VERSI : Mobile | Akhbar Digital
27 Ogos 2014 / 1 Zulkaedah 1435  
  Carian Arkib
RENCANA

ARKIB : 30/07/2012

Putrajaya dari kaca mata 'SBO'

Samsudin Osman ceria semasa meninjau persiapan Festival Floria 2012 di Taman Wawasan Putrajaya baru-baru ini. - utusan/HANAFI KHAMIS

SUATU malam Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Tan Sri Samsudin Osman sedang menuju ke Pusat Maritim di Presint 5, Putrajaya untuk satu majlis makan malam. Melalui Jambatan Seri Gemilang dekat situ, beliau mendapati suasananya gelap gelita.

Lantas Samsudin, 64, menghubungi seorang stafnya. "Kenapa lampu jalan di Jambatan Seri Gemilang ni tak menyala," demikian antara katanya. Tidak lama kemudian, tiang-tiang lampu di situ terang benderang.

Samsudin atau dikenali mesra dalam kalangan pengamal media 'Tan Sri Sam' sayangkan Putrajaya. Idolanya, ialah arkitek Putrajaya, Tun Dr. Mahathir Mohamad. Karektor Perdana Menteri keempat itu kadang kala terbawa-bawa dalam urusan kerjanya ketika menggerakkan Putrajaya.

"Tidak pernah beliau menjerit pada stafnya, kalau tegur nadanya berhemah. Yang pasti, beliau sangat passionate akan Putrajaya," kata staf PPj itu lagi bercerita pasal bosnya yang akan menggesek kad perakam waktu terakhirnya esok (31 Julai).

Samsudin yang tamat tempoh kontraknya akan digantikan dengan bekas Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Tan Sri Dr. Aseh Che Mat, 61, lusa.

Putrajaya di bawah pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak kini semakin berkembang pesat. Orang sudah lupa tentang ura-ura sebuah parti politik yang dihebohkan pada akhir 1990-an lalu mahu 'melelong' Putrajaya .

Pada tahun-tahun kebelakangan ini, PPj kerap menerima kunjungan daripada pemimpin serta agensi teknikal daripada luar negara terutamanya dari Korea Selatan.

Korea Selatan sedang membangunkan pusat pentadbiran yang serupa dengan Putrajaya yang dikenali sebagai Saejong Bandar Pentadbiran Pelbagai Fungsi. Tujuan kunjungan dan lawatan teknikal tersebut ialah mempelajari pengalaman merancang dan membangun dan memindahkan kakitangan kerajaan ke Putrajaya.

Sama seperti Putrajaya, terdapat pusat-pusat pentadbiran lain yang telah dibangunkan di dunia. Contohnya Washington DC (Amerika Syarikat), Ottawa (Kanada), Canberra (Australia), Chandigarh (India), Brasilia (Brazil) dan Islamabad (Pakistan) yang merupakan terawal dibangunkan iaitu antara tahun 1787 sehingga 1958. Dan terbaru, Saejong di Korea yang sedang dalam proses perpindahan pejabat kerajaan.

Persamaan antara pusat-pusat pentadbiran tersebut adalah ia merupakan pusat pentadbiran negara yang terancang.

"Kebanyakan pemimpin asing yang datang melawat Putrajaya kagum dengan perancangan dan pembangunannya," kata Samsudin kepada Utusan Malaysia.

Kata Samsudin lagi yang sekadar menggunakan nama 'SBO' (Samsudin bin Osman) apabila berurusan melalui e-mel atau sms dengan stafnya: "Bilangan pelawat dan pelancong yang direkodkan berkunjung ke Putrajaya pada 2011 telah meningkat iaitu sebanyak 1.7 juta orang berbanding sebanyak 1.6 juta orang pada 2010.

"Iaitu pertambahan sebanyak 6 peratus. Kumpulan pelawat dan pelancong dari China, Hong Kong, Jepun, Taiwan, Singapura, Korea dan Indonesia merupakan antara kumpulan pelawat dan pelancong terbesar yang datang ke Putrajaya."

Mengikut data Jabatan Perangkaan, jumlah penduduk Putrajaya pada 2010 ialah seramai 72,413 orang. Bagi tahun ini pula ialah seramai 87,100 orang. Ia berdasarkan 22,136 unit rumah kuarters dan 3,864 unit rumah persendirian yang diduduki.

Sehingga Mac tahun ini, pengundi berdaftar di Putrajaya ialah seramai 13,315 orang. Jumlah penduduk kuarters oleh penjawat awam dan ahli keluarga mereka pula dianggarkan sebanyak 74,156 orang. Penduduk yang tinggal di rumah sendiri berserta ahli keluarga mereka pula adalah sebanyak 12,944 orang.

Banyak ciri yang boleh menggambarkan kepesatan Putrajaya ketika ini. Antaranya, peningkatan bilangan lesen premis sebanyak 15 peratus dalam tahun ini iaitu daripada 792 lesen pada akhir 2011 kepada 914 lesen sehingga 13 Julai tahun ini. Ini tidak termasuk lesen penjaja.

Peningkatan penumpang bas Nadi Putra pula adalah daripada 2 juta kepada 2.4 juta - peningkatan sebanyak 20 peratus bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini berbanding tempoh sama bagi 2011. Pada 2007, jumlah penumpang tidak sampai separuh daripada tahap sekarang.

Pembangunan premis komersial juga semakin rancak di Presint 2, 3 dan 8. Juga, sambutan memberangsangkan bagi pembangunan rumah-rumah persendirian termasuk jenis kondominium di Presint 15.

Wad-wad di Hospital Putrajaya juga mengalami kesesakan dan kini wad bersalin tambahan telah dibuka di Presint 8. Begitu juga dengan klinik rawatan, kini telah dibuka beberapa cawangan baru di Presint 3, Presint 11 dan Presint 14.

Di Dataran Putra, ketara sekali kunjungan bas-bas pelawat yang semakin menyesakkan. Keadaan di Putrajaya Sentral pula tidak lagi lengang seperti dahulu.

"Putrajaya menjadi pilihan pelawat dan pelancong untuk destinasi lawatan kerana faktor keindahan semula jadi hijau di tengah-tengah bandar, tasik dan wetland serta imej sebagai pusat pentadbiran kerajaan yang baru," kata Samsudin.

Masalah kesesakan di Putrajaya pada waktu pagi kini dapat dikawal melalui pengurusan trafik yang lancar. Masalah kekurangan tempat meletak kereta bagi orang awam yang datang untuk berurusan dengan pejabat-pejabat Kerajaan telah diatasi dengan memperkenalkan parking berbayar.

Bagi keperluan pekerja pula, PPj telah membangunkan parking tambahan sebanyak 673 lot di luar Kompleks E dan 140 lot di luar Kompleks B. Bagi Presint 4 pula, sebuah bangunan parking yang memuatkan 950 lot dalam peringkat awal pembinaan.

"Kompleks PPj merupakan seni bina bangunan yang semakin popular dan mendapat pujian kerana gerbangnya mempunyai imej futuristik dan Islamik. Ia bukan sahaja menjadi pilihan sebagai bangunan latar untuk fotografi, malah turut popular untuk pengambaran filem, drama dan majalah," ujar Samsudin ditanya bangunan manakah yang paling kerap dilawati pelancong.

Mengenai pembinaan Monorel di Putrajaya, kata Samsudin: "Sebahagian daripada infrastruktur termasuk terowong bawah tanah, jambatan merentasi tasik dan sebahagian struktur stesen monorel di Putrajaya Sentral telah siap dibina.

"Jajaran dua laluan utama sepanjang 20km termasuk lokasi 25 stesen telah dikenal pasti dan kekotak stesen telah dibina bersekali dengan pembinaan terowong. Pelaksanaannya adalah tertakluk kepada persetujuan dan peruntukan Kerajaan Persekutuan."

Dengan siapnya hampir keseluruhan komponen pejabat kerajaan di Putrajaya dan dengan perpindahan kementerian serta agensi kerajaan berkaitan, pembangunan Putrajaya dalam tempoh lima tahun akan datang, ditumpukan kepada pembangunan sektor komersial serta pembangunan perumahan untuk dijual kepada pemilik persendirian oleh pihak pemaju Putrajaya Holdings.

Ini adalah selaras dengan matlamat untuk menjadikan Putrajaya lebih vibrant dan seterusnya merancakkan lagi pembangunan ekonomi bandar Putrajaya.

Antara pembangunan yang akan siap dalam jangkamasa terdekat adalah pembangunan hotel bertaraf 'business' di Presint 1, pembangunan komersial 'retail & F&B' di Sisiran Tasik di Presint 8, City Campus Herriot Watt University di Presint 5, Pusat Konservasi Panda di Taman Wetlands, City Trail antara Dataran Putra dan Alamanda, dan lain-lain.

"Saya harapkan Putrajaya menjadi bandar idaman bagi semua golongan hasil daripada kesejahteraan kehidupan, kelestarian persekitarannya dan kemapanan ekonominya yang bertunjangkan industri pelancongan dan industri perkhidmatan.

"Harapan ini bukanlah angan-angan semata-mata," kata Samsudin yang gemarkan lagu lama 'Menimbang Rasa', 'Terukir di Bintang' dan makanan nasi Arab.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zohor 1:18
Asar 4:29
Maghrib 7:23
Isyak 8:33


 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
PRK Bukit Gelugor
Utusan Live di PRK Parlimen Bukit Gelugor
PRK Teluk Intan
Utusan Live di PRK Parlimen Teluk Intan
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.