VERSI : Mobile | Akhbar Digital
24 April 2014 / 24 Jamadil Akhir 1435  
  Carian Arkib
RENCANA

ARKIB : 12/06/2013

Antara vaksinasi atau khurafat

SEJAJAR dengan pembangunan dunia dan kemajuan pengetahuan di mana maklumat boleh dicapai dan disebar hanya dengan petikan jari pada telefon pintar dan komputer riba, kita melihat masyarakat lebih ramai yang berpengetahuan dan mempunyai daya ingin tahu yang sungguh menakjubkan.

Para doktor, amat terasa akan kesannya apabila para pesakit terutamanya dalam kalangan yang terpelajar mula tampil dan menduga ilmu yang ada pada doktor melalui pembacaan mereka di internet.

Bagi masyarakat awam, sepatutnya ada batasan tertentu yang perlu diketahui oleh mereka tentang kebolehpercayaan dan kewibawaan maklumat di internet. Penulis ingin merujuk secara khusus berkenaan dengan suatu topik yang mula menimbulkan kontroversi dalam kalangan masyarakat khususnya ibu bapa sejak mutakhir ini iaitu tentang vaksinasi kanak-kanak.

Adalah amat menyedihkan apabila maklumat-maklumat palsu serta teori-teori konspirasi dijadikan sebagai hujah untuk menolak kebaikan dan manfaat vaksin yang telah dibuktikan secara klinikal. Vaksin adalah kaedah perubatan pencegahan bagi membasmi penyakit-penyakit berjangkit dan berbahaya seperti polio, difteria, batuk kokol, tetanus dan sebagainya yang pada satu ketika dahulu pernah mengorbankan jutaan nyawa kanak-kanak. Kini penyakit-penyakit seperti itu jarang kedengaran disebabkan oleh kejayaan program vaksinasi yang dijalankan oleh kerajaan dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Namun, wujud segelintir individu yang menggunakan agama sebagai alasan menolak vaksinasi terhadap anak-anak mereka. Para doktor melihat fenomena ini kerap mengakibatkan pesakit kanak-kanak (yang merupakan anak-anak golongan ini) menjadi mangsa apabila dijangkiti pelbagai penyakit yang kebiasaannya tidak lagi dicari sebagai diagnosis atas sangkaan bahawa kanak-kanak tersebut sudah divaksinkan mengikut program vaksinisasi yang sudah digariskan oleh Kementerian Kesihatan.

Malangnya, sikap ibu bapa yang enggan memberikan vaksin kepada anak mereka atas alasan nasihat daripada ustaz-ustaz dan guru-guru agama mereka agar tidak berbuat demikian telah mengakibatkan kerosakan tubuh badan yang amat kritikal malah ada yang sudah meragut nyawa.

Alasan yang mereka berikan adalah berpandukan kepada pendapat ustaz, rakan-rakan serta penulisan blog atau survey tertentu yang langsung tidak kredibel malah metodologi kajian tidak mempunyai nilai kewibawaan untuk mencabar pembuktian saintifik dan klinikal yang disokong oleh jurnal-jurnal perubatan terkemuka dari seluruh dunia dan juga statistik semasa oleh organisasi kesihatan seluruh negara di dunia.

Malah sebuah maklum balas yang sering mereka gunakan adalah merupakan maklum balas dalam kalangan berbelas ribu dari ibu bapa luar negara yang tidak mempercayai imunisasi yang mengatakan kononnya anak-anak mereka kekal sihat tanpa sakit berbanding dengan anak-anak yang divaksin. Komen-komen daripada para ibu bapa ini dijadikan dalil oleh sebahagian ibu bapa di Malaysia untuk menolak imunisasi.

Kajian seperti ini langsung tidak mempunyai apa-apa nilai sebenarnya kerana sesiapapun boleh membuat maklum balas yang cenderung menyokong apa yang mereka percayai. Kita boleh saja dengan mudah mendapatkan 50,000 rakyat Malaysia yang mempercayai kewujudan hantu Pontianak, Pocong dan Toyol. Malah pengalaman-pengalaman masing-masing yang 'diganggu' juga boleh direkodkan, tetapi apakah ini bermaksud makhluk itu wujud? Tidak sama sekali. Ia hanya kekal sebagai mitos dan legenda yang langsung tidak boleh dijadikan sebagai bukti konkrit bagi menyokong hujah.

Teori konspirasi Yahudi untuk membodohkan dan melemahkan anak-anak orang Islam, kaitan vaksinasi dengan kenaikan jumlah anak-anak yang mengidap autisme dan attention deficit disorder serta pelbagai teori karut lain ini tidak lebih hanyalah cerita hantu dan fiksyen yang mengalahkan kesan CGI filem-filem Hollywood!

Hipotesis bukanlah bukti. Ia hanyalah sangkaan yang perlu dibuat eksperimen-eksperimen dengan disiplin ilmu yang ketat untuk diterjemah sebagai bukti. Saintis bebas berhipotesis termasuk teori bodoh Darwin yang menyatakan manusia berasal daripada monyet.

Disiplin perubatan adalah sebuah disiplin ilmu yang amat menitik-beratkan keselamatan nyawa dan kemaslahatan masyarakat. Setiap ubat-ubatan itu akan dinyatakan secara jelas kegunaan dan kesan sampingannya tanpa disorok maklumat tersebut daripada para pengguna (pesakit dan doktor). Malah jika ada ubat-ubatan yang didapati kemudiannya memudaratkan kesihatan melalui kesan sampingan yang tidak dikesan pada awalnya, ia akan ditarik balik dari pasaran sekalipun mengakibatkan kerugian perniagaan berbilion dolar.

Vaksin-vaksin yang digunakan ada antaranya sudah berada di pasaran selama puluhan tahun malah mungkin ada yang sudah pun melebihi setengah abad. Jika ada kesan sampingan atau kandungan vaksin yang memudaratkan kesihatan seperti yang didakwa, sudah tentu ia sudah dibuktikan secara klinikal dan sudah ditarik dari pasaran atau menghadapi tindakan saman terutamanya daripada pengguna-pengguna di negara Barat yang sangat cerewet dan berkira tentang soal keselamatan dan kesihatan.

Para alim ulama terkemuka dunia juga tidak pernah menolak manfaat vaksinasi kerana perubatan pencegahan ini adalah tidak bercanggah dengan syarak. Bekas Mufti Besar Arab Saudi, Syaikh Abdul Aziz bin Abdullah bin Baz telah memberikan dalil tentang ini dengan memberikan hadis Nabi SAW daripada Sahih Bukhari, "Barang siapa yang memakan tujuh biji kurma Madinah setiap paginya, maka pada hari itu ia tidak akan dibahayakan oleh racun mahupun sihir". Ini dapat dinisbatkan dengan vaksin yang mana tujuan penggunaanya adalah untuk mencegah penyakit-penyakit yang mengancam nyawa.

Islam memandang tinggi terhadap kemaslahatan umat. Malah apabila melibatkan soal nyawa perkara yang haram juga boleh menjadi harus! Islam melarang manusia mencampakkan diri ke dalam kebinasaan dengan sengaja. Setiap dari kita akan dipertanggungjawabkan atas segala perbuatan kita.

Jika sebegini pandangan Islam akan sikap akauntabiliti dalam mencegah bahaya dan kemudaratan malah pada seekor haiwan, apatah lagi mencegah penyakit berbahaya yang menyebabkan kesengsaraan kanak-kanak di bawah tanggungjawab kita?

Kepada para alim ulama yang berpendapat bahawa vaksin ini membahayakan kesihatan anak-anak, saya syorkan rujuklah dahulu pendapat mereka yang berada dalam bidang tersebut. Seperti mana firman Allah, "Bertanyalah kepada yang mengetahui (ahli dalam sesuatu bidang) jika kamu tidak mengetahui!"- Surah Al Anbiya, ayat 7.

Sewajarnya, pendapat kami yang berada dalam bidang ini mesti diambil kira. Jagalah sempadan ilmu masing-masing dan bertanyalah kepada mereka yang benar-benar mengetahui.

Jika golongan agama ini boleh merayu sesama mereka untuk menghormati bidang masing-masing, contohnya, orang hadis diminta menghormati orang fiqah dan sebaliknya, bukankah manis juga, mereka menghormati golongan yang benar-benar belajar, berguru dan menuntut ilmu dalam bidang perubatan melalui jalan dan kaedah yang sahih?

Demikianlah juga dalam bidang perubatan, apabila yang bukan ahlinya mula berkata-kata, nantikanlah malapetaka besar yang bakal mengundang kesengsaraan pada kehidupan manusia.

PENULIS ialah Pegawai Perubatan,

Jabatan Kecemasan dan Trauma,Hospital Kuala Lumpur

Utusan Online on Facebook
Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:47
Zohor 1:14
Asar 4:29
Maghrib 7:20
Isyak 8:31
 
 



IKLAN@UTUSAN



BANCIAN ONLINE
IKLAN@UTUSAN

MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.