VERSI : Mobile | Akhbar Digital
23 April 2014 / 23 Jamadil Akhir 1435  
  Carian Arkib
RENCANA

ARKIB : 24/04/2013

Gelang Patah: Ujian kesetiaan, keikhlasan dan kesetiakawanan

SAYA angkat topi kepada Ghani Othman, mantan Menteri Besar Johor yang berani berhadapan dengan Maharaja DAP Lim Kit Siang. Lebih daripada itu Ghani juga dijangka mencipta sejarah dalam perkembangan proses politik Malaysia.

Adakah beliau akan mendapat undi Cina? Adakah pengundi Cina akan memberi undi kepada Ghani, seorang Melayu? Adakah orang Cina akan mengenang budi orang Melayu yang selama ini boleh memberi undi kepada calon Cina di kawasan majoriti Melayu?

Ia juga merupakan satu ujian sebenar dalam erti kata setiakawan rakyat kepada Barisan Nasional (BN), terutama dalam hubungan Sino-Melayu.

Inilah pertama kali dalam sejarah moden Malaysia untuk beberapa tahun kebelakangan ini seorang Melayu, bekas MB, bekas pemimpin besar UMNO dan BN negeri berani mencalonkan diri bertanding di kawasan yang bukan kubu tradisi Melayu.

Inilah pertama kali dalam sejarah, UMNO akan berlawan dengan DAP. Mungkin sebelum ini ada calon DAP berbangsa Melayu yang melawan calon UMNO, tapi ini adalah pertama kali seorang calon UMNO melawan seorang Maharaja DAP.

Ghani yakin dengan keputusannya itu. Beliau juga percaya dengan pendiriannya. Walaupun ramai yang mengatakan itu satu tindakan ‘membunuh diri’ namun beliau tetap yakin mahu berlawan di situ.

Tiada sesiapa yang mahu membunuh Ghani. Ghani dari awal lagi telah membuat tekad mahu bertanding di situ.

Ghani tidak mahu Maharaja Kit Siang bertapak di Johor. Sudah tentu Johor yang mendapat nama jolokan Kubu Kuat UMNO tidak mahu negeri itu dicemari dengan penjajahan DAP mahu pun Pas.

Bagi saya, apa yang berlaku ini merupakan satu persimpangan tajam untuk kita saksikan betapa setia dan ikhlasnya pengundi Cina, orang Cina terhadap perkembangan ini.

Apakah orang Cina yang selama ini dijaga hati mereka oleh orang Melayu, ditatang hati mereka oleh orang Melayu akan memulangkan semula kebaikan hati kepada orang Melayu.

Orang Melayu ialah satu bangsa yang cukup accommodative - baik hati, murah hati, penjaga hati, biaq pi lah - sejak zaman dahulu sehingga sekarang. Orang putih memberi erti accommodative ialah to do a kindness or a favour to; oblige; to accommodate a friend.

Orang Melayu ialah bangsa yang tidak suka melukakan hati, merobek dan menyusahkan hati orang lain.

Namun, ironinya, ia berbeza apabila orang Melayu berhadapan dengan sesama Melayu. Soal accommodative itu sudah tidak diambil kira lagi. Itu pasallah dalam sejarah Melayu terlalu banyak pepatah dan peribahasa mengenai sikap Melayu sesama Melayu, yang antaranya berbunyi “berpatah arang, berkerat rotan", “kalah jadi abu, menang jadi arang", “menang sorak, kampung tergadai" dan lain-lain lagi.

Terlalu banyak contoh dalam pertarungan pilihan raya sama ada umum atau kecil atau negeri, orang Melayu dan pribumi, akan memberi undi kepada sahabat mereka daripada bangsa lain di kawasan majoriti mereka.

Kawasan Parlimen Gelang Patah yang mengikut demografi geopolitik dihuni oleh seramai 106,864 pengundi. Sebanyak 34.28 peratus adalah pengundi Melayu, 52.41 Cina, 12.49 India dan 0.83 peratus lain-lain kaum. Kawasan itu yang merupakan kubu tradisi MCA dan pada 2008 dimenangi oleh Tan Ah Eng dengan majoriti 8,851 undi.

Ghani tiada masalah jika beliau bertanding di kawasan majoriti Melayu atau di DUN. Pada PRU 2008, beliau menang di DUN Serom dengan undi sebanyak 10,088 mengalahkan calon Pas. Dia mendapat majoriti undi sebanyak 4,971.

Namun beliau tetap mahu bertanding di Gelang Patah. Sesungguhnya penduduk Gelang Patah juga banyak terhutang budi kepada Ghani, seorang bekas Menteri Besar yang berwawasan.

Di bawah pentadbiran Ghani, wujudnya pusat pentadbiran negeri yang baharu di Kota Iskandar. Langkah itu telah membuka luas Gelang Patah kepada pembangunan, pelaburan dan busines.

Jika orang Cina bercakap mengenai soal-soal itu, tiada alasan untuk mereka menolak Ghani.

Sebahagian besar pelaburan Iskandar bermula di Gelang Patah. Di kawasan sekelilingnya didirikan kawasan perumahan baharu kategori mewah Medini, terletaknya taman tema Legoland dan Puteri Harbour. Gelang Patah turut dilengkapi dengan universiti dan kolej, jajaran lebuh raya dan jalan biasa yang baik.

Kawasan perumahan di Nusajaya, misalnya dilimpahi dengan kemudahan prasarana yang lengkap dan terkini. Skudai ialah sebuah kawasan bandar yang cukup pesat dan penduduk semakin padat. Rumah mampu milik didirikan di Mutiara Rini.

Hak milik tanah kampung-kampung baharu semua sudah diberikan, termasuk di Kampung Poh Chee Lin. Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dipindah ke tempat lebih baik dan dibantu pembinaannya. Tapak turut diberikan.

Pertubuhan NGO Melayu, Cina dan India dibantu dengan peruntukan. Kuil dan tokong diberi hak milik dan dibantu dengan keperluan yang sepatutnya.

Pendek kata Ghani telah melengkapkan segala-gala di Gelang Patah dan sekelilingnya. Tiada alasan untuk rakyat kawasan Parlimen itu menolak Ghani.

Namun, sebab-musabab mengapa Maharaja DAP melompat ke Gelang Patah juga merupakan satu persoalan.

Saya merasakan ini merupakan satu langkah taktikal yang dilakukan oleh pakatan pembangkang untuk menawan di kawasan-kawasan yang strategik kaya dan mewah di seluruh negara. Mereka mahu memalukan BN.

Pulau Pinang sudah dimiliki DAP. Selangor sudah dimiliki mereka. Saya ke Terengganu sehari sebelum hari penamaan calon dan gambaran Pas cuba menguasai semula negeri itu melalui perang benderanya menggambarkan strategi bersungguh-sungguh mereka untuk menawan negeri itu.

Putrajaya juga diletakkan dengan salah seorang jeneral mereka. Dan akhirnya Parlimen Gelang Patah dengan kemajuan mendadak yang telah diasaskan oleh kerajaan BN.

Jika dilihat trend itu, ia merupakan satu strategi yang cukup terancang dan taktikal untuk menawan kesemua kawasan maju dan kaya itu.

Selain kawasan Putrajaya yang majoritinya Melayu, Gelang Patah ialah satu ujian kesetiakawanan hubungan Cina-Melayu dalam politik Malaysia moden.

Sekiranya Ghani tewas, sama ada kita bersetuju atau tidak, ia bermakna hubungan Cina-Melayu hanya di atas kulit sahaja. Ia belum lagi menjurus kepada soal hati nurani sepenuhnya antara dua kaum itu.

Sama ada kita bersetuju juga, ujian itu juga akan menjuruskan kepada soal polarisasi kaum yang akan menjadi semakin menebal, walaupun kita sudah Merdeka 56 tahun.

Bagi saya, sama ada BN menang atau tidak, ia merupakan satu lagi kajian sains politik dan sains sosial Malaysia moden yang perlu kita teliti.

Politik Malaysia sebenarnya sedang melalui satu proses kematangan. Dan sepatutnya, para pengundi juga harus matang dalam menentukan keputusan mereka.

Utusan Online on Facebook
Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh
Zohor
Asar
Maghrib
Isyak
 
 



IKLAN@UTUSAN



BANCIAN ONLINE
IKLAN@UTUSAN

MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.