Petua ustaz mengenai ikan merah
LAIN orang lain ragam dan lain orang juga lain petuanya. Menurut
pendakwah bebas, Daud Che Ngah, ketika mengail di perairan Labuan, ada
petua tertentu yang diamalkan oleh orang di sana. "Saya tidak pasti bagaimana
ikan berkomunikasi tetapi menurut rakan dari Labuan, jika ikan merah meragut
umpan dan berjaya dinaikkan, jangan sekali-kali memegang ikan itu. "Kalau
sayang sekali pun pada tali pancing anda, potong saja talinya dan pasang
mata kail baru. Kalau anda memegang ikan merah itu, tidak akan ada lagi
ikan merah yang akan dinaikkan selepas itu," katanya. Ustaz Daud berkata,
mungkin ketika menggelupur ada isyarat bunyi tertentu yang dihantar kepada
ikan merah lain di air. Ikan merah bergerak berkumpulan, jadi apabila seekor
berjaya dikail mungkin ada ikan lain menyedari ia kehilangan 'rakan'. "Kuasa
Allah semuanya boleh berlaku dan tidak sampai pada pemikiran kita," kata
Daud yang sentiasa membawa ke mana sahaja joran apabila ke luar daerah.
Beliau juga pernah memancing di perairan Pangkor.
Berkat dapat izin sebelum mengail
PETUA kaki pancing Terengganu, Alwi Ali, 52, iaitu pastikan setiap
kali keluar rumah untuk memancing ialah beritahu isteri atau keluarga,
begitu juga majikan. Selain itu, pastikan semua urusan dibereskan. "Jangan meninggalkan masalah di rumah. Ini termasuk meninggalkan
duit belanja dan keperluan sekolah anak-anak," katanya yang turut menasihatkan
kaki pancing supaya memperolehi umpan di laut kerana ia adalah umpan segar
dan yang terbaik untuk ikan di situ. Pilihlah sotong, kembung atau selar
sebagai umpan, katanya. Mengenai awan, Alwi berkata, awan hitam pekat biasanya akan membawa
bersama ribut dan hujan tetapi dalam masa yang singkat. Dalam tempoh sejam
ia akan reda dan kembali tenang. "Ribut ini datang bersama angin dari arah
barat laut dan muncul secara tiba-tiba," katanya sambil menasihatkan jika
awan hitam kelihatan, pemancing perlu segera kembali semula ke darat bagi
mengelak sebarang kejadian tidak diingini. Ketika ribut, kilat turut memancar dan kelihatan seolah-olah mencecah
permukaan laut. Lazimnya ribut ini berlaku pada Jun, Julai dan Ogos.
Awan sejengkal, ribut akan tiba
SEBAGAI kaki pancing yang sering berada di laut, anda berdepan
risiko dilanda ribut. Ia yang datang secara tiba-tiba biasanya membahayakan
pemancing terutama yang menaiki bot kecil. Oleh itu, sebagai kaki pancing, anda wajar mengetahui jangka masa
ribut akan tiba di lokasi anda. Ini penting untuk membolehkan anda membuat
keputusan sama ada berlindung di pulau atau kembali ke pantai. Menurut,
Adnan Osman yang berasal dari Langkawi, Kedah, jika anda nampak awan hitam
separas dengan laut ia bermakna ribut masih jauh dan memakan masa yang
panjang sebelum tiba di tempat anda. Dalam keadaan ini, biasanya anda masih
mempunyai masa kembali ke pantai. Tetapi jika awan hitam berada pada paras sejengkal atau lebih
daripada paras laut, ribut berkenaan sudah begitu hampir. Oleh itu, segera
berhenti memancing kerana ribut akan tiba dalam masa tidak sampai satu
jam. Anda perlu segera mencari tempat berlindung. Pastikan anda memakai
jaket keselamatan. Oleh itu, jika anda menggunakan bot kecil dengan kelajuan
rendah anda patut berwaspada apabila berdepan dengan keadaan ini. Justeru
anda dinasihat supaya kerap memerhatikan awan berdasarkan tips di atas.
Jangan kerana leka memancing, anda lupa soal keselamatan diri sendiri.
Kekalkan Ikan Segar
BAGI kaki pancing, apabila keluar memancing, tong air batu atau tempat
Menyimpan ikan ibarat satu kewajiban. Jika tidak, ikan yang dikail cepat
busuk. Ada beberapa tips untuk mengekalkan kesegaran ikan. Pertama, menggunakan
uncang jaring. Uncang biasa digunakan jika memancing di kawasan berhampiran
rumah. Ikan yang dikail dimasukkan ke dalam uncang jaring dan direndam
semula ke dalam air bagi membiarkan ikan itu terus hidup. Bagaimanapun
saiz ikan terhad kepada yang kecil (kurang lima kilogram). Ikan bersaiz
besar tidak sesuai dimasukkan ke dalam uncang jaring kerana jika meronta,
jaring koyak dan ikan terlepas. Cara kedua dan paling biasa digunakan ialah kotak air batu. Ia
paling banyak digunakan terutama jika memancing di laut untuk dua atau
tiga hari. Ikan yang dikail terus dimasukkan ke dalam tong air batu supaya
sentiasa segar walaupun sudah mati. Ada banyak saiz dan kualiti kotak menyimpan
ikan yang diperbuat daripada gentian kaca atau plastik. Jadi berhati-hatilah
jika membelinya. Biar alah membeli, menang memakai. Cara ketiga banyak diamalkan oleh pemancing yang pergi ke hutan
lebih empat hari. Untuk membawa tong ikan adalah tidak praktikal kerana
sukar mengangkutnya. Oleh itu, ikan yang dipancing perlu disiang termasuk
membuang perut dan insang sekali. Sebaik-baiknya ikan yang disiang dielak
daripada terkena air. Ikan yang sudah disiang ditabur sedikit garam sebelum
disimpan di dalam bekas simpanan, biasanya tin biskut. Selain itu, ada pemancing memasukkan surat khabar di dalam perut
ikan yang disiang bagi mengelakkan ia menjadi busuk. Cara keempat ialah
dengan membunuh segera ikan yang diperolehi. Cara ini banyak diamalkan
terutama Amerika Syarikat, Kanada dan sebahagian Eropah. Caranya ialah membunuh ikan secara mengejut menggunakan besi tajam.
Ikan itu dibunuh dengan menghentak besi tajam di bahagain kepala iaitu
antara mata ikan berkenaan (di mana terletaknya otak). Dengan sekali hentakkan,
besi tajam tadi akan menembusi tengkorak dan mencederakan ikan. Rasional cara ini ialah ikan yang mati secara perlahan akan mengeluarkan
sejenis hormon dari otak. Hormon ini bertindak sebagai perangsang untuk
mempercepat proses pereputan protein. Jadi, jika ikan mati secara mendadak,
otak ikan tidak sempat merangsang pengeluaran hormon berkenaan. Bagaimanapun,
cara ini hanya digunakan ke atas ikan yang besar sahaja. (Sumber rujukan:
Majalah Wawasan Pertanian).
Ikan kecil panggil ikan besar
KAKI pancing wajar mengetahui etika memancing. Misalnya, pemancing
hanya perlu mengambil hasil tangkapan yang besar dan diperlukan saja manakala
ikan kecil dan tidak diperlukan dilepaskan semula, terutama bagi spesies
ikan yang hampir pupus. Amalan ini bukan sahaja dapat mengekalkan spesies ikan tertentu
pada masa depan malah bersesuaian dengan petua orang tua. Selain tidak
bertindak kejam ia juga dikatakan akan membolehkan kita mendapat tangkapan
yang banyak dan besar. Menurut Rahmat Mohd Nazim, 36, dari Pekan, Pahang,
ada orang tua berpesan jika pemancing dapat ikan kecil, kita perlu lepaskan
semula. Jangan dianiaya. "Untuk mendapat ikan yang banyak, kita boleh minta anak ikan berkenaan
memanggil ikan yang lebih besar untuk tangkapan kita. Kemudian kita bebaskan
ikan itu ke laut. Insya-Allah jika ada rezeki kita akan dapat tangkapan
lebih besar," katanya ketika mengunjungi Balai Joran, baru-baru ini. Menurut Rahmat, ramai yang mengamalkan petua itu pernah mendapat
tangkapan lumayan. Walaupun petua ini tidak semestinya menjadi kenyataan,
namun yang penting amalan ini menjadikan pemancing lebih beretika.
Ekor sembilang penawar bisa
USIANYA yang sudah melepasi setengah abad tidak menggambarkan Yusof Abdul
Raof patah semangat dalam aktiviti hariannya sebagai seorang pengusaha
makanan di sebuah gerai di Petaling Jaya, Selangor. Apa yang tersirat dalam
hatinya, manusia ini seharusnya terus berusaha dalam apa jua bidang yang
diceburi termasuk pelbagai kegiatan di masa lapang. Yusof, 58, atau lebih
dikenali dengan panggilan Raja Sembilang sentiasa bersyukur atas kebolehan
luar biasanya sebagai seorang pemancing yang tidak pernah pulang dengan
tangan kosong. Kegemaran memancing yang sudah tertanam di jiwanya sejak
berusia 10 tahun itu membolehkan Yusof mendapat gelaran Raja Sembilang
kerana beliau memang penganyir dan pakar memancing ikan berkenaan. Tanpa
mahu merahsiakan kepakaran luar biasa itu, Yusof secara spontan berkata,
apa bidang sekalipun seseorang itu mestilah berilmu selain daripada
kemahiran semula jadi. "Saya mengaku, mempelajari segala petua dan
cara-cara memancing sembilang ini daripada seorang tua di kampung saya,
tetapi sekadar kegunaan sendiri aja..." senyumnya menampakkan keikhlasan.
Bagaimanapun beliau terpaksa berpegang kepada segala janjinya iaitu tidak
boleh makan ikan berkenaan tetapi sekadar memancingnya saja dan jika hasil
tangkapan itu lumayan hendaklah dibahagi-bahagikan kepada mereka yang
memerlukannya. Jika beliau melanggar pantang larang ini, ini bermakna
tangkapan spesies berkenaan tidaklah sebanyak mana kebiasaan yang
diperolehi tetapi sekadar untuk sekeluarga saja. Yusof tidak menyimpan
rahsia cara mengenali lubuk sembilang. Pemancing tambahnya, perlu
memerhatikan buih-buih yang mungkin dapat dilihat pada permukaan air ketika
air besar. Jika buih-buih kelihatan sudah pasti kawasan itu mengandungi
banyak sembilang dan tidak akan menghampakan selain ikan ini mudah di kail
ketika air mula pasang dan pada waktu surut. Pemancng juga mudah
menghasilkan tangkapan ikan ini jika air teres iaitu ketika air surut mirip
kepada lopak-lopak air kawasan menghampiri persisiran pantai. Yusof
menunjukkan jari dan sebahagian daripada lengannya sambil tersenyum
berkata: "Lihat tangan dan jari ini sudah lali dan kebas kerana bisa ikan
sembilang. "Pemancing tentu lebih maklum, sengat sembilang bisanya bukan
kepalang menjalar hingga ke jantung dan jika rawatan segera tidak diberi
pemancing pasti pengsan malah lebam seluruh badan. "Tangan saya ni" sambil
menunjukkan berulang kali "tebal kulitnya, bahagian jari ni sudah kematu
terkena sengat. "Saya kurang pasti ada yang mengatakan bisa ikan ini akan
susut selepas tujuh kali air pasang dan surut. Tetapi bagi saya cara
menghilangkan biasanya mudah aja iaitu gigit saja ekor ikan ini
sekuat-kuatnya, hingga bisa beransur susut" wajah Yusof membayangkan
kebenarannya.
Semburan lumba-lumba bawa hasil
AKTIVITI turun ke laut tidak boleh sebarangan. Jaket keselamatan,
bekalan makanan dan paling utama, joran dan umpan mesti diambil kira. Mengikut
petua sesetengah pemancing, sewaktu hendak turun ke laut, jangan ditegur
atau ditanya Makan juga tidak boleh terlampau kenyang nanti tidak mendapat
ikan. Bagaimanapun, kebanyakan nelayan laut dalam tidak mempunyai petua
tertentu. Kalau sudah rezeki, berlabuh di laut cetek pun boleh mendapat
ikan yang banyak. Mengikut petua zaman dahulu kala, untuk mengetahui sama
ada seseorang nelayan berkenaan akan mendapat hasil yang lumayan atau tidak,
ianya berpandu kepada ikan lumba-lumba yang bermain di sekitar perairan
ataupun yang bermain-main di sekeliling bot sewaktu sedang laju membelah
ombak. Lebih memberangsangkan seandainya ikan lumba-lumba berkenaan menyemburkan
air dari atas kepalanya ke arah luang bot atau bahagian tepi bot, maka
lumayanlah hasil yang akan dibawa pulang nanti.
Petua sebut cewek meow...
KATA orang mulut jangan becok kalau masuk ke kawasan hutan rimba atau mengunjungi
sesebuah tempat baru. Begitu juga kalau ingin turun ke laut. Banyak pantang
larang yang perlu diikuti. Kadang kala jika difikirkan petua atau pantang
larang sedemikian ada yang mengarut dan tidak logik bunyinya tetapi sekadar
menghormati pesanan orang-orang tua, kita lestarikan petua dan pesanan
itu supaya ianya masih kekal. Antara petua Joran minggu ini ialah jaga
mulut kalau turun ke laut. Jangan terlalu "laser". Katalah anda sudah berada
di air (dalam bot atau tengah laut) jangan sekali-kali menyebut nama binatang
berkaki empat yang hidup di darat. Kalau nak sebut juga beri ganti nama
berkenaan dengan nama "cewek" (bukan bermaksud cewek Indon tau..) Contohnya
kucing disebut cewek meow, kambing disebut cewek mbekkk... dan harimau
disebut cewek aummm...! Kelakarkan? Tetapi itulah hakikatnya yang pernah
diamalkan oleh sesetengah nelayan laut dalam di sebelah Pantai Timur. Bukan
apa, agaknya nak jaga hati ikan-ikan yang di dalam laut sebab spesies mereka
tu tak ada kaki kan?
Lesung batu rumah ikan
MUNGKIN sukar bagi seorang pemancing untuk mencari lubuk ikan yang tidak
pernah habis dengan ikan-ikan di dasarnya. Lazimnya kita biasa mendengar
tayar atau kereta buruk dijadikan tukun untuk ikan berkampung di sekitarnya.
Mengikut petua, anda boleh membuat lubuk ikan anda sendiri tetapi
mungkin mengambil masa yang agak lama. Dapatkan satu lesung batu yang sudah
berlubang di bahagian tengahnya. Pastikan anda tidak membuat lubang dan
ianya terjadi kerana sudah terlalu lama digunakan. Campakkan lesung batu
berkenaan ke mana-mana bahagian sungai yang anda suka, ikan akan berkumpul
di situ.
Kalau nak tahu cuba buat...
Sarang jabut pengubat bisa
SENGAT sembilang sakitnya bukan kepalang. Kata orang tua-tua bisanya akan
beransur hilang setelah tujuh kali air pasang dan surut.
Tetapi setiap penyakit itu ada ubatnya. Pemancing Jamal Abdul
Jalil seorang anggota polis dari Balai Polis Setapak Kuala Lumpur ada petuanya.
Jamal memberitahu untuk meredakan bisa ikan sembilang apa yang
perlu anda lakukan ialah memasukkan jari atau bahagian-bahagian tangan
anda yang terkena sengat itu ke dalam sarang jabut (busut-busut kecil berlumpur)
berdekatan dengan sarang ketam paya bakau.
Biasanya sarang jabut ini banyak terdapat di paya bakau atau di
tepi-tepi sungai yang berlumpur.
Insya-Allah bisanya akan reda, mungkin sarang jabut yang mengandungi
cecair lumpur paya itu sejuk dan dapat meredakan bisa serta mengelakkan
tangan anda berasa kebas.
Bahaya menggunakan arus elektrik
PENGGUNAAN arus elektrik walaupun tidak bersifat memupus tetapi ia berbahaya
kepada pengendalinya. Walaupun pernah dibuat penyelidikan di Eropah mengenai
kaedah penangkapan ini, namun ia tidak dapat diterima oleh pihak berkuasa
perikanan serta masyarakat nelayan di sana kerana risikonya lebih besar
daripada kebaikan yang diperolehi. Di negara ini sudah ramai penangkap
ikan yang menggunakan kaedah ini merasa penangannya dan ada yang dilaporkan
di akhbar. Tentunya kita masih ingat satu kes yang tersiar di akhbar di
mana seorang peneroka rancangan tanah di Pahang meninggal terkena arus
elektrik ketika menjalankan aktiviti ini. Juga ada dinyatakan bagi ikan-ikan
yang menerima kejutan elektrik yang tinggi mungkin mengalami gangguan pembiakan
kerana kerosakan sistem tubuhnya seperti juga manusia yang pernah mengalami
kejutan elektrik. Di samping itu, ikan berkenaan tentunya berhijrah ke
tempat lain kerana 'phobia'. Sesungguhnya kaedah-kaedah ini adalah diharamkan
dan berbahaya tetapi tidak ramai daripada kita yang menyedarinya.
Menuba kimia secara
curahan dan kesannya
Kita sering menatap berita-berita yang menyedihkan bagaimana ikan-ikan
baik yang diternak atau yang hidup liar mati akibat diracun dan kita sering
juga melihat ramai di kalangan kita yang mengutip ikan berkenaan untuk
dimakan - bagi mana-mana yang boleh dimakan. Tapi bagaimanakah selamatnya
memakan ikan-ikan ini? Sejarah menuba sebenarnya bermula sejak dulu lagi.
Ia lebih merupakan satu pesta rakyat di mana semua penduduk dan pembesar
terbabit. Biasanya kawasan yang hendak dituba dikenal pasti dan disempadankan
menggunakan tali yang merentangi sungai berkenaan. Tali ini adalah sempadan
dengan ikan yang mengalami kesan tubaan. Tuba yang digunakan ialah tuba
tradisional dan penuba berkenaan selalunya berupaya menawar (membuang bisa)
air tuba berkenaan. Tuba tradisional ini berasal daripada tumbuhan hutan
yang dikenali tuba akar. Satu lagi ialah tuba isi (isinya bertongkol-tongkol
di pangkal dan berbentuk seperti ubi kentang). Ia tidak memberikan kesan
kepupusan kerana keracunannya hanya memeningkan ikan di air. Selepas beberapa
ketika apabila air baru sudah bercampur dengan air yang sudah dituba (kepekatan
tuba berkurangan), ikan berkenaan akan kembali segar.
Kesan Endosulfan kepada ikan
Kegunaan pertanian. Ia selalunya didapati dalam bentuk larutan terelmusi
dan berbau memeritkan hidung. Apabila tercampur air ia mengeluarkan warna
putih susu dan sekiranya ia disalah gunakan untuk menuba ikan, ia menyerap
ke dalam isi ikan dan menjadikan ikan ini berbau sedikit.
Walaupun tidak ada lagi sebarang ujian kepekatan kematian yang dilakukan
di negara ini kepada ikan dan tuba, jenis ikan yang berbeza mempunyai ketahanan
racun yang berbeza. Contohnya ikan kelah atau tengas kebal berbanding sebarau.
Secara umumnya Endosulfan amat cepat memberi kesan toksiknya kepada ikan
tetapi agak kurang kesannya kepada udang.
Manakala di bawah kepekatan 5ppm (1.0kg/200 meter padu air @ 10 tangki
trailer minyak biasa) sudahpun memberikan kesan yang serius dan boleh memupuskan
keseluruhan ikan dan benih ikan yang ada dalam air berkenaan.
Pada permulaan ikan bertemu air yang diracun, ikan ini akan termenung
dan kemudian meluncur di dalam air seolah-olah dirasuk.
Ini kerana pada permulaannya Endosulfan bertindak merangsang sistem
penderiaan lalu mengganggu keseluruhan sistem saraf ikan berkenaan termasuk
otaknya yang menyebabkan ikan itu gila (mentally disorder).
Pada beberapa minit kemudian kesan serius mula terjadi di mana kerosakan
sistem saraf berterusan membuatkan ikan berkenaan kehilangan tenaga serta
gangguan pernafasan.
Tidak lama kemudian ia akan mati sama ada terdampar di dasar atau dihanyutkan
arus. Terdapat juga yang mati di darat akibat terlalu kuat melompat.
Racun menyerap
Adalah disahkan, racun kumpulan ini (Lindane, Aldrin, Dieldrin, Chlordane
dan Endosulfan) secara teknikalnya menyerap dengan mudah menembusi kulit
manusia untuk memberikan kesan keracunannya.
Selalunya ini boleh dikesan dengan rasa gatal-gatal pada tubuh apabila
seseorang mengharungi air yang diracun terutama ketika menangkap ikan yang
dituba itu. Zarah racun ini apabila memasuki badan ia tersimpan di bahagian
lemak tubuh manusia untuk jangka masa tertentu. Oleh itu amat berbahaya
untuk seseorang mendedahkan diri kepada Endosulfan berkali-kali kerana
akibatnya pengumpulan zarah Endosulfan di lapisan lemak akan terus meningkat
berkali ganda.
Seterusnya proses penyah-klorinan dan tindak balas perubahan kimia
berkaitan akan berlaku. Dos membunuh bagi manusia dewasa dipiawaikan pada
tahap kurang daripada 2.0 gram. Pernah diberitakan seorang kaki tuba yang
sering menggunakan bahan Endosulfan untuk menangkap ikan telah meninggal
dunia gara-gara mendapat barah perut yang teruk (tahun lalu) dan kini rakan-rakannya
sudah 'bertaubat' daripada melakukan kerja serupa.
Bagi binatang pula, Endosulfan telah terbukti membutakan kambing biri-biri
yang memakan rumpai yang diracun dengannya dan di peringkat makmal, ia
menghasilkan kerosakan penglihatan pada tikus.
Endosulfan terpindah kepada manusia
SEBAGAIMANA Endosulfan boleh menembusi kulit manusia, ia lebih
cekap lagi menembusi kulit ikan kerana kulit ikan berfungsi sebagai hidung
(menyerap oksigen). Tidak syak lagi sejumlah besar kandungan zarah Endosulfan
ini sebati dalam sistem tubuh ikan berkenaan termasuk isinya.
Fakta di atas dapat dibuktikan dengan cara mencampakkan ikan yang ditangkap
(terutama yang dicincang isinya) ke dalam satu bekas berair yang mengandungi
hidupan (seperti jentik-jentik) dan lihatlah bagaimana hidupan kecil ini
mati. Ujian terhadap udang yang dituba juga menunjukkan kesan sama.
Tuba umpan beracun
KAEDAH ini adalah paling bahaya. Ia jelas mendedahkan si pemakan
ikan kepada keracunan kimia antara yang paling berbisa di kalangan ketegori
'racun'. Racun ini digunakan dengan mencampurkan ia bersama-sama umpan.
Konsep mengumpan ini sama seperti memancing dengan racun bertindak
sebagai mata pancing. Biasanya umpan ialah ricihan isi kelapa sawit yang
diuli dengan tepung atau roti yang dipenyek (diuli semula) dan kemudiannya
dicampurkan dengan racun kimia berkenaan.
Racun yang digunakan ialah dari kategori N-Methyl Carbamate yang dikenali
amat toksid. Pelbagai jenis racun kimia dalam kumpulan ini dan jenis yang
biasa digunakan ialah Carbofuran dan Methomyl. Ia berbentuk seperti garam
masakan biasa.
Mungkin di kalangan kita yang kurang arif dengan bahan kimia sebegini
tertanya-tanya adakah benar bahan ini ada digunakan dan senang didapati.
Jawapannya ialah ya... tetapi kita lebih biasa dengan jenamanya sahaja
tanpa mengetahui nama kimia sebenar.
Carbofuran (nama piawaian British, Amerika Syarikat dan ISO) selalunya
kita kenali dengan Furadan dan racun ini selalunya ditabur ke dalam tanah
ketika menanam bagi mengelak tanaman daripada dimakan ulat dan serangga
perosak.
Ada juga yang digunakan dengan cara semburan. Malangnya ada juga penanam
sayur yang menggunakan racun ini sebagai gantian meracun semburan bagi
memastikan sayur mereka subur. Konsep ini adalah salah kerana ia tidak
disyorkan untuk tanaman usia singkat seperti sayur-sayuran.
Bagaimanapun dalam konteks menuba ikan, ia kurang digunakan kerana
ia bukan lagi pada keadaan aslinya. Ia amat berbisa dan boleh menyebabkan
kematian seorang manusia dewasa dengan hanya termakan sekadar setengah
gram (berat sebiji kacang soya).
Methomyl pula lebih dikenali dengan nama dagangannya 'Lannate'. Racun
ini sudah dihentikan penjualannya di negara ini tetapi ada di kalangan
petani dan peniaga menyeludup masuk racun ini dari negara jiran.
Ia sangat berbisa, sama dengan racun Carbofuran. Selalunya di sekitar
tahun 1980an, racun ini sering digunakan untuk membunuh anjing liar dan
sering kita rdengar aktiviti me'lanet' anjing di Klang dan sekitarnya.
Keadaan ikan ketika termakan umpan beracun
Umpan digentel dan dilemparkan ke lubuk yang menjadi kediaman ikan yang
hendak ditangkap. Apabila ikan memakan umpan beracun, umpan berkenaan dikunyah
dan ditelan masuk ke dalam perut.
Sebaik sahaja dikunyah, racun mula bertindak dan segera disebarkan
ke seluruh tubuh ikan termasuk otaknya melalui sistem cecair tubuhnya (darah).
Hanya beberapa minit sahaja ikan berkenaan akan mengalami bisa-bisa
dan gangguan sistem saraf dan pernafasan. Akhirnya ia meluncur ke permukaan
air sementara menantikan detik kematiannya.
Ketika ini penuba akan memungut ikan. Biasanya hanya sebahagian
sahaja ikan yang dapat dipugut dan sebahagian lagi mendap ke dasar. Beberapa
jam kemudian ikan ini akan timbul ke permukaan apabila perutnya membusung
dan bengkak.
Kita boleh melihat keadaan ikan ini yang terseksa. Kebanyakannya
mengalami pendarahan di mata, insang serta kulit (celah sisik). Organ dalamannya
pula hancur dan dalam sekejap waktu sahaja ia menjadi busuk dan pecah perut.
Jika dapat ditangkap ketika ia masih hidup, seluruh badan ikan berkenaan
boleh dilihat menggeletar menahan bisa.
Kesan memakan ikan terkena racun
IKAN yang dituba sebenarnya sudah memindahkan racun dari umpan ke sistem
badan dan seterusnya sebati bersama isi tubuhnya. Ada di kalangan penuba
berpendapat dengan membasuh ikan selepas disiang dengan air yang banyak
dan kadangkala dibasuh dengan air kelapa dapat melupuskan racun berkenaan.
Anggapan ini salah sama sekali.
Kesan kepada manusia terbahagi kepada dua iaitu kesan segera dan
tertunda. Ia adalah kesan keracunan berantai yang terpindah secara tidak
langsung akibat memakan isi ikan yang mengandungi racun berkenaan.
Keberkesanan racun ini boleh mencapai lebih dua pusingan pemangsaan
(putaran) bergantung kepada jumlah dos racun yang terbabit. Perlu diingat
juga racun ini boleh memasuki tubuh badan kita secara serapan menembusi
kulit.
Kesan segeranya ia berkaitan perubahan kimia dalam badan yang
agak kompleks dan panjang untuk dijelaskan.
Umumnya ia berkaitan radang otot, saraf serta otak. Kesan jangka
panjang juga amat banyak seperti kerosakan hati, buah pinggang dan otak.
Oleh itu, adalah lebih baik kita menghindarinya daripada cuba memperjudikan
nasib dengannya.
Kerap kali terdapat binatang pemangsa seperti biawak memungut
dan memakan bangkai ikan ini tetapi akhirnya ia turut menjadi bangkai.
Ini menunjukkan ikan itu cukup berbisa untuk membunuh pemangsanya.
Apa yang dikhuatiri kemungkinan berlakunya seseorang memungut
ikan mati dan hanyut akibat racun ini tanpa mengetahui latar belakang kematian
ikan berkenaan. Sudah semestinya risiko keracunan lebih serius akan berlaku.
Dari itu, sebaiknya hendaklah jangan dipungut sebarang ikan hanyut kerana
ia berbahaya.
Penangkapan ikan secara pengeboman
AKTIVITI mengebom sudah sebati dengan sebahagian kecil pemancing
yang mementingkan diri sendiri tanpa memikirkan kesan kepada dirinya serta
sekitaran. Walaupun aktiviti ini sebenarnya menyalahi undang-undang kerana
menggunakan bahan peletup secara haram, tetapi akal manusia sentiasa melewati
batas berkenaan semata-mata kerana alasan mencari rezeki.
Berjenis-jenis bahan peletup telah dan sedang digunakan termasuklah
dinamit kuari, belerang mercun, TNT dan tak kurang juga yang terlalu kreatif
dengan membuat sendiri bahan peletup dari baja nitrat serta garam racun
rumpai (sodium chlorate).
Tidak kurang juga yang mengalami penangannya. Ada yang hilang jari
dan sesetengahnya kudung tangan. Bagi yang lebih malang, tubuh berkecai
terkena bahan letupan yang dibuat sendiri. Rasanya penduduk di sebuah daerah
di Pahang masih segar dengan kejadian di mana seorang lelaki maut apabila
menggunakan bahan TNT untuk mengebom ikan.
Di sini kita tumpukan perhatian kepada kaedah pengeboman yang biasa
digunakan iaitu menggunakan garam sodium chlorate kerana ia mudah dibeli
di pasaran dan harganya murah. Kesan aktiviti ini boleh dibahagikan kepada
tiga iaitu risiko semasa mengendali bahan berkenaan, kesan jangka panjang
apabila memakan ikan yang dibom dan kesan kepada sekitaran.
Risiko kerja pengeboman
KERJA haram ini amat berbahaya. Sodium Chlorate (NaCIO3) bukanlah garam
Sodium Chloride (NaCl) air laut yang kita gunakan. Ia adalah hasil sampingan
tindak balas kimia dalam satu reaktor.
Garam ini dipasarkan dalam kuantiti yang berbeza sama ada dalam beg
satu kilogram atau drum kecil. Ia adalah sejenis racun rumpai dan digunakan
untuk membunuh rumpai berdaun panjang serta tunas buluh.
Di dalam garam berkenaan terdapat satu bahan beracun yang dipanggil
arsenik dan ia adalah sisa tindak balas kimia yang menghasilkan garam berkenaan
dan kepekatannya berbeza-beza bergantung kepada kepekatan proses yang dijalankan.
Jika perawatan sisa kurang berkesan kandungan arsenik ini mungkin melebihi
1.0 gram (1,000 bpj - bahagian per juta) setiap kilogram garam.
Garam Sodium Chlorate juga berbahaya dan sedikit sebanyak boleh meresap
menembusi kulit dan bersatu dengan bendalir badan dan boleh merosakkan
sistem penapisan darah. Arsenik adalah bahan beracun. Berdasarkan kepada had piawaian bahan
berkenan, ia hanya memerlukan kurang dari 1.0 gram untuk memudarat dan
membunuh seorang manusia dewasa. Semasa percampuran ramuan, sedikit sebanyak
serbuk arsenik berkenaan akan sampai ke tubuh si pengebom sama ada secara
serapan atau tersedut debu ramuan. Di samping itu debu bahan lain seperti
sulfur juga berbahaya kerana boleh membentuk asid sulfurik di dalam paru-paru
apabila disedut.
Bahan campuran ini juga amat sensitif kepada haba. Sebarang geseran
termasuklah geseran tapak tangan boleh menyebabkan campuran ini tebakar.
Apatah lagi jika terkena sinaran matahari. Risiko letupan ketika menyediakan
ramuan ini sehingga meletupkannya di bawah air adalah amat tinggi dan sesiapa
yang melakukannya seolah-olah meletakkan nyawanya sekadar berharga beberapa
kilogram ikan yang hendak ditangkap.
|