VERSI : Mobile | Akhbar Digital
18 April 2014 / 18 Jamadil Akhir 1435  
  Carian Arkib
RENCANA

ARKIB : 24/07/2012

Persekitaran bazar Ramadan mesti 'untungkan' peniaga dan pengunjung

Bazar Ramadan adalah tempat paling sesuai untuk mendapatkan kelainan juadah, atau juadah-juadah yang hanya muncul setahun sekali.

SEORANG usahawan pernah menulis di blognya tentang perniagaan di bulan Ramadan. Kata 'mamak haji' di balanambiar.wordpress.com, berniaga di bazar ramadan paling menyeronokkan kerana suasana yang begitu harmoni, penuh tawaduk dan rasa seperti bukan berniaga tetapi berpesta dalam bulan Ramadan.

Saya meminta izin memetik kata-kata mamak haji di blog yang sarat dengan panduan dan nasihat dunia perniagaan makanan itu lantaran beliau tidak pernah lokek menurunkan petua untuk berjaya.

Biar pun mengenali Mohamad Roslan atau 'mamak haji' menerusi alam maya, namun rasa kagum terhadap kegigihan beliau memberikan tunjuk ajar antara lain tentang perniagaan di bazar Ramadan sememangnya tidak dapat disembunyikan.

Apatah lagi melihat kesungguhan para peniaga terutama anak-anak muda meneroka bazar Ramadan sebagai sumber rezeki malah ada kalangan mereka baru pertama kali mencuba nasib.

Tentunya lokasi, menu dan promosi menjadi taruhan untung rugi. Tapi bak kata 'mamak haji' berniaga di bulan Ramadan terutama kepada pemain baru anggaplah sebagai pemanas badan sebelum berlari. Suasana perniagaan mestilah gembira dan jauhi kerisauan.

Namun perkembangan terbaru tentang bazar Ramadan sememangnya mengundang rasa kurang gembira di kalangan peniaga. Misalnya, di Pulau Pinang sekumpulan 20 peniaga melahirkan rasa tidak puas hati kerana tapak baru bazar Ramadan yang tidak sesuai.

Begitu juga di beberapa negeri lain termasuk di Selangor. Akibat terlalu mengasak tanah-tanah kosong dengan pembangunan, maka ruang untuk diadakan bazar Ramadan menjadi semakin sempit. Di Bandar Baru Bangi misalnya, tapak bazar Ramadan di sekeliling komplek PKNS yang setiap tahun meriah dengan pelbagai juadah dan kerenah peniaga semakin mengecil saiznya pada tahun ini.

Orang ramai juga umpama kehilangan arah mencari di mana sebenarnya tapak bazar Ramadan yang rupa-rupanya beroperasi di ruang sempit di hadapan kompleks tersebut. Bukan saja para pengunjung bazar terpaksa berasak dan bersesak, malah peniaga sendiri dilihat tidak begitu selesa kerana gerai mereka 'sukar' untuk disinggah.

Lorong yang sempit menyebabkan ruang untuk pengunjung meninjau makanan yang dijual serta berbaris bagi membeli juadah terlalu terhad. Tentunya keadaan seperti itu amat tidak sesuai bagi pengunjung yang membawa anak kecil atau mereka yang gemar membuat tinjauan terlebih dahulu sebelum membuat keputusan apa yang mahu dibeli.

Rata-rata pengunjung ke bazar Ramadan itu menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap bazar Ramadan di hadapan kompleks PKNS. Kata mereka, bazar Ramadan pernah beroperasi di situ tetapi mencakupi kawasan letak kereta yang dikosongkan supaya lebih banyak ruang niaga dapat dibuka. Keadaan pada tahun ini amat berbeza apabila hanya lorong laluan kereta sahaja yang dibenarkan menjadi ruang niaga untuk bazar Ramadan.

Ia tidak sepatutnya begitu kerana bazar Ramadan atau apa juga bazar yang diwujudkan kerajaan negeri tentunya bertujuan memudahkan orang ramai membeli-belah. Setiap bazar juga tentunya bagi memberi peluang kepada pengunjung membuat pilihan yang lebih luas selain memberi pulangan keuntungan kepada peniaga.

Justeru adalah menjadi tanggungjawab setiap kerajaan negeri memastikan ruang atau kawasan untuk aktiviti seperti bazar Ramadan ini terpelihara. Memberi terlalu banyak laluan kepada pembangunan sehingga mengetepikan keperluan masyrakat bukanlah sesuatu keputusan yang bijak.

Biar pun dalam keadaan pembangunan memberi pulangan berpuluh kali ganda malah mungkin beratus kali ganda berbanding sewa lot niaga bazar Ramadan namun adakalanya berkongsi keuntungan dengan rakyat sekali setahun adalah lebih manfaatnya.

Dalam memenuhi agenda pembangunan, perkara-perkara kecil seperti menyediakan tempat rekreasi dan ruang pelbagai guna yang boleh digunakan mengikut musim sememangnya perlu. Tidak semua rakyat mampu mengunjungi hotel-hotel besar untuk menikmati sedikit kelainan semasa Ramadan. Mungkin bazar-bazar Ramadan adalah tempat paling sesuai untuk mendapatkan kelainan juadah, atau juadah-juadah yang hanya muncul setahun sekali.

Keprihatinan kerajaan negeri, dewan bandar raya atau majlis perbandaran terhadap keperluan seumpama ini amat penting. Bak kata 'mamak haji' berniaga di bulan Ramadan mesti gembira. Bukan saja menggembirakan peniaga kerana mendapat keuntungan tetapi mesti juga menggembirakan pengunjung kerana dapat membeli-belah dalam suasana selesa dah muhibah.

Utusan Online on Facebook
Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:50
Zohor 1:15
Asar 4:27
Maghrib 7:21
Isyak 8:31
 
 



IKLAN@UTUSAN



BANCIAN ONLINE
IKLAN@UTUSAN

MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.