VERSI : Mobile | Akhbar Digital
19 April 2014 / 19 Jamadil Akhir 1435  
  Carian Arkib
SAINS & TEKNOLOGI

ARKIB : 16/07/2012

Memanfaatkan bahan buangan

SAMPAH yang kita buang setiap hari hingga menyebabkan longkang tersumbat dan menjadi punca kepada banjir kilat sebenarnya memiliki nilai yang tinggi jika diproses semula.

Pada zahirnya ia mungkin kelihatan tidak berguna, tetapi jika diproses dan dikitar semula ia boleh ditukar kepada sesuatu yang bermanfaat.

Plastik contohnya, antara bahan yang paling banyak digunakan oleh masyarakat hari ini dan paling banyak dibuang.

Jika diproses dan diasingkan semula bahan-bahan itu boleh dijual dan menghasilkan pendapatan. Tetapi untuk membolehkan sampah itu mempunyai nilai tertentu, ia perlu diasingkan terlebih dahulu.

Menurut Pengarah Urusan Zull Design Autotronic Sdn. Bhd., Zulkifli Haron, jika bahan-bahan buangan tersebut dapat diasingkan dengan baik, seorang pengusaha tapak pelupusan sampah mampu memperoleh keuntungan RM15,000 hingga RM20,000 sebulan.

"Hari ini sampah tidak diasingkan secara sistematik bermula daripada rumah lagi dan yang diproses hanya sedikit berbanding yang dibuang.

"Apabila tiba ditapak pelupusan sampah ia perlu diasingkan secara manual menggunakan tangan dan memakan masa yang panjang.

"Ia juga tidak praktikal bagi longgokan sampah yang bertan-tan banyaknya," katanya ketika ditemui di pejabatnya di Sungai Buloh baru-baru ini.

Menyedari masalah tersebut, Zulkifli yang terkenal dengan pelbagai idea dan inovasi telah mencipta sebuah mesin pengisar gergasi yang mampu 'mengunyah' segala sampah dan mengasingkannya.

Sebutkan sahaja apa jua jenis sampah di tapak pelupusan sampah bermula daripada plastik, logam, kaca, kertas mahupun bahan buangan organik semuanya boleh diguna pakai semula.

"Mesin yang dicipta ini bukan sahaja mampu memproses sampah yang baru, malah boleh memproses bahan buangan yang telah bertahun-tahun terperap di tapak pelupusan sampah," ujarnya.

Tambahnya, sampah yang telah terperap begitu lama sering menimbulkan masalah kerana ia sukar untuk diasingkan di samping tiada siapa yang mempedulikannya.

Di kenali sebagai Domestic Tromel, ia mampu mengasingkan bahan buangan seperti plastik, logam, kertas, kayu dan bahan-bahan organik pada satu masa.

Terdiri daripada tiga bahagian iaitu loader yang berfungsi sebagai pintu masuk bagi sampah atau 'mulut' Domestic Tromel.

Kemudian bahagian badan yang bergerigi logam tajam bagi mengisar, mencarik dan menceraikan sampah lama yang telah bergumpal bersama bahan-bahan organik dan tanah.

Terakhir adalah conveyer, bahagian yang bertanggungjawab mengasingkan sampah mengikut saiz dan jenis.

Setelah diasingkan oleh conveyer, pekerja tapak pelupusan sampah hanya perlu mengutip bahan-bahan tersebut sebelum dijual untuk diproses.

Semua bahagian sampah yang telah diproses boleh dijual atau diguna semula termasuklah sisa buangan organik yang mana boleh dijadikan baja.

Jelas Zulkifli lagi, Domestic Tromel sengaja dicipta bersaiz besar untuk memenuhi kapasiti memproses sampah yang banyak di tapak pelupusan sampah.

Dibina dengan panjang minimum 15 kaki dan boleh mencecah sehingga 30 kaki ia merupakan satu-satunya mesin mengasing sampah yang dihasilkan oleh anak jati tempatan.

Bagi set domestik, ia boleh dibina sehingga panjangnya mencecah 80 kaki dan mampu memproses satu tan sampah dalam masa satu jam dan mampu memproses 10 tan sampah sehari.

Ubah suai

Mesin tersebut juga dibina daripada bahan yang tahan lasak, mudah diperbaiki dan hanya seberat dua tan yang mana ia boleh dialihkan dengan mudah.

Selain digunakan di tapak pelupusan sampah, ia juga boleh diletakkan berdekatan kawasan perumahan, pasar-pasar basah bagi memproses sampah dengan lebih cepat tanpa perlu dihantar ke tapak pelupusan sampah.

Dalam pada itu, ia juga boleh diubah suai untuk memproses pasir, batu-batu dan bahan buangan daripada tapak pembinaan.

Sememangnya diluar negara terdapat mesin yang menggunakan konsep yang sama, namun ia lebih besar dan mahal.

Bagi Zulkifli, bukan keuntungan yang dicari dengan mencipta mesin tersebut, tetapi lebih kepada memberi jalan keluar terhadap masalah yang dihadapi oleh tapak pelupusan sampah yang menerima sampah terlalu banyak hari demi hari.

Sehingga kini sudah dua set Domestic Tromel sedang digunakan dan Zull Design Autotronic Sdn. Bhd. sedia menerima tempahan daripada mereka yang berminat.

Malah salah satunya telah dipasang di tapak pelupusan sampah di Bukit Beruntung, Selangor untuk tujuan ujian.

Ujar Zulkifli lagi, harga adalah bergantung kepada saiz dan spesifikasi mesin yang dikehendaki pelanggan dan ia tidak melebihi RM50,000 bagi satu set.

Berbanding dengan mesin yang sedia ada dari luar negara kadang kala mampu mencecah jutaan ringgit.

Bagi yang berminat untuk mendapatkan maklumat tambahan boleh melayari laman web Zull Design Autotronic di www.zulldesign.com.my.

Utusan Online on Facebook
Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:49
Zohor 1:15
Asar 4:28
Maghrib 7:21
Isyak 8:31
 
 



IKLAN@UTUSAN



BANCIAN ONLINE
IKLAN@UTUSAN

MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.