VERSI : Mobile | Akhbar Digital
1 September 2014 / 6 Zulkaedah 1435  
  Carian Arkib
RENCANA

ARKIB : 07/07/2013

Mesir di ambang perang saudara

Ini bukan rampasan kuasa, rakyat melakukan revolusi, tentera hanya menyahutnya’' Itulah antara kata-kata yang dipaparkan dalam sebuah portal berita di Mesir yang menyokong tindakan tentera melakukan rampasan kuasa sehingga memungkinkan Mohammed Mursi tidak sempat menyambut ulang tahun pertamanya sebagai Presiden Mesir.

Rampasan kuasa oleh pihak tentera yang diketuai oleh Panglimanya yang juga Menteri Pertahanan Jeneral Abdel Fatah al-Sisi hakikatnya hanya meneruskan suasana tidak menentu terhadap kestabilan politik di negara yang terkenal dengan piramid itu.

Ia memandangkan kejatuhan Mursi dikaitkan dengan peranan puak sekular dan liberal di Mesir yang tidak berpuas hati dengan corak pemerintahan Mursi yang dilihat lebih mengutamakan pergerakan Ikhwanul Muslimin. Namun begitu tindakan ‘menghumban’ Mursi daripada tampuk kekuasaan bukanlah jalan penyelesaian terbaik, sebaliknya pemerhati politik antarabangsa melihat ia satu langkah yang akan mengundang kepada perang saudara di negara tersebut.

Mengulas perkara ini, GeoStrategis Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof.Dr. Azmi Hassan berkata, apabila tentera campur tangan ia tidak akan berakhir begitu sahaja dan dalam konteks Mesir, perang saudara boleh tercetus di negara itu antara puak Islam dan sekular.

‘‘Walaupun tentera mengatakan ia bukan rampasan kuasa tetapi hakikatnya apa yang mereka lakukan itulah rampasan kuasa. Saya percaya tentera tidak akan mampu mengawal keadaan dan perang saudara akan meletus di Mesir," katanya dihubungi.

Jika kita melihat kepada perkembangan yang berlaku di Mesir ketika ini adalah jelas perang saudara seolah-olah sudah berada di ambang pintu. Penyokong-penyokong Mursi khususnya daripada kelompok Ikhwanul Muslimin mula turun ke jalanan membantah apa yang berlaku kepada beliau sehingga tercetusnya pertempuran dengan pihak tentera.

Tindakan Ikhwanul Muslimin dan penyokong Mursi daripada aliran Islam ini bukanlah satu perkara yang mengejutkan. Ia memandangkan ketika demonstrasi demi demonstrasi dilakukan oleh penentang Mursi beberapa bulan selepas beliau menduduki kerusi Presiden, penyokong-penyokong parti Islam memberi amaran bahawa mereka rela mati mempertahankan Mursi jika beliau disingkirkan secara tidak demokratik.

Tetapi ternyata amaran itu tidak menggentarkan pihak tentera yang sebelum ini cuba dikurangkan kuasanya oleh Mursi apabila menjadi Presiden. Atas alasan memenuhi tuntutan rakyat, tentera menjadikannya ‘senjata’ bagi menyingkirkan Mursi.

‘‘Sebenarnya, biar pun Mursi cuba mengawal tentera tetapi beliau gagal sebab itulah tentera berjaya melakukan rampasan kuasa dan apa yang menimbulkan persoalan berapa lama pemerintah sementara akan berkuasa. Ia memandangkan tentera tidak memberi tempoh bila pilihan raya akan diadakan," kata Dr.Azmi.

Walaupun ketika ini Ketua Hakim Mesir, Adly Mansour dilantik sebagai Presiden sementara namun beliau boleh dianggap tidak mempunyai apa-apa kuasa kerana yang sebenarnya berkuasa adalah tentera.

Sememangnya apa yang berlaku di Mesir harus menjadikan pengajaran betapa tindakan melakukan demonstrasi untuk menjatuhkan kerajaan bukanlah satu tindakan yang bijak sebaliknya ia akan menjadi satu ‘proses’ yang boleh menghancurkan negara.

Tidak dapat dinafikan bahawa Mursi menduduki kerusi Presiden melalui pilihan raya yang diadakan di negara itu apabila beliau menewaskan Ahmed Shafiq, Perdana Menteri dalam pemerintahan Hosni Mubarak dengan memperolehi 52 peratus undi. Tetapi segala-galanya bermula melalui demonstrasi dan protes rakyat yang menjatuhkan kepimpinan Hosni Mubarak.

Platform

Kini demonstrasi juga dijadikan platform untuk menjatuhkan Mursi dan keadaan itu memberikan kesempatan terbaik kepada pihak tentera merampas kuasa. Bagaimanapun semua itu tidak akan menguntungkan Mesir, sebaliknya hanya akan menyebabkan negara itu terus berada dalam keadaan huru-hara dalam tempoh yang panjang.

Seperti mana dijanjikan oleh pihak tentera, rakyat Mesir akan diberi peluang untuk memilih kerajaan baru, namun ia bukanlah satu jaminan bahawa pemerintah seterusnya tidak akan dijatuhkan lagi melalui rampasan tentera yang berpunca daripada demonstrasi jalanan.

Bagi rakyat Mesir, biar pun sebahagian mereka menyokong kejatuhan Mursi namun sebahagian pula merasakan negara itu kini di ambang perang saudara. Ia memandangkan kelompok Ikhwanul Muslimin yang merupakan penyokong kuat Mursi tidak akan duduk diam. Bagi mereka, tindakan tentera melakukan rampasan kuasa dengan menyingkirkan Mursi yang dipilih oleh rakyat melalui proses demokrasi adalah satu pengkhianatan.

Seorang pemimpin kanan Ikhwanul Muslimin, Mohamed Badie ketika berucap di hadapan ribuan penyokong Mursi menyeru, gerakan Islam bersatu untuk membebaskan Mursi dan menamatkan pemerintahan tentera.

‘‘Ikhwanul Muslimin bersama anda dan anda perlu bersama Ikhwanul Muslimin. Anda cukup mengenali kami, berjuta-juta antara kami akan terus berada di jalan raya dan dataran awam untuk melindungi Mursi. Kita akan memikul beliau di atas bahu kita, ‘’ tegas Mohamad Badie.

Seorang lagi penyokong kuat Mursi daripada Ikhwanul Muslimin, Manal Shoiub yang berucap di sebuah masjid di Kaherah menegaskan, ‘‘Jika Jeneral El-Sissi mahu menghapuskan kami, kita tidak akan lari. Kami akan hadapi peluru dengan tubuh kami. Biar Panglima Angkatan Tentera menghormati Presidennya.’’

Amaran itu menjadi kenyataan apabila penyokong Ikhwanul Muslimin bertempur dengan tentera yang menyaksikan berpuluh-puluh orang terbunuh. Tindak balas yang dilakukan oleh Ikhwanul Muslimin itu bukanlah satu perkara yang mengejutkan memandangkan selama 80 tahun pertubuhan itu bergerak di belakang tabir bagi meraih kuasa di Mesir dan sekarang apabila pemimpin yang mereka sokong disingkirkan tidak sampai setahun memerintah, maka ia sudah tentulah mewujudkan perasaan tidak puas hati yang cukup mendalam.

Sebab itulah kebimbangan bahawa akan tercetus perang saudara di Mesir bukanlah tidak berasas apatah lagi dengan tindakan tentera yang melakukan rampasan kuasa. Pejuang-pejuang Islam yang turun ke jalanan selepas kejatuhan Mursi sudah bersumpah akan berjuang sehingga titisan darah terakhir sebagai membalas dendam terhadap tindakan tentera itu.

Kemarahan membuak-buak itu didorong dengan pegangan bahawa Mursi menduduki jawatan Presiden melalui cara demokrasi, oleh itu hanya jalan demokrasi sahaja boleh menjatuhkan beliau. Walaupun sebahagian besar rakyat Mesir memahami bahawa Mursi mengambil alih memerintah negara itu dalam keadaan ekonomi yang merudum dan sudah tentulah memerlukan masa untuk memulihkannya namun mereka tidak dapat bersabar.

Keadaan itu telah mengundang reaksi ulama terkemuka dunia, Yusuf Al-Qaradawi yang mempersoalkan tindakan rakyat Mesir dengan berkata, ‘‘Bagaimana kita boleh bersabar dengan Mubarak selama 30 tahun tapi tidak boleh bersabar dengan Mursi selama setahun".

Kesudahannya, bergeraklah ‘tangan-tangan ghaib’ termasuk dari luar negara untuk memastikan Mursi tersingkir dari kerusi Presiden.

Kini Mesir di ambang perang saudara, sesungguhnya rakyat Mesirlah yang bertanggungjawab ‘menjemput’ petaka berkenaan sehingga memungkinkan bumi negara itu bersimbah darah.Inilah bahananya apabila mereka tidak memahami erti sebenar demokrasi.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zohor 1:16
Asar 4:24
Maghrib 7:21
Isyak 8:30


 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
PRK Bukit Gelugor
Utusan Live di PRK Parlimen Bukit Gelugor
PRK Teluk Intan
Utusan Live di PRK Parlimen Teluk Intan
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.