VERSI : Mobile | Akhbar Digital
20 April 2014 / 20 Jamadil Akhir 1435  
  Carian Arkib
RENCANA

ARKIB : 07/03/2013

Kita serumpun, sebudaya

Penari Gandrung, Lombok, Indonesia mempelawa pengunjung menari bersamanya di Godown Amphitheater, Tebingan Sungai Kuching baru-baru ini. - BERNAMA

SEMENJAK dunia terkembang pada hakikatnya kita adalah satu. Sebelum letusan gunung berapi; sebelum Majapahit, sebelum Wan Empok Wan Malini di Bukit Siguntang, sebelum Sailendra dan sebelum Sri Vijaya; sebelum Melaka dan sebelum Perlak, kita juga satu.

Dunia Melayu yang wujud di kepulauan Melayu - Indonesia, Malaysia, Brunei, Singapura dan selatan Thai merupakan kawasan wilayah sejarah, budaya peradaban yang sama. Kita dijalinkan oleh satu bahasa sekalipun bahasa itu dipanggil bahasa Indonesia dan bahasa Melayu. Lagu tradisional kita, makanan kita, hikayat silam kita, asal-usul kita kesemuanya dan banyak lagi sifat kewujudan kita terpapar di wajah-wajah kita. Kita satu sekalipun geografi dan politik memisahkan kita.

Apakah faktor-faktor persamaan ini tiada erti, tiada pertalian atau tiada keteguhan dalam wujudnya bangsa, agama dan cara hidup kita bersama? Apakah rakyat Indonesia dan rakyat Malaysia yang berumpun Melayu ini tiada apa-apa pada asal dan kesudahannya.

Tentu ada. Mesti terus ada yang boleh kita ingatkan, yang boleh kita lakukan demi keberuntungan bersama. Jangan kita terus lupa dan membiarkan petualang mempersendakan keutuhan kita semata-mata mahu menonton silap mata moden jalanan. Tentu ada hakikat dan pengertian tamadunnya jika kita menoleh ke belakang dan berfikir ke mana kita selepas ini? Mesti ada keberhasilannya jika kita mahu mencari kebenaran dan hakikat kebersamaan.

Pasti ada kepentingan dan pengertiannya jika rakyat Indonesia dan Malaysia bekerjasama sejalan dan sederap selain apa yang dilaksanakan melalui hubungan pemerintah dengan pemerintah. Mesti ada makna dalam kemampuan kita mempereratkan hubungan Malaysia dan Indonesia di luar aktiviti pemerintah? Faktor ini penting dalam usaha menyulam hubungan kedua-dua bangsa yang sering menjadi sasaran kumpulan tertentu yang mempunyai haluan dan tujuan tertentu yang serong dan tidak selari dan selaras dengan aspirasi dan cita rasa rakyat kedua-dua negara.

Keakraban pemimpin tertinggi Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak dan Presiden Indonesia Bapak Susilo Bambang Yudhoyono yang terjalin sejak dahulu memudahkan urusan mempereratkan hubungan itu di peringkat kerajaan. Kini, ia perlu diperkembangkan ke peringkat rakyat dengan rakyat.

Di sinilah Yayasan Ikatan Rakyat Malaysia Indonesia (YIRMI) memainkan peranan utamanya mempererat hubungan rakyat dengan rakyat kedua-dua negara. Ia meneruskan pelbagai kegiatan dalam pelbagai jurusan. Penubuhan YIRMI bertujuan meningkat dan mengekalkan hubungan silaturrahim serta kerjasama antara rakyat Malaysia dengan Indonesia melalui pelbagai bidang termasuk seni budaya warisan, penerangan, kemasyarakatan, ekonomi, pelajaran, bahasa dan perkara lain bagi mencapai keberhasilan hubungan mesra antara rakyat kedua-dua negara di samping memantapkan citra budaya dunia Melayu di Nusantara.

YIRMI dianggotai jawatankuasa kedua-dua negara. Di bawahnya semua badan bukan kerajaan (NGO) boleh bersama menggerakkan aktiviti berkaitan budaya, bahasa, ekonomi dan lain-lain. YIRMI yang baru ditubuhkan dengan kuatkuasa undang-undang tahun lalu bukan sebuah badan politik.

Konsep budaya Nusantara merangkumi pelbagai perkara termasuklah seni budaya, cara kehidupan, adat resam, kebersamaan nilai kehidupan sejagat, makanan dan bahasa yang melibatkan hampir 300 juta orang di Asia Tenggara ini terutama di Malaysia dan Indonesia.

YIRMI yang dilancarkan bersama - saya dan rakan sejawat dari Indonesia iaitu Menteri Penerangan dan Informatika, Bapak Tifatul Sembiring pada malam ini adalah simbolisme dan usaha konkrit bersama antara rakyat kedua-dua negara agar penampilannya benar-benar memberi kesan serta jalinan persahabatan dan kerjasama dua negara serumpun budaya dan sejarah.

Ketika menyampaikan ucapan di majlis jamuan sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia ke-55, di Jakarta, Indonesia, 9 September 2012, saya ada menyatakan: "Kita akan berjuang dan mencari jalan bagaimana konsep dan pengisian kenusantaraan itu boleh terus kita pupuk bersama dan dijayakan demi bahasa kita yang satu, demi kebudayaan kita yang menyeluruh, dan mencakupi antara satu dengan lain, demi sejarah kita yang bersama dan seterusnya demi kepentingan lain secara saling sayang menyayangi."

Ini bukan kali pertama saya menyuarakan kepentingan mempereratkan hubungan kedua-dua negara. Pada 5 Julai 2012, di Seminar Budaya di Sawahlunto, Sumatera Barat, saya menegaskan bangsa Melayu Nusantara harus menerima kenyataan bahawa evolusi budaya berupaya memantap dan memartabatkan budaya mereka di seluruh dunia. Begitu juga dalam ucapan di Universiti Indonesia pada 8 Mac 2012.

Menerusi budaya Rumpun Melayu, ikatan melalui dayausaha YIRMI ini seharusnya kukuh. Perlu diterima hakikatnya bahawa evolusi budaya ialah satu proses perubahan masyarakat dan budaya yang mengambil masa yang lama. Perubahan yang berlaku pula lebih berupa secara persendirian iaitu tiada tekanan dari luar.

Sehubungan itu, rumpun Melayu di Malaysia, Indonesia, Brunei, Singapura dan sebahagian Thailand serta Filipina perlu kerap bertemu dan menjalinkan usaha silaturrahim. Ia perlu berterusan dan adakalanya dalam bentuk santai serta tidak rasmi.

Rumpun Melayu di kepulauan Melayu atau Nusantara harus berbangga dengan seni budaya kelompok masyarakat rumpun Melayu. Seni budaya etnik masing-masing berhak diamalkan dan diiktiraf kerajaan di mana saja mereka berada. Mereka yang mempunyai ikatan kuat menerusi talian agama, budaya dan bahasa. Pimpinan etnik perlu memperkukuhkan semangat kenusantaraan di samping keserumpunan budaya menerusi program agama, budaya dan bahasa selain saling kunjung-mengunjungi dari semasa ke semasa.

Ikatan serumpun ini tidak harus diputuskan oleh golongan berfikiran sempit yang sentiasa menggembar-gemburkan isu atau menyebarkan maklumat tidak tepat sehingga keadaan harmonis yang wujud dalam kalangan kedua-dua kumpulan rakyat dijejaskan oleh segelintir manusia yang sempit akal dan pendirian. YIRMI dan badan bukan kerajaan lain harus sentiasa berusaha merapatkan rakyat kedua-dua negara melalui penerangan, budaya dan agama majoriti rakyat.

Agama, budaya dan bahasa - tiga tali sepilin kehidupan kita, seharusnya menjadi pegangan dan amalan yang berupaya merapatkan hubungan rakyat serumpun kerana menerusi ketiga-tiga talian itu, bangsa Melayu akan terus bersatu terutama dalam mempertahankan amalan peradaban murni turun-temurun.

Nusantara tidak dapat dipisahkan daripada Alam Melayu, justeru tali tiga sepilin tersebut harus diupaya dan diperkasakan untuk membawa amalan hidup budaya serumpun yang bebas daripada bidang operasi politik.

Kesimpulannya peradaban Melayu berdasarkan bahasa Indonesia - bahasa Melayu, budaya dan agama Islam perlu terus menjadi bahan jatidiri peradaban Nusantara itu sendiri. Peradaban kita wajar dipaparkan ke pentas dunia sekurang-kurangnya melalui bahasa Indonesia - bahasa Melayu sebagai bahasa kelima dunia memandangkan hampir 300 juta manusia menuturkan bahasa ini.

Dalam memperkuatkan jati diri masyarakat kita, perkembangan peradaban Melayu menjadi tanggungjawab rakyat mempertahankan seni budaya, bahasa kita sebagai bahasa ilmu, bahasa komunikasi, bahasa perdagangan bahkan menjadi bahasa kerajaan yang memerintah.

Sesungguhnya, penubuhan YIRMI ini membolehkan pelbagai kegiatan dilaksanakan antara rakyat dengan rakyat. Sudah pastilah aktiviti utama YIRMI adalah menyemarakkan program kemasyarakatan melalui penglibatan rakyat di kedua-dua negara dan meningkatkan jaringan kerjasama pertukaran maklumat, penulis, wartawan untuk kepentingan bersama melalui NGO, kumpulan masyarakat dan media massa dari kedua-dua negara.

YIRMI juga akan terlibat dalam kempen, penyelidikan, pameran, penerbitan serta kegiatan lain yang boleh meningkatkan kesedaran dan kemesraan rakyat Malaysia dan Indonesia dalam pelbagai bidang kehidupan. Selain itu, program pertukaran tenaga pengajar dan pelajar melalui peranan NGO dari kedua-dua negara boleh memberi manfaat kepada rakyat.

Dengan tertubuhnya YIRMI sebagai badan berentiti sah di sisi undang-undang, ikatan persahabatan Malaysia Indonesia akan dapat membantu merapatkan lagi hubungan rakyat.

Dalam pengertian pokoknya usaha murni ini merapat dan menjalinkan kasih sayang rakyat serumpun. Kita yang dulunya satu harus terus jadi satu dalam pembudayaan hidup. Serumpun sebudaya.

Utusan Online on Facebook
Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:49
Zohor 1:15
Asar 4:28
Maghrib 7:20
Isyak 8:31
 
 



IKLAN@UTUSAN



BANCIAN ONLINE
IKLAN@UTUSAN

MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.