VERSI : Mobile | Akhbar Digital
23 Julai 2014 / 25 Ramadan 1435  
  Carian Arkib
RENCANA

ARKIB : 15/08/2013

Kebiadaban, keceluparan LFL

Seorang Pegawai Agama Jabatan Agama Islam Johor, memeriksa arah kiblat sebuah surau yang menjadi tempat penganut Buddha menjalankan upacara keagamaan di Tanjung Sedeli, Kota Tinggi, Johor sambil diperhatikan oleh penduduk setempat, Isnin lalu. - Utusan/AMIN FARIJ HASAN

Kebiadaban dan keceluparan pihak tertentu dalam mengulas kejadian berkaitan dengan umat Islam dan orang Melayu semakin ketara.

Ia terbukti apabila sebuah lagi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) memperlekehkan tindakan tegas polis dan Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) berhubung isu surau di sebuah resort di Sedili, Kota Tinggi yang digunakan oleh bukan Islam untuk upacara keagamaan mereka baru-baru ini.

Dalam Twitter yang disiarkan oleh portal berita propembangkang, Malaysiakini kelmarin, NGO yang mendakwa memperjuangkan hak asasi manusia dan reformasi undang-undang, Lawyers for Liberty (LFL) mengatakan pihak berkuasa agama Johor bersikap seperti 'Taliban' kerana merancang untuk merobohkan surau tersebut dengan alasan dibina tidak menepati arah kiblat.

LFL juga secara biadab mempersoalkan arah kiblat tersebut perlu dipatuhi oleh manusia dan bukan oleh surau. Antaranya mereka menulis;

"Surau 'meditasi' Buddha tidak menghadap kiblat, kata Mufti Johor... Dah gila - surau kena hadap kiblat, bukan manusia?"

Malah tidak cukup dengan itu, mereka juga mempersoalkan tindakan polis mengenakan reman selama empat hari ke atas pemilik resort tersebut dengan menyatakan: "Taliban dah bertapak di Malaysia - syabas BN. MAIJ (Majlis Agama Islam Johor) macam Taliban, @PDRMsia (polis) salah guna kuasa tangkap/reman pemilik resort, majistret (pula) bersekongkol benarkan empat hari reman.

"Agaknya @PDRMsia dah jadi penguat kuasa Taliban Msia lupa kerja sebenar - sibuk tangkap 'penghina' Islam bila hari-hari orang kena tembak/letupan."

Demikianlah biadabnya kelompok yang kononnya memperjuangkan hak asasi dan reformasi undang-undang ini. Mereka bercakap ikut sedap mulut tanpa mempedulikan sensitiviti umat Islam.

Ketika pelbagai pihak termasuk Ketua Sami Buddha Malaysia, Datuk K. Sri Dhammaratana memohon maaf kepada umat Islam di negara ini berikutan kejadian berkenaan, LFL yang kononnya dianggotai oleh kelompok bijak pandai cuba memperlekehkan tindakan tegas yang dilakukan.

Sememangnya penulis tidak berhasrat untuk menulis lebih lanjut latar belakang LFL kerana perbuatan itu hanya membuang masa namun yang paling pasti, perbuatan NGO ini mencampuri urusan kes surau itu sudah melampaui batas dan menunjukkan bagaimana mereka memperjuangkan hak asasi manusia yang songsang.

Apa yang berlaku di Sedili itu tiada kaitan dengan hak asasi manusia atau reformasi undang-undang tetapi ia berkaitan dengan kejadian yang boleh menyinggung perasaan umat Islam.

Oleh itu LFL tidak sepatutnya campur tangan atau 'gatal-gatal mulut' untuk membuat ulasan. Apa yang berlaku di resort itu adalah satu perbuatan yang boleh mencetuskan ketegangan kaum dan agama kerana ia menunjukkan bagaimana kurang sensitif pemilik resort dalam perkara tersebut.

Justeru tidak ada asas LFL hendak melihat ia dari sudut hak asasi manusia semata-mata sehinggakan perbuatan yang bertentangan dengan agama Islam hendak dibiarkan.

Polis bertindak ikut undang-undang manakala MAIJ bertindak berdasarkan kepada hukum-hakam agama, oleh itu adalah lebih baik LFL jangan cuba hendak tunjuk pandai dan memperjuangkan hak asasi manusia serta reformasi undang-undang secara membuta tuli.

Apa yang malang LFL mungkin melihat perjuangan hak asasi manusia itu daripada sudut sempit atau atas landasan pemikiran liberal apabila memandang remeh soal penghinaan ke atas agama Islam.

Soalnya, apakah LFL akan berdiam diri jika penghinaan itu berlaku ke atas agama lain, apakah kerana ia berlaku ke atas orang Melayu dan umat Islam maka soal ini harus dipandang remeh?

Selain itu, apakah motif LFL apabila mempersoalkan ketegasan polis dalam kes penghinaan ke atas Islam dan pada masa yang sama cuba mengaitkan dengan isu tembak yang semakin meningkat.

Sebelum memperkatakan perkara itu, LFL sepatutnya bertanya kembali siapakah yang bersalah atau bertanggungjawab memungkinkan semua itu berlaku. Bukannya ia akibat daripada perjuangan kononnya mahu melakukan reformasi dalam undang-undang.

Apakah LFL tidak terlibat sama dalam langkah penghapusan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Akta Hasutan, Ordinan Darurat dan Akta Kediaman Terhad.

Tidakkah anggota-anggota LFL memahami ketiadaan undang-undang itu telah memungkinkan penghinaan ke atas Islam semakin menjadi-jadi, sentimen perkauman semakin meningkat dan kejadian tembak semakin berleluasa?

Kalaulah LFL menganggap keempat-empat undang-undang berkenaan melanggar hak asasi manusia, kenapakah sebahagian undang-undang itu khususnya seumpama ISA masih wujud di sesetengah negara?

Janganlah hanya pandai bercakap soal hak asasi manusia dan reformasi undang-undang sehingga terlupa batasnya! Apa yang berlaku sekarang kerana sebahagian besar kita sudah melampaui batas itu. Penghapusan empat akta berkenaan memungkinkan semua itu berlaku.

Berikutan itu tidak payahlah LFL hendak mengkritik pihak berkuasa dalam apa juga isu kerana mereka tidak berhak dan tidak layak berbuat demikian.

Tidak apalah jika LFL ingin berpolitik kerana dari satu segi pun bukanlah sesuatu yang mengejutkan kalau ramai peguam menyokong pembangkang, tetapi biarlah menjadi kelompok peguam yang bijaksana, bertindak berdasarkan rasional bukannya emosional.

LFL boleh meneruskan perjuangan sempitnya itu jika ia merasakan itu hak asasi mereka tetapi janganlah melampau sehingga mahu mengajar pihak berkuasa agama Islam bagaimana mahu menangani sesuatu isu.

Memang benar semua pihak mahu memperjuang dan mempertahankan hak asasi manusia serta melakukan reformasi dalam undang-undang demi kebaikan rakyat tetapi dalam soal menyentuh sensitiviti mana-mana agama, kedua-dua perkara itu tidak terpakai sama sekali.

Justeru kepada LFL, carilah isu lain kalau pun hendak popular setaraf Majlis Peguam kerana jika tersilap langkah sudah pasti umat Islam akan menggunakan hak asasi manusia untuk mempertahankan agama mereka.

Ketika itu janganlah pula LFL hendak memarahi umat Islam, sebaliknya salahkan diri sendiri dan kelompok-kelompok tertentu yang dari semasa ke semasa semakin berani mencabar kesabaran umat Islam dan orang Melayu.

Semoga LFL memahami keadaan ini dan tidak bersikap membuta tuli dan 'membabi buta' untuk mengulas apa-apa isu sesuka hati.

Biarlah isu surau itu yang diuruskan oleh polis dan MAIJ, kalau rasa hendak menjadi 'wira' juga tunggulah apabila kes tersebut dibawa ke mahkamah. Janganlah menjadi 'batu api' sehingga memungkinkan perjuangan atas nama hak asasi mengundang kepada tragedi, semoga LFL memahami bahaya ini!

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:50
Zohor 1:23
Asar 4:46
Maghrib 7:30
Isyak 8:44

 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
PRK Bukit Gelugor
Utusan Live di PRK Parlimen Bukit Gelugor
PRK Teluk Intan
Utusan Live di PRK Parlimen Teluk Intan
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN

MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.