VERSI : Mobile | Akhbar Digital
25 April 2014 / 25 Jamadil Akhir 1435  
  Carian Arkib
RENCANA

ARKIB : 06/08/2012

Usah ambil mudah toleransi umat Islam

SUKAR diramal apa yang ada dalam fikiran seorang guru tuisyen di Tangkak apabila dia bertindak mengedarkan karikatur yang menghina Islam kepada para pelajarnya.

Biasanya apabila seseorang itu bertindak hingga ke tahap tersebut sudah tentu tersimpan rasa benci yang amat sangat dalam hatinya terhadap sesuatu.

Sudah tertentu antara persoalan yang timbul ekoran insiden itu ialah apa yang menyebabkan guru tuisyen tersebut benci sangat kepada Islam hingga bertindak menghina para sahabat Rasulullah dan Islam?

Apakah disebabkan dia terpengaruh dengan dakyah-dakyah barat terhadap Islam? Atau dia mewarisi kebencian daripada sistem sosial yang ada disekelilingnya yang mengajar supaya memusuhi dan menghina Islam?

Apakah dengan tindakan itu, guru terbabit berniat pula menerapkan perasaan benci yang sama kepada para pelajar di bawahnya?

Cara guru tersebut bertindak seolah-oleh dia berada dalam komunitinya yang tertutup dan tidak pernah bertemu apatah lagi bergaul dengan masyarakat Islam.

Tindakannya itu seolah-olah membayangkan mereka yang beragama Islam dan bukan Islam di negara ini hidup terasing dan tidak bergantung antara satu sama lain.

Sebab itu, rasa benci, marah dan dendam terhadap sesuatu agama dan kaum diluahkan dengan begitu terbuka hingga ke tahap menghina agama dan kepercayaan orang lain.

Ini menunjukkan sikap hormat menghormati dan saling menerima kepelbagaian kaum dan agama yang ada disekeliling kita langsung tidak ada dalam jiwa guru tersebut.

Ini bukan isu main-main. Ini merupakan satu penghinaan kepada umat Islam yang merupakan majoriti penduduk Malaysia iaitu lebih dari 60 peratus.

Lebih membimbangkan, yang terbabit dalam menghina Islam itu adalah seorang guru. Maka timbul satu lagi pertanyaan, sudah berapa ramai murid yang diterapkan dengan elemen benci terhadap Islam oleh guru tersebut?

Atau selain pusat tuisyen tersebut, adakah terdapat pusat-pusat tuisyen dan pusat pendidikan lain yang turut menyebarkan doktrin yang sama (benci Islam) tetapi tidak diketahui umum?

Cuma kita harapkan apa yang dilakukan oleh guru terbabit tidak mencerminkan apa yang berlaku di pusat-pusat tuisyen dan sekolah-sekolah kendalian bukan Islam.

Adakah dengan insiden itu juga kita boleh buat kesimpulan bahawa toleransi antara kaum dan agama tidak lagi diajar? Sebaliknya (dengan berdasarkan kepada insiden di pusat tuisyen Tangkak itu) generasi muda kini ditanam dengan sifat benci membenci antara satu sama lain.

Bukan setakat melalui kata-kata, tetapi lebih parah apabila ia membabitkan perbuatan.

Cuma kita di Malaysia beruntung kerana umat Islam cukup bertolak ansur dan cukup bersederhana serta terbuka. Sebab itu, biarpun penghinaan itu membabit para sahabat nabi dan membabitkan penghinaan kepada akidah umat Islam, namun tidak ada tindakan melulu diambil.

Paling tinggi sekadar buat laporan polis dan minta mereka yang terbabit minta maaf. Bayangkan jika perkara itu dilakukan oleh orang Islam terhadap agama lain. Sudah tentu ia menjadi isu yang sangat besar yang akan dibangkitkan di Parlimen dan disertai desakan menubuhkan suruhanjaya penyiasatan.

Tetapi disebabkan jiwa umat Islam di negara ini cukup besar dan penuh dengan tolak ansur maka perbuatan guru tuisyen tersebut tidak diperbesar-besarkan. Tidak dijadikan polemik.

Pada hal yang dihina itu bukan hal kecil. Ia membabitkan sahabat Nabi Muhammad yang merupakan junjungan besar umat Islam yang mana ia membabitkan akidah umat Islam.

Bayangkan jika guru tuisyen terbabit berada di negara-negara lain. Penghinaan seperti itu selalunya dihukum berdasarkan undang-undang jalanan.

Oleh itu, jangan ambil kesempatan dan memandang ringan dengan sikap tolak ansur dan kesederhanaan umat Islam di negara ini. Bagi masyarakat Melayu yang beragama Islam di Malaysia, sejak dari awal lagi mereka menerima dan menghormati kehadiran kaum dan agama lain sebagai rakan senegara.

Sebab itu bukan sahaja di bandar, malah jauh diceruk kampung dan di kawasan pedalaman yang komuniti bukan Islam tidak sampai satu peratus, penduduk Islamnya tidak pernah membantah atau menghalang jika mereka mendirikan tokong atau kuil.

Bukan Islam bebas beribadat dan mengamalkan adat resam dan budaya mereka. Sebab itu ketika bulan Ramadan dan musim perayaan Aidilfitri, kaum lain yang tidak beragama Islam boleh sama-sama menumpang rezeki yang melimpah ruah.

Kerana sifat sederhana dan toleransi umat Islam itu juga, mereka tidak mempunyai apa-apa masalah untuk membeli persiapan Ramadan dan Aidilfitri di kedai-kedai dan pusat-pusat membeli-belah milik bukan Islam.

Mereka tidak pernah ada rasa dengki ketika bukan Islam menikmati untung berlipat ganda pada setiap Ramadan dan menjelang Syawal. Malah jika lihat di kampung-kampung dan pekan-pekan kecil, kedai-kedai milik bukan Islam cukup makmur setiap kali tiba bulan Ramadan dan Hari Raya.

Tetapi jangan hanya dalam bab ekonomi yang membabitkan keuntungan berganda, mereka tidak kisah. Tetapi apabila membabitkan hal-hal berkaitan dengan sosial dan amalan harian, umat Islam dihina.

Perkara ini perlu dibetulkan. Malaysia berjaya mencapai kestabilan politik dan kemakmuran ekonomi kerana rakyatnya yang berbilang kaum saling bekerjasama dan bersatu.

Selagi mereka hidup di bumi Malaysia, setiap kaum yang berbeza agama itu saling perlu memerlukan dalam aktiviti sosial, ekonomi mahupun politik.

Sikap menghina kaum dan agama lain boleh mencetuskan pelbagai masalah yang akan menjejaskan perjalanan sesebuah negara. Jika tidak dibendung dengan betul ia boleh membawa kepada perbalahan yang serius.

Jika ada perbezaan ideologi politik sekalipun jangan sampai ke tahap menghina agama kaum lain. Malah Islam sendiri tidak membenarkan umatnya menghina dan mencaci agama lain.

Sebab itu, masyarakat bukan Islam di negara terutama generasi muda perlu menerima hakikat bahawa mereka hidup berkongsi negara dengan orang Islam. Malah orang Islam merupakan penduduk terbesar.

Ini fakta yang tidak boleh disangkal. Jika mahu kestabilan, keamanan dan kemakmuran yang dinikmati sekarang kekal, maka setiap kaum yang ada di negara ini perlu saling menerima kehadiran masing-masing dan saling lengkap melengkapi. Belajarlah menghormati agama yang dianuti jiran kita dengan sikap ikhlas dan terbuka. Bukannya dengan penuh hipokrasi.

Jangan sesekali mempermain, mempersenda dan menghina umat Islam. Yang paling penting jangan ambil kesempatan atas kesabaran dan keterbukaan umat Islam di negara ini.

Bagi para pemimpin politik, pemimpin masyarakat dan guru-guru yang bukan Islam, mainkan sedikit peranan dengan menerapkan toleransi kaum dan agama supaya setiap daripada kita menghormati agama, budaya dan hak orang lain.

Jika ada perbezaan ideologi politik, selesaikan ia ketika pilihan raya. Jangan sampai perbezaan ideologi itu membawa kepada kebencian dan penghinaan kepada agama lain.

Selagi kita berada di bumi Malaysia dan bergelar rakyat Malaysia, maka saban hari kita pasti akan melintasi masjid, tokong, kuil dan gereja. Sebabnya, rakyat Malaysia berbilang bangsa dan agama. Jadi belajarlah untuk hidup saling hormat menghormati dan saling menerima antara satu sama lain. Jangan jadi katak di bawah tempurung.

Utusan Online on Facebook
Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:47
Zohor 1:14
Asar 4:29
Maghrib 7:20
Isyak 8:31
 
 



IKLAN@UTUSAN



BANCIAN ONLINE
IKLAN@UTUSAN

MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.