ARKIB : 05/08/2012
Apresiasi puisi tema Ramadan
PUISI adalah kata-kata terpilih dari nurani yang bersih. Memilih kata-kata, menyusun dan memaknakan kata-kata itu adalah proses kreatif yang sewajarnnya tidak terpisah dari akar tunjang agama. Ini membuktikan puisi adalah suara nurani tentang apa sahaja yang melingkari hidup manusia; agama, sosial dan juga politik.
Lahirnya puisi-puisi yang berunsur Islam memberikan ruang yang lebih luas kepada genre sastera ini untuk dimanfaatkan oleh masyarakat. Malah memberi apresiasi kepada puisi-puisi berunsur Islam juga boleh menyebarluaskan alam fikir penyair tentang agamanya. Malah ini jugalah yang memanjangkan hayat acara tahunan Malam Apresiasi Puisi Ramadan (MAPR).
MAPR 2012 di Kota Bahru, Kelantan tahun ini mengajak khalayak menghayati semangat dan roh Ramadan al-Mubarrak, penghulu segala bulan. Acara anjuran bersama Gabungan Penulis Muda Negeri Kelantan (GEMA) dan Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur (DBPWT) ini dirasmikan oleh Pengarah DBPWT, Azmi Ibrahim.
Tetamu kenamaan iaitu Prof. Datuk Dr. Sheikh Hussin Ab. Rahman Al-Amudi, mantan Pengarah UiTM Kelantan. Turut hadir memeriahkan acara tersebut ialah pelajar dari Institut Pendidikan Guru Kampus Kota Bharu (IPGKB), Kolej Islam Sains dan Teknologi (KIST) Bachok, pelajar-pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Lati, Pasir Mas serta peminat sastera.
MAPR 2012 merupakan acara tahunan GEMA dan DBPWT yang terus berkesinambungan semenjak mula dianjurkan pada 1986. Ia bertemakan ibadah Ramadan yang mengungkapkan peristiwa serta kerahmatan yang terdapat dalam bulan Ramadan. Deklamasi puisi yang dihiasi dengan muzik latar dan tayangan slide telah memuncakkan lagi penghayatan terhadap acara tersebut.
Puisi-puisi program ini dideklamasikan oleh Dr. Sheikh Hussin Ab. Rahman, Muhammad Daniel Afifi Ezani, Siti Nur Zafran Zainal Abidin, Haji Ab. Aziz Ismail, Mohd. Hassany Hashim, M. Arif Man, Salman Sulaiman, Maroof Seman, Aminuddin Mamat, Mohd. Zizee Setapa, Adik Diya Akhlas Ayrisha Sharrul Rizal, Kumpulan Nasyid Soutul Raudhah dari SMKA Lati, Pasir Mas serta nyanyian lagu-lagu puisi oleh Mohd. Nasir Hassan.
Qari Jemputan dari SMKA Melor, Muhammad Muhaimin Azman memulakan persembahan dengan bacaan al-Quran. Kemudian diikuti dengan persembahan Nazam Rukun Islam oleh Diya Akhlas Ayrisha Sharrul Rizal.
Dr. Sheikh Hussin Ab. Rahman mendeklamasikan puisi Syaaban karya Hussin Al-Amudi. Puisi ini menggambarkan tentang situasi ketika umat Islam sedang bergembira mempersiapkan diri di bulan Syaaban dalam menantikan ketibaan Ramadan.
MAPR kali ini turut diisi dengan lagu nasyid oleh Kumpulan Nasyid Soutul Raudhah dari SMKA Lati, Pasir Mas. Haji Abdul Aziz Ismail muncul dengan puisinya, Barakah Ramadan yang menceritakan lagi tentang keberkatan bulan Ramadan. Manusia diuji kesabarannya, setiap ibadah dilipatgandakan, mentarbiahkan diri untuk menjadi muslim sejati, dan seterusnya mencari Lailatul -Qadar yang dijanjikan.
Penyair Hilmi Rindu turut mendeklamasikan puisi berjudul Ramadan dengan penuh penghayatan dengan turut dikongsi bersama oleh para penonton. Puisi Terawih karya Firdaus Abdullah yang menggambarkan tentang kelebihan dan kenikmatan bertarawih telah dideklamasikan oleh Penolong Pengarah Bahasa Melayu Jabatan Pelajaran Negeri Kelantan, Mohd. Hassany Hashim.
Acara deklamasi puisi diteruskan dengan kemunculan M. Arif Man, seorang penulis muda dengan puisinya Penawar Buat Derita Khilaf Ijtihad Di Tubuh Makrifat. Puisi ini membawa para penonton diajak untuk menyelami detik-detik al-Quran diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW.
Puisi Mengenang Seorang Panglima Perang, Antara Badar Al-Kubra dan Al-Falah dideklamasikan oleh Salman Sulaiman. Penonton diajak menoleh kembali kepada sejarah dua peperangan besar di dalam bulan Ramadan iaitu Badar Al-Kubra dan Al-Fatah.
Penyair Maaruf Seman menyusul dengan puisi Usia Satu Malam Dalam Nafas Ramadan karya Abdul Hadi Yusof . Aminuddin Mamat yang mendeklamasikan puisinya Ketika Ramadan Mengundur Diri membuatkan para penonton merasa sayu dan terharu apabila Ramadan mengundurkan diri. Sementara puisi Erti Sebuah Aidilfitri dideklamasikan oleh Mohd. Zizee Setapa.
MAPR kali ini telah meninggalkan kesan mendalam kepada para penonton yang hadir. Penghayatan melalui puisi-puisi yang bermula dari bulan Syaaban menuju ke daerah Ramadan serta diakhiri dengan menyambut kehadiran Syawal telah melengkapkan tema ibadah Ramadan sebagai penghulu segala bulan.
Alif Ba Ta
Sastera Melayu wadah perpaduan
Kemudahan serba canggih
Dalam hutan ada hantu
Perkemaskan subjek sastera Melayu
Duri dan api di Utusan Melayu
Berlakon teater bukan mudah
Destiny kumpul pelukis muda
Lambang
Fahami sastera sebelum adaptasi
Model negara Islam moden
Destinasi wajib
Kayu hulu kapak
Melayu lestarikan bahasa Melayu
Menghayati sengsara dan kemanusiaan
KAMI - pameran dua generasi
Tongkat kuasa
Peranan penulis membangunkan negara
Menangani gaya hidup songsang
Waktu Solat Kuala Lumpur |
||||
|
||||









