VERSI : Mobile | Akhbar Digital
27 Ogos 2014 / 1 Zulkaedah 1435  
  Carian Arkib
SAINS & TEKNOLOGI

ARKIB : 06/08/2012

Forensik alam sekitar

Serangga yang ditemui dijadikan sebagai petunjuk (indicator) tahap kebersihan air sungai.

BAGAIKAN rancangan drama televisyen luar negara yang terkenal itu CSI (Crime Scene Investigation), ketika ini, mekanisme menangani jenayah alam sekitar juga memerlukan satu unit khas untuk tujuan tersebut.

Kebiasaannya pesalah alam sekitar didakwa berdasarkan bukti berbentuk fizikal yang kasar, mudah dilihat dan ditemui.

Namun bagi Unit Forensik Alam Sekitar, Fakulti Alam Sekitar, Universiti Putra Malaysia (UPM), bukti tersebut sahaja tidak memadai.

Setiap kesalahan terhadap alam sekitar perlu diperincikan agar pesalah dapat dikenakan tindakan yang setimpal dengan perbuatan yang dilakukan.

Menurut Ketua Unit Pemodelan Alam Sekitar, Pusat Kecemerlangan Forensik Alam Sekitar, Dr. Hafizan Juahir, pesalah alam sekitar kini semakin bijak memanipulasikan undang-undang.

Mereka menggunakan pelbagai teknik untuk mengaburi mata pihak penguatkuasa bagi mengelakkan daripada dikenakan tindakan undang-undang.

"Bagi kami di unit forensik, setiap kesalahan yang dilakukan akan dikaji secara terperinci. Bermula daripada pemerhatian dan intipan sehinggalah kepada uji kaji di makmal.

"Kadang kala bahan bukti tidak berada di tempat kesalahan dilakukan. Namun ia boleh ditemui di kawasan lain. Di sinilah pentingnya uji kaji dan data yang dikumpul," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam program ekspedisi melaksanakan aktiviti pengumpulan data di Hutan Lipur Lata Kijang, Jelebu, Negeri Sembilan baru-baru ini.

Ujar Dr. Hafizan, segala kajian dan maklumat yang dikumpulkan untuk memudahkan pendakwaan dibuat oleh pihak berkuasa.

Ia bagi memastikan pesalah yang melakukan jenayah terhadap alam sekitar tidak dapat melepaskan diri daripada dikenakan tindakan undang-undang.

Unit Forensik Alam Sekitar tersebut terbahagi kepada empat jabatan khas yang ditugaskan untuk melaksanakan tugas-tugas yang berlainan.

Bagi jabatan pertama ia dikenali sebagai Jabatan Permodelan Alam Sekitar, berfungsi sebagai sebuah unit khas untuk menganalisis data.

Uunit itu juga jelas Dr. Hafizan, merupakan antara yang bertanggungjawab melakukan ramalan berkenaan suasana alam sekitar pada masa hadapan berdasarkan maklumat yang dikumpul saban tahun.

"Di sini kami banyak melakukan analisis perubahan tahun demi tahun. Malah turut mengambil kira perubahan yang berlaku beberapa abad yang lalu," ujarnya.

Seterusnya Jabatan Pemonitoran Alam Sekitar yang berfungsi memantau serta mengumpul data bermula daripada air, udara bahan kimia daripada keladak.

Ia juga merupakan sebuah unit yang bertindak menentukan nilai sebenar data untuk di jadikan sebagai model atau sebuah pusat pengumpulan data yang lebih holistik.

Ketiga, Jabatan Risiko Alam Sekitar yang bertanggungjawab untuk membuat penilaian risiko yang bakal dihadapi oleh alam sekitar.

Jelas Dr. Hafizan, unit itu meneliti kesan pencemaran alam sekitar terhadap benda hidup dalam alam sekitar.

Terakhir adalah jabatan yang bertanggungjawab dalam menentukan polisi dan sosio-ekonomi secara lebih menyeluruh.

Pengendalian kajian terhadap alam sekitar sering disalah erti oleh masyarakat bahawa kumpulan ini hanya menumpukan kerja-kerja di makmal dan yang berkaitan proses menganalisis sahaja.

Unit itu juga melibatkan penggunaan undang-undang yang mana peruntukan perundangan akan dikaji bagi membantu membuat keputusan yang tepat berkenaan gerak kerja yang perlu dilakukan pada masa kini dan juga masa hadapan.

Sebagai contoh, terdapat undang-undang berkaitan alam sekitar yang berkaitan dengan perlembagaan negara.

Ia berikutan kadar pencemaran kini telah berubah dan semakin berevolusi mengikut perkembangan semasa. Justeru, adalah tidak relevan jika undang-undang yang sedia ada masih berada di takuk yang lama.

Dr. Hafizan memberi contoh bagaimana pencemaran yang membabitkan bahan-bahan yang berasaskan ubat-ubatan kini makin mencemari alam sekitar dan amat sukar dikesan jika hanya melalui pemerhatian fizikal.

Malah, kajian yang dilakukan tidak hanya di negara ini, ia turut melibatkan jalinan kerjasama daripada negara-negara maju yang lain seperti Jepun, Taiwan, Korea dan Kanada untuk tujuan berbandingan data.

Pertama

Buat pertama kalinya sebuah pusat Kecemerlangan Forensik Alam Sekitar ditubuhkan dan Universiti Putra Malaysia (UPM) merupakan satu-satunya universiti tempatan yang memilikinya.

Menurut Dr. Hafizan , pusat tersebut ditubuhkan untuk mengkaji serta mengekstrak data yang sedia ada berkenaan pencemaran alam sekitar.

"Maklumat dan data berkenaan pencemaran banyak diperolehi melalui pelbagai kajian yang dilaksanakan di seluruh negara.

"Namun ia berada dalam keadaan yang tidak teratur dan sukar untuk digunakan," ujarnya lagi.

Jelas Dr. Hafizan, sejak ditubuhkan pusat tersebut menerima maklum balas yang amat memberansangkan daripada pelbagai pihak terutamanya agensi-agensi kerajaan yang memerlukan khidmat kepakaran mereka.

"Tugas pusat ini sama seperti unit forensik anggota polis dimana kami juga turut mengenal pasti 'cap jari' pesalah serta (asid dioksiribonukliek (DNA) bahan-bahan yang dibuang sehingga mencemarkan alam sekitar oleh mereka," katanya.

Apabila bukti-bukti tersebut diperoleh berserta undang-undang yang semakin mantap maka setiap kesalahan yang dilakukan oleh penjenayah alam sekitar tersebut tidak lagi dapat disorok dan mereka juga tidak lagi terlepas untuk dikenakan tindakan undang-undang.

Namun, setiap perkara baru itu pasti menemui cabaran yang tersendiri, ia termasuk juga pusat tersebut.

Antara cabaran utama yang perlu dihadapi adalah untuk membangunkan sebuah pusat data yang lengkap agar mudah untuk dijadikan sebagai rujukan oleh pihak yang memerlukan.

Dr. Hafizan memberi contoh pencemaran akibat tumpahan minyak oleh kapal daripada negara-negara tertentu. Sekiranya tiada maklumat terperinci berkenaan kandungan minyak, perkapalan dan negara asal yang membawanya adalah amat sukar tindakan undang-undang dapat diambil.

Justeru, segala data mengenai kandungan minyak dan negara yang mengeluarkannya amat membantu dalam mengesan mereka yang bertanggungjawab.

Sehingga kini pihaknya sentiasa memperbaharui dan mengumpul data terkini serta tidak hanya bergantung kepada data-data yang sedia ada di pihak kerajaan.

Namun bagi Dr. Hafizan, cabaran terbesar adalah untuk mendidik masyarakat berkenaan kesedaran awam agar tidak sewenangnya mencemarkan alam sekitar.

"Apa yang penting kini adalah pertukaran maklumat perlu berjalan dengan lancar .

"Di sini lah unit sosio memainkan peranannya menukarkan maklumat dalam bentuk teknikal kepada maklumat yang lebih mudah diserap dan difahami oleh masyarakat," ujarnya.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zohor 1:18
Asar 4:29
Maghrib 7:23
Isyak 8:33


 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
PRK Bukit Gelugor
Utusan Live di PRK Parlimen Bukit Gelugor
PRK Teluk Intan
Utusan Live di PRK Parlimen Teluk Intan
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.