VERSI : Mobile | Akhbar Digital
18 September 2014 / 23 Zulkaedah 1435  
  Carian Arkib
RENCANA

ARKIB : 25/12/2012

ASEAN kelompok penting pupuk hubungan dua hala

UPACARA memperingati 20 tahun hubungan antara ASEAN dan India minggu lepas yang ditandakan dengan Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-India berakhir dengan membawa harapan baru kepada 3.8 bilion umat manusia di kedua-dua kawasan itu untuk masa depan yang lebih baik dalam pelbagai bidang.

Dari urusan perdagangan yang lebih mudah antara negara ASEAN dan India, penambahan lebih banyak pusat pengeluaran visa untuk ke Malaysia, penawaran tempat belajar di Malaysia hinggalah kepada penghantaran guru-guru bahasa Inggeris, semua itu membuka peluang lebih besar kepada para pelabur, industri pelancongan, bidang pendidikan dan peningkatan hubungan antara rakyat.

Antara hasilan utama sidang kemuncak dua hari itu ialah Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) ASEAN-India telah dipersetujui pada prinsipnya dan akan ditandatangani pada Ogos tahun hadapan.Ia akan membuka jalan kepada peningkatan perdagangan dan pelaburan terutama di sektor perkhidmatan yang kini bernilai hampir AS$75 bilion yang dijangka boleh mencecah AS$100 bilion menjelang 2015.

Hal ini demikian kerana seperti yang dinyatakan Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa India adalah pasaran terbesar bagi Malaysia dengan wujudnya banyak bilangan kelas pertengahan yang mempunyai kuasa beli yang tinggi, menjadikan New Delhi berpotensi dalam banyak bidang, termasuk pelancongan.

Menurut Perdana Menteri, syarikat dari India pula dipelawa melabur di Malaysia dalam bidang yang mereka ada keupayaan seperti teknologi bio, farmasi dan pendidikan.

Pada masa ini, kedudukan perdagangan dua hala antara Malaysia dan India mencapai tahap yang agak luar biasa apabila melonjak 32.7 peratus pada 2011 berbanding tahun sebelumnya. Pencapaian yang memberangsangkan ini menyebabkan sasaran nilai dagangan iaitu AS$15 bilion pada 2015 terpaksa diunjurkan semula kepada AS$20 bilion dalam tempoh yang sama.

Menyedari kepentingan pasaran India di bidang pelancongan, pendidikan, perubatan, farmaseutikal dan sebagainya, Malaysia berusaha menarik minat lebih ramai pelabur untuk melabur modal di samping mempelawa kunjungan rakyat negara itu untuk pelbagai tujuan terutama pendidikan dan perdagangan. Bagi memudahkan semua itu, lebih banyak pusat urusan visa akan diwujudkan daripada lima yang sedia ada di India termasuk di bandar-bandar kecil yang sebenarnya mempunyai penduduk yang sangat ramai.

Hubungan Malaysia-India juga dipertingkatkan lagi dengan cadangan kerajaan untuk mengambil lebih ramai guru bahasa Inggeris dan India untuk mempertingkatkan penguasaan bahasa antarabangsa itu dalam kalangan para pelajar kita.

Dalam masa sama, Perdana Menteri menawarkan kepada India tempat-tempat pengajian yang berprestij di negara ini untuk rakyat mereka. Bagi tujuan itu promosi dan pameran pendidikan akan diadakan di India bagi menarik lebih ramai rakyat negara itu belajar di Malaysia. Ini kerana India menghantar sejumlah besar pelajarnya belajar di luar negara setiap tahun.

Seperkara lagi yang menarik daripada sidang kemuncak yang bertemakan "Perkongsian ASEAN-India untuk Keamanan dan Kemakmuran Bersama" ini ialah persetujuan supaya kerjasama antara India dan Malaysia diperluaskan kepada rakan strategik memandangkan hubungan yang baik dan perspektif sejarah antara kedua-dua negara.

Malaysia boleh menjadi pintu masuk semula jadi untuk syarikat-syarikat India menyertai pasaran ASEAN yang lebih luas dan terbuka. Hal ini menjadi lebih bermakna apabila perjanjian perdagangan bebas telah dipersetujui bersama yang merupakan rangka institusi yang memberi kesan positif dalam hubungan dua hala Malaysia-India.

Secara keseluruhan, sidang kemuncak itu mencerminkan hasrat kerajaan India untuk terus menganggap ASEAN sebagai kelompok yang amat penting dan mereka ingin sentiasa memupuk hubungan akrab itu melalui hubungan dua hala.

Sesungguhnya ASEAN dan India yang mempunyai hubungan berabad-abad lamanya dalam pelabagi segi daripada seni, budaya, agama idea-idea, ekonomi dan sebagainya kini mengorak langkah ke arah hubungan strategik yang lebih ampuh dan bermakna kepada rakyat yang mewakili satu perempat daripada penduduk dunia ini.

Perkongsian ASEAN dan India ini bukan semata-mata sebagai penegasan kembali hubungan dengan negara-negara jiran atau sebagai alat pembangunan ekonomi, tetapi juga sebagai sebahagian daripada visi mewujudkan rantau Asia yang aman, makmur, stabil dan selamat. - utusan

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:48
Zohor 1:10
Asar 4:13
Maghrib 7:13
Isyak 8:22



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.