VERSI : Mobile | Akhbar Digital
21 April 2014 / 21 Jamadil Akhir 1435  
  Carian Arkib
RENCANA

ARKIB : 17/02/2013

Meteor jadi meteorit bila sampai ke bumi, tetapi kekal sebagai tahi bintang

ORANG sekarang tidak lagi panggil batu-batu dari angkasa itu sebagai tahi bintang. Mereka memanggilnya meteor.

Seperti mana orang sekarang tidak memanggil astronomi sebagai kaji bintang.

Meteor adalah perkataan Inggeris yang telah diterima ke dalam Bahasa Malaysia. Asalnya meteor bermaksud kesan-kesan laluan meteoroid di langit yang di lihat dari bumi. Gumpalan asap dan cahaya seperti yang dilihat di sekitar pergunungan Ural di Rusia Jumaat lalu ialah meteor.

Tetapi batunya dipanggil meteoroid. Selalunya meteoroid tidak sampai ke bumi tetapi pecah dan hangus di ruang udara kerana geseran kuat yang dilaluinya.

Apabila meteoroid jatuh ke bumi, ia berubah nama menjadi meteorite dalam bahasa Inggeris, dan meteorit dalam Bahasa Malaysia.

Namun begitu, tahi bintang tidak berubah nama bila ia sampai ke bumi. Ia tetap dipanggil sebagai tahi bintang.

Ketiga-tiga perkataan meteor, meteoroid dan meteorit adalah tahi bintang.

Mengapakah ia disebut sebagai tahi bintang? Mungkin juga ia dianggap sebagai kotoran yang keluar daripada bintang.

Bintang-bintang dilihat indah dari bumi tetapi apabila serpihannya jatuh, didapati tidaklah cantik. Maka mungkin sebab itu ia dinamakan sebagai tahi bintang.

Tetapi ada satu perkataan yang lebih indah dan pernah digunakan untuk merujuk kepada tahi bintang. Perkataan itu ialah panah kelodan.

Dalam bahasa Inggeris, meteor juga disebut sebagai shooting stars atau bintang yang ditembak dan falling stars atau bintang jatuh.

Selain tahi bintang, ada juga digunakan perkataan bintang bergerak. Tetapi bintang bergerak ini bukan saja merujuk kepada tahi bintang tetapi juga bintang berekor dan asteroid.

Perkataan sekarang bagi bintang berekor ialah komet. Ia tidak jatuh ke bumi tetapi merentas sistem suria mengelilingi matahari mengikut orbitnya dan ada masanya dapat dilihat Asteroid pula merujuk kepada bongkah-bongkah batu besar yang juga mempunyai orbitnya mengelilingi matahari dalam lingkungan antaranya dengan planet Musytari.

Semalam, ada sebuah asteroid melintas dalam laluan yang hampir dengan bumi. Malah lebih hampir daripada satelit GPS. Jika asteroid ini terlalu hampir dan memasuki ruang tarikan bumi, maka ia boleh jatuh ke atasnya dan mendatangkan bencana besar.

Kalau di luar lingkungan orbit planet Musytari, maka ia dinamakan planetoid. Kalau lebih besar lagi, maka seperti bumi, batu itu dianggap sebagai planet.

Jadi jika dikira dari segi ukuran dari besar ke kecil, maka ia boleh diatur begini: planet, planetoid-asteroid dan meteoroid. Kalau lebih kecil daripada itu, seperti dalam bentuk debu-debu, maka ia disebut mikrometeoroid.

Tetapi pada zaman dahulu, selain daripada matahari dan bulan, semua benda-benda yang nampak di langit disebut sebagai bintang.

Planet juga disebut bintang. Sebab itulah planet Utarid atau Venus dalam bahasa Inggeris dipanggil oleh orang Melayu sebagai bintang Kejora. Satu-satunya bintang yang namanya ada dalam bahasa Melayu.

Nama-nama planet semuanya berasal sama ada dari bahasa Arab seperti Zuhrah, Utarid, Marikh, Zuhal dan Musytari atau pun Inggeris iaitu Uranus dan Neptune. Orang Arab pada zamannya tidak menemui planet Uranus dan Neptun.

Sanskrit

Malah perkataan Bumi pun berasal dari bahasa Sanskrit. Begitu juga dengan perkataan Suria bagi merujuk pada mata hari dan purnama bagi merujuk pada bulan adalah berasal dari bahasa Sanskrit.

Tetapi matahari, bulan dan bintang memang asalnya bahasa Melayu.

Apabila sains diperkenalkan ke dalam bahasa Melayu, barulah dibezakan antara planet dan bintang. Maka Kejora itu bukanlah bintang tetapi planet. Matahari pula adalah sebuah bintang. Sementara bulan bukan saja ada pada bumi tetapi di planet-planet lain.

Orang Melayu zaman dahulu mahir mengenal bintang kerana mereka adalah pelaut. Berada dalam perahu dan kapal di tengah-tengah malam, maka hanya bintang yang menjadi teman dan panduan.

Dengan bintanglah seseorang nakhoda dapat mengemudi kapal-kapal lautnya. Maka kerana bintang-bintanglah orang Melayu tersebar ke seluruh Nusantara, dari Kemboja hingga ke Papua. Dari Manila hingga ke Madagascar. Bukan saja orang Melayu, tetapi keseluruhan rumpun Austronesia dan Polinesia, yang menggunakan perahu serta kapal berlayar dari Taiwan hingga ke Hawaii, Fiji, Tahiti, Samoa, Polinesia dan pulau-pulau Pasifik yang lain termasuklah New Zealand.

Bintang paling disukai ialah Kejora yang muncul pada waktu pagi. Maka pada bendera Papua terdapat lambang bintang yang merujuk kepada Kejora.

Tetapi matahari, bulan dan bintang gemar dijadikan lambang pada bendera di banyak negara. Itulah besarnya pengaruh benda-benda di langit bagi manusia.

Bulan adalah penting bagi bangsa pelaut dan nelayan. Selain daripada ia menjadi punca air pasang dan surut, bulan yang mengambang akan memudahkan pelayaran pada waktu malam.

Selain menjadi pelaut dan nelayan, orang Melayu seperti bangsa-bangsa lain di dunia turut terlibat dengan pertanian.

Maka peredaran matahari yang menyebabkan perubahan musim menanam dan menuai tentu penting bagi masyarakat pertanian.

Orang zaman dahulu, sebelum adanya agama akan melihat matahari sebagai suatu benda yang memberikan kehidupan. Bukan saja ia memberikan cahaya dan haba, tetapi juga membawa kepada tumbuhnya tanam-tanaman.

Maka tidak hairanlah pada zaman purba, ada masyarakat yang menganggap matahari sebagai dewa. Dalam tradisi Hindu purba, khususnya mazhab Saura ada dewa matahari bernama Surya. Isterinya bernama dewi Cahya.

Kini kedua-dua perkataan suria dan cahaya adalah sebahagian daripada bahasa Melayu.

Apabila Islam datang ke Nusantara, bulan menjadi penting. Kerana kiraan awal bulan menjadi penentu kepada ibadah puasa dan haji. Kiraan pergerakan matahari masih juga penting untuk menentukan waktu sembahyang.

Pengetahuan mengira perjalanan matahari dan bulan ini disebut sebagai ilmu falak. Ilmu ini adalah sebahagian daripada amalan kehidupan beragama Islam.

Sementara antara ilmu yang dilarang Islam pula ialah tenung atau tilik-menilik. Dalam kategori ini ialah astrologi. Astro bermaksud bintang dan logi adalah ilmu. Tetapi astrologi menggunakan kedudukan bintang untuk menilik nasib seseorang.

Bukan saja agama Islam, sains juga menolak astrologi. Ilmu bintang yang sebenar dipanggil astronomi.

Tetapi kini ia sudah menjadi begitu luas meliputi astrofizik dan kosmologi atau kajian alam semesta.

Utusan Online on Facebook
Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:48
Zohor 1:15
Asar 4:28
Maghrib 7:20
Isyak 8:31
 
 



IKLAN@UTUSAN



BANCIAN ONLINE
IKLAN@UTUSAN

MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.