VERSI : Mobile | Akhbar Digital
1 Ogos 2014 / 5 Syawal 1435  
  Carian Arkib
RENCANA

ARKIB : 22/10/2013

UMK mula lahirkan penuntut sarjana, PhD

Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh menurunkan tandatangan pada plak Perasmian Pusat Pengajian Siswazah Universiti Malaysia Kelantan (UMK) di Kampus Kota, Pengkalan Chepa, Kelantan. Turut hadir, Naib Canselor UMK, Prof. Datuk Dr. Raduan Che Rose (dua kiri).
- Utusan/Irwan Majid

Pada Sabtu dan Ahad ini (26 dan 27 Oktober), akan berlangsung Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kali Ke-3. Majlis berprestij ini dijadualkan diadakan di Hotel Grand Riverview, Kota Bharu, Kelantan bagi meraikan 512 graduan yang berjaya menerima diploma dan ijazah masing-masing.

Pada majlis konvokesyen kali ini UMK buat julung kalinya akan menganugerahkan ijazah sarjana (master) kepada tiga penuntut daripada Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan (FKP) dan Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan (FTKW).

Turut membanggakan, UMK akan mencipta sejarah apabila menganugerahkan ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang perniagaan dan industri asas tani kepada dua penuntutnya.

Sebagai sebuah universiti yang dianggap masih muda, kejayaan melahirkan graduan peringkat ijazah sarjana dan PhD merupakan sesuatu yang sangat dibanggakan oleh warga UMK dan perkara ini diakui oleh Naib Canselornya, Prof. Datuk Dr. Raduan Che Rose.

Dalam pertemuan di pejabatnya di Kampus Kota UMK di Pengkalan Chepa, Kota Bharu, baru-baru ini, Raduan menyifatkan kejayaan UMK itu selaras dengan pembangunan dan perkembangan universiti yang penubuhannya bermula di sebuah rumah kedai, kini beroperasi di tiga kampus di tiga daerah iaitu Kota Bharu, Bachok dan Jeli.

"Jumlah tidak penting sangat, yang penting kita (UMK) sebagai sebuah universiti baharu telah mula mengeluarkan pelajar lepasan ijazah dan PhD. Kita ingin memberitahu masyarakat di Malaysia dan antarabangsa kewujudan UMK sebagai sebuah institusi yang mempunyai keunikan dan mutu pendidikan yang tersendiri," katanya.

Pada majlis konvokesyen itu, UMK turut menganugerahkan ijazah kelas pertama kepada 17 pelajar yang mencapai kecemerlangan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.70 ke atas dengan Fakulti Industri Asas Tani (FIAT) mencatat bilangan teramai iaitu seramai tujuh pelajar.

Seperti majlis konvokesyen sebelumnya, anugerah diraja, canselor, naib canselor dan di peringkat fakulti atau program akan turut dianugerahkan kepada pelajar cemerlang yang memenuhi standard ditetapkan pihak universiti.

Bagi Raduan, kesemua graduan yang dihasilkan akan menjadi 'duta' UMK tatkala mereka keluar dan memasuki dunia pekerjaan.

Justeru katanya, UMK akan memastikan graduan yang dihasilkan boleh mendapat pekerjaan, sekali gus memenuhi sasaran di peringkat nasional iaitu 75 peratus graduan yang dikeluarkan oleh institusi pengajian tinggi tempatan mendapat pekerjaan dalam tempoh enam bulan selepas bergraduasi.

"Kita yakin kita boleh capai sasaran itu dan dalam masa pihak universiti juga mempunyai program khusus untuk mengenal pasti graduan yang berminat menceburkan diri dalam dunia keusahawanan (bidang teras UMK).

"Kita juga ada program aprentis dan simbiosis, dua program khusus untuk menggalakkan graduan menceburkan diri dalam bidang perniagaan, ini selaras dengan bidang tumpuan kita iaitu keusahawanan," jelas beliau.

Namun, apa yang lebih menarik lagi adalah langkah UMK menawarkan peluang pekerjaan kepada kesemua pelajar cemerlangnya sebagai pensyarah muda, pendekatan yang julung kalinya diambil oleh universiti berkenaan.

Menurut Raduan, tawaran di bawah Program Tunas Cemerlang UMK itu telah mendapat persetujuan Senat dengan pelajar yang berkelayakan akan turut berpeluang melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi di luar negara, seterusnya menjadi tenaga pengajar tetap universiti pada masa hadapan.

Jelas beliau, di bawah program itu UMK sebelum ini telah pun mengenal pasti seramai 50 pelajar cemerlang yang mendapat kelas pertama untuk dihantar keluar negara, sebagai salah satu usaha universiti menambah bilangan tenaga pengajar berkualiti tinggi bagi menampung keperluan di tiga kampusnya.

Penambahan pensyarah itu yang turut berperanan melakukan penyelidikan dan memberi daya kepimpinan kepada program dan pelajar, adalah selaras dengan perkembangan drastik dialami UMK yang pada sesi pengambilan 2013 ini menerima kemasukan kira-kira 2,600 pelajar daripada hampir 3,000 tempat yang ditawarkan.

Apa yang cukup membanggakan Raduan ialah apabila lebih 70 peratus daripada pelajar baharu itu telah memilih UMK sebagai universiti pilihan pertama mereka untuk melanjutkan pengajian dan ini membuktikan kemampuan UMK sehingga mendapat kepercayaan daripada masyarakat.

Bagi mengukuhkan lagi kedudukan UMK sebagai salah sebuah universiti ulung dalam negara, Raduan memberitahu, pihaknya dalam usaha memperkukuh program-program pengajian yang ditawarkan, selain menambah program baharu bagi memenuhi keperluan semasa.

Jelas beliau, UMK yang sejak penubuhannya telah melahirkan seramai 1,068 graduan termasuk pada majlis konvokesyen akan datang, bakal mempunyai 30 program menjelang tahun 2015 dengan bilangan penuntut seramai 10,000 orang.

Sasaran tersebut jelas beliau, akan dapat dicapai apabila UMK kelak mempunyai kelengkapan dan pembangunan prasarana serta infrastruktur yang lengkap sebagai sebuah pusat pengajian tinggi.

"Semua program yang ditawarkan akan kita pastikan memenuhi standard antarabangsa dengan kita telah mengambil langkah membuat semakan kurikulum menerusi input daripada pakar-pakar dari dalam dan luar negara.

"Dalam masa sama, kita juga membuat penanda aras dengan pihak luar terutama Babson College di Amerika Syarikat yang merupakan institusi unggul dunia dalam bidang pendidikan keusahawanan," katanya.

Menyentuh rancangan masa hadapan UMK, Raduan berkata, pihak universiti yang telah menjalin kolaborasi dengan 25 rakan industri di bawah program Pusat Penyelidikan dan Inovasi Keusahawanan Global (GERIC) dan SME Simbiosis itu, turut merangka pelan strategik bagi mengantarabangsakan universiti tersebut.

Antara pendekatan tersebut, mendapatkan input pembangunan modul dan jalinan kerjasama dengan pihak luar, selain melantik pensyarah asing sebagai tenaga pengajar di UMK.

"Seterusnya, kita tumpukan pula usaha kepada penambahan bilangan pelajar antarabangsa, kita mulakan tahun depan dengan sasaran antara 150 hingga 200 pelajar dan tumpuan dari negara China, Indonesia, Khazastan, Asia Barat dan sebagainya," katanya.

Menurut Raduan lagi, proses pengantarabangsaan UMK akan mengubah persekitaran universiti dari segi persaingan outlook, pertembungan budaya, cara bekerja dan banyak lagi yang kesemuanya bakal memberi faedah kepada pelajarnya.

Mengenai ranking universiti pula, beliau berpendapat, pada masa ini perkara tersebut bukan menjadi sasaran UMK dengan mengambil kira status UMK yang masih berada dalam fasa pembangunan, namun kriteria dalam penentuan ranking tersebut sebenarnya telah pun dipenuhi di peringkat universiti.

"Dalam kalangan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) pula, kita tidak berhasrat untuk bersaing secara langsung, sebaliknya kita akan tonjolkan kekuatan diri kita sendiri dengan mengeluarkan program-program yang menunjukkan UMK merupakan juara peringkat nasional dalam program tertentu, sebagai contoh keusahawanan," katanya.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zohor 1:22
Asar 4:43
Maghrib 7:30
Isyak 8:42

 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
PRK Bukit Gelugor
Utusan Live di PRK Parlimen Bukit Gelugor
PRK Teluk Intan
Utusan Live di PRK Parlimen Teluk Intan
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN

MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.