VERSI : Mobile | Akhbar Digital
17 April 2014 / 17 Jamadil Akhir 1435  
  Carian Arkib
RENCANA

ARKIB : 16/06/2013

Lima usul kunci rundingan damai selatan Thailand

MESYUARAT kali keempat Jawatankuasa Kerja Bersama Proses Rundingan Damai (JWG-PDP) Selatan Thailand di Kuala Lumpur 13 Jun lalu menyaksikan delegasi Barisan Revolusi Nasional (BRN) mengemukakan secara rasmi lima usul kepada delegasi kerajaan Thailand yang diketuai Ketua Majlis Keselamatan negara itu, Leftenan Jeneral Paradorn Pattanatabut.

Sehari selepas mesyuarat tersebut, delegasi BRN buat julung-julung kali bersetuju menghadiri sidang akhbar yang diaturkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) di Kuala Lumpur khusus untuk agensi-agensi media tempatan terpilih termasuk Utusan Malaysia dan dua agensi media antarabangsa.

Dalam sidang akhbar itu, Ketua Perhubungan Luar BRN di Malaysia, Hassan Taib menegaskan, penerimaan kerajaan Thailand terhadap lima usul tersebut merupakan kunci kepada peringkat selanjutnya dalam rundingan damai itu.

Beliau yang ditemani wakil BRN, Adam Mohd. Nor dan wakil Pertubuhan Pembebasan Pattani Bersatu (PULO), Lukman Lima kelihatan tenang dan selalu tersenyum ketika menjawab soalan-soalan yang diutarakan para wartawan. Delegasi BRN itu turut mewakili pandangan PULO dan Barisan Islam Pembebasan Patani (BIPP).

Usul pertama yang dibentangkan oleh BRN ialah mencadangkan agar Malaysia yang pada masa ini bertindak sebagai fasilitator proses rundingan damai berkenaan diberi peranan lebih besar selaku pengantara. Hassan berpandangan, Malaysia wajar diberi kepercayaan itu berdasarkan komitmennya dalam menyelesaikan masalah yang kompleks.

“Malaysia juga ada kepentingan secara langsung dengan Thailand yang bersempadan dengannya dan juga sebagai negara ASEAN. Kita di pihak BRN juga mempunyai persefahaman dengan kerajaan Malaysia," ujarnya.

Berhubung usul kedua, kata Hassan, BRN meminta wakil-wakil Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), ASEAN dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dilantik sebagai pemerhati asing bagi proses rundingan damai selatan Thailand.

“BRN mahu dunia menyaksikan dalam rundingan ini, kita benar-benar komited untuk menyelesaikan masalah supaya tidak saling tuduh menuduh dan tipu menipu. Buat masa ini, kita serah kepada Malaysia dahulu.

“Kami tegaskan kehadiran pemerhati asing sangat perlu bagi menentukan siapa sebenarnya yang bertanggungjawab dalam insiden-insiden keganasan di selatan Thailand.

“Sudah tentu BRN dapat mengawal pejuangnya di medan perang. Namun tidak dapat dinafikan terdapat pihak-pihak di sana yang sentiasa menjalankan operasi sabotaj," kata pemimpin kanan BRN itu.

Usul ketiga iaitu mengiktiraf hak ketuanan orang Melayu Patani di wilayah sendiri merupakan salah satu matlamat utama perjuangan BRN dan gerakan kemerdekaan selatan Thailand yang lain.

“Penyelesaian jangka masa pendek dan panjang adalah satu sahaja iaitu orang Melayu Patani dapat menentukan nasib mereka sendiri. Kami sebagai pejuang bersikap ikhlas dalam usaha mengembalikan hak ketuanan itu.

“Kami akan memperincikan tentang perkara ini sebelum berbincang tentang pemerintahan sendiri atau autonomi," jelasnya.

Keselamatan

Dua lagi usul yang dikemukakan BRN menyentuh aspek keselamatan dalam negeri Thailand iaitu pembebasan tahanan-tahanan politik dan pemansuhan waran tangkap terhadap orang Melayu Patani yang terlibat dalam gerakan kemerdekaan di empat wilayah di selatan negara tersebut.

Hassan turut menangkis dakwaan segelintir pihak kononnya lima usul itu tidak mewakili pandangan majoriti penduduk Selatan Thailand. Katanya, kesemua usul berkenaan dibuat berdasarkan kepada kepentingan seluruh orang Melayu Patani.

“Selama ini, usul kita tentang lima perkara itu didukung semua rakyat melalui forum-forum yang dianjurkan di Selatan Thailand.

“Malah, orang Melayu Patani yang berada di luar negara termasuk Malaysia dan Eropah turut menyokongnya. Pihak yang menentang usul-usul itu mungkin ada kepentingan," jelasnya.

Selain membentangkan lima usul berkenaan, BRN juga menyatakan pada prinsipnya mereka bersetuju untuk mengurangkan ‘tindakan’ sepanjang Ramadan ini bagi menjamin keselamatan nyawa orang ramai.

Mengulas lanjut, Hassan memberitahu, persetujuan itu adalah tertakluk kepada kesediaan kerajaan Thailand untuk menerima beberapa syarat yang akan dikemukakan oleh BRN.

“Kita akan memberikan syarat itu kepada kerajaan Thailand dalam masa sepuluh hari lagi menerusi sekretariat proses rundingan damai ini," katanya.

Beliau tidak menafikan kewujudan pelbagai puak dalam gerakan kemerdekaan orang Melayu Patani di Selatan Thailand namun kumpulan-kumpulan serpihan itu tidak dipinggirkan malah BRN berusaha agar mereka turut terlibat dalam proses rundingan damai pada masa akan datang.

“Memang ada penentangan tetapi dilakukan oleh tentera Thailand, sindiket dadah dan golongan oportunis yang mencari upah. Terdapat juga individu-individu berkepentingan yang inginkan pangkat, duit dan nama.

“Belum nampak tanda individu-individu berkepentingan itu ingin menghalang rundingan damai walaupun mereka mungkin melakukan keganasan," ujarnya.

Hassan meletakkan keyakinan yang tinggi terhadap proses rundingan damai selatan Thailand dan memberi komitmen akan memastikan usaha murni tersebut mencapai kejayaan.

“Kita akan berusaha sampai berhasil. Saya meminta semua pihak bersabar, senyum dan bertimbang rasa dalam rundingan ini yang dilihat sebagai langkah terbaik untuk menyelesaikan masalah di selatan Thailand. Di medan perang tak boleh selesai," katanya.

Utusan Online on Facebook
Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:50
Zohor 1:16
Asar 4:27
Maghrib 7:21
Isyak 8:31
 
 



IKLAN@UTUSAN



BANCIAN ONLINE
IKLAN@UTUSAN

MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.