VERSI : Mobile | Akhbar Digital
3 September 2014 / 8 Zulkaedah 1435  
  Carian Arkib
RENCANA

ARKIB : 04/12/2012

Kembalikan semangat BN 1974!

PLATFORM media alternatif propakatan pembangkang meninjau, meneliti dan memantau Perhimpunan Agung UMNO 2012 yang baru lalu secara yang cukup halus. Pada mereka, apa sahaja ruang yang ada perlu dicari untuk meletakkan UMNO sebagai sebuah parti yang tidak pernah berubah.

UMNO akan terus memperjuang isu-isu rasis, sekali gus membangkitkan isu sensitif untuk dihadapkan kepada rakyat dan pengundi. Apa sahaja yang diperkatakan perwakilan, mahupun pimpinan akan cuba digambarkan secara negatif kepada pembaca tegar mereka.

Tidak ada ucapan perwakilan yang kecil kepada mereka. Apa sahaja yang boleh diambil dan diguna pakai untuk menggambarkan UMNO dengan wajah dan persepsi yang kurang positif akan diangkat sebagai tajuk utama kepada mereka.

Mungkin di atas sebab dan alasan itu jugalah, perkara seperti Tragedi 13 Mei tidak boleh disebut langsung - walaupun ia dijadikan latar hujah yang lebih luas dan objektif. Demikian ‘terdesaknya’ media alternatif untuk meletakkan UMNO dalam situasi yang sukar.

Ya, daripada suatu sudut, mereka juga sedar bahawa Perhimpunan Agung UMNO kali ini bukan calang-calang. Ini bukan perhimpunan biasa. Ini Perhimpunan Agung UMNO yang bakal menentukan momentum hala tuju UMNO, parti tunjang Barisan Nasional (BN) untuk pilihan raya umum yang akan datang.

Oleh yang demikian, mereka perlu menjalankan kerja-kerja media yang strategik untuk meletakkan UMNO di dalam neraca pandangan yang senegatif mungkin. Oleh sebab itu jugalah, beberapa isu dan pandangan perwakilan diguna pakai untuk tujuan ini. Jika wajah UMNO ingin dikotorkan, inilah masanya.

Oleh sebab itu, semasa Perhimpunan Agung UMNO berlangsung, kita perlu menilai tajuk-tajuk berita yang dipelopori oleh media yang condong kepada pembangkang dengan lebih objektif. Kepada mereka, tajuk memainkan peranan yang sangat penting. Dengan sendirinya, cerita-cerita ‘sensasi’ seperti Tragedi 13 Mei, ‘potong telinga’ jika kalah lebih mendominasi media propakatan pembangkang pada kali ini.

Banyak cadangan dan usaha positif yang dicadangkan oleh perwakilan dibiarkan senyap dan tidak diberikan perhatian oleh media yang berkongsi ‘agenda’ dengan mereka ini.

SEMANGAT 1974

PADA pandangan penulis, apa yang UMNO perlukan pada ketika ini adalah ‘jelma keyakinan’ bahawa tsunami politik bukanlah sesuatu yang berkekalan. Inilah sebenarnya yang sangat dikhuatiri dan dirisaukan oleh pakatan pembangkang.

Pada mereka, sekiranya ini berlaku, peluang mereka untuk terus mempertahan kedudukan akan menjadi semakin sulit dan sukar. Pakatan pembangkang pastinya sedar, kemampuan UMNO dan BN untuk kembali melakukan kejutan sememangnya pernah berlaku sebelum daripada ini.

Warga UMNO sepatutnya menilai apa yang dilakukan pimpinan UMNO dan Barisan Nasional dalam mendepani ‘tsunami politik pertama’ pada PRU 1969. Walaupun mungkin tidak dalam ‘landskap’ yang benar-benar sama dan serupa, namun impak dan kesan PRU pada tahun 1969 kepada politik nasional boleh diselarikan dengan apa yang berlaku pada 2008.

Mungkin benar, landskap politik jauh berbeza - namun usaha game changer yang dilakukan oleh UMNO dan BN pada tahun-tahun 1970-1975 itulah yang menjadi paksi kejayaan politik nasional pada ketika itu.

Antara teras kejayaan rejuvenasi dan pembaikan semangat politik pada tempoh pasca-1969 ditunjangi oleh usaha ‘Pelan Transformasi Kerajaan (GTP), Pelan Transformasi Ekonomi (ETP) dan Pelan Transformasi Politik (PTP)’ yang dilakukan oleh Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein dan kerajaan pada ketika itu.

Melihat dan meneliti ucapan-ucapan sebagai Yang Dipertua UMNO 1971-1975, kita akan dapat melihat dengan jelas bagaimana kombinasi ‘tiga’ teras transformasi ini menjadi tunjang kepada kejayaan UMNO dan BN.

Menyedari bahawa menambahbaik polisi dan dasar perlu dilakukan seberapa tangkas yang mungkin, Allahyarham Tun Abdul Razak memperkenalkan banyak pembaikan dasar dan polisi yang perlu. Perhatian dan tumpuan khas mula diberikan kepada perkara teras.

Kesemua proses pembaharuan polisi ini dibentangkan dalam ucapan dasar sewaktu Perhimpunan Agung UMNO berlangsung. Dengan sendirinya membawa makna, pentingnya sebuah parti tunjang kerjasama politik BN - memahami matlamat dan hala tuju dasar negara.

Antara perkara teras yang disebut Yang Dipertua UMNO pada tahun 1971 adalah bagaimana isu kemiskinan (dalam dan luar bandar) perlu ditangani secara bersungguh dan menyeluruh. Selain daripada itu, antara strategi lain yang turut dibentangkan kepada perwakilan adalah mengenai keperluan memastikan pembangunan ekonomi yang berterusan, pengwujudan kalangan pengusaha dan pedagang Melayu dan penyusunan semula akar iktisad orang Melayu di luar bandar. Dasar Ekonomi Baru (DEB) sememangnya menjadi acuan ekonomi yang diperlukan pada ketika itu.

Dalam konteks GTP, penggunaan kaedah ‘Bilik Gerakan’, tidak ubah seperti apa yang dilakukan oleh Pemandu yang diwujudkan oleh Perdana Menteri pada ketika ini. Segala usaha dan inisiatif kerajaan dipantau secara teliti agar semua usaha pembaikan ekonomi tidak akan berakhir di atas kertas dan gagal dilaksanakan di peringkat paling bawah.

Yang nyata, sesuai dengan cabaran dan tahap persaingan dunia pada ketika ini, Pemandu memberikan perhatian yang lebih menyeluruh berbanding konsep ‘Bilik Gerakan’ yang diperkenalkan oleh Allahyarham Tun Abdul Razak.

Demikian juga Pelan Transformasi Ekonomi (ETP). Tahun-tahun awal kepimpinan Tun Razak jualah yang mencambahkan beberapa agensi yang terfokus kepada usaha pembangunan ekonomi pelbagai peringkat. Felda, Mara dan banyak lagi agensi ditubuhkan pada era ini. Di samping itu, dalam Perhimpunan Agung UMNO juga Allahyarham Tun Abdul Razak meletakkan isu peluang pekerjaaan di hadapan perwakilan.

Kerajaan pada ketika itu berani mengemukakan komitmen untuk mewujudkan 120,000 peluang pekerjaan setahun untuk mengisi harapan dan aspirasi rakyat. Hari ini, kerajaan memberikan komitmen pewujudan 3.3 juta pekerjaan menjelang tahun 2020.

Benih PTP juga berlaku di bawah kepimpinan Allahyarham Tun Abdul Razak. Mewujudkan ‘kerajaan campuran’ bagi mengutamakan isu rakyat adalah satu pendekatan politik yang sangat mendahului masa. Perubahan imej dan wajah Perikatan, yang akhirnya dikenali sebagai Barisan Nasional adalah juga satu pendekatan game changer yang berlaku sebelum PRU pada tahun 1974.

Nyata, kombinasi GTP, ETP dan PTP inilah yang menjadi ‘sandaran’ kepada BN tampil dengan lebih yakin dan kuat pada tahun 1974. Peningkatan undi popular berlaku secara cukup luar biasa. Secara keseluruhan, BN mencatatkan peningkatan undi popular hampir 23.1 % berbanding tahun 1969. Rakyat ternyata ‘percaya’ dengan kewibawaan kerajaan, sekali gus memberikan penguasaan lebih 88 % kerusi di Parlimen.

Pembangkang yang cuba mengatakan bahawa Perhimpunan Agung UMNO sudah tidak berbicara dengan ‘bahasa dan kemahuan’ rakyat adalah suatu tuduhan yang sangat longgar. Nampak jelas, rakyat tidak boleh mengharapkan mereka bersikap objektif tentang perkara baik yang dicadangkan dalam Perhimpunan Agung UMNO yang baru lalu. Apakah pembangkang sama sekali mengetepikan sepuluh (10) cadangan Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, yang antara lainnya menekankan: Kerajaan harus melipatgandakan usaha membantu siswazah dan orang muda untuk mendapatkan pekerjaan serta mengusulkan supaya agenda latihan kepada siswazah dipikul semua dan bukan tanggungjawab eksklusif kerajaan.

Syarikat yang menjana pekerjaan untuk warga muda tempatan dicadangkan diberi pelepasan cukai atau geran agar mereka tidak dikekang masalah kewangan untuk beroperasi.

Pemuda menyarankan kepada kerajaan melihat semula kepada mereka yang bankrap dengan menjadikan prosedur pelepasan kebankrapan lebih mudah serta membantu golongan muda yang dalam kesempitan kewangan. Pemuda berpendapat unit rumah Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) tidak cukup kerana anggaran menunjukkan hampir 50 peratus daripada golongan berpendapatan sederhana masih belum memiliki rumah di Lembah Klang dan kedua, Pemuda juga meminta agar kuota khas disediakan buat keluarga muda dalam semua projek perumahan.

Kalau diperbandingkan antara Perhimpunan Pergerakan Pemuda 2012 dan Muktamar Pas sekalipun, kita dapat melihat dua rentak himpunan yang berbeza. Sementara Pemuda UMNO menggunakan pendekatan ‘menyelesai masalah rakyat’, Pas lebih mengutamakan ‘jalan mencari kuasa’. Mungkin Ketua Umum PKR, yang tidak pun dipilih secara demokratik patut melihat dahulu out put muktamar Pas dan ‘sahabat’ pembangkang lain sebelum membuat tuduhan melulu mengenai kononnya UMNO tidak berbicara dengan bahasa ‘keresahan rakyat’.

Tidak ada yang mustahil untuk BN tampil dengan lebih baik berbanding 2008. Jika dinilai secara objektif, generasi terdahulu UMNO dan BN pernah benar-benar merealisasikan semangat game changer dalam politik nasional. Semangat 1974 perlu dikembalikan, bagi memberikan keyakinan kepada UMNO dan BN bahawa tidak ada kemustahilan dalam mencatatkan keputusan yang lebih baik. Ini masanya kembali kepada usaha memenangi hati rakyat.

Jentera UMNO dan BN yang lebih tersusun, mesra rakyat, tampil dengan penuh keikhlasan mendekati pengundi akan memberikan hasil politik yang diinginkan. 2.9 juta pengundi kali pertama juga bukannya kalangan yang semberono dan memilih kerajaan dengan rasa penuh dendam. Sebahagian besar daripada mereka adalah kumpulan yang sangat terdidik dan berpandangan jauh. Pokok pangkalnya, bagaimana UMNO/BN mendekati dan memberikan ‘tawaran terbaik’ buat mereka.

Semangat 1974 bukan sahaja sangat penting kepada UMNO dan BN - malahan ia merupakan suatu bentuk solusi nasional kepada politik negara secara keseluruhannya. Semangat 1974 jugalah yang memungkinkan negara ini ditadbir dengan wibawa dan tersusun untuk beberapa siri pilihan raya yang berikutnya. Ya, ada ketikanya, sokongan kepada UMNO/BN merosot, namun ia berlaku dalam keadaan ‘kitaran politik’ biasa. Mungkin sahaja PRU-13 mampu menjadi ‘semangat baru’ buat Malaysia menuju kejayaan untuk dekad-dekad yang berikutnya.

PENULIS ialah penganalisis sosio politik.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:51
Zohor 1:16
Asar 4:22
Maghrib 7:20
Isyak 8:29


 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
PRK Bukit Gelugor
Utusan Live di PRK Parlimen Bukit Gelugor
PRK Teluk Intan
Utusan Live di PRK Parlimen Teluk Intan
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.