VERSI : Mobile | Akhbar Digital
3 September 2014 / 8 Zulkaedah 1435  
  Carian Arkib
RENCANA

ARKIB : 19/08/2012

Dari Bau ke Kota London

Hampir separuh pendapatan saya sebagai buruh kasar digunakan semata-mata untuk membeli baju renang mereka - Pamg Joheng

PERJALANAN menaiki kapal terbang dari tanah air ke Kota London dianggarkan mengambil masa kira-kira 13 jam.

Berkurung lebih separuh hari di dalam pesawat yang terbang pada ketinggian mencecah 10,000 meter di udara, sesiapa pun pasti berasa letih, lesu dan lenguh-lenguh sendi di seluruh badan.

Bayangkan pula ‘perjalanan’ selama bertahun-tahun yang perlu ditempuhi seorang anak Bidayuh kelahiran Bau, Sarawak seawal usia lapan tahun untuk menjadi ratu terjun yang kita kenal hari ini - Pandelela Rinong Pamg.

Kecewa, marah, gembira, sakit, gementar, penat, jemu serta segala macam jerih-perih perlu diharungi sewaktu menjalani latihan keras lapan jam sehari. Itu bayaran yang membolehkan beliau menjejakkan kaki ke Kota London.

Bukan calang-calang orang yang mampu melepasi ranjau sebegitu satu-persatu untuk muncul sebagai atlet terjun tersohor serta memiliki reputasi tersendiri.

Malah, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika bertandang ke Kuching, mengakui kagum dengan Pandelela yang disifatkan bersemangat waja dan kecemerlangan itu perlu diteladani sesiapa sahaja.

“Kita tengok dalam televisyen, penampilannya hanya sekejap, dalam beberapa saat sahaja dia terjun. Tetapi untuk sampai ke tahap kecekapan itu memerlukan kita bekerja kuat," katanya.

Dibesarkan di Bau, sebuah daerah kecil yang langsung tidak memiliki kolam renang awam, ibu bapanya sendiri tidak menyangka anak gadis mereka yang diberi nama Pandelela Rinong itu akan menjadi seorang jaguh sukan terjun.

“Mengikut loghat orang Sarawak, ‘pande’ berasal daripada perkataan ‘pandey’ iaitu pandai, manakala ‘rinong’ dalam bahasa Bidayuh bermaksud tenang," ujar ibunya, Hartini Lamim ketika menerima kunjungan Mingguan Malaysia baru-baru ini.

Bercerita lanjut, Hartini, 44, berkata, nama itu diilhamkan kerana proses melahirkan Pandelela cukup mudah. Anak keduanya itu pandai merancang bila hendak ‘keluar’. Pendek kata, semua berlaku dalam keadaan tenang tanpa sebarang masalah.

Ketika menamakan anaknya itu pula, kata Hartini, dia tidak meramal apa yang akan berlaku pada masa depan. Namun nama itu secara kebetulan menggambarkan ciri-ciri seorang juara dalam diri Pandelela iaitu pandai dan tenang.

Bakat Pandelela dikesan oleh Wang Jin Lan, jurulatih skuad terjun Sarawak sekitar 2001, iaitu ketika dia berusia lapan tahun.

Hartini dan suami, Pamg Joheng, 46, tidak teragak-agak memberi keizinan walaupun mereka sendiri tidak pasti sejauh mana Pandelela boleh pergi.

Turut dipilih mengikuti latihan bersama skuad terjun negeri ialah anak sulung mereka, Pardika Indoma yang ketika itu berusia sembilan tahun.

“Jurulatih meminta kami menyediakan baju renang untuk mereka. Jadi kami terus ke bandar. Saya terkejut melihat harganya yang sangat mahal, lebih kurang RM200.

“Hampir separuh pendapatan saya sebagai buruh kasar digunakan semata-mata untuk membeli baju renang mereka," kata Pamg yang dibayar upah kira-kira RM600 sebulan oleh majikannya.

Tambah Pamg, dia meminta anak-anaknya menjaga baju renang masing-masing sebaik mungkin dan menggunakannya sehingga benar-benar lusuh sebelum digantikan dengan yang baharu.

Pengakuan ikhlas Pamg menggambarkan betapa sederhana hidup mereka sekeluarga. Kesederhanaan itu jugalah yang mengajar Pandelela supaya bersungguh-sungguh dalam bidang diceburinya.

Kecemerlangan

Kejayaannya yang sulung adalah sewaktu merangkul dua pingat emas untuk kontinjen Sarawak dalam temasya Sukan Malaysia (Sukma) Kedah pada 2006. Setahun kemudian, beliau meraih emas di Sukan SEA XXIV Korat.

Pandelela mula dikenali ramai selepas memenangi pingat emas dalam acara terjun di Sukan Komanwel Delhi dan pingat perak di Sukan Asia XVI Guangzhou yang masing-masing berlangsung pada 2010.

Kejayaan demi kejayaan itu menjadi pemangkin kepada deretan kecemerlangan yang lain. Sejak itu, beliau tidak menoleh ke belakang lagi.

Pada temasya Olimpik tahun ini, Pandelela tiba di Kota London dengan reputasi sebagai antara penerjun terbaik Asia di samping menjadi atlet harapan yang disebut-sebut mampu meraih pingat untuk negara.

Selepas atlet harapan lain, terutama gandingan beregu badminton Koo Kien Kiat-Tan Boon Heong dan jaguh berbasikal trek, Azizulhasni Awang gagal meraih sebarang pingat, semua mata rakyat Malaysia tertumpu kepada Pandelela.

Menggalas harapan negara untuk memenangi sekurang-kurangnya pingat gangsa pada Olimpik - tekanan yang hadir bukan sedikit.

Percubaan awal menerusi acara 3 meter papan anjal bergandingan dengan Cheong Jun Hoong serta acara 10 meter terjun seirama bersama Leong Mun Yee gagal. Mereka menduduki tangga tercorot dan kedua tercorot.

Pandelela yang tingginya cuma 159 sentimeter bagaimanapun bangkit membuktikan kejaguhan apabila muncul sebagai penerjun ketiga terbaik dunia dalam acara 10 meter platform individu pada awal pagi Jumaat lalu.

Kejayaan itu, walaupun sekadar melayakkannya meraih gangsa, amat menggembirakan seluruh rakyat Malaysia. Masakan tidak, negara ini belum pernah memenangi pingat dalam acara lain kecuali badminton sejak menyertai Olimpik buat pertama kali pada 1956.

Insan paling gembira sudah pasti ibu bapanya. Malah, lensa kamera jurugambar sempat merakam aksi spontan Pamg mencium wajah anaknya di kaca televisyen ketika RTM menyiarkan secara langsung upacara penyampaian hadiah.

Bagi Pamg, dialah bapa yang paling gembira di dunia kerana doanya untuk melihat Pandelela naik ke atas podium sebagai pemenang pingat dimakbulkan tuhan. Apa pun alasannya, Pamg dan isteri berhak untuk berasa gembira.

Mereka mengambil risiko mengizinkan Pandelela aktif sebagai atlet ketika ramai ibu bapa lain menghalang anak-anak berbuat perkara sama kerana berpendapat bidang sukan tidak menjamin masa depan. Mereka berkorban wang, masa dan tenaga.

Di kala muncul suara sumbang mempertikaikan kemampuan Pandelela, mereka tetap berdiri teguh di belakangnya. Mereka sentiasa berdoa di samping menyokong dan percaya kepada potensi anak kedua daripada empat beradik itu.

Perjalanan Pandelela ke Olimpik London boleh kita simpulkan berakhir dengan kejayaan luar biasa. Beliau melakar sejarah menjadi atlet wanita negara pertama memenangi pingat di Olimpik.

Empat tahun dari sekarang, gadis itu bakal merintis jalan ke Rio De Jeneiro untuk mengintai emas pertama negara pula. Tuah ayam nampak di kaki, tuah Pandelela siapa yang tahu?

Apa yang pasti kini, Pendelela mempunyai sebab yang kukuh untuk meninggalkan Kota London dan kembali ke Bau dengan penuh bergaya!

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:51
Zohor 1:16
Asar 4:22
Maghrib 7:20
Isyak 8:29


 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
PRK Bukit Gelugor
Utusan Live di PRK Parlimen Bukit Gelugor
PRK Teluk Intan
Utusan Live di PRK Parlimen Teluk Intan
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.