berkembang; dan 

iii. Menentukan agihan kekayaan supaya lebih saksama antara bandar dan luar bandar, antara yang berpendapatan rendah dan yang berpendapatan tinggi dan antara negeri-negeri yang kurang maju dengan yang lebih maju.

STRATEGI PERTAMA: Memperkukuhkan Semula Pertumbuhan Ekonomi Negara.

Meningkatkan Perbelanjaan Dalam Negeri.

Cara yang terkenal untuk memulihkan semula ekonomi ialah dengan menambah perbelanjaan kerajaan. Bagi tahun 2001, kita telah mengguna pendekatan ini dengan menambah perbelanjaan kerajaan sebanyak 3 bilion ringgit pada bulan Mac. Apabila ekonomi Amerika Syarikat dan dunia menjadi lebih buruk akibat serangan pada 11 September, perbelanjaan tambahan telah dibuat sebanyak 4.3 bilion ringgit.

Wang tidak akan menjana kekayaan jika ia tidak bergerak iaitu bertukar tangan. Tiap kali wang bertukar tangan, pihak yang membekal barangan atau perkhidmatan akan mendapat keuntungan, sementara pihak yang menerima pembekalan akan mendapat nilai sebenar daripada wangnya. Lebih kerap wang bertukar tangan, lebih besarlah wang sumbangan wang itu kepada ekonomi negara dan kekayaannya. 

Sebab itu, perbelanjaan wang menjadi begitu penting dalam menggerakkan ekonomi dan merangsang pertumbuhan. Tambahan perbelanjaan oleh kerajaan yang dibuat pada bulan Mac dan selepas 11 September akan merealisasikan nilai barangan yang dibeli dan dijual dengan mengguna tambahan peruntukan berkenaan. Melalui peruntukan ini, pelaksanaan projek-projek tambahan dapat diadakan, penjualan bahan binaan meningkat, kontraktor, sub-kontraktor dan pekerja akan menerima bayaran, yang turut akan dibelanja untuk barangan runcit akhirnya. Jelas sekali, semua pihak akan dapat nikmat daripada tambahan perbelanjaan ini, iaitu sebagai tambahan kepada pendapatan biasa. Kerajaan juga akan beruntung kerana semua kegiatan perniagaan tambahan ini akan menambah jumlah cukai yang akan dipungut oleh kerajaan akhirnya.

Strategi yang sama akan digunakan oleh kerajaan dalam Belanjawan 2002 iaitu suntikan wang ke dalam ekonomi negara melalui peningkatan Perbelanjaan Mengurus dan Perbelanjaan Pembangunan. Rangsangan Fiskal ini akan dibuat seperti berikut: 

Meneruskan Rangsangan Fiskal

Saya mencadangkan sejumlah 100.52 bilion ringgit diperuntukkan bagi Belanjawan tahun 2002. Jumlah ini bertambah 10.4 peratus berbanding peruntukan asal tahun 2001. Daripada jumlah ini, sebanyak 66.98 bilion ringgit adalah untuk Perbelanjaan Mengurus dan 33.54 bilion ringgit untuk Perbelanjaan Pembangunan. Dengan mengambil kira anggaran hasil sebanyak 73.4 bilion ringgit, akaun keseluruhan Kerajaan Persekutuan dijangka mencatatkan defisit sebanyak 5 peratus daripada KDNK, yang berjumlah 18.6 bilion ringgit pada tahun 2002. Ini adalah lebih rendah daripada 22.4 bilion ringgit atau 6.5 peratus pada tahun 2001.

Sebanyak 33.33 bilion ringgit daripada Perbelanjaan Mengurus diperuntukkan di bawah Pemberian dan Kenaan Bayaran Tetap. Antaranya, adalah untuk bayaran khidmat hutang negara, bayaran pencen dan ganjaran serta sumbangan kepada kumpulan-kumpulan wang terkanun. Sebanyak 17.58 bilion ringgit adalah untuk Emolumen, 12.07 bilion ringgit untuk Perkhidmatan dan Bekalan, 1.53 bilion ringgit untuk pembelian kelengkapan dan kemudahan pejabat dan 2.47 bilion ringgit bagi perbelanjaan lain, termasuk bayaran balik cukai.

Daripada jumlah Perbelanjaan Pembangunan yang dicadangkan, sebanyak 13.11 bilion ringgit atau 39.1 peratus adalah untuk sektor ekonomi, termasuk projek-projek pembangunan luar bandar, pertanian infrastruktur, perindustrian, bekalan elektrik dan air luar bandar. Sebanyak 12.21 bilion ringgit atau 36.4 peratus disediakan bagi sektor sosial untuk projek-projek pendidikan dan latihan, kesihatan, kebajikan, pembangunan masyarakat, belia dan sukan. Seterusnya, 3.31 bilion ringgit atau 9.9 peratus diperuntukkan bagi projek-projek pembangunan di sektor keselamatan dan 2.91 bilion ringgit atau 8.7 peratus diperuntukkan kepada sektor pentadbiran am. Bakinya sebanyak 2 bilion ringgit atau 5.9 peratus adalah untuk Simpanan Luar Jangka. 

Menggalakkan Penggunaan

Pendapatan negara telah terjejas berikutan kelembapan ekonomi dunia dan kesan negatif kekayaan, dengan izin, wealth effect, dari kejatuhan harga saham. Akibatnya, kuasa beli rakyat terjejas. Untuk menjamin pendapatan boleh guna rakyat dipertingkatkan, saya mencadangkan kadar cukai pendapatan individu diturunkan dari 1 hingga 2 mata peratusan bagi semua kumpulan pendapatan. Kadar cukai pendapatan individu yang tertinggi iaitu 29 peratus, kini akan menjadi 28 peratus dan dengan itu menyemai kadar cukai pendapatan korporat. Di samping itu, untuk mendorong daya usaha kerja, pendapatan cukai yang tertakluk kepada kadar tinggi dinaikkan daripada melebihi 150 ribu ringgit kepada melebihi 250 ribu ringgit. Selaras dengan pengurangan ini, kadar cukai pendapatan koperasi dikurangkan 1 mata peratusan bagi semua kumpulan pendapatan dan kadar cukai pendapatan individu bagi bukan pemastautin diturunkan daripada 29 peratus kepada 28 peratus. Ini akan mengakibatkan kehilangan hasil kerajaan sebanyak 873 juta ringgit. Tetapi jumlah wang sebanyak 873 juta ringgit ini, akan berada di tangan pengguna untuk dibelanja dan melariskan berbagai jenis kegiatan ekonomi yang boleh menyumbang kepada pertumbuhan KDNK.

Mempergiatkan Lagi Peranan Sektor Swasta

Peranan sektor swasta perlu didorong semula untuk menjadi jentera penggerak utama pertumbuhan ekonomi. Dalam hal ini, kerajaan terus menawarkan pakej galakan istimewa yang telah diumumkan pada Belanjawan 2000 untuk menarik pelaburan yang berkualiti tinggi. Setakat ini, kerajaan telah meluluskan 20 projek dengan pelaburan sebanyak 33 bilion ringgit di bawah pakej galakan istimewa, terutamanya bagi projek-projek industri petrokimia dan elektronik. Di samping menarik pelabur baru, pelabur sedia ada juga digalakkan untuk terus membuat pelaburan semula melalui pembesaran, modenisasi, automasi dan pelbagaian projek. Justeru itu, saya mencadangkan tempoh Elaun Pelaburan Semula dilanjutkan daripada 5 tahun kepada 15 tahun.

Usaha untuk menggalakkan pelaburan semakin mencabar. Dalam hal ini, kerajaan telah menerima banyak cadangan supaya cukai korporat dikurangkan. Walau bagaimanapun, kerajaan tidak berhasrat untuk mengurangkannya memandangkan kadar cukai korporat di negara kini masih kompetitif berbanding dengan kebanyakan negara ASEAN, Asia dan juga beberapa negara maju lain. Malaysia tidak mengenakan cukai ke atas dividen seperti yang dikenakan di beberapa negara lain, termasuklah Thailand, Taiwan dan Jepun. Di samping itu, kita juga telah memberi pelbagai galakan cukai kepada pelabur asing dan tempatan. Justeru itu, jika faktor-faktor ini diambil kira, dengan izin, effective tax rate negara, adalah lebih rendah.

Bagi membolehkan syarikat kecil dan sederhana bersaing di pasaran global, mereka perlu menyertai dalam Global Supply Chain Management Network bagi perolehan, pengeluaran dan pengurusan logistik secara online dan real-time, dengan izin. Untuk menggunakan rangkaian ini, syarikat kecil dan sederhana perlu mengguna pakai kod pesanan guna sama berasaskan internet seperti RosettaNet, untuk berhubung terus dengan pembekal global. Bagi membangunkan RosettaNet, geran sebanyak 5 juta ringgit disediakan. Di samping itu, saya mencadangkan kos perbelanjaan syarikat multinasional dalam menerajui program ini bagi faedah syarikat kecil dan sederhana diberi potongan bagi tujuan cukai pendapatan.

Bagi meningkatkan penglibatan golongan bumiputera dalam bidang industri dan perniagaan, khususnya dalam sektor peruncitan, kerajaan telah melancarkan skim Projek Usahawan Bumiputera Dalam Bidang Peruncitan atau Prosper. Skim ini bertujuan untuk membantu pengusaha kecil bumiputera yang dikenal pasti menghadapi masalah kekurangan modal, kesulitan mendapat premis atau lokasi yang sesuai serta kelemahan pengurusan. Sehingga 8 Oktober 2001, Prosper telah berjaya melatih seramai 2,997 Bumiputera dalam bidang peruncitan. Sebanyak 82 cadangan perniagaan telah diluluskan, di mana 12 daripadanya adalah bagi bekas tentera. Bagi tahun 2001, seramai 250 lagi usahawan Bumiputera dijangka dapat diwujudkan. Prosper bukanlah skim cepat kaya tetapi adalah satu skim yang serius untuk perniagaan jangka panjang yang boleh berkembang jika diurus dengan baik.

Mempertingkatkan Daya Saing

Bagi menghadapi cabaran dunia tanpa sempadan dan komitmen kita kepada pelaksanaan AFTA, negara perlu mempertingkatkan daya saing dan produktiviti untuk membolehkan kita menjadi, dengan izin, global player, di arena pasaran antarabangsa. Sebagai salah satu langkah untuk mengurangkan kos menjalankan perniagaan dan meningkatkan daya saing, saya mencadangkan Elaun Bangunan Industri yang diberi kepada bangunan yang diluluskan, termasuk hotel dikaji semula seperti berikut:

i. Elaun tahunan dinaikkan daripada 2 peratus kepada 3 peratus. Dengan ini, syarikat akan dapat menuntut susut nilai dalam tempoh yang lebih pendek iaitu daripada 45 tahun kepada 30 tahun;

ii. Elaun permulaan 10 peratus yang kini hanya diberi kepada bangunan yang dibina diperluaskan kepada bangunan yang dibeli; dan 

iii. Elaun Bangunan Industri diberi kepada semua hotel.

Sebagai langkah seterusnya untuk mengurangkan kos dan meningkatkan daya saing, saya mencadangkan duti import ke atas 55 jenis barangan yang telah lama dilindungi dikurangkan daripada di antara 20 peratus dan 105 peratus kepada di antara 10 peratus dan 50 peratus. Antara barangan yang terlibat adalah minuman ringan, fabrik tenun, renda dan selimut. Saya juga mencadangkan duti import ke atas 171 barang, termasuk barang perantaraan seperti multimedia projektor, dengan izin, telephone answering machine, komponen perabut dan kertas fotografi dikurangkan daripada di antara 5 peratus dan 35 peratus kepada di antara 0 peratus dan 25 peratus. Di samping itu, bagi mengurangkan kos perniagaan kepada syarikat perkapalan di Malaysia, saya mencadangkan pendapatan sewa kontena yang mencapai piawaian antarabangsa yang diterima oleh bukan pemastautin daripada syarikat perkapalan di Malaysia dikecualikan daripada cukai pendapatan.

Saya juga mencadangkan potongan tahunan ke atas perbelanjaan bagi memperolehi hak empunya, dengan izin, proprietory rights seperti paten, reka bentuk industri dan cap dagangan dinaikkan daripada 10 peratus kepada 20 peratus untuk tempoh 5 tahun. Adalah diharap dengan langkah ini, penguasaan teknologi terkini akan dapat dipercepatkan. 

Keperluan meningkatkan daya saing memerlukan majikan di semua sektor ekonomi melatih dan meningkatkan kemahiran pekerja mereka. Sehubungan ini, kerajaan telah menubuhkan Tabung Pembangunan Sumber Manusia serta menyediakan galakan cukai bagi tujuan latihan dalam bidang teknikal dan vokasional. Di samping itu, skim latihan amali juga perlu digalakkan sebagai salah satu saluran untuk meningkatkan penawaran tenaga manusia mahir dan terlatih. Justeru itu, saya mencadangkan supaya perbelanjaan yang ditanggung oleh mana-mana pihak dalam menyediakan latihan amali kepada bukan kakitangannya diberi potongan bagi tujuan cukai pendapatan. 

Bayaran bonus merupakan insentif untuk mendorong pekerja meningkatkan produktiviti mereka. Pada masa ini, bayaran bonus yang dibenarkan sebagai potongan cukai kepada syarikat dihadkan kepada dua bulan gaji. Saya mencadangkan supaya sekatan ke atas bonus dimansuhkan. Adalah diharap langkah ini akan memberi peluang kepada majikan menyediakan ganjaran yang setimpal dengan produktiviti pekerja. 

Kerajaan berharap persatuan perdagangan terus memainkan peranan penting dengan bertindak secara proaktif untuk memajukan lagi perniagaan ahli-ahlinya. Bagi membantu persatuan perdagangan memperkukuhkan kedudukan kewangannya, saya mencadangkan pendapatan statutori daripada, dengan izin, subscription fee, dikecualikan daripada cukai pendapatan.

Pembangunan ICT dan Modal Teroka

Agenda ICT negara bertujuan mewujudkan masyarakat berpengetahuan, bermaklumat dan berbudaya ICT. Kerajaan menyediakan peruntukan sebanyak 112.7 juta ringgit untuk melaksanakan Aplikasi Perdana Kerajaan Elektronik, 72.3 juta ringgit untuk Sekolah Bistari, 20 juta ringgit untuk Teleperubatan, 86.3 juta ringgit untuk Kad Pintar dan 9.5 juta ringgit untuk Integrasi Aplikasi. Selain daripada itu, sebanyak 487.67 juta ringgit disediakan untuk meningkatkan program pengkomputeran di kementerian dan jabatan kerajaan dan 205.5 juta ringgit untuk pengkomputeran sekolah-sekolah.

Bagi meningkatkan penggunaan kad pintar pelbagai guna, institusi kewangan perlu menyediakan prasarana yang sesuai, termasuk peralatannya seperti, dengan izin, loading devices dan card reader. Memandangkan kos pelaksanaan projek ini memerlukan belanja yang besar, saya mencadangkan kad pintar dan peralatannya diberi pengecualian cukai jualan.

Sebagai usaha untuk menggalakkan lagi penggunaan ICT dalam perdagangan dan bagi menjadikan Malaysia lokasi perniagaan yang menarik bagi perdagangan antarabangsa, saya mencadangkan supaya cukai ke atas pendapatan yang diperoleh daripada perdagangan luar pesisir, dengan izin, offshore trading, melalui website di Malaysia dikurangkan daripada 28 peratus kepada 10 peratus selama 5 tahun. Saya juga mencadangkan supaya kos bagi membangunkan website untuk perniagaan diberi potongan tahunan sebanyak 20 peratus selama 5 tahun. 

Berikutan pengumuman penubuhan Tabung Modal Teroka sebanyak 500 juta ringgit, sebuah syarikat milik kerajaan, Malaysia Venture Capital Management Berhad atau Mavcap telah ditubuhkan. Sejumlah 100 juta ringgit daripada tabung tersebut akan disalurkan kepada empat buah syarikat modal teroka tempatan, sementara 400 juta ringgit merupakan pelaburan langsung dalam syarikat modal teroka. Sehingga kini, Mavcap menerima 104 cadangan perniagaan dari 10 buah negara, termasuk Amerika Syarikat, Korea, Hong Kong dan China. Permohonan pembiayaan tersebut berjumlah 1 bilion ringgit. Bagi menambahkan lagi dana teroka ini, Kerajaan Jepun pada dasarnya telah bersetuju untuk memberi pinjaman berjumlah 1.9 bilion ringgit kepada Mavcap, terutamanya untuk membiayai dengan izin, debt ventures.

Sebuah lagi syarikat milik kerajaan telah ditubuhkan iaitu Kumpulan Modal Perdana Sdn. Bhd. untuk menguruskan Tabung Modal Teroka Bagi Perolehan Teknologi berjumlah 190 juta ringgit. Daripada jumlah tersebut, 114 juta ringgit akan dilaburkan di dalam American Pacific Venture Capital Fund di Silicon Valley dan Venture Capital Joint Venture Investment di Malaysia, sementara baki 76 juta ringgit untuk membangunkan projek Advanced Microchip Design and Training Centre. 

Pasaran Modal

Prestasi Bursa Saham Kuala lumpur (BSKL) telah mengalami turun naik ketara akibat daripada perkembangan bursa utama dunia. Sebagai satu langkah memastikan kestabilan pasaran saham, seperti mana yang digariskan dalam Pelan Induk Pasaran Modal, kerajaan bersetuju untuk melaksanakan mekanisma pemutus litar, dengan izin, circuit breaker, di pasaran saham, seperti yang diamalkan oleh negara maju. Mekanisma ini akan berupaya menyekat sementara aktiviti perdagangan yang mengalami kejatuhan mendadak pada hari urus niaga. Sekatan ini adalah berdasarkan kepada had penggerak pratentu, dengan izin, pre-determined trigger. Mekanisma ini akan memberi, dengan izin, breathing space atau masa bernafas kepada para pelabur sebelum menyertai semula pasaran perdagangan dalam pasaran saham. Ia juga bertujuan mengekalkan tahap keyakinan pelabur dan pasaran, terutama dalam persekitaran yang tidak menentu.

Bagi memudahkan penyusunan semula syarikat, Suruhanjaya Sekuriti telah melonggarkan syarat bagi penyusunan semula syarikat tersenarai yang bermasalah dengan izin, distressed listed companies. Langkah ini, termasuklah memperluaskan jenis aset dengan membenarkan pelaburan hartanah yang berkualiti tinggi dan berpendapatan stabil disuntik ke dalam syarikat-syarikat tersebut. Sebagai tambahan, penubuhan Real Estate Investment Trust, dengan izin, akan membantu usaha penyusunan semula syarikat tersebut. Bagi memperbaiki kedudukan kewangan syarikat bermasalah tersebut, syarat pembelian saham dengan izin, share buy-back, dilonggarkan lagi. Manakala bagi syarikat tersenarai yang mempunyai kedudukan kewangan yang tidak memuaskan atau modal terbitan di bawah tahap minimum, lanjutan tempoh sehingga Disember 2002 diberikan bagi mematuhi peraturan dan syarat penyenaraian di BSKL.

STRATEGI KEDUA: Mempelbagaikan Sumber Pertumbuhan

Usaha perlu dibuat untuk mempelbagaikan sumber pertumbuhan, terutamanya yang berasaskan sumber dalam negeri. Di samping itu, memandangkan teknologi, kemahiran dan inovasi adalah pemacu utama pertumbuhan ekonomi masa hadapan, kita perlu menyediakan landasan bagi mempercepatkan pembangunan berasaskan K-ekonomi.

Sektor Perkilangan.

Bagi sektor perkilangan, industri berasaskan sumber tempatan, terutamanya keluaran perabot, produk oleokimia berasaskan minyak kelapa sawit dan getah, serta industri peralatan elektrik rumah mempunyai potensi permintaan yang tinggi, terutamanya dari Asia Barat dan Afrika. Manakala industri fabrikasi besi dan aluminium dan pengeluaran mesin perlu digiatkan lagi, terutamanya bagi menampung keperluan industri tempatan dan juga eksport, seperti kren, kilang penapis minyak, boilers dan lain-lain fractionation towers untuk kilang kimia dan petrokimia.

Barang perantaraan dan barang modal merupakan komponen import negara yang terbesar. Pergantungan import bagi barangan ini wajar dikurangkan. Sebagai usaha untuk mempercepatkan program penggantian import, saya mencadangkan supaya pengecualian cukai pendapatan kepada syarikat yang terlibat dalam aktiviti pengeluaran, dengan izin, machine tools, plastic injection machines, material handling equipment dan robotic, factory automation equipment serta komponen dan parts mesin berkenaan dinaikkan bagi Taraf Perintis daripada 70 peratus kepada 100 peratus. Bagi syarikat yang mengeluarkan mesin dan peralatan lain seperti fabrikasi kren, kriteria nilai ditambah bagi tujuan pemberian galakan Taraf Perintis 70 peratus atau Elaun Cukai Pelaburan 60 peratus dilonggarkan daripada 30 peratus kepada 20 peratus.

Pada masa ini, kos pengiklanan dalam negeri bagi mempromosikan jenama Malaysia yang telah didaftarkan dalam negara diberi potongan dua kali bagi tujuan cukai pendapatan. Sebagai usaha yang berterusan untuk memperkenal dan memperkembangkan jenama tempatan di pasaran antarabangsa, saya mencadangkan supaya galakan potongan cukai dua kali diperluaskan kepada kos pengiklanan jenama Malaysia yang telah didaftarkan di luar negara dan perbelanjaan ke atas yuran profesional kepada syarikat yang mempromosikan jenama Malaysia.

Sektor Pertanian

Pertumbuhan sektor pertanian bergantung kepada pengeluaran barangan komoditi sahaja. Terdapat banyak bidang baru yang boleh dimajukan, terutamanya makanan dan keluaran berasaskan sumber seperti getah dan kayu-kayan. Sektor kecil makanan, termasuk daging burung unta dan rusa, sayuran dan buah-buahan, akuakultur ikan air tawar dan air masin, udang dan tiram serta ikan hiasan dan tanaman bungaan boleh diusahakan. Begitu juga keluaran herba tradisional yang mempunyai potensi permintaan yang tinggi. Usaha untuk memperluaskan kegunaan keluaran berasaskan getah, termasuk dengan izin, vulcanised latex serta keluaran perkayuan hendaklah juga dipertingkatkan. Pengeluaran bahan makanan juga akan memberi rangsangan kepada industri pemerosesan makanan. Kita mempunyai kepakaran untuk membangunkan industri makanan halal yang mempunyai potensi untuk diperluaskan di pasaran antarabangsa.

Pelbagai insentif cukai telah disediakan bagi mendorong kemajuan pengeluaran pertanian negara. Dalam Belanjawan 2001 yang lalu, potongan cukai pendapatan bersamaan dengan jumlah pelaburan atau, dengan izin, group relief, diberi kepada syarikat yang melabur dalam syarikat subsidiari yang terlibat dalam pengeluaran bahan makanan. Di samping itu, syarikat yang menjalankan aktiviti pengeluaran bahan makanan juga diberi pengecualian cukai pendapatan 100 peratus ke atas pendapatan statutori selama 10 tahun. Insentif ini adalah bagi syarikat yang baru beroperasi sahaja. Bagi memperkukuhkan lagi sektor pertanian agar terus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara, saya mencadangkan pelaburan semula oleh syarikat yang sedang beroperasi turut diberi pengecualian cukai pendapatan 100 peratus ke atas pendapatan statutori tetapi bagi tempoh 5 tahun sahaja.

Kerajaan juga menyediakan galakan cukai dalam bentuk elaun 100 peratus ke atas perbelanjaan modal bagi menggalak pengeluaran bahan makanan secara besar-besaran dengan matlamat eksport dan bagi tujuan penggantian import. Galakan ini diberi kepada aktiviti ternakan udang, florikultur dan penanaman buah-buahan yang diluluskan. Dengan ini, saya mencadangkan galakan ini diperluaskan kepada projek pertanian lain seperti tanaman sayur-sayuran, herba, ternakan ikan, termasuk ikan hiasan, kerang dan tiram.

Industri ayam itik akan terus merupakan komponen utama di bawah sektor kecil ternakan. Walaupun penternakan ayam di Malaysia keseluruhannya telah mencapai tahap sara diri, namun aktiviti penternakan ayam di negeri-negeri pantai timur, Sabah dan Sarawak masih boleh dipertingkatkan. Bagi memastikan permintaan daging ayam dan itik dapat dipenuhi dan bekalannya adalah daripada sumber tempatan, saya mencadangkan aktiviti penternakan ayam-itik di Koridor Timur Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak diberi Taraf Perintis dengan pengecualian cukai pendapatan sebanyak 85 peratus atau Elaun Cukai Pelaburan sebanyak 80 peratus bagi tempoh 5 tahun.

Negara kita kaya dengan hasil pertanian seperti getah, kelapa sawit, dan kayu-kayan. Pengeluaran daripada sumber ini seperti, dengan izin, vulcanised rubber, dan perabot berpotensi memberi sumbangan terhadap pertumbuhan ekonomi negara. Aktiviti hiliran berasaskan getah, kayu kelapa sawit dan hampas daripada tandan dan buah kelapa sawit boleh memberi manfaat besar kepada negara jika ia terus digemblengkan sepenuhnya. Bagi mempergiatkan lagi industri berasaskan getah, kelapa sawit dan kayu-kayan serta menggalakkan pengusaha tempatan meningkatkan pelaburan dalam bidang ini, saya mencadangkan syarikat tempatan yang membuat pelaburan semula bagi mengeluarkan produk berasaskan sumber tersebut diberi pengecualian cukai pendapatan sebanyak 70 peratus atau Elaun Cukai Pelaburan sebanyak 60 peratus selama 5 tahun.

Sektor Perkhidmatan

Dalam sektor perkhidmatan, sektor pelancongan dan pendidikan berpotensi untuk dimajukan lagi bukan sahaja untuk mengerakkan aktiviti ekonomi dalam negeri bahkan dapat meningkatkan sumber pertukaran wang asing.

Bagi sektor pelancongan, sejumlah 613.9 juta ringgit diperuntukkan kepada Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan. Jumlah ini termasuk 200 juta ringgit untuk aktiviti mempromosi industri pelancongan. Untuk menarik lebih ramai pelancong, lebih banyak kemudahan dan produk pelancongan perlu diadakan. Bagi menggalakkan industri pelancongan dengan kapal layar, 20 lokasi telah dikenal pasti berpotensi untuk dibangunkan sebagai pelaburan marina. Dalam tahun 2002, peruntukan sebanyak 5.4 juta ringgit disediakan bagi pembinaan marina di lima lokasi di Pantai Barat dan Timur Semenanjung. Sehubungan ini, bagi menggalakkan perkhidmatan penyewaan kapal layar mewah, saya mencadangkan supaya pendapatan syarikat daripada sewaan kapal layar atau kapal bermotor mewah, dengan izin, luxury yacht, diberi pengecualian cukai selama 5 tahun. Di samping itu, bagi menggalakkan rekreasi bermotosikal mewah, saya mencadangkan duti import ke atas motosikal mewah dikurangkan daripada 120 peratus kepada 60 peratus. Selaras dengan penurunan ini, saya juga mencadangkan duti import bagi motosikal lain dikurangkan daripada 80 peratus dan 100 peratus kepada 60 peratus.

Kerajaan telah pun mengecualikan cukai pendapatan daripada perniagaan pengendalian pelancong asing dan tempatan sehingga tahun taksiran 2001. Sebagai usaha berterusan untuk mencergaskan industri pelancongan, saya mencadangkan had tempoh pengecualian ini dilanjutkan selama 5 tahun lagi. Selanjutnya, untuk mengurangkan kos menyewa kereta kepada pelancong, saya mencadangkan pengusaha kereta sewa diberi pengecualian duti eksais ke atas pembelian kereta nasional.

Selain daripada usaha-usaha kerajaan, sektor swasta perlu meningkat dan mempergiatkan lagi industri pelancongan. Dalam hubungan ini, kerajaan akan menambah dana bagi Tabung Khas Pelancongan daripada 200 juta ringgit kepada 400 juta ringgit.

Kerajaan telah berusaha untuk menjadikan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan pendidikan, dengan menyediakan banyak galakan untuk memperkembangkan Institusi Pengajian Tinggi Swasta. Justeru itu, untuk mengurangkan kos menyediakan kemudahan pendidikan, saya mencadangkan supaya:

i. Semua Institusi Pengajian Tinggi Swasta dan institusi bahasa swasta diberi pengecualian duti import, duti eksais dan cukai jualan ke atas peralatan pembelajaran, termasuk kelengkapan makmal, bengkel, studio dan, dengan izin, language lab; dan

ii. Royalti yang diterima oleh bukan pemastautin dari Institusi Pengajian Tinggi Swasta bagi skim pendidikan francais diberi pengecualian cukai pendapatan.

Bagi menggalakkan industri melabur dalam aktiviti bernilai tambah tinggi dan berkaitan dengan perkilangan seperti perkhidmatan logistik, perkhidmatan sokongan pasaran bersepadu dan juga pusat perkhidmatan utiliti, saya mencadangkan galakan cukai berikut:

i. Pengecualian cukai pendapatan sebanyak 70 peratus ke atas pendapatan statutori selama 5 tahun;

ii. Pengecualian cukai pendapatan sebanyak 85 peratus ke atas pendapatan statutori selama 5 tahun bagi projek-projek di Koridor Timur Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak; dan

iii. Pengecualian duti import dan cukai jualan ke atas peralatan yang digunakan.

Meningkatkan Eksport

Bagi memastikan eksport negara terus berkembang, saya mencadangkan galakan cukai untuk eksport diperkukuhkan lagi iaitu:

i. Syarikat Malaysia yang telah diiktiraf sebagai syarikat perdagangan antarabangsa diberi pengecualian cukai pendapatan bersamaan 10 peratus ke atas peningkatan nilai eksport dan kriteria kelayakan seperti nilai jualan tahunan dilonggarkan;

ii. Pengecualian cukai pendapatan kepada syarikat yang mengeksport perkhidmatan ditingkatkan daripada 10 peratus kepada 50 peratus daripada peningkatan nilai eksport;

iii. Pengecualian cukai pendapatan diberi kepada penganjur pameran perdagangan antarabangsa yang melibatkan sekurang-kurangnya 500 orang pelawat asing setahun;

iv. Potongan dua kali bagi tujuan cukai pendapatan untuk promosi eksport barangan dan perkhidmatan diluaskan kepada beberapa perbelanjaan seperti penyertaan dalam virtual trade show dan bayaran kajian kemungkinan untuk menyertai tender di luar negara; dan

v. Potongan bagi tujuan cukai pendapatan dibenarkan bagi perbelanjaan ke atas pendaftaran paten di luar negara dan bayaran sewa hotel kepada bakal pengimport barangan Malaysia.

STRATEGI KETIGA: Menentukan agihan kekayaan menjadi lebih saksama antara bandar dan luar bandar, antara yang berpendapatan rendah dengan yang berpendapatan tinggi dan antara negeri-negeri yang kurang maju dengan yang lebih maju.

Pada waktu ini, jurang pendapatan antara yang termiskin dengan yang terkaya agak luas. Kita tidak nafi bahawa yang kaya menyumbang kepada pembangunan negara melalui perbelanjaan dan pelaburan mereka. Secara langsung dan tidak langsung mereka mewujudkan peluang-peluang kerja dan perbelanjaan mereka menyumbang kepada kelarisan perniagaan, keuntungan dan pendapatan pekerja dalam aneka jenis perniagaan dan perusahaan.

Tetapi jika daya beli golongan yang berpendapatan rendah dapat ditingkatkan, mereka juga boleh membuat sumbangan yang sama kerana walaupun pendapatan mereka rendah tetapi bilangan mereka amat ramai dan jumlah perbelanjaan mereka juga tentulah tinggi. Jika pendapatan mereka dapat ditambah, maka jumlah perbelanjaan mereka boleh menyumbang secara berkesan kepada KDNK negara. Oleh itu, usaha akan dibuat untuk meningkatkan pendapatan golongan mereka yang berpendapatan rendah.

Untuk ini, kerajaan akan memperuntukkan wang untuk melatih pekerja dalam berbagai kemahiran pertanian moden. Dengan bertambahnya kecekapan mereka, maka upah bagi mereka juga akan turut naik. Kerajaan akan belanjakan wang sebanyak 10 juta ringgit untuk melaksanakan program-program latihan kemahiran di pusat-pusat latihan yang berkenaan.

Pendapatan kontraktor kecil Kelas F akan ditingkatkan melalui lebih banyak projek-projek kecil di kawasan luar bandar. Bagi mereka yang berminat, latihan akan diberi dalam bidang pengurusan projek supaya menjadi lebih cekap dan kelas mereka dapat dinaikkan dengan lebih cepat. Sistem pembayaran dan kemudahan pinjaman bagi yang mempunyai rekod yang baik akan diwujudkan.

Peluang perniagaan runcit di kampung dan di bandar-bandar yang baru dibangun akan dikenal pasti. Pihak yang berminat dan mempunyai sedikit modal, umpamanya daripada ganjaran persaraan atau dari KWSP dan punca lain, akan diberi latihan dan peluang penyertaan dalam perniagaan francais yang telah dikenal pasti berdaya maju. Mereka yang sudah pun terlibat dalam bidang ini akan dibantu supaya dapat berkembang maju. Namun, perlu ditegaskan di sini bahawa minat dan ketekunan amatlah penting. Mereka yang ingin kaya cepat tidak boleh melihat pendekatan ini sebagai cara untuk menjayakan cita-cita besar mereka.

Penubuhan estet tanaman campuran atau dengan izin, mixed farming akan diberi galakan. Pengurusan estet-estet ini perlu dibuat oleh pengurus profesional yang mendapat ijazah dalam bidang ini dari universiti. Pekerja estet ini juga akan terdiri daripada pekerja yang terlatih yang akan dibayar upah yang selaras dengan produktiviti mereka dan kecekapan mereka mengguna teknologi pertanian yang canggih. Pembangunan pertanian moden akan digalakkan di negeri-negeri yang memiliki tanah yang luas dan pendapatan per kapita kurang daripada purata negara.

Pembangunan Luar Bandar

Bagi meningkatkan lagi kemudahan dan keselesaan rakyat luar bandar, Belanjawan 2002 menyediakan peruntukan terbesar pernah diberikan iaitu sebanyak 5.34 bilion ringgit. Ini antaranya melibatkan 1.58 bilion ringgit untuk pertanian, 378 juta ringgit bagi pembangunan tanah dan wilayah serta 392 juta ringgit untuk pembangunan kampung dan masyarakat. Peruntukan ini adalah termasuk bagi melaksanakan projek jalan luar bandar, jalan kampung serta menyediakan bekalan air dan elektrik.

Kerajaan juga akan mempertingkatkan tahap liputan bekalan air bersih kepada 99 peratus di Semenanjung, 75 peratus di Sabah dan Sarawak dan 100 peratus bekalan elektrik menjelang akhir Rancangan Malaysia Kelapan. Untuk mencapai tujuan ini, sebanyak 185 juta ringgit disediakan bagi bekalan air luar bandar, yang akan diberi tumpuan khas di kawasan pedalaman, terutama di Sabah dan Sarawak. Sebanyak 211 juta ringgit lagi disediakan untuk bekalan elektrik luar bandar, termasuk kos pemasangan lampu jalan bagi 16,207 buah kampung di seluruh negara.

Bagi perkhidmatan kesihatan luar bandar, kerajaan akan meneruskan program kesihatan keluarga yang disediakan di klinik bidan, klinik desa dan klinik kesihatan. Melalui program seperti teleprimary care, perkhidmatan yang disediakan oleh kerajaan akan menggalakkan pembangunan keluarga yang sihat yang meliputi kesihatan wanita dalam kumpulan produktif, pembangunan kanak-kanak serta penjagaan kesihatan remaja, warga tua dan golongan istimewa. Di samping itu, sebanyak 383 projek klinik kesihatan disediakan peruntukan berjumlah 202 juta ringgit sementara 13 projek Bekalan Air dan Kebersihan Alam Sekitar atau BAKAS disediakan peruntukan berjumlah 8 juta ringgit. Projek BAKAS merangkumi sistem pembinaan bekalan air, tandas sanitari serta pengurusan sisa pepejal dan air limpah.

Program pendidikan luar bandar juga diberi tumpuan. Bagi projek sekolah rendah dan menengah sebanyak 900 juta ringgit diperuntukkan, sementara 100 juta ringgit lagi disediakan untuk 6 buah projek baru kolej matrikulasi. Sejumlah 205.5 juta ringgit pula diperuntukkan bagi menyediakan kemudahan fizikal dan pembinaan makmal komputer sekolah. Manakala, untuk memastikan keselesaan tempat tinggal guru-guru, sebanyak 7,800 unit akan dibina dengan peruntukan sebanyak 215 juta ringgit. Ini merupakan sebahagian daripada matlamat untuk menyediakan kemudahan sebanyak 40 ribu buah rumah guru.

Tumpuan akan juga diberikan bagi meningkatkan pendidikan di luar bandar di Sabah dan Sarawak. Untuk ini, sebanyak 180 juta ringgit diperuntukkan untuk pembinaan dan menaik taraf rumah guru serta menyediakan kemudahan bekalan air bersih dan elektrik di sekolah-sekolah.

Bagi Program Orang Asli, tumpuan diberikan kepada usaha mengurangkan kadar kemiskinan di kalangan mereka. Ini, termasuk usaha untuk mengatasi masalah keciciran melalui Program Pembangunan Minda dan mempergiatkan Program Pendidikan Pra-sekolah melalui aktiviti Taska dan Tadika. Sebanyak 114.1 juta ringgit disediakan bagi pembangunan Orang Asli, melibatkan 412 buah kampung.

Masyarakat Penyayang

Bagi Program Kebajikan masyarakat, sebanyak 136.5 juta ringgit disediakan di bawah Perbelanjaan Mengurus dan 57.3 juta ringgit di bawah Perbelanjaan Pembangunan. Antara program yang dilaksanakan, termasuk program memberi manfaat kepada penghuni di 52 institusi kebajikan. Untuk meningkatkan lagi keselesaan penghuni dan keceriaan persekitaran, kerja pembaikan dan naik taraf institusi tersebut akan dilaksanakan.

Kerajaan akan terus memberi perhatian kepada golongan rakyat miskin supaya nasib mereka sentiasa terbela. Program Kesejahteraan Rakyat yang dulunya dikenali sebagai Program Pembangunan Rakyat Termiskin akan memberi keutamaan kepada negeri-negeri yang mempunyai ramai rakyat miskin, termasuk Kelantan dan Terengganu. Bagi tujuan ini, sejumlah 204.5 juta ringgit diperuntukkan di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar. Antara program yang dilaksanakan, termasuklah pemulihan sikap keluarga miskin, membantu keupayaan mereka menambah pendapatan, program makanan tambahan keluarga termiskin, pembasmian kemiskinan di bandar, peningkatan pertanian dan ekonomi kampung, program pemulihan rumah dan pembangunan masyarakat setempat.

Felda juga memberikan bantuan dalam bentuk sokongan harga kepada peneroka kelapa sawit dan getah semasa menghadapi kejatuhan harga komoditi. Bagi peneroka kelapa sawit, mereka diberi bantuan sebanyak 12 ringgit bagi setiap 1 tan metrik jika harga kelapa sawit jatuh di bawah paras 900 ringgit setiap 1 tan metrik. Manakala untuk peneroka getah, bantuan diberi sebanyak 15 sen bagi setiap 1 kilogram sekiranya harga getah turun di bawah paras 2 ringgit 50 sen setiap 1 kilogram.

Sementara itu, RISDA telah memperuntukkan sebanyak 3 juta ringgit setiap tahun bagi program meningkatkan pendapatan keluarga termiskin, menyediakan tempat tinggal yang lebih selesa dan mengubah sikap, gaya berfikir dan corak bekerja yang boleh membantu menambah pendapatan mereka. Di samping itu, kadar bantuan maksimum sebanyak 250 ringgit sebulan telah diberikan bagi setiap keluarga bergantung kepada bilangan tanggungan penerima. Bagi tempoh Julai 1999 hingga Disember 2000, seramai 667 keluarga telah mendapat bantuan ini, berjumlah 2.5 juta ringgit.

Kerajaan akan memberi bantuan kepada pelajar-pelajar cacat pendengaran yang memasuki institusi pengajian tinggi tempatan dalam bentuk pelajaran percuma, kemudahan penginapan dan makanan percuma serta diberikan wang saku sebanyak 300 ringgit sebulan mulai 1 Januari 2002. Bagi tujuan ini, peruntukan sebanyak 403 ribu ringgit akan disediakan pada tahun 2002 untuk 112 orang pelajar istimewa. Pemberian ini akan meringankan beban kewangan keluarga mereka dan mereka sendiri.

Kerajaan sedar kesan daripada penurunan kadar faedah oleh institusi perbankan dan kewangan, pendapatan bagi golongan yang bergantung kepada hasil simpanan, terutamanya golongan pesara, terjejas. Oleh itu bagi menyediakan sumber pendapatan alternatif, Bank Negara Malaysia akan menerbitkan Bon Simpanan Malaysia Siri Ketiga yang dikhaskan kepada warga negara yang berumur lebih 55 tahun dan organisasi kebajikan yang berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan. Sejumlah 1 bilion ringgit akan ditawarkan dengan kadar pulangan sebanyak 5 peratus. Separuh daripada jumlah ini akan diterbitkan berlandaskan prinsip Islam.

Perumahan merupakan keperluan asas dan usaha-usaha telah dipergiatkan lagi untuk menambahkan kemudahan perumahan, khususnya rumah kos rendah. Sejumlah 943 juta ringgit diperuntukkan bagi menampung pelbagai projek perumahan kos rendah. Peruntukan ini, termasuk 143 juta ringgit untuk meneruskan 124 projek Perumahan Awam Kos Rendah yang diberi secara pinjaman kepada Kerajaan-kerajaan Negeri, 793 juta ringgit untuk meneruskan pelaksanaan Program Perumahan Rakyat Bersepadu di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan di bandar lain untuk disewakan kepada golongan rakyat berpendapatan rendah. Atas keprihatinan kerajaan, pembinaan perumahan awam kos rendah turut menyediakan kemudahan khusus bagi golongan istimewa.

Kerajaan juga mengambil berat tentang masalah perumahan yang dihadapi oleh kakitangan sektor awam, terutamanya anggota angkatan Tentera dan Polis. Peruntukan sebanyak 1.08 bilion ringgit disediakan di mana 710 juta ringgit untuk perumahan pasukan angkatan tentera, 197 juta ringgit bagi perumahan pasukan polis dan bakinya, 173 juta ringgit untuk menyediakan perumahan bagi kakitangan awam.

Selaras dengan hasrat rakyat sihat negara maju, kerajaan akan terus meningkatkan kemudahan perkhidmatan kesihatan. Sebanyak 6.3 bilion ringgit diperuntukkan kepada Kementerian Kesihatan untuk meneruskan antara lain, pelaksanaan projek hospital, klinik kesihatan dan klinik desa. Antara aktiviti kesihatan dan perubatan yang akan diberi tumpuan ialah meningkatkan kesihatan wanita dan kanak-kanak, kawalan penyakit, pemakanan sihat serta bekalan peralatan dan kemudahan yang moden.

Wanita

Bagi mengiktiraf peranan wanita dalam pembangunan ekonomi, kerajaan telah menubuhkan Kementerian Pembangunan Wanita dan Keluarga. Dengan penubuhan kementerian ini, isu dan masalah yang spesifik berkaitan wanita, termasuk kanak-kanak dan kekeluargaan dapat diberi tumpuan dan perhatian dengan lebih khusus. Dalam hubungan ini, Artikel 8(2) Perlembagaan Persekutuan telah dipinda bagi memasukkan perkataan gender supaya tiada lagi sebarang undang-undang atau dasar yang mendiskriminasikan wanita. Kementerian juga melancarkan kempen Wanita Anti Keganasan pada 23 Julai 2001, dengan matlamat menghentikan sebarang keganasan ke atas wanita.

Kerajaan juga sedar bahawa kadar penyertaan tenaga buruh wanita dengan izin, female labour force participation rate adalah di paras 44.5 peratus, lebih rendah daripada 60 peratus di negara-negara maju. Sesungguhnya, wanita di negara ini bertuah kerana kerajaan sentiasa memberi galakan dan peluang yang saksama untuk menceburi sebarang bidang pekerjaan, tidak seperti di negeri-negeri tertentu yang tidak menggalakkan kaum wanitanya bekerja, walaupun Saidatina Khadijah, isteri Baginda Rasulullah merupakan usahawan terunggul dan terkaya di zamannya. Seorang lagi isteri Nabi, iaitu Saidatina `Aisyah telah mengetuai pasukan perang dalam peperangan Jamal dan ramai wanita yang bertugas memberi rawatan kepada tentera Islam yang cedera dalam peperangan. Kita harus ingat, penduduk Malaysia yang beragama Islam hanyalah 60 peratus. Separuh daripada mereka adalah wanita. Jika tenaga wanita tidak dibenar menyumbang kepada pembangunan orang Islam, tenaga orang Islam akan berkurangan kepada 30 peratus. Mereka sudah pun lemah. Mereka akan jadi lebih lemah lagi.

Program khusus bagi meningkatkan kualiti hidup wanita, terutamanya diluar bandar, membangunkan usahawanita serta menghapuskan perbezaan gender dalam semua lapangan akan diberikan lebih perhatian. Pelaksanaan langkah-langkah ini menunjukkan komitmen Kerajaan supaya wanita diberi peluang yang sama rata dalam semua bidang. Sejumlah 59 juta ringgit diperuntukkan bagi membiayai program khusus untuk wanita.

Belia dan Sukan

Golongan belia merupakan sumber dan aset terbesar kepada negara serta mereka berpotensi untuk menyumbang kepada pembangunan negara. Sehubungan dengan ini, Program Rakan Muda akan diteruskan dengan pengisian baru dan akan dijadikan agenda nasional di dalam membantu menangani masalah remaja. Seramai 3.5 juta belia di dalam lebih 35,250 aktiviti di peringkat nasional, negeri dan daerah akan terlibat dengan program ini. Di samping itu, Program Khidmat Sosial Negara juga yang bertujuan membina jati diri dan membentuk perilaku yang baik untuk golongan remaja akan diperluaskan penyertaannya kepada 20 ribu remaja. Peserta untuk program ini adalah pelajar yang sedang menunggu keputusan peperiksaan SPM. Selain daripada itu, promosi dan publisiti Program Rakan Muda perlu diaturkan secara berterusan untuk menarik minat golongan remaja menyertai aktiviti-aktiviti Rakan Muda yang sesuai dengan citarasa mereka. Sejumlah 81.8 juta ringgit telah disediakan untuk program-program ini.

Kerajaan ingin merakamkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada kontinjen Sukan SEA negara di atas kejayaan gilang gemilang memenangi 111 pingat emas, yang merupakan pencapaian cemerlang negara yang belum pernah diperolehi sejak Sukan SEA diadakan. Latihan untuk atlit negara akan diteruskan secara lebih serius supaya prestasi negara dalam Sukan Asia dan Olimpik akan cemerlang.

Aktiviti sukan, rekreasi dan kecergasan akan diperluaskan. Melalui konsep sukan untuk semua, lebih banyak aktiviti yang berbentuk pertandingan di peringkat akar umbi akan dianjurkan. Selain daripada itu, sukan baru seperti sukan lasak dan sukan bermotor akan terus diperkenalkan melalui pertandingan dan penganjuran sesi demo. Pada tahun 2002, Malaysia akan menjadi tuan rumah untuk menganjurkan sukan lasak peringkat Asia. Melalui sukan baru ini, dijangkakan minat generasi muda untuk mengisi masa lapang dengan kegiatan yang berfaedah akan terus meningkat.

Membanteras Gejala Sosial

Masalah sosial semakin berleluasa. Akhir-akhir ini, negara kerapkali dikejutkan denga kejadian yang tidak berperi kemanusiaan. Perpaduan yang sekian lama dinikmati telah dicemari oleh insiden membimbangkan. Jumlah penagih dadah dan penghidap HIV-Aids kian meningkat. Penjenayah semakin ganas.

Pengalaman pahit tahun 1969 mengingatkan kita betapa pentingnya perpaduan kaum sentiasa dipupuk dan dipelihara. Beberapa program yang bermatlamatkan perpaduan telah diatur. Manakala program yang bertujuan membangkitkan kesedaran masyarakat serta menimbulkan rasa tanggungjawab untuk menangani isu sosial terus dilaksanakan. Sehubungan ini, sebanyak 6.8 juta ringgit telah diperuntukkan di bawah Kementerian Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat untuk melaksanakan program di bawah Pelan Induk Tindakan Sosial atau PINTAS. Pelan ini merangka langkah bagi mewujudkan kerjasama dan penglibatan semua pihak untuk membantu semua anggota masyarakat supaya hidup sihat sejahtera dan tidak terjebak ke dalam gejala sosial. Manakala bagi Program Khidmat Sosial Negara di bawah Kementerian Belia dan Sukan yang bertujuan mengatasi masalah sosial di kalangan golongan remaja lepasan Sekolah Menengah, disediakan peruntukan sebanyak 7.7 juta ringgit.

Untuk menangani masalah dadah dan jenayah, sejumlah 312.4 juta ringgit disediakan. Daripada jumlah ini, 140.4 juta ringgit adalah bagi meneruskan usaha pencegahan, terutamanya bagi membanteras penyeludupan dan penyalahgunaan dadah di samping meningkatkan usaha rawatan kepada penagih. Badan sukarela seperti Pemadam dan Pengasih turut disediakan peruntukan sebanyak 282,500 ringgit. Manakala bagi peruntukan sebanyak 172 juta ringgit disediakan untuk mempercepatkan penyiasatan dan penyelesaian kes jenayah melalui peningkatan penggunaan teknik moden seperti penggunaan profil DNA bagi mengesan penjenayah.

Untuk membantu badan sukarela bukan kerajaan meningkatkan aktiviti mencegah penyakit AIDS, penyalahgunaan dadah dan program HOSPIS bagi rawatan pesakit kanser yang tenat, kerajaan akan memberi matching grant pada nisbah bantuan sebanyak 1 ringgit bagi setiap 1 ringgit yang dikeluarkan oleh badan ini tertakluk kepada had 1 juta ringgit. Satu peruntukan khas akan diadakan untuk penagih dadah yang menghidap penyakit HIV-AIDS.

Kesedaran tentang bahaya merokok kepada kesihatan masih lagi rendah di kalangan rakyat dan kini tabiat merokok yang telah menular ke peringkat pelajar sekolah amat membimbangkan. Menyedari hakikat ini, saya mencadangkan duti import bagi rokok dinaikkan daripada 180 ringgit sekilogram kepada 216 ringgit sekilogram manakala duti eksais pula dinaikkan daripada 40 ringgit sekilogram kepada 48 ringgit sekilogram. Kerajaan sedar langkah menaikkan cukai rokok pasti menarik lebih banyak penyeludupan. Untuk itu, pendekatan yang lebih agresif dan berkesan akan diambil bagi memastikan penyeludupan dapat ditangani dengan meningkatkan lagi kecekapan pentadbiran Jabatan Kastam dan pihak berkuasa yang terlibat.

Kerajaan mengiktiraf dan menghargai semangat kesukarelawan dan komitmen yang ditunjukkan oleh pelbagai badan sukarela. Sehubungan dengan ini geran mengurus sebanyak 22.9 juta ringgit dan geran pembangunan sebanyak 6 juta ringgit diperuntukkan kepada 375 badan sukarela kebajikan. Di antara kemudahan yang akan dikendalikan oleh NGO ialah empat Pusat Harian Warga Tua yang dijangka beroperasi pada tahun 2002. Sebuah institusi baru, iaitu Kompleks Penyayang BAKTI Sungai Buloh telah dibina untuk memberi perkhidmatan jagaan dan perlindungan kepada kanak-kanak, warga tua dan ibu tunggal. Di samping itu, sebanyak 10 juta disediakan untuk badan sukarela yang memberi perkhidmatan haemodialisis.

Sektor Perkhidmatan Awam

Kerajaan menghargai sumbangan perkhidmatan awam dalam menerajui usaha pembangunan. Kerajaan juga sedar bahawa dengan sokongan dan komitmen anggota perkhidmatan awam, dasar dan program bagi faedah rakyat dapat dilaksanakan dengan berkesan. Saya percaya prestasi baik dan profesionalisme perkhidmatan awam dapat terus dipertingkatkan, lebih-lebih lagi dalam keadaan suasana semasa yang sukar. Janganlah keadaan ini melunturkan semangat, sebaliknya jadikanlah ia sebagai cabaran dan asas perjuangan dengan mencurahkan sepenuh khidmat bakti untuk terus melangkah ke hadapan. Negara sangat memerlukan pengorbanan semua kakitangan awam. Kita tidak perlu mengangkat senjata. Perjuangan kita lebih kepada mempertahankan keutuhan ekonomi seta memartabatkan kedaulatan negara. Kita perkukuhkan semangat, gandakan usaha, tingkatkan amanah dan kejujuran serta amalkan budaya kerja cemerlang.

Bagi menghargai dan menyanjung tinggi khidmat bakti serta komitmen dan dedikasi semua kakitangan perkhidmatan awam, kerajaan akan memberi bonus sebanyak setengah bulan gaji atau sekurang-kurangnya 1,000 ringgit bagi tahun 2001. Pembayaran akan dibuat separuh pada bulan Oktober dan separuh lagi pada bulan November ini. Saya berharap ganjaran ini dapat digunakan untuk menampung perbelanjaan, terutamanya bagi perbelanjaan persekolahan anak-anak. Kerajaan juga amat prihatin terhadap pendapatan pegawai dan kakitangannya. Oleh yang demikian, sekiranya kerajaan mampu, kerajaan boleh menimbangkan kenaikan gaji kakitangannya. Pelarasan gaji yang terakhir telah dibuat pada tahun 1995. Pada tahun 2000, Kerajaan telah menaikkan gaji pokok sebanyak 10 peratus. Pada tahun 2002, iaitu hanya dua tahun setelah kenaikan tersebut, kerajaan memutuskan untuk sekali lagi menaikkan gaji sebanyak 10 peratus, atau tambahan pendapatan berjumlah 1.2 bulan gaji setahun. Tambahan ini dapat dibuat memandangkan hasil kerajaan telah meningkat kerana pertumbuhan ekonomi dan pengurusan kewangan yang berhemat atau prudent yang mengelak dari perbelanjaan yang membazir. Kerajaan berharap pemberian bonus dan kenaikan gaji ini bersama dengan penghapusan sekatan bonus kepada sektor swasta akan dapat meningkatkan kuasa beli sebenar sebahagian besar dari rakyat. Saya berharap ia juga akan mendorong kita semua untuk melipat gandakan usaha ke arah meningkatkan lagi produktiviti dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Bagi menjadikan skim perkhidmatan pegawai Perubatan Awam lebih menarik, kadar Elaun Kerja Luar Waktu dinaikkan antara 25 hingga 50 peratus mulai 1 Oktober 2001. Kenaikan ini diharap dapat meningkatkan lagi motivasi Pegawai Perubatan yang dibebankan dengan kerja tambahan serta mengurangkan perbezaan imbuhan yang diterima oleh Pegawai Perubatan Kerajaan dengan swasta.

Untuk menghargai penyertaan dan sumbangan anggota sukarela di dalam pasukan keselamatan, khususnya Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia dan Pertahanan Awam, kadar Saguhati Tahunan bagi pegawai dan anggota dinaikkan daripada 400 ringgit kepada 520 ringgit, iaitu kenaikan sebanyak 30 peratus mulai 1 Oktober 2001.

Bagi anggota sukarela Angkatan Tentera Malaysia, kadar pemberian pakar, dengan izin, specialist grant yang tidak pernah dikaji semula semenjak tahun 1958, dinaikkan 100 peratus daripada 150 ringgit kepada 300 ringgit setahun bagi pegawai, manakala bagi lain-lain pangkat dinaikkan daripada 100 ringgit dan 75 ringgit setahun kepada 200 ringgit setahun mulai 1 Oktober 2001.

Pembangunan Islam

Kerajaan amat prihatin terhadap kefahaman dan pengetahuan agama Islam yang sebenar serta pembangunan masyarakat Islam di negara ini. Selaras dengan itu, kerajaan akan terus menyediakan peruntukan secukupnya di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia bagi melaksanakan pelbagai program pembangunan untuk faedah masyarakat Islam. Sebanyak 294.3 juta ringgit diperuntukkan bagi pelaksanaan program pembangunan untuk institusi keluarga dan khidmat sosial, peningkatan kefahaman dan penghayatan Islam, pendidikan di sekolah agama dan Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain. Di samping itu, Kerajaan juga akan terus melaksanakan beberapa program pembangunan di bawah JAKIM. Ini, termasuk pengubah suaian dan pembinaan masjid, kompleks latihan Islam, pembinaan sekolah agama serta pembangunan sistem maklumat.

Selaras dengan hasrat kerajaan untuk memenuhi bilangan yang diwajibkan bagi penghafal Al-Quran, kapasiti Maahad Tahfiz Darul Quran di Kuala Kubu Bharu, Selangor akan dipertingkatkan, apabila fasa dua projek pembinaan Maahad Tahfiz tersebut siap kelak.

Kerajaan juga bercadang melaksanakan lebih banyak program kefahaman Islam yang sebenar kepada pelajar-pelajar Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta, pegawai dan kakitangan kerajaan serta swasta menerusi kursus pengukuhan akidah, pembinaan sahsiah, penghayatan Islam dan pembinaan insan. Matlamat kerajaan ialah untuk mewujudkan masyarakat yang bertaqwa di kalangan umat Islam. Ini hanya akan tercapai jika tidak ada penyelewengan oleh mereka yang dipertanggungjawabkan untuk mengajar agama Islam. Jika didapati ada mana-mana pihak yang mengajar ajaran yang bertentangan dengan ajaran Islam yang sebenar, umpamanya mengajar membenci orang Islam lain, menolak persaudaraan dalam Islam, mengajar bahawa orang Islam tertentu adalah kafir, menyebar fitnah, maka peruntukan akan dihentikan. Peruntukan yang diberi adalah untuk mengembangkan pengetahuan agama Islam dan bukan sebaliknya.

Implikasi Cadangan Cukai

Pengurangan dan penghapusan cukai yang dicadangkan akan melibatkan kehilangan hasil kerajaan sebanyak 1.2 bilion ringgit. Pada masa yang sama, kerajaan juga telah meningkatkan perbelanjaan sebagai langkah merangsang kegiatan ekonomi dalam negeri. Oleh itu, kerajaan perlu mencari sumber yang boleh meningkatkan hasil supaya kedudukan kewangan terus kukuh. Kerajaan tidak bercadang untuk meningkatkan kadar cukai perkhidmatan, namun bercadang mengurangkan nilai jualan tahunan cukai tersebut. Oleh yang demikian, saya mencadangkan:

i. Nilai jualan tahunan bagi tujuan pengenaan cukai perkhidmatan bagi restoran, bar, snek bar dan coffee house, kelab persendirian dan syarikat pengiklanan dikurangkan daripada 500 ribu ringgit kepada 300 ribu ringgit; dan

ii. Nilai jualan tahunan sebanyak 300 ribu ringgit ke atas perkhidmatan profesional dikurangkan kepada 150 ribu ringgit.

Dalam hubungan ini, kerajaan akan meningkatkan penguatkuasaan dan mengadakan street-surveys, dengan izin, supaya mereka yang cuba mengelak daripada membayar cukai dibanteras.

Di samping itu, kerajaan telah menyediakan bantuan subsidi yang besar sebanyak 4.4 bilion ringgit. Lebih separuh daripada jumlah ini adalah bagi subsidi bahan petroleum. Bagi mengurangkan beban kewangan kerajaan, saya mencadangkan supaya subsidi ini dikurangkan dengan meningkatkan harga runcit diesel sebanyak 10 sen seliter. Bagi subsidi diesel, ia dihadkan kepada bekalan untuk kegunaan pengangkutan darat, kerajaan dan bot nelayan sahaja. Selaras dengan kenaikan ini, saya juga mencadangkan harga runcit petrol dinaikkan sebanyak 10 sen selitar. Langkah ini berkuatkuasa pada 20 Oktober 2001.

IV. PROSPEK EKONOMI TAHUN 2002

Tuan Yang DiPertua,

Perkembangan ekonomi dan perdagangan dunia pada tahun 2002 diramalkan masih tidak menentu. Kita kurang pasti Amerika Syarikat berupaya mengelakkan kemelesetan. Kita meramalkan, pemulihan ekonominya akan memakan masa. Bagi ekonomi Jepun, prospek untuk pulih juga kurang menggalakkan. Dengan senario ekonomi luaran sebegini, pertumbuhan ekonomi negara perlu diterajui oleh kegiatan ekonomi dalam negeri. Pertumbuhan ekonomi dijangka meningkat antara 4 hingga 5 peratus dengan saiz KDNK mencapai paras 370 bilion ringgit. Kesemua sektor ekonomi utama terus mencatat pertumbuhan dengan diterajui oleh sektor perkilangan dan perkhidmatan. Peningkatan sektor perkilangan khususnya akan didorong oleh pemulihan permintaan global bagi barangan elektronik manakala bagi sektor perkhidmatan digiatkan oleh kecergasan aktiviti ekonomi dalam negeri yang berterusan. Permintaan dalam negeri mengikut harga semasa dijangka meningkat 5.5 peratus dengan didorong oleh pertambahan dalam perbelanjaan sektor swasta sebanyak 6.6 peratus. Bagi sektor awam pula, walaupun terus berkembang, namun pada kadar yang lebih rendah sebanyak 3.1 peratus.

Prospek ekonomi yang menggalakkan ini mampu dicapai kerana asas-asas ekonomi negara yang terus kukuh. Rizab antarabangsa negara berjumlah 113.7 bilion ringgit atau 29.9 bilion dolar pada 15 Oktober 2001, mampu membiayai 4.7 bulan import tertangguh. Imbangan perdagangan luar mencatat lebihan untuk 46 bulan berturut-turut bagi tempoh November 1997 hingga Ogos tahun ini. Kadar tabungan kasar negara masih di tahap tinggi, melebihi satu pertiga daripada KDNK. Sistem perbankan negara pula teguh, dengan nisbah modal berwajaran risiko kini sebanyak 12.6 peratus, melebihi paras 8 peratus piawaian antarabangsa. Hutang luar jangka pendek negara berada di paras rendah, sebanyak 5.2 peratus daripada KDNK, sementara nisbah khidmat hutang dengan izin, debt service ratio, juga kekal rendah.

Memandangkan prospek ekonomi adalah lebih baik pada tahun depan, pendapatan per kapita dijangka meningkat 4.7 peratus kepada 13,962 ringgit bagi tahun 2002 berbanding 13,333 ringgit pada tahun 2001. Dengan inflasi terus dikawal pada paras yang rendah, pendapatan per kapita dalam purchasing power parity meningkat lebih tinggi lagi sebanyak 5.1 peratus kepada 9,403 dolar Amerika, melebihi 8,944 dolar pada tahun 2001. Kedudukan ini menggambarkan tahap kuasa beli rakyat yang lebih tinggi dalam negeri.

Kerajaan akan terus melaksanakan langkah-langkah bukan konvensional mengikut cara kita tersendiri yang telah terbukti berkesan dan berjaya dalam menguruskan ekonomi negara. Sehubungan ini, penetapan kadar pertukaran ringgit kepada dolar akan diteruskan. Namun, kerajaan akan sentiasa mengawasi perkembangan dalam dan luar negeri demi memastikan nilai ringgit selaras dengan asas-asas makroekonomi negara. Memandangkan kepada pergolakan dalam pasaran mata wang asing antarabangsa, kerajaan akan terus berusaha memastikan kadar pertukaran asing terus stabil.

Pergolakan dalam persekitaran luar berlaku ketika negara baru sahaja berada di tahun pertama tempoh Rangka Rancangan Jangka Panjang Ketiga dan Rancangan Malaysia Kelapan. Bagi mencapai matlamat jangka panjang Wawasan 2020 untuk menjadi sebuah negara maju sepenuhnya, kedua-dua rancangan tersebut perlu pertumbuhan purata tahunan sebanyak 7.5 peratus. Memandangkan pertumbuhan ekonomi pada tahun 2001 dan 2002 lebih perlahan, negara perlu melipatgandakan usaha untuk memesatkan lagi kadar pertumbuhan pada tahun-tahun akan datang.

Dengan asas ekonomi negara yang terus kukuh, Insya Allah kita pasti berjaya mencapai matlamat pertumbuhan dengan syarat kita bersungguh-sungguh melipat gandakan usaha ke arah menuju sasaran tersebut. pengalaman semasa krisis kewangan dahulu telah membuktikan negara mampu menangani kemelesetan paling teruk di mana ekonomi telah merosot sebanyak 7.4 peratus dalam tahun 1998. Namun, ekonomi berjaya dipulihkan semula dengan pantas pada tahun-tahun berikutnya. Ini telah membolehkan sasaran pertumbuhan purata 7 peratus bagi Rangka Rancangan Jangka panjang Kedua dicapai sepenuhnya.

V. PENUTUP

Tuan Yang DiPertua,

Belanjawan kali ini dibentangkan semasa persekitaran luar sedang bergolak hebat. Pada masa yang sama, walaupun ekonomi telah berada di landasan yang kukuh, namun masih wujud beberapa cabaran dalam negeri yang belum selesai. Kini timbul pula isu keganasan dan ancaman kepada perpaduan negara. Kita perlu sedar bahawa antara prasyarat utama dalam usaha melangkah ke hadapan ialah keamanan dan kedamaian. Apalah ertinya perancangan dan program pembangunan yang hebat-hebat, jika tiada keharmonian dan kestabilan. Sesungguhnya ekstremisme tidak ada tempat di negara ini. Kita mempunyai proses demokrasi yang tulen. Setiap rakyat berhak memilih pemimpin melalui peti undi secara aman tanpa perlu bertindak secara keterlaluan, mengangkat senjata atau mencetuskan huru-hara. Sikap melampau juga bercanggah dengan prinsip ajaran setiap agama, sudah tentu oleh agama Islam yang sentiasa menanamkan sikap cintakan hubungan kemanusiaan dan kesejahteraan. Islam tidak suka kepada orang yang mencetuskan kacau bilau seperti firman Allah dalam ayat 77 surah Al-Qasas yang bermaksud:

``... dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmat-Nya yang melimpah-limpah); dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi, sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang membuat kerosakan''.

Tidak disebut dalam firman ini bahawa kita harus berbuat baik kepada orang Islam sahaja. Selagi orang lain tidak bermusuh dengan kita, kita harus buat baik dan berlaku adil kepada mereka.

Tuan Yang DiPertua

Sejak empat dekad yang lalu, negara telah mencatatkan kemajuan cemerlang sehingga menjadi contoh kepada seluruh dunia. Kemajuan yang telah kita capai bukan datang bergolek. Ia juga bukan kerana negara kita mempunyai sumber alam yang banyak. Kemajuan ini dicapai kerana perancangan, kerana dasar dan strategi, kerana kecekapan pentadbiran, kerana tidak dilanda rasuah secara meluas, kerana keamanan dan kestabilan, kerana pegangan kepada nilai-nilai mulia yang secocok dengan ajaran agama. Terpenting sekali ialah, kerana usaha gigih, pengorbanan dan ikhtiar oleh rakyat. Keranamu Malaysia.

Kesejahteraan rakyat turut menjamin keutuhan negara. Masyarakat dengan jati diri, nilai moral dan etika yang terpuji, bertolak ansur dan bertoleransi, penyayang dan saksama serta menguasai ilmu pengetahuan mampu memacu negara ke tahap yang lebih gilang gemilang.

Kita berdoa ke hadrat Allah Subhanahu Wa Taala supaya memberi kita kekuatan dan ketabahan hati menghadapi segala rintangan, mengurniakan semangat dan keazaman untuk meningkatkan kemakmuran serta meninggikan martabat negara kita. Saya percaya dengan pertolongan dan keredhaan-Nya, kita mampu membentuk Malaysia sebagai sebuah negara yang progresif, aman dan makmur, bebas daripada tekanan asing, dan disanjung oleh masyarakat dunia. Insya-Alah.

Tuan Yang DiPertua

Saya mohon mencadangkan.

 


© UTUSAN MELAYU (M) BHD, 46M Jalan Lima Off Jalan Chan Sow Lin, 55200 Kuala Lumpur.
E-mail: online@utusan.com.my