VERSI : Mobile | Akhbar Digital
25 Julai 2014 / 27 Ramadan 1435  
  Carian Arkib
RENCANA

ARKIB : 25/07/2013

Ritual masyarakat Bonokeling

AMALAN berzikir di luar makam Bonokeling.

PAGI yang cerah beberapa hari sebelum ketibaan bulan Ramadan awal bulan ini, ratusan masyarakat yang merupakan komuniti Bonokeling di beberapa desa di Cilacap, Jawa Tengah bersiap untuk menjalani ritual tahunan.

Perhimpunan penganut Kejawen dari pelbagai wilayah di daerah Cilacap mengikuti ritual jalan kaki atau disebut Unggahan menuju makam Bonokeling di Desa Pekuncen, Banyumas.

Kerana hari itu merupakan hari kebesaran buat masyarakat Bonokeling, kesemua anggota masyarakat itu mengenakan pakaian adat Jawa.

Kaum perempuan mengenakan pakaian adat Jawa yang dikenali sebagai jarit atau sarung serta kebaya.

Sementara kaum lelaki mengenakan sarung dan baju batik atau hitam serta penutup kepala yang dinamakan iket.

Selepas semuanya sudah bersiap, mereka akan berkumpul di pasamuan (tempat pertemuan penganut Kejawen).

Dari situ, mereka berjalan menuju makam Bonokeling di Desa Pekuncen, Kecamatan Jatilawang, Banyumas, yang berjarak sekitar 25 kilometer dari Desa Kalikudi dengan melalui sejumlah jalan utama, kawasan pedalaman dan pergunungan.

Selain mengenakan pakaian adat, mereka juga membawa pelbagai bekalan makanan seperti beras dan kelapa yang dipikul oleh kaum lelaki serta dibantu oleh kaum perempuan.

Berdasarkan aturan Unggahan, sepanjang perjalanan, mereka yang menyertai acara berkenaan tidak dibenarkan berbual atau bergurau senda. Semuanya perlu berjalan dalam diam.

Kaum adat Bonokeling yang menyertai ritual itu berasal dari beberapa desa seperti Adiraja dan Kalikudi di Kecamatan Adipala, Cilacap, Jawa Tengah.

Berdasarkan urutan laluan untuk sampai ke makam itu, kaum perempuan akan berada di barisan paling hadapan dengan dikawal oleh kaum lelaki dewasa.

Berada di belakang barisan perempuan ialah kaum lelaki yang sudah lanjut usia dan diakhiri oleh kaum lelaki muda yang memikul hasil bumi atau hasil pertanian dari titik peluh mereka.

Sepanjang perjalanan itu, ada beberapa tempat dijadikan lokasi persinggahan bagi menghilangkan lelah selama berjalan kaki.

Setiap kali tiba di perbatasan itu, masyarakat adat Bonokeling akan duduk berehat, berkumpul sambil melepaskan dahaga dengan meminum air putih.

Kebiasaannya, hanya setengah jam masa yang diberikan untuk mereka melepaskan lelah sebelum kembali meneruskan perjalanan.

Bukan mudah sebetulnya untuk menempuhi perjalanan ritual ini kerana ia menuntut tahap stamina dan kesabaran yang tinggi.

Selepas menyelusuri perjalanan yang panjang merentasi pergunungan dan pedalaman, masyarakat ini akhirnya tiba di hujung Desa Pekuncen, Kecamatan Jatilawang.

Di situ, masyarakat Bonokeling sudah menyiapkan tempat berehat yang sangat sederhana saling tidak ubah seperti sebuah pondok yang dibuat daripada buluh.

Tempat berehat yang dikenali sebagai gubuk menyambut tetamu yang datang berjalan kaki.

Ketibaan kaum adat Bonokeling disambut meriah oleh masyarakat Desa Pekuncen.

Sebaik tiba di sana, mereka akan saling sungkem atau bersalaman dengan masyarakat tuan rumah serta diberi layanan makan dan minum yang luar biasa.

"Setelah sampai di sini, tugas membawa hasil pertanian selesai. Kami berjalan sekitar enam jam untuk sampai di hujung desa ini.

"Setelah itu, seluruh hasil bumi akan dibawa oleh warga Bonokeling dari Desa Pekuncen untuk dikumpulkan di Kompleks Makam Bonokeling," kata Sankerta, 54, warga Desa Kalikudi, Kecamatan Adipala, Cilacap yang ikut serta dalam ritual jalan kaki tersebut.

Hasil bumi yang dibawa seperti beras, sayur-sayuran, ayam, kambing dan sebagainya akan dikumpulkan dan dimasak bersama-sama.

Pada tahun ini warga Bonokeling dari Cilacap yang mengikuti ritual ziarah mencapai 800 orang yang terdiri daripada kaum lelaki, perempuan serta orang muda.

Kaum adat Bonokeling merupakan warga minoriti di sebahagian kecil wilayah Cilacap dan Banyumas.

Jumlah masyarakat adat ini berjumlah kurang 1,300 orang dan mereka bebas bergaul dengan masyarakat lain tanpa sebarang konflik atau salah faham.

Sekalipun jumlah mereka sangat kecil, namun kaum ini begitu kental mempertahankan budaya yang diwarisi mereka.

Bahkan, pemerintahan daerah Banyumas juga telah menetapkan Makam Bonokeling sebagai Cagar Budaya sebagai salah satu usaha mempertahankan adat warga khususnya kaum adat Bonokeling.

Desa Pekuncen juga telah dijadikan sebagai desa adat. Desa yang memiliki budaya yang unik dan dijaga oleh warga mereka.

Proses ziarah makam

RITUAL jalan kaki di kalangan masyarakat Bonokeling ini diadakan sehari menjelang Jumaat terakhir di bulan Ruwah atau kalender Jawa menjelang bulan puasa.

Sesampainya di kompleks makam Bonokeling, para penganut Kejawen akan melakukan amalan 'muji' atau zikir untuk memohon keselamatan daripada tuhan.

Zikir itu dialunkan dalam bahasa Jawa yang mana maksud zikir berkenaan memuji kebesaran tuhan.

Ritual zikir tersebut dilakukan di Bale Pasemuwan atau tempat pertemuan yang berada di tengah kompleks tetua adat Bonokeling dan hanya diikuti oleh kaum laki-laki.

Dalam proses ziarah kubur ini, ia bermula dengan adat sungkeman atau bersalaman dengan para Bedogol dan Kunci iaitu penjaga makam berkenaan.

Masyarakat Bonokeling akan beratur panjang menunggu giliran untuk bertemu dan meminta doa untuk keluarga mereka.

Sebaik selesai upacara sungkeman, maka bermula proses ziarah kubur di Makam Bonokeling dengan dimulai oleh kaum perempuan yang lanjut usia.

Dari rumah-rumah Bedogol, mereka berjalan kaki menuju Makam Bonokeling dan sebelum memasuki makam, mereka harus membersihkan diri dengan mengambil air atau wuduk.

Mereka akan berdoa di depan makam memohon keselamatan dan kesihatan buat seluruh keluarga.

"Amalan ziarah kubur ini dilakukan oleh warga Bonokeling dari Cilacap sementara warga Bonokeling di Desa Pekuncen menjadi tuan rumah dan melayan tetamu.

"Tradisi ini kami kenali sebagai Unggahan yang bermaksud berdoa di depan makam para nenek moyang untuk keselamatan bersama. Ritual ini telah berlangsung sejak beratus-ratus tahun lalu," jelas Sankerta.

Ritual ziarah tersebut berlangsung hingga menjelang petang. Sebaik selesai, mereka akan kembali berkumpul untuk menjamu selera.

Bersumberkan bahan bacaan, tradisi 'Unggahan' diadakan menjelang musim tanaman pada bulan Ruwah.

Bagaimanapun, sebaik agama Islam berkembang di sini, kegiatan ini dikenali sebagai 'Sadranan' dan diadakan menjelang bulan Ramadan di kompleks makam Bonokeling.

Yang menjadi persoalannya, sehingga kini, tiada siapa yang boleh menceritakan siapa sebenarnya Bonokeling yang dikebumikan di Desa Pekuncen.

Mengikut cerita orang-orang tempatan, hanya para sesepuh atau ketua adat Bonokeling yang mengetahui kisah sebenar.

Namun, mereka tidak boleh berkongsi pengetahuan itu dengan masyarakat umum.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:50
Zohor 1:23
Asar 4:45
Maghrib 7:30
Isyak 8:44

 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
PRK Bukit Gelugor
Utusan Live di PRK Parlimen Bukit Gelugor
PRK Teluk Intan
Utusan Live di PRK Parlimen Teluk Intan
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN

MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.