VERSI : Mobile | Akhbar Digital
22 September 2014 / 27 Zulkaedah 1435  
  Carian Arkib
RENCANA

ARKIB : 05/08/2012

Ratapan Srebrenica

para waris mengangkat rangka mayat ahli keluarga masing-masing untuk dikebumikan selepas selesai upacara solat jenazah berjemaah di Perkuburan Besar Potocari, Srebrenica, Bosnia.

Cuaca panas terik yang mencecah kira-kira 40 darjah Celsius di Potocari, Srebrenica pada 11 Julai lalu tidak dapat mengekang hujan air mata waris dan sanak saudara umat Islam di situ yang menjadi mangsa pembunuhan kejam puak Serb, 20 tahun lalu.

Tiada seorang pun masyarakat Bosnia di daerah ini dapat melupakan tragedi hitam pembersihan etnik Muslim secara kejam oleh tentera Serb pada yang bermula pada tahun 1992.

Pada 11 Julai 1995, hampir 8,000 orang umat Islam (menurut laporan media Barat) di Bosnia-Herzegovina ditangkap dan dibunuh dengan kejam sewaktu kejatuhan Srebrenica 17 tahun yang lepas.

Angka sebenar korban kekejaman Serbia belum dapat dipastikan. Antara sebabnya, saban tahun sejak 20 tahun lepas, ada sahaja penemuan mayat atau rangka baru umat Islam.

Namun, ada yang menganggarkan angka korban itu melebihi 250,000 selain menyebabkan lebih dua juta lagi umat Islam Bosnia menjadi pelarian.

Ini menjadikan saban tahun, tanggal 11 Julai sentiasa ditunggu-tunggu dengan penuh debaran. Tarikh tersebut menjadi penamat kepada menentu dan mengesahkan adakah kehilangan bapa, ibu atau sanak saudara yang tidak dapat dikesan sejak 17 tahun lalu.

Jenazah-jenazah itu kemudiannya disemadikan di perkuburan besar yang terletak di Potocari, Srebrenica kira-kira 120 kilometer dari Sarajevo.

Walaupun jaraknya tidak begitu jauh, tetapi perjalanan menaiki kereta dari ibu negara Bosnia ke sana mengambil masa kira-kira tiga setengah jam. Antara sebabnya, terpaksa melalui jalan lereng bukit yang berliku.

Sebagai memperingati peristiwa pahit yang dikatakan mengorbankan lebih 10,000 orang Islam (laporan media Barat), umat Islam di Bosnia mengadakan majlis memperingati kejadian itu setiap tahun pada tiga hari yang tersebut.

Sebagai menunjukkan kesatuan umat dan juga sifat kasih sayang, penduduk Islam Bosnia dari seluruh pelosok negara dan juga yang menetap di seluruh dunia memastikan mereka dapat hadir walaupun berada ribuan kilometer jauhnya.

Pada 1992, negara Serbia menyerang umat Islam di negara Bosnia. Bahkan etnik Serbia dalam negara Bosnia turut menyerang jiran sebelah rumah mereka yang beragama Islam.

Berbekal kelengkapan dan kekuatan tentera Yugoslavia ada pada Serbia beserta geografi Bosnia yang terkepung di tengah-tengah Yugoslavia, umat Islam di Bosnia menjadi sasaran mudah Serbia.

Terkejam

Jumlah itu tidak termasuk ratusan ribu wanita Islam yang menjadi mangsa rogol tentera Serb sehingga melahirkan anak-anak haram yang meninggalkan kesan psikologi kepada mangsa sehingga sekarang.

Bandar-bandar penting yang menjadi rebutan adalah Sarajevo (ibu negara Bosnia), Mostar, Tuzla, Banja Luka, Gorazde, Srebrenica dan lain-lain.

Tiga nama orang terkejam pada abad ini ialah Presiden Serbia, Slobodan Milosevic, ketua bangsa Serbia, Radovan Karadzic dan panglima tentera Serbia di Bosnia, Jeneral Ratko Mladic.

Mladic dianggap salah seorang ‘arkitek’ pembunuhan beramai-ramai dan peristiwa berdarah di Sarajevo.

Antara arahannya kepada pasukan tentera Serbia terhadap umat Islam adalah “hancurkan otak mereka" dan “sisihkan mereka sehingga mereka jadi gila".

Lebih malang lagi, serangan itu dilakukan di hadapan bangunan di bawah perlindungan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di Potocari.

Mladic ditangkap tahun lalu di Serbia dan sedang menghadapi 11 pertuduhan termasuk penghapusan etnik dan sebagai master mind kekejaman jenayah di Tribunal Jenayah Antarabangsa di The Hague. Dia bagaimanapun mengaku tidak bersalah.

Penulis berkesempatan menyaksikan upacara memperingati tragedi hitam itu di Potocari yang sememangnya amat menyentuh emosi. Pemergian penulis, wartawan penyiaran dan jurukamera TV Al Hijrah ditaja Yayasan Taqwa Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

Turut serta, Pengurus Besar Yayasan Taqwa MAIWP, Ahmad Ayob Ibrahim, Pengurus Kewangan yayasan, Noor Hasma Haron, wartawan penyiaran TV alHijrah, Nur Zaimah Ali dan jurukamera video, Hazizan Ahmad.

Sejak awal pagi 11 Julai lalu, sebahagian besar penduduk Islam Bosnia keluar beramai-ramai memenuhi kawasan perkuburan besar. Sehingga pukul 10 pagi, kawasan tersebut padat dengan lautan manusia yang mencecah kira-kira 50,000 orang.

Majlis itu turut dihadiri wakil-wakil kedutaan asing termasuk Charge d’Affaires Kedutaan Malaysia di Bosnia, Hussain Abu Bakat.

Suasana pilu menyelubungi sebahagian besar hadirin terutama di kawasan sebelah kanan surau yang menempatkan 520 lagi rangka jenazah umat Islam yang baru ditemui.

Ramai yang tidak dapat menahan kesedihan apabila mendapati saudara mara mereka antara yang terbujur kaku dalam ratusan susunan mayat di situ.

Disebabkan mayat-mayat itu sudah reput, maka ujian asid deoksiribonukleik (DNA) dilakukan untuk mengesahkan status mereka yang ditemui. Kemudian, nama mereka ditampal pada kepala keranda untuk memudahkan dikesan para waris.

Menyentuh

Upacara rasmi bermula sekitar pukul 11 pagi dengan nyanyian lagu Srebrenica Inferno (Neraka Srebrenica) oleh kumpulan anak gadis Bosnia. Bait-bait lagu itu amat menyentuh perasaan dan jika dihayati boleh menyebabkan pendengarnya mengalir air mata.

Ia disusuli peletakan kalung bunga di pusara dan juga ucapan oleh wakil Amerika Syarikat, Rabbi Arthur Schneier

Turut berucap Ketua Mufti Bosnia, Dr. Mustafa Ceric yang kemudiannya mengimamkan solat zuhur dan solat jenazah di surau yang dibina di kawasan perkuburan besar di mana bersemadinya lebih 5,200 mangsa pembunuhan.

Selesai solat jenazah, ahli keluarga mengangkat keranda bapa, ibu atau sanak-saudara yang mati dibunuh dan disembelih oleh orang Serbia untuk disemadikan buat selama-lamanya.

Saban tahun ada sahaja rangka jenazah baru ditemui. Ini kerana semasa insiden berdarah itu, tentera Serb melakukan pemindahan mayat pada waktu malam untuk mengelak daripada masyarakat dunia mengetahui kekejaman mereka melakukan pembersihan etnik.

Kubur umat Islam bukan sahaja dipindahkan sekali tetapi beberapa kali di beberapa lokasi yang dirahsiakan. Ini menyebabkan waris mangsa tidak dapat mengesahkan kematian ahli keluarga selagi jasad mereka belum ditemui.

Demikian rencana jahat yang dilakukan oleh puak Serbia untuk menambah lagi sengsara dan derita ahli keluarga mangsa yang dibunuh.

Dari segi pecahan etnik, majoriti penduduk ialah etnik Bosniak iaitu 48 peratus, Serb (37.1%), Croat (14.3%) dan lain-lain 0.6% (statistik tahun 2000)

Bosniak ialah gelaran bagi etnik orang Islam yang digunakan bagi mengelak timbul kekeliruan dengan terma agama iaitu Muslim.

Bahasa pertuturan utama rasmi adalah Bosnia, Croatia dan Serbia. Penganut Islam pula 40 peratus, Kristian Ortodoks (31 peratus), Katolik 15 peratus dan lain-lain 14 peratus.

Apa yang berlaku di Bosnia disifatkan sebagai pembersihan etnik terburuk pada abad ini. Sesungguhnya ia mengundang persoalan, di mana hilangnya kewarasan dan peri kemanusiaan sehingga puak Serb sanggup membunuh dan menyembelih umat Islam yang juga jiran mereka sebelum ini.

Pada akhir majlis, Dr. Mustafa turut memimpin bacaan doa seperti berikut:

Kami memohon kepada-Mu ya Allah, Allah yang Maha Kuasa, semoga penderitaan ini menjadi harapan,

Semoga pembalasan menjadi keadilan, Semoga tangisan para ibu menjadi doa, Semoga Srebrenica tidak akan berulang lagi, Kepada sesiapa dan di mana jua.

Amin.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:47
Zohor 1:09
Asar 4:14
Maghrib 7:11
Isyak 8:20



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.