VERSI : Mobile | Akhbar Digital
2 Ogos 2014 / 6 Syawal 1435  
  Carian Arkib
RENCANA

ARKIB : 31/07/2012

Kajian PRU-13 bukan ukur menang kalah

Sesi perbincangan meja bulat 'PRU13: Malaysia Pilih Siapa?' anjuran Kluster Politik Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa, Majlis Profesor Negara dan Kementerian Pengajian Tinggi di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

MAJLIS Profesor Negara (MPN) telah beberapa kali mengadakan seminar dan sesi perbincangan hasil kajian mereka berkaitan pilihan raya umum (PRU) negara sebelum ini.

Pada 27 Julai lalu, MPN sekali lagi mengadakan sesi ceramah khas bersama media berkenaan kajian-kajian berkaitan PRU-13 yang menunjukkan persepsi rakyat, khususnya pengundi sentiasa berubah atas faktor tertentu.

Dengan ahli panel Profesor Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin, Profesor Datuk Seri Dr. Syed Arabi Syed Abdullah Idid dan Profesor Dr. Mansor Mohd. Noor, pihak media diberi penjelasan berkaitan beberapa hasil kajian MPN yang dilaporkan minggu lalu.

Sememangnya PRU-12 dan PRU-13 adalah pertarungan di gelanggang persepsi di mana Datuk Seri Najib Tun Razak dan Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan watak jaguh utama, sementara lain-lain watak cuma pelakon tambahan.

Persepsi domestik juga dilihat berubah kepada persepsi antarabangsa apabila Anwar dan anggota pembangkang dikatakan mengada sekitar 60 ceramah di luar negara mengenai perkara negatif Malaysia.

Bahayanya perang persepsi sehingga satu kebaikan yang menaikkan satu anak tangga, akan menjunam 10 anak tangga jika berlaku sebarang perkara negatif dalam pentadbiran di pelbagai peringkat.

Walaupun persepsi itu subjektif, terdapat juga perangkaan tertentu yang dapat dianalisis dengan jelas seperti tiga juta rakyat Malaysia yang layak masih belum mendaftar sebagai pengundi.

Pada PRU 2008 pula, sekitar 20 peratus daripada pengundi berdaftar tidak keluar mengundi dan kumpulan berumur 30 ke 40 tahun lebih condong kepada pembangkang.

Analisis juga menunjukkan pembangkang mungkin tewas di Selangor dan Kedah bergantung kepada faktor dan isu tertentu dalam komuniti, sementara kesedaran rakyat semakin meningkat apabila 92 peratus menyatakan akan keluar mengundi pada PRU-13.

Namun, adakah kajian-kajian ini dapat digunakan dalam menjangka keputusan PRU13 atau sekadar merekodkan pemahaman, celik atau buta politik di kalangan rakyat Malaysia?

Bagi Shamsul Amri, apa yang dikaji itu bukan sahaja berkaitan PRU malahan melihat kepada kestabilan politik dan ekonomi negara ini.

Menurutnya, Malaysia yang sinonim dengan keamanan dan kestabilan perlu melihat tahap celik politik di kalangan rakyatnya kerana individu yang paling tinggi pendidikan juga mungkin buta politik.

"Di negara lain, rakyatnya dilatih mengenai demokrasi, semangat keadilan dan berani bertanya sebelum bercerita tentang institusi (parti politik).

"Saat kritikal adalah ketika membuang undi dan perkara paling penting ketika itu adalah apa yang difikirkan dalam kepala individu tersebut," katanya.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi MPN bagaimanapun berpendapat, situasi di Malaysia masih 'sihat' sementara celik politik di kalangan rakyat semakin hebat.

Tambahnya, mana-mana pihak yang menang sekalipun, rakyat tetap menang tetapi jika tersalah pilih calon terpaksalah menanggung akibatnya dan terpaksa menunggu pilihan raya berikutnya untuk buat pilihan berbeza.

Beliau turut menegaskan tidak percaya jumlah undi itu perkara paling penting kerana setelah dicampur semua undi, ia tidak memberikan gambaran yang adil.

"Apa yang lebih penting adalah satu lawan satu. Jika ada 30,000 pengundi dan tiga calon yang bertanding, calon pertama menang dengan 12,000 undi sementara baki undi dikongsi dua lagi calon.

"Calon yang menang itu tidak mewakili majoriti dan bukan yang paling disukai kerana jumlah undi diterimanya bukan majoriti pengundi di kawasan tersebut," ujarnya.

Selain itu, beliau juga menasihatkan ahli politik serta parti mereka agar tidak memandang rendah dan menghormati kebijaksanaan para pengundi.

"Pengundi sebenarnya lebih bijak daripada ahli politik, oleh itu janganlah layan mereka seolah-olah orang yang tidak boleh berfikir.

"Orang Pas yang menolak kajian MPN ini juga tidak boleh mengatakan mereka akan menang atau kalah. Lihat sahaja bagaimana Kelantan jatuh dahulu tiada siapa jangka sedangkan kerusi dipegang Barisan Nasional (BN)," tegasnya.

Ditanya berkenaan keputusan PRU-13, Shamsul Amri yakin Parlimen tidak akan tergantung tetapi satu pihak pasti sekurang-kurangnya menang dengan majoriti mudah ke atas lawannya.

Berkaitan tarikh pilihan raya, beliau enggan mencadangkan satu tarikh yang sesuai kerana merasakan adalah lebih baik untuk menggunakan sepenuhnya tempoh mandat lima tahun yang diberikan oleh rakyat.

"Perdana Menteri baru sahaja memimpin untuk tiga tahun lebih, kenapa mahu dipotong tempoh masa untuk beliau berkhidmat kepada negara sedangkan masih banyak yang mahu dilakukannya?

"Orang yang tiada kuasa hanya boleh bercakap sahaja tetapi Perdana Menteri memegang kuasa dan ini memberinya kelebihan melangkaui hanya kata-kata," katanya.

Bagi Mansor pula, kajian MPN menunjukkan orang Melayu merasakan tekanan daripada cara pemerintahan pakatan pembangkang yang dilihat menggugat bahasa mereka, agama Islam dan ciri-ciri kemelayuan lain.

"Bagi saya, pembangkang terlalu 'canggih' untuk orang Melayu. Walaupun cara mereka mungkin menakutkan orang Melayu, pembangkang ada kekuatan juga iaitu pandai mendekati orang ramai.

"UMNO juga dilihat mempunyai masalah terutamanya dalam membuat program di hotel dan memotong reben tetapi sukar menyertai kumpulan yang membentuk persepsi umum," jelasnya.

Menurut beliau, kajian MPN itu menunjukkan semua pihak ada kelebihan dan kekurangan tersendiri tetapi dari sudut kepercayaan, rakyat dilihat lebih mempercayai Najib daripada orang lain untuk menguruskan ekonomi dan krisis negara.

Tambahnya, krisis ekonomi seperti krisis di Eropah tidak semestinya sesuatu yang buruk bagi seorang pemerintah kerana rakyat sering memerhati dan akan menyokong jika pemerintah itu berjaya mengatasi krisis yang dihadapi negara.

Bagaimanapun, beliau memaklumkan antara bulan April dan Mei lalu, persepsi positif terhadap Perdana Menteri makin menurun apabila kebaikan beliau sebelum ini semakin dilupakan.

"Buat satu kebaikan naik satu anak tangga, jika berlaku keburukan turun 10 anak tangga. Bukan mudah menilai suasana pilihan raya.

"Lihat sahaja di Kelantan, ada masanya Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) diberikan kepada BN atau Pas, ada masanya dipecahkan satu BN satu Pas," jelasnya.

Tegasnya, kajian berbeza tidak semestinya mempunyai keputusan yang sama tetapi corak semasa menunjukkan BN semakin naik walaupun ada corak naik turun dalam penilaian persepsi.

Bagi Mansor, menang atau kalah bukanlah isu utama tetapi pihak berkenaan sepatutnya melihat kepada analisis kajian itu dan menilai kenapa ada naik turun sokongan terhadap mereka.

"Pas juga menang cukup-cukup sahaja atas beberapa faktor dan Kelantan juga boleh jatuh. Pemimpin amat penting dan rakyat perlu nampak satu pasukan yang nyata.

"Kajian untuk tempoh enam bulan lalu tidak dapat menjangkakan dengan tepat keputusan PRU-13. Persepsi ketika tempoh berkempen nanti akan berubah lagi," ujarnya.

Walaupun kajian-kajian yang dijalankan dapat memberi petunjuk kecenderungan pengundi, beliau merasakan tempoh lima hari sebelum mengundi adalah masa terbaik untuk mendapat jangkaan tepat PRU-13.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zohor 1:22
Asar 4:43
Maghrib 7:30
Isyak 8:42

 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
PRK Bukit Gelugor
Utusan Live di PRK Parlimen Bukit Gelugor
PRK Teluk Intan
Utusan Live di PRK Parlimen Teluk Intan
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN

MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.