VERSI : Mobile | Akhbar Digital
23 April 2014 / 23 Jamadil Akhir 1435  
  Carian Arkib
RENCANA

ARKIB : 18/12/2012

Cabaran wartawan Utusan era dahulu, kini

DUNIA persuratkhabaran sedang melalui perkembangan yang cukup pesat yang sekali gus turut mengubah bentuk kewartawanan. Akhbar sebagai media yang cukup penting dan dominan dalam komunikasi jelata sedang mengharung cabaran yang cukup besar kesan daripada kemajuan teknologi Internet yang telah membangunkan berita dalam talian (online news).

Konsep berita dalam talian bukan sahaja mengubah konsep pemberitaan malah membolehkan sesiapa sahaja menjadi pemberita (citizen net).

Akhbar Utusan Melayu merupakan antara akhbar terawal berbahasa Melayu yang diterbitkan di negara ini. Utusan Melayu terbit pada 1939 di Singapura yang menjadikannya akhbar berbahasa Melayu kedua terbit selepas akhbar Jawi Peranakan yang terbit pada tahun 1876.

Utusan terbit hasil daripada modal yang dikeluarkan oleh orang Melayu yang menyebabkan Utusan menjadi kebanggaan orang Melayu.

Yang menarik, Utusan Melayu terbit ketika kebangkitan nasionalisme dan inteletualisme Melayu sedang berkembang. Singapura ketika itu merupakan pusat perkembangan nasionalisme, budaya dan intelektual Melayu sebelum pusat itu berpindah ke Kuala Lumpur selepas Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada tahun 1957 dan berlakunya perpisahan antara Malaysia dengan Singapura pada 1963.

Utusan Malaysia yang awalnya merupakan versi rumi Utusan Melayu diterbitkan pada 1967 dan kemudian menjadi akhbar terpenting negara ini sehingga kini.

Kedudukan Utusan Melayu tidak dapat dipinggirkan dalam rentetan sejarah keintelektualan dan nasionalisme Melayu dan negara.

Melalui Utusan Melayu-lah berkembangnya dunia kewartawanan Melayu hasil peranan daripada tokoh wartawan yang pernah menerajui Utusan seperti Rahim Kajai, Yusuf Ishak, A. Samad Ismail, Melan Abdullah hinggalah ke tokoh masa kininya seperti Tan Sri Zainuddin Maidin, Datuk Johan Jaaffar dan Datuk Khalid Mohamed.

Utusan merupakan akhbar yang menerajui kepentingan dan kelangsungan bangsa Melayu di negara ini. Suaranya lantang dalam perjuangan. Akhbar ini dilihat bukan sahaja sebagai wadah orang Melayu malah sebagai lidah kerajaan kerana kerajaan Malaysia diterajui oleh orang Melayu.

Hakikat ini memperlihatkan realiti peranan yang tidak dapat dipisahkan. Kelantangan Utusan dalam perjuangannya menyebabkan akhbar ini sering dianggap provokatif dan berita yang disiarkan sering dianggap kontroversial.

Namun, sejak diterbitkan 73 tahun yang lalu baik Utusan Melayu atau Utusan Malaysia telah memainkan peranan penting dalam membangunkan negara dan daya intelektual khususnya orang Melayu.

Namun perubahan zaman dan kemajuan teknologi masa kini turut menyaksikan bagaimana akhbar arus perdana berbahasa Melayu, khususnya Utusan Malaysia diasak dengan pelbagai cabaran. Cabaran itu bukan sahaja datang daripada media alternatif malah daripada masyarakat yang terdedah kepada pelbagai punca berita terutamanya Internet.

Sehubungan itu, satu forum yang bertajuk "Utusan: Kewartawanan Dahulu dan Kini" akan diadakan di Dewan Datuk Hassan Ahmad, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 19 Disember (esok) mulai pukul 9.30 pagi.

Forum ini akan menampilkan pembicara, iaitu Datuk Azman Ujang ( bekas Ketua Pengarang Bernama), Prof. Dr. Ahmad Murad Mohd. Noor Merican (Pensyarah Universiti Teknologi Petronas) dan Mansor Puteh (pengarah filem dan bekas wartawan Utusan Malaysia). Moderator forum ialah Padilah Ali, Ketua Editor Bahagian Buku Umum DBP.

Orang ramai dijemput menghadiri forum ini.

Utusan Online on Facebook
Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:48
Zohor 1:14
Asar 4:29
Maghrib 7:20
Isyak 8:31
 
 



IKLAN@UTUSAN



BANCIAN ONLINE
IKLAN@UTUSAN

MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.