ARKIB : 28/04/2012
Mark Spitz legenda renang bermisai
SEBELUM perenang Amerika Syarikat, Michael Phelps mencipta fenomena di Olimpik Beijing, empat tahun lalu dengan menggondol lapan pingat emas, legenda tahun 60-an dan 70-an, Mark Spitz yang merupakan rakan senegara Phepls terlebih dahulu melakar kejayaan sensasi itu.
Dia yang tampil dengan imej unik iaitu bermisai tebal (jarang seorang perenang bermisai kerana kebiasaannya mereka bercukur bagi memastikan dapat bergerak lebih pantas) membolot tujuh pingat emas pada Olimpik Munich 1972. Kejayaannya itu meletakkan dirinya selaku perenang terulung sepanjang zaman sebelum penghormatan itu bertukar tangan 36 tahun kemudian kepada Phelps pada 2008.
Bagaimanapun hakikatnya, Spitz ialah atlet pertama yang berjaya merangkul tujuh emas dalam temasya Olimpik dan apa lebih menakjubkan, kesemua tujuh acara yang dia turun beraksi itu diiringi bersama rekod baru dunia.
Dia memenangi empat acara individu - 100m dan 200m gaya bebas, 100m dan 200m kuak kupu-kupu serta tiga acara berganti-ganti.
Selepas menyerlahkan kehebatannya di Munich, Spitz didatangi tawaran penajaan bertali arus. Sejak itu dia lebih dikenali kerana wajahnya yang kacak, bukan lagi kehebatan kuak kupu-kupu yang sinonim dengan namanya. Hanya dalam tempoh dua tahun, dia meraih pendapatan lumayan lebih AS$7 juta.
Meskipun pelbagai usaha dilakukan oleh ejen dan syarikat perhubungan awam yang mewakilinya, hajat Spitz untuk menceburi dunia hiburan dan memulakan karier Hollywood tidak kesampaian apabila persembahannya dalam rancangan televisyen dan iklan, dikritik hebat.
Turut menjadi sasaran pengkritik adalah kehidupannya selepas Olimpik, namun ia bukan sesuatu yang baru kerana Spitz selama ini pun sentiasa diselubungi kontroversi.
Dia dilahirkan pada 10 Februari 1950 di Modesto, California. Apabila berusia dua tahun, keluarganya berpindah ke Hawaii dan di situ dia mula dididik bapanya, Arnold untuk berenang.
Empat tahun kemudian, keluarganya berpindah sekali lagi dan kali ini ke Sacramento. Pada usia 9 tahun, Arnold membawa anaknya ke Kelab Renang Arden Hills untuk berlatih di bawah bimbingan jurulatih berwibawa, Sherm Chavoor.
Spitz sentiasa diingatkan bapanya: "Kemenangan adalah segala-galanya, bukan sekadar berenang." Spitz sememangnya tidak mengecewakan bapanya, kerana ketika usianya baru menjangkau 10 tahun, dia telah pun memegang 17 rekod kumpulan usia dan satu rekod dunia. Dia dinobatkan perenang terbaik untuk usia 10 tahun ke bawah.
Spitz terus cemerlang selepas itu, terutamanya dalam kuak paling sukar dalam acara renang iaitu kupu-kupu. Pada usia 16 tahun, dia akhirnya memenangi acara 100m kuak kupu-kupu pada kejohanan kebangsaan buat kali pertama selepas 24 gelaran ditawannya. Setahun kemudian iaitu pada 1967, dia membolot lima emas pada Sukan Pan-Amerika di Winnipeg, Kanada.
Dengan kehebatannya yang memiliki 10 rekod dunia, Spitz diramal mampu memenangi beberapa pingat emas pada Olimpik 1968 di Mexico. Malah, dia sendiri menimbulkan kontroversi apabila mengeluarkan kenyataan bongkak, menyatakan dirinya mampu menang enam emas.
Dia bagaimanapun gagal di Mexico City, hanya dua emas, satu perak dan satu gangsa dapat diraih. Temasya itu seharusnya memahat namanya dalam lipatan sejarah sukan dunia, tetapi ia berakhir dengan penuh duka.
Kegagalan itu bagaimanapun tidak mematahkan semangat Spitz yang kemudiannya menyambung pelajaran ke institusi pengajian tinggi dalam jurusan pergigian di Universiti Indiana dan dalam masa sama terus giat berlatih di bawah Doc Counsilman.
Sekalipun gemar bercakap besar, tetapi Spitz akhirnya berjaya mengotakan kata-katanya itu pada Sukan Olimpik di Munich. Sikap optimis yang dimilikinya itu telah menjulang Spitz ke puncak dunia apabila menggondol tujuh emas pada temasya tersebut dan sekali gus menebus kehampaan di Mexico City.
Atas kecemerlangannya itu, Spitz juga pernah dinobatkan sebagai Perenang Terbaik Dunia sebanyak tiga kali iaitu pada 1969, 1971 dan 1972.
Sukan terjun cenuram
Deruman Litar F1
Terima positif, ambil serius keluhan Rajagobal
Belum tentu acara Olimpik julang atlet kita di Sukan SEA
Masih adakah lagi aura sukan sea?
Lima pasukan teratas berpeluang rebut takhta Liga Super
Ghairah cari mata akhirnya tidak buahkan hasil
Pelumba kita perlukan pendedahan di luar negara jika mahu kuasai LTdL
Tinggalkan dunia rempit
Soccer Kids All Stars ke London
Atlet istimewa cetus inspirasi
Zaqhwan puas redah becak
Kegagalan dalam acara final keirin di Olimpik masih dirasai
Bersara, aib dan muflis
Juarai angkat berat pada usia 77
Diiktiraf kerana pelik
Sukan terus cemerlang
7 gelaran Terbuka Dunia inspirasi rakyat Malaysia
Pandelela nobat wanita Malaysia di persada dunia
Waktu Solat Kuala Lumpur |
||||
|
||||










