ARKIB : 05/05/2012
Sabiamad digelar Superman Malaysia
MENEMBAK lazimnya dianggap sebagai sukan yang kurang membabitkan kekuatan fizikal, namun jangan sesekali menyatakan demikian kepada bekas jaguh menembak kebangsaan, Datuk Sabiamad Abdul Ahad atau anda perlu bersedia diherdik.
Bekas Olimpian negara itu adalah seorang yang tidak berkompromi dengan kecergasan fizikal iaitu aspek yang sentiasa dititikberatkan sehingga menjadikan dirinya sebagai penembak yang cukup disegani di Asia Tenggara pada era 80-an.
"Siapa cakap penembak tidak memerlukan kecergasan fizikal yang mantap. Daripada kecergasan fizikal datangnya minda yang kuat, maka kamu boleh menembak dengan ketepatan yang tajam," kata Sabiamad, 56, yang kini merupakan seorang ahli perniagaan yang berjaya sewaktu membuka perbualan.
Rupa-rupanya, sebelum mula berkecimpung dalam sukan menembak, Sabiamad asalnya seorang petinju. Beliau yang mewakili Polis Diraja Malaysia (PDRM), tidak pernah tewas dalam kesemua tujuh pertarungan yang disertainya, malah dimenanginya dengan knockout.
"Apabila seseorang itu cergas, dia boleh cemerlang dalam apa jua sukan. Saya adalah buktinya, daripada bertinju tukar kepada menembak. Ketika mula menjejak kaki ke lapang sasar, saya pun tidak tahu bahawa saya mempunyai bakat terpendam dalam sukan ini.
"Baru berjinak-jinak dengan pistol saya tidak sangka mampu meraih pingat. Satu demi satu kejohanan kebangsaan, prestasi semakin meningkat dan akhirnya dipilih mewakili negara ke Sukan Asia 1978 di Bangkok," katanya yang menyertai polis pada 1976 sebagai konstabel dan berkhidmat selama enam tahun sebelum berhenti dengan pangkat Koperal.
Pada 1982, Sabiamad meninggalkan PDRM untuk menyertai Persatuan Menembak Kelantan. Hanya setahun kemudian, namanya mula dikenali apabila beliau melakar kejutan di Sukan SEA Singapura, merangkul emas berganda iaitu 50m free pistol dan 10m air pistol, disertai dua rekod baru Sukan SEA.
"Kejayaan saya telah membuka mata semua pihak bahawa sukan menembak mempunyai potensi di Malaysia. Hanya selepas itu, sukan menembak mula mendapat perhatian mendalam dan penembak-penembak dihantar bertanding di luar, tidak seperti dulu sekadar bertanding sesama sendiri di peringkat kebangsaan," imbasnya.
Tahun 1983 sememangnya tahun yang paling manis buat Sabiamad kerana beliau juga meraih gangsa 50m free pistol di Kejohanan Menembak Asia di Jakarta dan ia sekali gus melayakkannya ke temasya sukan terbesar dunia, Olimpik 1984 di Los Angeles.
Sebagai persiapan Olimpik, beliau dihantar bertanding berseorangan di Kejohanan Dunia di Austria pada tahun berkenaan dan pengalaman beraksi di peringkat dunia dimanfaatkan sepenuhnya walaupun sedar dirinya bukan tandingan penembak pilihan.
"Memang gembira rasanya dapat bertanding dengan mereka yang terbaik di dunia. Saya sedar diri memang kerdil berbanding jagoan dunia yang lain, namun saya tidak kisah siapa mereka. Selagi saya dapat memberikan yang terbaik untuk negara, tiada kekesalan di hati," tambah Sabiamad yang terpilih sebagai pembawa bendera kontinjen Malaysia pada temasya yang berlangsung Los Angeles itu.
Pada penampilan tunggal sukan Olimpik, pencapaian Sabiamad yang berusia 28 tahun ketika itu, menduduki tempat ke-35 daripada kelompok 56 peserta, masih boleh dibanggakan.
Sabiamad kembali sebagai penembak yang lebih matang dan beliau terus menguasai pentas Asia Tenggara untuk beberapa tahun berikutnya. Beliau tidak pernah gagal menyumbang sekurang-kurangnya satu pingat emas pada Sukan SEA mahu pun Kejohanan Asia Tenggara.
"Kehadiran saya pada Sukan SEA sentiasa ditanya-tanya musuh kerana mereka menggelarkan saya sebagai Superman. Mereka mengagumi saya kerana sayalah satu-satunya penembak yang mengambil bahagian dalam kesemua empat acara pistol," jelasnya.
Tatkala mencapai kemuncak prestasi, beliau 'diberhentikan' Majlis Sukan Negara pada 1990 atas sebab yang tidak mahu diungkitnya.
"Saya menerima surat daripada MSN bahawa khidmat saya tidak diperlukan lagi. Tidak perlu saya ungkit, tetapi alasan itu sememangnya tidak munasabah dan membuatkan saya tawar hati. Sejak itu saya berhenti sepenuhnya daripada sukan menembak," kata Sabiamad yang kemudiannya menceburi bidang perniagaan.
Sihat, ceria resipi kejayaan Sazali
Sukan terjun cenuram
Deruman Litar F1
Terima positif, ambil serius keluhan Rajagobal
Belum tentu acara Olimpik julang atlet kita di Sukan SEA
Masih adakah lagi aura sukan sea?
Lima pasukan teratas berpeluang rebut takhta Liga Super
Ghairah cari mata akhirnya tidak buahkan hasil
Pelumba kita perlukan pendedahan di luar negara jika mahu kuasai LTdL
Tinggalkan dunia rempit
Soccer Kids All Stars ke London
Atlet istimewa cetus inspirasi
Zaqhwan puas redah becak
Kegagalan dalam acara final keirin di Olimpik masih dirasai
Bersara, aib dan muflis
Juarai angkat berat pada usia 77
Diiktiraf kerana pelik
Sukan terus cemerlang
7 gelaran Terbuka Dunia inspirasi rakyat Malaysia
Waktu Solat Kuala Lumpur |
||||
|
||||











