VERSI : Mobile | Akhbar Digital
24 September 2014 / 29 Zulkaedah 1435  
  Carian Arkib
SABAH & SARAWAK

ARKIB : 09/08/2012

Pendidikan jadi keutamaan

NAJIB Tun Razak (kiri) diiringi Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman (empat, kiri) dan Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan (tiga, kiri) pada upacara simbolik pecah tanah Kolej Komuniti Kadazandusun Murut di daerah Tambunan, Sabah, baru-baru ini. Turut kelihatan, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor (dua, kanan). - UTUSAN/AZRUL EDHAM MOHD. AMINUDDIN

KENINGAU 8 Ogos - Pendidikan merupakan elemen terpenting dalam pembentukan negara dan bangsa. Jadi tidak hairanlah mana-mana negara sama ada negara maju atau membangun sentiasa memberi keutamaan kepada aspek pendidikan warganya.

Dalam konteks masyarakat dan institusi keluarga, pendidikan juga dilihat sebagai faktor utama yang mampu mengubah kehidupan individu dan keluarga.

Menyedari hakikat itulah kerajaan negeri bertindak proaktif menubuhkan Kolej Komuniti Kadazandusun Murut (KDM) di daerah Tambunan di pedalaman negeri ini.

Pembinaan itu turut mendapat restu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak apabila beliau sendiri turun padang bagi merasmikan majlis pecah tanah kolej tersebut baru-baru ini.

Untuk pembinaan kolej itu tapak seluas 20.2 hektar dipilih di bahagian sempadan timur mukim Kaingaran di Tambunan dan reka bentuk bangunan bermotifkan kebudayaan KDM.

Presiden Persatuan Kebajikan KDM Sabah (Pekadin), Newmon Tibin yang turut terlibat dalam mencetuskan idea itu berkata, pembinaan Kolej KDM bertepatan dengan usaha meningkatkan taraf pendidikan masyarakat di kawasan pedalaman.

Katanya, ia akan menjadi wadah berkesan bagi mengubah taraf kehidupan masyarakat di kawasan pedalaman di negeri ini.

Jelasnya, kewujudan kolej itu dapat menghapuskan kekangan jarak dan kos yang sentiasa menjadi penghalang kepada penduduk setempat bagi menghantar anak-anak mereka ke institusi pengajian tinggi.

“Sebelum ini semua pelajar di pedalaman seperti di Keningau, Tambunan dan Pensiangan perlu pergi ke Kota Kinabalu atau Kuala Lumpur kerana tiada pusat pengajian tinggi di kawasan ini.

“Jadi ada keluarga yang berpendapatan rendah tidak dapat berbuat demikian, maka ada baiknya sebuah pusat pengajian dibina di sini bagi memberi peluang kepada semua pelajar mendapat pendidikan yang baik," katanya.

Menurutnya, pada peringkat awal kolej itu akan menawarkan kursus peringkat sijil dan diploma.

Tambahnya, kolej itu juga akan memberi peluang kepada pelajar yang kurang cemerlang dalam akademik mendapat pendidikan sewajarnya dengan menawarkan kursus kemahiran.

Dalam pada itu, seorang penduduk kampung, Nelly Gabal, 43, berkata, pembinaan kolej berkenaan memberi harapan yang besar kepadanya dan semua penduduk kampung.

Ibu kepada lapan anak itu berkata, dengan adanya kolej berkenaan dia berharap supaya anak-anaknya dapat melanjutkan pelajaran seterusnya memperoleh pekerjaan yang baik.

“Pada masa ini terdapat empat lagi anak saya yang masih bersekolah manakala seorang belajar di Kolej Cosmopoint Kota Kinabalu.

“Jadi dengan adanya kolej ini saya harap boleh menghantar kesemua anak saya ke kolej baru itu kerana ia pasti tidak memerlukan perbelanjaan besar," katanya yang bekerja sebagai petani.

Dalam pada itu seorang remaja, Karen Walter, 18, berkata, meskipun dia tidak menyambung pelajaran selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia, dia tetap menaruh harapan untuk belajar di kolej itu.

Justeru, dia yang menolong keluarganya berkebun berharap kolej berkenaan dapat direalisasikan segera.

“Saya menyedari keluarga tidak mampu menanggung perbelanjaan saya di luar apatah lagi terdapat empat adik yang masih bersekolah," katanya.

Sementara itu, Charlsie Welter, 14, berkata, kewujudan kolej itu telah membakar semangatnya untuk belajar bersungguh-sungguh.

Katanya, dia berazam menyambung pelajaran di kolej berkenaan seterusnya mengubah nasib keluarganya.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:47
Zohor 1:08
Asar 4:15
Maghrib 7:10
Isyak 8:19


 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.