VERSI : Mobile | Akhbar Digital
18 April 2014 / 18 Jamadil Akhir 1435  
  Carian Arkib
RENCANA

ARKIB : 21/03/2013

1 undi Pas = 1 undi DAP

PEMBUBARAN tidak berlaku semalam. Ramai yang meramalkan begitu. Namun itu tidak penting, kerana yang pasti Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) akan tetap berlaku.

Mari kita lihat tajuk Cuit hari ini. Apa maksudnya? Pada PRU-12 semua orang sedar para pengikut totok Paslah yang bekerja keras untuk kemenangan pakatan mereka. Namun yang kaut besar ialah DAP.

Makna kata, para pengikut tegar Pas - yang sanggup tidur di atas jalan; atau bertakbir atas nama Allah jika UMNO dapat dipersendakan - tidak peduli jika DAP menang besar. Matlamat mereka ialah asalkan mereka dapat memalukan UMNO (bukan BN), itu sudah memadai.

Namun pada PRU-13 ini, bagaimana pula coraknya? Apakah para pengikut totok Pas dan para pemimpinnya akan bertindak sekali lagi? Melihatkan trend sepenggal dari pasca tsunami politik 2008 sehingga pra-PRU-13 ini sudah ada perubahan dalam Pas. Ada yang setuju, ada yang tidak.

Puak ulama Pas beralih arah. Mereka tidak bersetuju dengan cara Pas itu. Maka ada yang tidak selindung lagi, menyatakan perasaan masing-masing. Mereka termasuklah Nasharuddin Mat Isa dan lain-lain. Akibat keceluparan dan perlakuan, Ustaz Nasha akhirnya dipecat daripada Majlis Syura Ulama Pas.

Ini sekali gus mengulangi sejarah hitam Pas setahun lalu yang memecat bekas Pesuruhjaya Pas Selangor yang juga AJK Pas Pusat, Dr. Hasan Ali pada 8 Januari 2012 juga tanpa memberi ruang pembelaan diri.

Puncanya juga adalah kerana keceluparan dan perlakuan Dr. Hasan Ali yang tidak tahan melihat kerakusan penguasaan DAP dalam Exco kerajaan Selangor. Haron Din pun ada menyatakan perasaan yang sama - secara rasmi mahupun tidak. Namun, beliau kelihatan masih playsafe!

Sebaliknya, puak Anwarninas, penyokong totok Anwar Ibrahim dalam Pas pula bermati-matian ke arah matlamat mereka. Nik Aziz Nik Mat adalah pemimpin yang terlalu taksub dengan Anwar. Beliau sanggup melakukan apa sahaja asalkan bukan kemenangan kepada UMNO, walaupun isu kalimah Allah dipermainkan oleh DAP.

Ikuti analisis ini, yang turut disumbangkan oleh sahabat saya blogger Bigdog, Zakhir Mohamed. Benarkah 1 undi kepada Pas bererti juga memberi 1 undi kepada DAP?

Pilihan Raya Umum Ke-13 yang terpaksa muncul dalam beberapa minggu sahaja lagi ini makin menarik. Keyakinan pakatan pembangkang untuk bertarung ke medan yang bukan tradisional perlu diberikan perhatian.

Kebelakangan ini, parti cauvinis Cina DAP semakin agresif. Mereka mahu menggempur kubu tradisi UMNO/BN iaitu Johor. Keyakinan ini dizahirkan apabila Penasihat DAP, Lim Kit Siang, anak Batu Pahat buat pertama kalinya akan bertarung di negeri kelahiran sendiri setelah lebih 45 tahun berkecimpung dalam politik. Pengumuman dibuat dengan begitu gah sekali oleh Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim.

GELANG PATAH MENJADI SASARAN PILIHAN

Begitu juga Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub, kemungkinan besar ke kerusi, sama ada Parlimen Pulai atau Pontian.

Mantan Naib Presiden MCA dan kini Pengerusi PKR Johor, Chua Jui Meng juga akan menawarkan diri. Ini bermakna personaliti seperti Pesuruhjaya Pas Johor, Datuk Dr. Mahfodz Mohamad dan Pengerusi DAP Johor, Dr. Boo Cheng Hau tidak lagi memadai, untuk mengepalai ‘tentera politik pakatan pembangkang’ di Johor.

Dalam percaturan perkembangan politik terbaharu ini, apa yang penting ialah pertimbangan ke atas penawaran pakatan pembangkang kepada pengundi Johor. Ini kerana untuk menggempur kubu kuat dan tradisional UMNO/BN itu, tawaran mesti berpatutan untuk pengundi berubah kesetiaan mahupun selera politik mereka.

Lim Kit Siang, sebagai mantan Setiausaha Agung, Pengerusi dan kini Penasihat DAP telah menjadi Ahli Parlimen dan ADUN di Melaka, Selangor, Pulau Pinang dan Perak. Setelah mula menjadi YB hampir 44 tahun yang lampau, inilah kali pertama dia mencuba nasib dalam negeri kelahiran.

Kit Siang dengan gah mengumumkan hujung minggu lepas corak pentadbiran baru sekiranya pakatan pembangkang berjaya menawan Putrajaya.

Antara ciri utama pentadbiran pembangkang sebagai Kerajaan Persekutuan ialah pemecahan kuasa pemusatan (decentralisation of power) iaitu memberikan lebih banyak kuasa kepada kerajaan negeri.

Ini adalah sebahagian takrifan politik mereka untuk mendemokrasikan pemerintahan. Mungkin negeri-negeri kemudiannya akan menurunkan pula kuasa kepada majlis-majlis perbandaran melalui pilihan raya masing-masing, yang mereka perjuangkan selama ini. Jika ini berlaku maka, penguasaan kaum Cina di majlis-majlis perbandaran akan menjadi lebih mutlak. Mereka secara idealnya mahu mewujudkan satu konsep demokrasi sepenuhnya.

Namun rekod mereka menggunakan kuasa di peringkat parti amatlah berbeza iaitu indah khabar daripada rupa.

DAP diperintah bukanlah secara demokrasi sebenar. Mantan Naib Pengerusi Tunku Aziz telah mengesahkan perkara ini.

Pengumuman Kit Siang sebagai calon DAP di kawasan Gelang Patah merupakan cara untuk mengekang penguasaan Pengerusi DAP Johor Dr. Boo Cheng Hau, yang dikatakan tidak sehaluan dengan anak beliau, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Dr. Boo merupakan ADUN Skudai, satu kawasan DUN dalam Parlimen Gelang Patah. Dr. Boo juga berhadapan dengan krisis kepimpinan dengan orang kepercayaan Guan Eng dalam DAP Johor iaitu ADUN Bentayan, Gwee Tong Hiang.

Gwee pernah dihalau keluar oleh Speaker DUN Johor pada 19 Jun 2008 kerana enggan memakai songkok dalam majlis perasmian DUN Johor oleh Tuanku Sultan Johor.

Ditambah lagi bagaimana pilihan raya jawatankuasa eksekutif pusat DAP 15 Disember lalu yang penuh kontroversi. Gerakan terancang dalam DAP juga membuahkan hasil apabila hanya personaliti tertentu sahaja berjaya dipilih oleh perwakilan.

DAP merupakan parti yang mengamalkan nepotisme yang kronik. Semenjak 1969, Kit Siang dan anaknya Guan Eng menduduki kerusi paling berkuasa iaitu Setiausaha Agung (kecuali untuk tempoh lima tahun di antara 1999-2004 yang dipegang oleh Kerk Kim Hock).

Ini merupakan amalan sama dalam PKR.

PKR ditubuhkan daripada gerakan politik jalanan ‘Reformasi’ yang dijana semata-mata kerana memperjuangkan pemecatan Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Perdana Menteri pada 2 September 1998 dan Timbalan Presiden UMNO pada 3 September 1998.

Hari ini, PKR terdiri daripada Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim sebagai Ketua Umum, isteri beliau Wan Azizah Wan Ismail sebagai Presiden, pegawai khas beliau Azmin Ali sebagai Timbalan Presiden dan anak perempuan beliau Nurul Izzah sebagai Naib Presiden.

Kit Siang juga menyebut bahawa pemerintahan pakatan pembangkang sebagai Kerajaan Persekutuan juga berdasarkan ‘ketelusan dan kebertanggungjawaban’. Namun realitinya, ia gagal dipraktikkan oleh kerajaan anaknya di Pulau Pinang.

Isu kontroversi projek Bayan Mutiara, tanah yang sepatutnya menjadi peruntukan pembangunan sebuah masjid telah dijual. Skandal tanah di Taman Manggis juga masih lagi baru.

DAP yang juga merupakan rakan kongsi ketat Kerajaan Selangor masih gagal menyelesaikan isu skandal tanah di Bestari Jaya yang melibatkan tanah pegangan pajakan seluas 2,263 ekar dan pengutipan hutang dengan Talam. Jumlah RM42 juta lebih tinggi daripada harga pasaran masih lagi belum selesai dan jauh daripada ‘telus dan kebertanggungjawaban’.

Dalam ‘perang twitter’ baru-baru ini, MP Ipoh Barat M. Kula mempersoalkan isu-isu korupsi berkenaan ‘kedai baju’ kepada kepemimpinan DAP Perak yang terdiri daripada MP Beruas, Ngeh Koo Ham dan MP Taiping, Nga Kor Ming.

Persoalan kepada isu-isu ini semua tidak memberikan kesan, sebagaimana isu ‘Kalimah Allah’, yang sengaja dipanaskan dengan bertujuan menimbulkan kemarahan orang Melayu.

Mesej Guan Eng pada Hari Natal 2012 meminta Kerajaan Persekutuan mengkaji semula ketetapan mengenai isu ‘Khalimah Allah’ itu merupakan provokasi terancang. Ia mencabar peruntukan dalam Artikel 11(4) Perlembagaan Persekutuan.

Sama juga seperti majlis makan malam pada 5 Mei 2011 di sebuah hotel di Pulau Pinang, semasa meraikan paderi-paderi pasca kejayaan DAP memenangi beberapa kerusi dalam pilihan raya negeri Sarawak April 2011.

Majlis itu mendengar ikrar yang dilafazkan dan dipercayai menyalahi peruntukan undang-undang yang mewartakan Islam sebagai agama Persekutuan Malaysia.

Mantan Timbalan Presiden Pas, Nasharuddin juga pernah menyebut mengenai peristiwa ini dalam ceramah beliau, dalam nada yang kesucian Islam telah dicabar.

Jelas bahawa kepimpinan Pas bersedia untuk membelakangkan isu-isu ini demi kerjasama politik dengan DAP, walaupun ia bertentangan dengan prinsip perjuangan parti itu. Dalam kegilaan untuk merampas Putrajaya, kepemimpinan Pas telah bertolak-ansur dengan nilai-nilai asas kesucian Islam.

Sehingga ke saat-saat ini, Pas masih tidak sedar ia tidak boleh bergantung kepada DAP untuk membawa undi Cina kepada calon-calon mereka. Ini adalah kerana hakikatnya, DAP tidak mempercayai Pas atas isu-isu seperti Hudud.

Isu ‘salon rambut’ dan ‘khalwat’ oleh bukan Melayu di Kelantan baru-baru ini makin menjauhkan keyakinan DAP menjana undi Cina kepada Pas.

Pada PRU-12, beberapa kerusi yang berjaya dikuasai DAP adalah atas ihsan undi yang dijana daripada sokongan dan kempen berapi Pas. Contoh ialah DUN Rahang dan Repah di Negeri Sembilan, DUN Teratai dan Sekinchan di Selangor dan Parlimen Seremban, Teluk Intan dan Puchong.

Dalam konteks Johor iaitu sasaran medan tempur DAP pusingan ini, kerusi Parlimen Bakri dengan majoriti 722 undi (PRU-12) diberikan kepada DAP, walaupun pengundi Melayu merupakan 43 peratus.

Pada PRU-11 MCA menang dengan majoriti 19,059. Pertambahan undi Melayu kepada calon-calon DAP dalam kawasan strategik undi Melayu, adalah kerana kempen intensif Pas ke atas akar umbi Melayu. Sebaliknya, DAP tidak berusaha bersungguh-sungguh agar calon Pas menang.

Malangnya para pengikut totok Pas tidak sedar itu semua. Walaupun mereka sedar, akal mereka sudah berada dalam kepompongan minda (mental block) yang tebal serta ketaksuban kepada pemimpin yang melampau. Para penganalisis bebas meramalkan pada PRU-13 ini DAP akan menang besar. Pas pula akan kalah teruk.

Kesimpulannya: Orang Melayu yang lain wajar diingatkan bahawa mengundi Pas itu sama dengan mengundi DAP.

Utusan Online on Facebook
Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:50
Zohor 1:15
Asar 4:27
Maghrib 7:21
Isyak 8:31
 
 



IKLAN@UTUSAN



BANCIAN ONLINE
IKLAN@UTUSAN

MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.