VERSI : Mobile | Akhbar Digital
24 April 2014 / 24 Jamadil Akhir 1435  
  Carian Arkib
SABAH & SARAWAK

ARKIB : 24/07/2012

Bantu rawat bibir sumbing

SEBAHAGIAN daripada ibu bapa dan anak mereka yang dipilih untuk menjalani pembedahan pembetulan bibir sumbing dan lelangit merekah di Miri, Sarawak, semalam.UTUSAN/RACHEL NINA

MIRI 23 Julai - Kelahiran anak merupakan sesuatu yang indah dan menggembirakan bagi ibu bapa.

Namun, jika anak yang dilahirkan itu mempunyai klef iaitu sumbing atau rekahan pada bahagian bibir mahupun lelangit, ia sesuatu yang memeranjatkan.

Ibu bapa pasti berasa terkejut, sedih, bersalah dan mengalami tekanan emosi selain tidak tahu apa yang harus dilakukan untuk menjaga dan membesarkan anak itu.

Apakah klef? Ia merujuk kepada lubang atau rekahan pada bibir atau lelangit.

Ketika pembentukan janin, bahagian muka terjadi di tempat berlainan, kemudian bercantum. Apabila sesetengah bahagian muka ini gagal bercantum, klef akan terbentuk.

Klef bibir mungkin cuma rekahan yang kecil di bibir atas atau rekahan sepenuhnya di satu atau dua bahagian, atau rekah ke dalam rahang dan hidung.

Klef bibir 'unilateral' pula terjadi di sebelah sahaja manakala klef bibir 'bilateral' di kedua-dua bahagian.

Klef lelangit pula ialah apabila bahagian lelangit tidak bercantum dan terdapat rekahan.

Ini mungkin terjadi pada bahagian lelangit yang lembut (bahagian belakang menghala ke tekak) atau di bahagian lelangit keras (bahagian hadapan lelangit) atau kedua-duanya sekali.

Dianggarkan setiap seorang daripada 600 bayi di Malaysia dilahirkan dengan masalah bibir dan lelangit merekah.

"Kita tiada statistik, namun saya percaya jumlah kanak-kanak atau dewasa yang mengalami masalah ini meningkat, terutama yang tinggal jauh di pedalaman Sarawak.

"Ini kerana mereka tidak pernah menjalani rawatan untuk membetulkan klef bibir atau lelangit merekah," kata pakar pembedahan plastik terkenal daripada Hospital Pantai Kuala Lumpur, Dr. Kim K. Tan kepada Utusan Malaysia, di sini baru-baru ini.

Beliau berada di sini bagi menjayakan Kempen Klef Bibir dan Lelangit Merekah Kali Ke-12 anjuran Persatuan Klef Bibir dan Lelangit Malaysia (CLAPAM) cawangan Miri dan Hospital Columbia Asia Miri.

Sempena kempen berkenan, seramai 26 pesakit menjalani pembedahan termasuk pesakit paling muda iaitu bayi perempuan Iban berusia sebulan dari Miri dan pesakit paling tua, seorang lelaki berketurunan Kenyah, 35 tahun.

Mengenai rawatan klef, beliau menjelaskan, ia dilakukan secara berperingkat mengikut usia dan adalah wajar ia dilaksanakan secepat mungkin.

Katanya, pembedahan bibir dilakukan semasa berusia satu hingga tiga bulan, pembedahan lelangit (sembilan hingga 12 bulan), penilaian pendengaran (satu hingga tiga tahun), penilaian pertuturan (tiga hingga empat tahun), rawatan orthodontik (lapan hingga 10 tahun), pemindahan tulang alveolar (sembilan hingga 12 tahun) diikuti pembedahan rahang/orthonagtik (jika perlu) untuk pesakit 18 tahun ke atas.

Menurut beliau lagi, mereka yang mengalami klef bibir dan lelangit merekah lazimnya akan mengalami kesukaran bernafas, masalah pertuturan dan masalah menelan makanan.

Justeru, mereka perlu menjalani pembedahan rekonstruktif supaya fungsi pertuturan tidak terjejas serta membantu meningkatkan imej luaran.

Dalam pada itu katanya, mereka yang tinggal di pedalaman lazimnya tidak sedar bahawa kanak-kanak yang mengalami bibir dan lelangit ini sebenarnya dapat dibantu melalui pembedahan.

Beliau mengakui pernah bertemu dengan seorang seorang remaja yang mengalami masalah klef bibir dan tidak pernah diperbetulkan semasa lawatannya ke Taman Negara Gunung Mulu, awal 2004.

Pengalaman itu menyedarkannya mungkin ramai lagi kanak-kanak atau remaja malah orang dewasa yang mengalami nasib sama.

"Sejak kempen ini dilancarkan pada 2004, saya dan rakan perubatan yang lain telah membedah seramai 250 pesakit terdiri daripada bayi hingga orang dewasa.

"Saya percaya ramai lagi pesakit khususnya yang tinggal jauh di Hulu Baram yang belum mendapat rawatan dan pembedahan," katanya.

Selain kesukaran mendapatkan doktor pembedahan plastik yang bertauliah, sumber kewangan dan pengangkutan sering kali menjadi kekangan kepada ibu bapa yang berpendapatan rendah untuk melakukan pembedahan.

Tambahan pula, hospital yang berhampiran tidak dapat menyediakan perkhidmatan tersebut sebaliknya mereka terpaksa pergi ke hospital pembedahan swasta dan ini sudah pasti memerlukan kos yang tinggi.

Mengenai Kempen Klef Bibir dan Lelangit Merekah, beliau berkata, ia dilancarkan bagi membantu kanak-kanak di negeri ini khususnya di kawasan pedalaman memiliki senyuman sempurna seperti kanak-kanak lain.

Kempen ini menyediakan pembedahan secara percuma kepada penduduk negeri ini yang mempunyai rekahan bibir atau lelangit sejak kecil dan pendapatan seisi keluarga mereka adalah di bawah RM1,000.

Dalam pada itu, katanya, beliau amat berpuas hati dengan perkembangan kempen itu yang semakin mendapat sambutan dalam kalangan masyarakat.

"Apa yang saya lihat sekarang, semakin ramai pesakit muda seawal bayi sudah menjalani pembedahan dan ini sesuatu yang memberangsangkan," tegasnya.

Sementara itu, Ketua Perkhidmatan Jururawat ColumbiaAsia Hospital, Ho Siew Choon berkata, pendaftaran untuk kempen tersebut terbuka kepada orang ramai dan mereka yang berminat boleh menghubungi ColumbiaAsia Hospital di talian 085-437755 atau faks ke 085-426407.

"Bagi yang tidak memenuhi kriteria iaitu pendapatan lebih RM1,000, pesakit dialu-alukan menghubungi pihak hospital untuk khidmat nasihat," ujarnya.

Utusan Online on Facebook
Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:47
Zohor 1:14
Asar 4:29
Maghrib 7:20
Isyak 8:31
 
 



IKLAN@UTUSAN



IKLAN@UTUSAN

MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.