VERSI : Mobile | Akhbar Digital
22 Julai 2014 / 24 Ramadan 1435  
  Carian Arkib
RENCANA

ARKIB : 27/12/2012

Brunei mampu jadi Pengerusi ASEAN yang jujur

KONSEP pengiliran jawatan Pengerusi ASEAN yang diamalkan oleh pertubuhan 10 negara Asia Tenggara lazimnya tidak menimbulkan masalah kerana tiada isu yang berat menghadapi organisasi itu. Memang benar masalah yang dihadapi seperti di selatan Thai atau Kepulauan Mindanao dianggap isu yang genting, tetapi ia dianggap sebagai kemelut dalaman ahli yang tidak memerlukan campurtangan secara langsung ASEAN.

Cuma pada 2006 apabila tiba giliran Myanmar menjawat jawatan Pengerusi, timbul keluh kesah kerana kepimpinan junta negara tersebut pada ketika itu masih bergelut dengan masalah hak asasi manusia. Myanmar akhirnya terpaksa menarik diri dan pada tahun lepas ASEAN bersetuju supaya Pengerusi tahun 2014 akan menjadi milik Myanmar memandangkan negara itu sudah menuju ke arah demokrasi seperti yang diharapkan.

Walaupun ASEAN mempunyai sekretariat yang diketuai oleh Setiausaha Agung yang merencanakan segala program pertubuhan tersebut, jawatan Pengerusi masih dianggap mempunyai kelebihannya yang tersendiri dan sedikit sebanyak mampu mewarnai hala tuju organisasi tersebut.

Tindak tanduk Kemboja yang menjadi Pengerusi untuk tahun 2012 begitu jelas menterjemahkan bagaimana kuasa yang dimiliki boleh memecah belahkan kesepakatan ASEAN jika Pengerusi mempunyai agenda yang tersendiri.

Buat pertama kali dalam sejarah 45 tahun ASEAN, kenyataan bersama yang merupakan manifestasi kesepakatan mesyuarat gagal dicapai selepas Persidangan Menteri-Menteri Luar yang diadakan di Phnom Penh pada Julai lepas yang berpunca dari masalah tuntutan bertindih sempadan maritim Laut China Selatan. Punca utama adalah kerana Kemboja berkeras enggan menerima isu pergeseran Filipina dan China di Scarborough Shoal dan definisi Zon Ekonomi Ekslusif (EEZ) yang masing-masing disarankan oleh Manila dan Hanoi sebagai kenyataan bersama ASEAN. Alasan yang digunakan oleh Hor Nam Hong iaitu Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Luar Kemboja sebagai Pengerusi sidang adalah kedua-dua isu tersebut bukan masalah ASEAN tetapi masalah bilateral.

Agenda Kemboja adalah begitu jelas dan selari dengan kehendak China yang tidak mahu melibatkan ASEAN dalam pertikaian tuntutan bertindih yang melibatkan empat negara ASEAN iaitu Vietnam, Filipina, Brunei dan Malaysia. Perlu ditekankan Kemboja amat bergantung dengan bantuan ekonomi yang disalurkan oleh Beijing.

Pada 2013 jawatan Pengerusi sekali lagi dijangka menjadi panas apabila Brunei mengambil alih dari Kemboja. Tidak syak lagi isu tuntutan Kepulauan Spratly dan Paracel di Laut China Selatan sekali lagi akan menjadi agenda utama dan berbeza dengan Kemboja, Brunei adalah salah sebuah negara yang terlibat secara langsung menuntut sebahagian dari Kepulauan Spratly.

Keadaan dijangka lebih menarik apabila jawatan Setiausaha Agung akan disandang oleh Vietnam bermula 2013 dan negara itu seperti Brunei juga mempunyai tuntutan bertindih Laut China Selatan. Agak sukar untuk meramalkan hala tuju Brunei dalam hal tuntutan bertindih kerana selama ini negara itu tidak mempamerkan pendirian jelas apabila berhadapan dengan isu ini. Ini kerana tidak seperti Filipina, Vietnam dan Malaysia, Brunei tidak menempatkan anggota tentera di pulau yang dituntut.

Ramai penganalisis agak sangsi dengan keupayaan Brunei sebagai Pengerusi ASEAN berhadapan dengan China mengenai isu Laut China Selatan kerana pengamalan dasar luar negara tersebut tidak begitu menonjol. Tetapi persepsi sebegini boleh dianggap juga sebagai kelebihan kepada Brunei kerana negara tersebut dianggap tidak menyebelahi pihak yang bertelingkah walaupun mempunyai kepentingan. Perhatikan sahaja tindak tanduk Kemboja yang terlalu berat menyebelahi China telah menyusahkan ASEAN untuk bertindak sebagai satu pasukan.

Memang benar China pada ketika ini banyak membuat pelaburan terutama sekali dalam sektor hiliran minyak dan gas Brunei. Perdagangan di antara kedua-dua negara juga meningkat dengan mendadak dan mencapai AS$1 bilion pada tahun lepas dan eksport minyak mentah Brunei ke China adalah satu perlapan dari jumlah keseluruhan keluaran Brunei. Tetapi berbeza dengan Kemboja, kebergantungan Brunei dan China adalah dua hala, iaitu kedua-dua negara saling memerlukan satu sama lain.

Jika Kemboja begitu berat untuk memperjuangkan isu penerimaan Kod Tatacara menangani tuntutan bertindih di Laut China Selatan, maka Brunei dijangka menjadikan isu ini sebagai agenda utama ASEAN.

China agak berat untuk menerima pakai Kod Tatacara yang direncanakan oleh ASEAN kerana ia sedikit sebanyak mengguna pakai prinsip perundangan antarabangsa termasuk Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS). Pada era Pengerusi Vietnam dan Indonesia pada 2010 dan 2011 kedua-dua negara itu menjadikan penerimaan Kod Tatacara sebagai agenda utama ASEAN tetapi amat malang sekali apabila Kemboja mengambil alih jawatan tersebut pada tahun 2012, isu ini menjadi begitu sensitif sekali.

ASEAN sebagai sebuah organisasi mampu mewarnai senario geopolitik dunia kerana mempunyai gabungan penduduk seramai 600 juta dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mencapai sehingga AS$2.2 trilion iaitu kesembilan tertinggi di dunia.

Jika setiap Pengerusi ASEAN memainkan peranan dengan jujur tanpa agenda tersendiri, masalah yang rumit seperti tuntutan bertindih Laut China Selatan besar kemungkinan dapat dileraikan dengan persetujuan semua pihak yang terlibat. Tidak keterlaluan juga jika dijangkakan Brunei bersama-sama dengan ahli yang berpengaruh seperti Thailand, Indonesia, Singapura dan Malaysia mampu menangani isu sensitif lain yang menimpa penduduk Islam di selatan Thai dan Myanmar.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:50
Zohor 1:22
Asar 4:46
Maghrib 7:30
Isyak 8:44

 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
PRK Bukit Gelugor
Utusan Live di PRK Parlimen Bukit Gelugor
PRK Teluk Intan
Utusan Live di PRK Parlimen Teluk Intan
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN

MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.