VERSI : Mobile | Akhbar Digital
3 September 2014 / 8 Zulkaedah 1435  
  Carian Arkib
SELATAN

ARKIB : 07/08/2012

Kampung Bukit Sembilan lembah ilmu

REMBAU 6 Ogos - Berada di kawasan lembah ilmu di Kampung Bukit Sembilan, Chengkau dekat sini, bukan sahaja menambat hati malah menimbulkan keinsafan dengan apa yang dilakukan dan dilihat.

Apa tidaknya, sebaik sahaja melangkah ke Kompleks Pendidikan Sekolah Tinggi Islam As-Sofa (STIAS) tersebut, suasana terasa tenang kerana ia dipenuhi dengan para hafiz al-Quran, pencinta hadis dan ilmu yang membara semangatnya.

Perasaan itu pasti dirasakan sesiapa sahaja yang menyertai program Ihya' Ramadan anjuran Yayasan Sofa dan Yayasan Telekom Malaysia (YTM) yang diadakan di situ baru-baru ini.

Menurut seorang pelajar tajaan YTM dari Universiti Multimedia, Cyberjaya, Marhaini Abdul Rani, 19, berada dalam program tersebut terlalu unik kerana ia menghimpunkan banyak perkara yang mengajar erti peradaban manusia.

''Saya sedar, di sinilah satu wadah ilmu disebarkan yang mana pengisian dalamannya penuh dengan nasihat dan ibadah, yang kesemuanya memenuhi kehendak jiwa umat Islam khususnya golongan muda yang dahagakan ilmu dan pendedahan yang positif ini," katanya.

Menurut Marhaini, peserta program telah dibahagikan kepada beberapa kumpulan dan setiap kumpulan diberikan tugasan seperti membersihkan kawasan masjid, madrasah dan ada yang menyiapkan hidangan berbuka puasa.

''Kami menyertai banyak majlis ilmu dalam madrasah dan paling menyeronokkan apabila dapat berbuka puasa di halaman terbuka dan bersama-sama dalam majlis besar pada sebelah malam," katanya.

Antara kawasan yang terlibat dengan gotong-royong tersebut ialah Masjid Nerasau, Madrasah Al Husaniah, Masjid Tanah Datar, Masjid Chengkau Ulu dan sekitar kompleks.

Bagi pelajar Kolej Islam As-Sofa (KIS), Mohd. Zaki Kamal, 22, pula, pengalaman bersama rakan-rakan lain adalah sesuatu yang tidak dapat dilupakan apatah lagi mereka meraikan bulan Ramadan dengan pengisian program ilmu.

''Dalam program ini, saya diberikan tugasan melapah daging. Tentulah seronok bila semua kerja dilakukan secara gotong-royong," katanya.

Sementara itu seorang lagi pelajar tajaan YTM dari Universiti Multimedia, Tan Sheng Hoong, 19, memberitahu, setiap kali tibanya bulan Ramadan, dia akan mengikuti program yang dianjurkan itu.

''Ini adalah kali ketiga saya menyertainya dan yang paling menarik adalah di Kompleks Pendidikan STIAS ini. Ia cukup luar biasa dan begitu ramai yang datang bersama menjayakannya. Mereka amat mesra sekali dan tidak pula meminggirkan saya.

''Saya berterima kasih kepada penganjur kerana memperlihatkan kepada saya satu program yang amat baik sekali. Saya telah mendapat ramai kawan di sini, mereka cukup rajin belajar dan membantu antara satu sama lain," katanya.

Rakannya S. Vinodthini, 21, berkata, dia seronok dapat bersama rakan lain untuk meraikan program luar biasa tersebut.

''Kalau ada peluang untuk menyertainya lagi, saya akan datang semula ke Kompleks Pendidikan STIAS ini. Pengalaman ini tidak boleh dibeli dengan wang ringgit melainkan rasa sendiri," katanya.

Ahmad Faiz Abd. Karim, 19, pula berkata, program sebegini amat perlu untuk pelajar mengetahui asas agama walaupun ia telah diajar di sekolah.

''Bila kita menyertai aktiviti seumpama ini terlalu banyak ilmu yang diperoleh, sedangkan masa yang ada cuma sedikit sahaja. Apa pun, saya bersyukur kerana dapat hadir dalam majlis ilmu yang dihimpunkan sambutan Nuzul al-Quran," katanya.

Selain mereka, lebih 900 pelajar tajaan YTM dan Yayasan Sofa turut mengikuti program tersebut.

Pengarah Pembangunan Korporat KIS, Abdul Muntaqim Zulkipli menjelaskan, tujuan Ihya' Ramadan diadakan adalah untuk menimbulkan kesedaran dalam kalangan pelajar Islam.

''Kita mahu mereka tahu apa kelebihan bulan Ramadan yang mulia ini berbanding bulan-bulan lain di mana boleh menjadi titik perubahan positif dalam diri pada masa akan datang," katanya.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:51
Zohor 1:16
Asar 4:22
Maghrib 7:20
Isyak 8:29


 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
PRK Bukit Gelugor
Utusan Live di PRK Parlimen Bukit Gelugor
PRK Teluk Intan
Utusan Live di PRK Parlimen Teluk Intan
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.