ARKIB : 27/05/2012
Ibu pendorong kejayaan Pandelela
IBU, saya tidak mampu menggambarkan perasaan terima kasih saya atas segala sokongan dan kasih sayang yang diberikan selama ini. Saya tidak akan berada di sini tanpa ibu. Terima kasih ibu kerana melihat jaguh di dalam diri saya," ucap penerjun negara, Pandelela Rinong, 19.
Menurut Pandelela atau lebih mesra dengan panggilan Lela, ibunya sanggup berkorban untuk memastikan dirinya berjaya.
"Pencapaian saya hari ini adalah kurniaan ibu saya. Dia tahu saya memang aktif dan suka bersukan daripada bermain masak-masak. Dia pun bawa saya ke kolam renang dan di situlah jurulatih Sarawak mengesan bakat saya dan menawar diri untuk melatih saya sebagai penerjun," katanya dalam program anjuran Procter & Gamble (P&G) baru-baru ini.
Bercerita tentang kerjayanya, Lela menganggap bidang terjun cukup mencabar ditambah rutin harian yang membosankan.
"Setiap hari selepas bangun tidur, saya makan, kemudian ke sesi latihan, makan dan tidur. Saya perlu mengikut jadual pemakanan yang ditentukan oleh jurulatih untuk menjaga kesihatan," katanya.
"Lela gemar memerhatikan saya mencuci kain di bilik mandi. Saya sedar dia sangat suka bermain air. Pada usia tiga tahun, dia sudah berendam dalam tangki. Setahun kemudian, saya bawa dia bermain di sungai berhampiran.
"Pada masa itu, saya lihat dia sangat aktif dan gembira bermain air. Lama-lama dia semakin berani dan cuba terjun dari tebing. Semakin lama semakin tinggi kerana ia menghasilkan gelombang air yang lebih besar," ujarnya.
Ceritanya lagi, Lela hanya mengenal kolam renang pada usia lima tahun.
"Ketika itu, kami sekeluarga berpindah ke Kuching. Tidak jauh dari rumah kami, ada sebuah kolam renang awam. Setiap kali saya membawa Lela ke sana, dia sangat gembira. Waktu itu, dia sudah boleh menahan nafas dalam air," imbasnya.
Di kolam renang itulah, seorang jurulatih terpukau dengan bakat Lela lalu mempelawanya untuk menyertai latihan. Dari situ bermulalah perjalanan hidupnya sebagai penerjun.
Ketika berumur 14 tahun, Lela memasuki Sekolah Sukan Bukit Jalil bagi meneruskan minatnya.
Namun ibu mana yang tidak bimbangkan keselamatan anaknya. Hartini mengakui cukup resah ketika pertama kali melihat anaknya beraksi dalam sukan terjun.
"Pernah terfikir untuk menyuruh Lela berhenti bergiat dalam acara itu tetapi, Lela meminta kami agar mempercayainya," katanya.
Sejak Lela bergiat secara aktif dalam acara itu, dia yang agak penakut memandu terpaksa mengatasi ketakutan itu untuk menghantar anak gadisnya ke pusat latihan terjun.
Walaupun jadual Lela sangat padat, tidak pernah melupakan jasa ibunya.
Pada Hari Ibu yang lalu, Lela menghadiahkan Hartini sebuah tas tangan.
"Kegembiraan dan kejayaan Lela adalah pendorong utama dalam hidup saya sebagai seorang isteri dan ibu.
"Sebagai seorang ibu, saya rasa kagum, tersentuh dan bangga dengan pencapaian Lela yang dapat bertanding di Sukan Olimpik. Saya harap dia cuba sebaik mungkin. Saya yakin Lela akan melakukan yang terbaik dan membawa kejayaan, sekali gus mengharumkan nama negara. Tidak kira menang atau tidak, di dalam hati saya, dia sentiasa juara," katanya.
Sementara itu, Lela dan ibunya antara yang dijemput menyertai kempen 'Terima Kasih Ibu' untuk Sukan Olimpik London 2012 anjuran P&G yang berlangsung sepanjang temasya sukan tersebut.
Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai kempen ini, pengguna boleh melayari www.pg.com.
Sukan terjun cenuram
Deruman Litar F1
Terima positif, ambil serius keluhan Rajagobal
Belum tentu acara Olimpik julang atlet kita di Sukan SEA
Masih adakah lagi aura sukan sea?
Lima pasukan teratas berpeluang rebut takhta Liga Super
Ghairah cari mata akhirnya tidak buahkan hasil
Pelumba kita perlukan pendedahan di luar negara jika mahu kuasai LTdL
Tinggalkan dunia rempit
Soccer Kids All Stars ke London
Atlet istimewa cetus inspirasi
Zaqhwan puas redah becak
Kegagalan dalam acara final keirin di Olimpik masih dirasai
Bersara, aib dan muflis
Juarai angkat berat pada usia 77
Diiktiraf kerana pelik
Sukan terus cemerlang
7 gelaran Terbuka Dunia inspirasi rakyat Malaysia
Pandelela nobat wanita Malaysia di persada dunia
Waktu Solat Kuala Lumpur |
||||
|
||||










