VERSI : Mobile | Akhbar Digital
21 April 2014 / 21 Jamadil Akhir 1435  
  Carian Arkib
SAINS & TEKNOLOGI

ARKIB : 12/08/2012

Jejak Inovasi cungkil bakat luar biasa

Saksofon buluh? Gasing plastik? Parang elektrik? Miniatur rumah kampung?

Mungkin pelik kedengaran bagi pembaca tetapi ini adalah hasil inovasi oleh mereka yang tidak langsung mempunyai latar belakang dalam bidang reka cipta.

Tentu ramai tertanya-tanya, bolehkah buluh menghasilkan bunyi persis saksofon besi yang ada di pasaran?

Jejak Inovasi anjuran Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) ke Sabah pada September 2011 lalu menemui pencipta saksofon buluh, Philipus Jani.

Philipus yang gemar bermain alat muzik dan meniup saksofon sering meminjam daripada rakannya sehinggalah rakannya berpindah.

Justeru minatnya yang mendalam terhadap saksofon mendorong beliau mula menciptanya pada 1993 walaupun tanpa sebarang pendidikan formal mengenai alat muzik.

Persekitarannya yang banyak pokok buluh menyebabkan beliau menggunakan bahan yang mudah ditemui.

Membuat saksofon daripada buluh bukan satu jalan mudah kerana hanya pada 2005 barulah Philipus berjaya menghasilkan saksofon yang sempurna dan berbunyi sama seperti yang asli.

Produk ciptaannya bukan saja berjaya menarik pengkaji muzik tetapi juga profesor universiti dan peminat muzik seluruh negara dan dunia.

Malah saksofon buluh juga telah membawa Philipus sehingga ke Jepun.

Kini beliau telah menghasilkan 12 alat muzik daripada buluh termasuk gitar elektrik.

Lebih menarik apabila Philipus berjaya 'menukar' sebatang buluh yang berharga RM2 pada harga kilang kepada alat muzik dengan harga RM500 hingga RM4,000.

Kini saksofon buluh telah difail untuk dipatenkan.

Gasing plastik pula hasil inovasi Pak Ngah yang berasal dari Kampung Sanggang, Temerloh, Pahang.

Beliau mencipta gasing yang diperbuat daripada plastik kerana dianggap lebih praktikal berbanding gasing kayu.

Gasing plastik, kata Pak Ngah lebih kukuh berbanding gasing kayu yang digunakan selama ini.

Gasing plastik dikatakan dapat mengatasi masalah penebangan pokok untuk menghasilkan gasing kayu dalam kuantiti yang banyak.

Gasing plastik ini juga lebih selamat untuk dimainkan oleh kanak-kanak dan remaja kerana ia tidak mudah pecah selain sesuai dimainkan di sekolah.

GasingKelebihan gasing plastik, ia ringan, mudah dibawa ke mana-mana, beratnya seragam dan tidak mudah pecah dan mendatangkan kecederaan kepada pemain dan penonton.

Rekaannya telah memikat hati penyelidik dan pensyarah daripada universiti tempatan bagi meneruskan usahanya.

Inovasinya diiktiraf oleh Persatuan Gasing Pangkah Kebangsaan dan Persatuan Gasing Pangkah Asia.

"Semua ini adalah antara inovasi yang berjaya kami cungkil semasa Jejak Inovasi yang bermula sejak tahun lalu," kata Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Inovasi Malaysia (YIM), Muhammad Aziph Datuk Mustapha.

Jejak Inovasi, jelas Muhammad Aziph adalah idea Menteri Sains Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Maximus Johnity Ongkili selepas ke India dan mendapati sebuah agensi negara berkenaan berjaya mengkatalog beribu-ribu inovasi hasil kembara mereka di kawasan pedalaman dua kali setahun.

"Bagaimanapun bagi Jejak Inovasi, kami mengubah sedikit konsep untuk disesuaikan dengan keadaan tempatan.

"Kami bukan saja mencari inovasi di kawasan pedalaman tetapi di kawasan bandar terutama bagi golongan kurang mampu tetapi kreatif.

"Kami pergi kepada golongan akar umbi termasuk di bandar besar seperti Bangsar dan Putrajaya," katanya.

Setiap kali Jejak Inovasi akan membawa saintis, jurutera dan pakar dalam pelbagai bidang untuk menilai dan menambah baik inovasi yang ditemui.

Pihak MOSTI dan YIM juga akan membantu produk berpotensi dari segi khidmat teknikal serta saluran bantuan dari segi piawaian dan dana yang disediakan oleh kerajaan, bank dan pihak swasta.

Jejak Inovasi berkonsepkan inovasi yang direka dan boleh diguna pakai oleh golongan tersisih disebabkan geografi, politik, minoriti dan sosioekonomi.

Bagi 2012, YIM merancang ke 15 lokasi dan sehingga kini telah menjelajah ke sembilan buah lokasi.

Biasanya, kata Muhammad Aziph, dalam masa sejam di sesuatu lokasi mereka terus mendapat maklum balas daripada penduduk setempat.

"Buat masa ini kami sedang membina peta inovasi, yang melibatkan lokasi, jantina dan peringkat inovasi sama ada telah dikomersialkan atau belum.

"Semuanya boleh dilihat dalam laman web di http://www.yim.my/databank," katanya.

Bagi mereka yang berminat atau mempunyai inovasi istimewa, nantikan kedatangan Jejak Inovasi ke tempat anda.

Atau mereka boleh juga melayari laman web YIM www.yim.my bagi mendapatkan maklumat lanjut.

Utusan Online on Facebook
Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:48
Zohor 1:15
Asar 4:28
Maghrib 7:20
Isyak 8:31
 
 



IKLAN@UTUSAN



BANCIAN ONLINE
IKLAN@UTUSAN

MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.