VERSI : Mobile | Akhbar Digital
20 September 2014 / 25 Zulkaedah 1435  
  Carian Arkib
RENCANA SUKAN

ARKIB : 10/09/2012

Pertandingan paling sengit dalam sejarah pemilihan KOM

KUALA LUMPUR - Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) tidak hanya dikelilingi dengan pelbagai isu kontroversi, malah suasana dalam badan itu sendiri cukup panas sejak akhir-akhir ini, semuanya kerana mesyuarat pemilihan yang bakal berlangsung pada 23 September ini.

Ketika pencalonan hanya tinggal dua hari untuk ditutup, beberapa nama sudah tiba di pejabat KOM dan apa yang boleh dikatakan, saingan yang bakal berlaku antara yang paling sengit dalam sejarah.

Calon-calon yang bertanding akan diumumkan secara rasmi oleh badan olahraga kebangsaan itu sebaik pencalonan ditutup pada jam 12 tengah hari ini.

Semua mereka yang dicalonkan melaungkan visi hendak membangunkan olahraga negara dan membawa pembaharuan dalam persatuan bermasalah, KOM.

Harap ia bukanlah sekadar laungan untuk meraih undi tetapi semangat membara hendak merebut jawatan juga sepatutnya ditunjukkan dalam memartabatkan sukan olahraga.

Walau siapa pun yang bakal mengisi pucuk pimpinan KOM kelak, semoga mereka sedar bahawa olahraga negara sudah terlalu lama dahagakan kejuaraan lebih besar.

Dengan Datuk Seri Shahidan Kassim sudah mengesahkan akan mempertahankan jawatan Presiden, persaingan tiga penjuru dijangka berlaku apabila ada ahli gabungan yang mencadangkan Naib Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Danyal Balagopal Abdullah untuk merebut jawatan tertinggi itu.

Beberapa persatuan negeri pula bersedia mengetengahkan seorang tokoh korporat sebagai calon baru untuk mencabar Presiden selepas Tengku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan kerabat diraja yang lain memutuskan untuk tidak bertanding.

Perebutan watak kedua terpenting dalam KOM, Timbalan Presiden yang kini disandang Datuk Karim Ibrahim juga cukup sengit.

Seperti Presiden, ia juga bakal melibatkan pertandingan tiga penjuru selepas tiga pencalonan diterima KOM setakat ini.

Karim dicalonkan oleh Persatuan Olahraga Amatur Melaka (POAM), manakala Persatuan Olahraga Amatur Perak (POAP) pula mengemukakan calon mantap, Datuk Wan Hisham Salleh, Presiden persatuan paling berjaya dan aktif, Persatuan Olahraga Amatur Terengganu (POAT).

Setiausaha POAP, S.O Appan dalam satu kenyataan semalam turut mengesahkan bahawa persatuan itu telah mencalonkan Shahidan untuk mempertahankan jawatan Presiden.

Persatuan Olahraga Amatur Selangor (SAAA) pula mengambil langkah yang tidak diduga apabila mencalonkan setiausaha mereka, K. Yogeswaran untuk melawan Karim, dan perkara itu disahkan oleh Presidennya, Datuk S.M Muthu.

"Sebab mengapa kami mencalonkan Yogeswaran untuk jawatan Timbalan Presiden adalah kerana beliau mempunyai pengalaman luas dalam olahraga, malah beliau mahir dalam undang-undang serta perlembagaan persatuan. Kami menyokong beliau menentang Karim Ibrahim,'' kata Muthu.

Sebanyak empat jawatan Naib Presiden turut dipertandingkan pada mesyuarat pemilihan kali ini. Dua hari sebelum pencalonan ditutup, sembilan pencalonan diterima untuk merebut jawatan itu, menjadikan ia antara jumlah tertinggi yang pernah diterima.

Satu kuota untuk naib presiden wanita turut menjadi perebutan sengit apabila penyandang jawatan, Datuk Mumtaz Jaafar yang dicalonkan Persatuan Olahraga Negeri Sembilan (PONS) bakal berdepan cabaran bekas Naib Presiden, Rajemah Sheikh Ahmad, Setiausaha POAT yang dicalonkan oleh POAP.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:48
Zohor 1:10
Asar 4:14
Maghrib 7:12
Isyak 8:21



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.