VERSI : Mobile | Akhbar Digital
21 September 2014 / 26 Zulkaedah 1435  
  Carian Arkib
SELATAN

ARKIB : 03/07/2012

Melaka destinasi popular dunia

Sebahagian daripada orang ramai termasuk pelancong asing hadir memeriahkan sammbutan Pesta Sungai Melaka.

MELAKA 2 Julai - Sejak penganjuran kali pertama pada tahun 2007, Pesta Sungai Melaka telah menjadi antara aktiviti sungai terbesar di negara ini.

Padat dengan pelbagai aktiviti menarik, pesta yang menjurus kepada pelbagai aktiviti di Sungai Melaka itu ternyata bukan sahaja berjaya menggamit kunjungan masyarakat tempatan, malah dari luar negara.

Bersesuaian dengan tema Sungai Melaka Transformasi Pelancongan pada penganjuran kali keenam yang berakhir 30 Jun lalu, kehadiran sejuta pelancong ke negeri ini sepanjang tempoh sebulan itu tidak dapat menyangkal keunikan yang ada pada pesta itu.

Maka tidak hairanlah jika taraf pesta itu diangkat oleh kerajaan negeri menjadi Festival Sungai Melaka Sedunia pada tahun-tahun akan datang.

Sebagai sebuah negeri pelancongan, tentu sahaja tarikan serta keunikan sesebuah aktiviti yang dianjurkan begitu diberi keutamaan oleh kerajaan negeri.

Bukan sahaja bertujuan mempromosikan nama negara ke seluruh dunia, malah membantu menjana ekonomi rakyat di negeri ini.

Mengisi kandungan pesta tersebut, sebanyak 114 acara telah disusun rapi oleh penganjurnya, Perbadanan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM).

Antara yang cukup menarik perhatian ialah pertandingan perahu naga, badang, persembahan kesenian, cabaran kayak, kempen alam sekitar, Melaka Idol, festival nasyid, persandingan beramai-ramai saudara baru dan pertandingan memancing.

Sambutan yang memberangsangkan itu turut memberi tempias kepada produk-produk pelancongan lain negeri yang merekodkan peningkatan kunjungan sepanjang berlangsungnya pesta itu.

Ini termasuklah Zoo Melaka, Menara Taming Sari, pusat beli-belah, kebanyakan hotel dan rumah inap kehabisan bilik sepanjang tempoh tersebut.

Bukan itu sahaja, jumlah pelancong yang menaiki Melaka River Cruise yang direkodkan antara 1 hingga 24 Jun lalu mencecah 100,000 orang.

Barangkali berita mengenai Melaka yang diuar-uarkan menduduki tempat ke-28 di antara 45 destinasi popular dunia oleh New York Times baru-baru ini telah memberi impak positif terhadap penganjuran pesta itu.

Pesta yang bukan lagi asing dalam kalangan rakyat di negeri ini telah menjadi acara yang cukup dinanti-nantikan, apatah lagi sebelum ini ia telah tersenarai sebagai salah sebuah aktiviti terbesar dalam kalendar pelancongan negara.

Setelah sebulan berlangsungnya pelbagai acara menarik, Pesta Sungai Melaka 2012 akhirnya melabuhkan tirainya dengan penuh gilang gemilang dan dramatik.

Malam kemuncak itu telah diadakan di Kampung Morten di sini pada 30 Julai lalu.

Ibarat berada di zaman kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka dan Laksamana Hang Tuah, gambaran tersebut dizahirkan menerusi pemakaian busana Melayu lama oleh para pemimpin negeri serta penduduk yang tinggal di kampung itu.

Meriah dan cukup menarik perhatian apabila Yang Dipertua negeri, Tun Mohd. Khalil Yaakob serta Ketua Menteri, Datuk Mohd. Ali Rustam tampil berbusana ala pahlawan Melayu.

Menambah lagi keterujaan lebih 2,000 pengunjung yang hadir ialah apabila Exco negeri juga tidak ketinggalan mengenakan pakaian Melayu lama bagi menyokong tema penutupan pesta tersebut.

Kejayaan pesta sungai terbesar negara yang telah dianjurkan sebanyak enam kali oleh PPSPM itu akhirnya membawa transformasi apabila pelancaran Festival Sungai Melaka Sedunia 2013 dilakukan pada malam itu oleh Mohd. Khalil.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:48
Zohor 1:09
Asar 4:14
Maghrib 7:12
Isyak 8:20



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.