VERSI : Mobile | Akhbar Digital
28 Ogos 2014 / 2 Zulkaedah 1435  
  Carian Arkib
RENCANA

ARKIB : 14/09/2012

Nasharudin dan masa depan Pas di Kelantan

BEKAS Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa tidak dikenakan sebarang tindakan oleh parti ekoran bertikam lidah dengan Pengerusi DAP, Karpal Singh serta bersama-sama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Mekah Ramadan lalu.

Langkah Pas Pusat dan Majlis Syura parti itu yang tidak mengambil tindakan serupa seperti mana yang dikenakan ke atas Datuk Dr. Hasan Ali mendapat pujian A. Kadir Jasin (kadirjasin.blogspot.com).

Katanya, pihak-pihak yang panas baran dalam Pas tentu sedar bahawa sebarang tindakan ke atas Nasharudin boleh membawa bencana terhadap parti itu melihat bagaimana kemampuan Dr. Hasan yang meraih pengikut setelah dipecat dari parti itu Januari lalu.

"... pihak-pihak panas baran dalam Pas tentu sedar bahawa sebagai bekas Timbalan Presiden dan Ahli Dewan Rakyat, Nasharudin akan mempunyai bilangan pengikut dan audiens yang lebih besar.

"Sebarang tindakan ke atas beliau akan dilihat sebagai kepemimpinan Pas semakin tunduk dan akur kepada telunjuk DAP dan PKR. Ini pastinya tidak akan menyenangkan hati majoriti ahli dan penyokong Pas, dan akan memudaratkan parti itu dalam pilihan raya akan datang," katanya.

Blog Malay Delima (malaydelima.blogspot.com) pula melihat langkah Pas mengetepikan isu Nasharudin sebagai 'kekalahan' pertama pihak Anwarinas dalam parti itu kerana gagal mempengaruhi Majlis Syura agar mengambil tindakan ke atas Ahli Parlimen Bachok itu.

Katanya, jika sebelum ini kumpulan tersebut berjaya menyingkirkan Dr. Hasan hanya kerana bekas Pesuruhjaya Pas Selangor itu menentang usaha memurtadkan umat Islam, beliau hairan bagaimana Nasharudin tidak dikenakan tindakan serupa.

"Pastinya Pas menyedari akan impak yang akan menimpa parti itu jika mereka mengambil tindakan terhadap Nasharudin. Pengajaran yang diterima mereka dari pemecatan Dr. Hasan menyedarkan mereka bahawa akar umbi adalah lebih penting daripada Anwar (Ibrahim)," katanya.

Walaupun tiada sebarang tindakan dikenakan ke atas Nasharudin namun sama ada beliau akan dicalonkan semula oleh Pas pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) masih belum diketahui nasibnya.

Bak kata blog Kluangman (kluangmanexpress.blogspot.com) walaupun Parlimen sudah mahu dibubarkan, Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang pun belum mengetahui nasibnya sendiri sama ada dicalonkan semula atau sebaliknya, inikan pula Nasharudin.

Berhubung kenyataan Abdul Hadi itu, blog ini berkata: "Nak tunjuk ikhlas, nak tunjuk demokrasi dalam Pas tetapi sebenarnya auta dan hipokrik. Jawablah secara lebih bijak, sekurang-kurangnya jawab secara bakal Perdana Menteri.

"Cuba tanya Pok Nik (Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat), (Lim) Guan Eng, (Lim) Kit Siang dan Anwar... apakah jawapan mereka sama dengan jawapan Hadi! Hadi ini unik atau memang kategori hancus," katanya.

PAS DI KELANTAN

Ketika orang ramai bercakap mengenai nasib Nasharudin, Pas di Kelantan dilaporkan dalam keadaan tenat dan peluang mereka mempertahankan kerajaan sekarang pada PRU-13 semakin malap.

Berdasarkan kajian beberapa pihak yang tidak mempunyai kepentingan politik, sokongan terhadap Pas didapati ketinggalan agak jauh di 23 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang sudah didominasi oleh Barisan Nasional (BN).

Blog Kita Gempur (kitagempur.com) berkata, kajian yang dilakukan oleh UMNO sebelum itu juga menunjukkan BN mempunyai peluang lebih baik di Kelantan kali ini dengan 25 hingga 29 kerusi DUN sudah dalam genggaman BN termasuk mengekalkan tujuh kerusi yang dimenangi pada pilihan raya lalu.

"Mengikut sumber jentera Pas pula mengesahkan yang parti tersebut hanya benar-benar selesa di 17 kerusi DUN sahaja dan sedikit mendahului di empat kerusi yang lain. Ini bermakna kedudukan Pas di 24 kerusi DUN yang lain agak kelam dan langsung tiada peluang...

"Apa yang jelas, ahli Pas di peringkat akar umbi kini secara terang-terangan memboikot aktiviti-aktiviti parti mereka tanpa segan silu lagi. Fenomena ini begitu ketara sejak hampir dua tahun kebelakangan ini bukan sahaja terhadap aktiviti Pas di dalam Kelantan tetapi di Kuala Lumpur dan lain-lain tempat," katanya.

Katanya, keghairahan pucuk pimpinan Pas yang kemaruk mengejar Putrajaya berkemungkinan berakhir dengan kehilangan penguasaan mereka di Kelantan.

Blog Kickdefella (kickdefella.net) lebih spesifik lagi apabila membayangkan usaha Pas Kelantan untuk menyambung nyawa mereka di Parlimen Tumpat bakal berakhir jika dilihat sambutan terhadap majlis ceramah anjuran parti itu di DUN Wakaf Baru tempoh hari.

Katanya, daripada 20,000 pengundi berdaftar di DUN tersebut dan lebih 100,000 di Parlimen Tumpat namun tidak sampai 1,500 yang hadir pada ceramah raksasa tempoh hari membayangkan sokongan sebenar terhadap parti itu di kawasan berkenaan.

"Jika perhitungan semalam (Ahad) diambil serius bererti hanya 1,500 orang yang mahu mendengar ceramah mengenai mempertahankan kerajaan Pas di Kelantan. Apa jadi selebihnya?

"Ia merupakan antara kawasan Parlimen yang teramai pengundinya. Parlimen Tumpat mempunyai empat kerusi DUN dan tiga daripadanya dimenangi oleh Pas dalam pilihan raya umum 2008 lalu," katanya.

Mengukuhkan lagi kebimbangan nasib Pas di Kelantan, blog Penyokong Pas (penyokongpas.wordpress.com) turut membayangkan parti itu tidak dapat bertahan di Parlimen Machang terutama jika Saifuddin Nasution terus menjadi pertaruhan pakatan pembangkang.

Malahan blog itu juga secara terbuka mengecam Saifuddin yang dikatakan tidak memberikan khidmat yang baik kepada pengundi dan pemilihannya bertanding di kerusi itu pada pilihan raya umum lalu hanya disebabkan oleh pengaruh Anwar.

" Yang kita takut, Saifuddin akan membawa dua DUN milik Pas juga turut tewas kepada gelombang merah tajaan UMNO. Ini yang kita cukup takut dan ngeri...

" Sekarang kita nak ambil balik. PKR jangan main belakang pula. Bagi sahaja pada kita. Saifuddin boleh berambus bertanding di Kedah. Buat apa menyibuk di tanah Pas Kelantan," katanya.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zohor 1:17
Asar 4:28
Maghrib 7:22
Isyak 8:32


 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
PRK Bukit Gelugor
Utusan Live di PRK Parlimen Bukit Gelugor
PRK Teluk Intan
Utusan Live di PRK Parlimen Teluk Intan
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.