VERSI : Mobile | Akhbar Digital
23 Julai 2014 / 25 Ramadan 1435  
  Carian Arkib
RENCANA

ARKIB : 19/08/2012

Menjelang Aidilfitri di Mekah

Lebih dua juta umat Islam berkumpul untuk melakukan ibadat di Masjidilharam pada penghujung bulan Ramadan.

MULANYA ramai yang menyangka Arab Saudi akan menyambut Hari Raya Aidilfitri semalam (Sabtu). Bagaimanapun pada Jumaat, imam Masjidilharam meneruskan solat tarawih.

Ini bermakna hari raya jatuh pada hari ini, sama seperti yang disambut oleh umat Islam di Malaysia. Bezanya, penduduk Arab Saudi melengkapkan 30 hari berpuasa Ramadan tahun ini selepas pihak berkuasa negara itu mengumumkan Sabtu sebagai Hari Raya Aidilfitri.

Dengan pengumuman itu berakhirlah ‘pesta ibadat’ di dua tanah suci, Mekah dan Madinah. Dua kota ini dihidupkan dengan kehadiran jutaan umat Islam dari seluruh dunia untuk mengerjakan umrah dan ziarah. Kemuncaknya pada 10 malam terakhir di mana kedua-dua masjid iaitu Masjidilharam di Mekah dan Masjid Nabawi di Madinah sentiasa penuh sesak dengan jemaah. Kedua-dua masjid ‘hidup’ 24 jam dengan tarawih, solat sunat, tadarus al-Quran.

Mereka juga berpeluang beramal ibadat dengan aktiviti menjamu orang ramai berbuka puasa. Sama ada di Mekah atau Madinah, jemaah yang datang dengan tangan kosong tidak akan ‘kelaparan’ kerana ada sahaja mereka yang sudi menderma makanan dan minuman.

Inilah antara aktiviti masyarakat di bawah yang dapat melambangkan perpaduan umat. Mereka tanpa mengira warna kulit dan latar belakang kehidupan sama-sama melakukan tawaf dan saie.

Lebih menarik pada kali ini, sekumpulan pemimpin negara Islam dari seluruh dunia turut sama ‘menghidupkan’ malam-malam terakhir Ramadan. Mereka menghadiri Sidang Kemuncak Luar Biasa Ke-4 Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) atas undangan Penjaga Dua Masjid Suci, Raja Abdullah Abdul Aziz pada 26 dan 27 Ramadan yang lalu. Pertemuan itu yang turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak membincangkan isu perpaduan ummah dalam kalangan masyarakat Islam dunia. Fokusnya ialah kepada permasalahan di Syria, Palestin dan Myanmar.

Justeru, kehadiran jutaan umat Islam untuk menunaikan umrah dan pemimpin mereka di tanah suci secara simbolik menunjukkan pentingnya perpaduan antara pemimpin dan umat. Kehadiran pemimpin ini turut menarik perhatian imam Masjidilharam, Sheikh Abdul Rahmad Al-Sudais ketika menyampaikan khutbah Jumaat terakhir Ramadan. Beliau menghargai komitmen yang ditunjukkan oleh pemimpin dengan merujuk kepada firman Allah yang bermaksud Dan berpegang teguhlah kamu kepada tali Allah dan janganlah kamu bercerai berai.

Beliau turut membidas pihak yang tidak peduli dengan kritikan masyarakat antarabangsa berhubung kezaliman yang berlaku di beberapa negara di dunia.

Katanya, kekejaman terhadap kanak-kanak, wanita dan orang tua berlaku dengan sewenang-wenangnya. Amat mengecewakan, jenayah itu berlaku dalam pengetahuan masyarakat antarabangsa yang sengaja memekakkan telinga dan membutakan mata mereka.

Beliau turut menggesa umat Islam supaya takutkan Allah dalam kehidupan mereka serta mematuhi perintah-Nya untuk mendapat rahmat dan keampunan di dunia dan akhirat.

Imam itu menarik perhatian bahawa ketika umat Islam sedang mengucapkan selamat tinggal kepada bulan Ramadan, mereka telah didedahkan dengan pelbagai penindasan demi penindasan di dunia termasuk di Palestin, Syria dan Myanmar.

Turut disentuh beliau ialah mengenai kepercayaan terhadap ideologi yang boleh menyesat dan merosakkan fikiran. Itulah antara inti pati khutbah yang mengajak umat Islam untuk meningkatkan perpaduan dalam kalangan mereka dan mengelakkan kejadian yang tidak diingini.

Syukurlah kebanyakan umat Islam di dunia dapat menjalani ibadah Ramadan dengan sempurna kecuali di beberapa negara. Suasana ini perlu dipertahankan.

Semangat perpaduan yang dizahirkan di Mekah harus diterima oleh masyarakat Islam seluruhnya. Mungkin perpaduan yang ada pada hari ini dianggap sudah utuh. Tetapi musuh-musuh Islam akan sentiasa berusaha untuk memusnahkan perpaduan yang ada dengan pebagai cara sekalipun. Cuma sama ada kita sedar atau pun tidak. Ketika ini pun dalam masyarakat kita insan yang berusaha menyatukan ummah akan dikecam. Selamat Hari Raya Aidilfitri dari tanah suci, maaf zahir batin.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:50
Zohor 1:23
Asar 4:46
Maghrib 7:30
Isyak 8:44

 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
PRK Bukit Gelugor
Utusan Live di PRK Parlimen Bukit Gelugor
PRK Teluk Intan
Utusan Live di PRK Parlimen Teluk Intan
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN

MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.