VERSI : Mobile | Akhbar Digital
24 Julai 2014 / 26 Ramadan 1435  
  Carian Arkib
RENCANA

ARKIB : 23/07/2012

Meraikan penghulu segala bulan

SAMA ADA ia dinanti atau kunjungannya disambut dengan hati sepi, ia tetap datang lagi. Namun, Baginda Rasulullah SAW mengatakan bahawa kita seharusnya menyambutnya dengan penuh kegembiraan. Gembiranya hati menyambut kehadiran tetamu yang Allah SWT yang dimuliakan ini menandakan wujudnya iman di hati.

Dalam sebuah hadis, Rasulullah menyebut, "Telah datang kepadamu bulan Ramadan, penghulu segala bulan, maka sambutlah kedatangannya dengan penuh kegembiraan".

Sebagaimana asal kata Ramadan dari perkataan 'ramida' atau 'ramad' yang bermaksud cuaca panas terik atau kemarau yang keterlaluan, yang membakar tanah. Suatu metafora rasa panas di dalam perut disebabkan menahan dahaga. Panasnya Ramadan kerana ia berfungsi membakar dosa-dosa lalu dengan memohon keampunan Allah SWT dan amalan-amalan soleh yang dilakukan sepanjang bulan ini.

Sesi yang disediakan Allah secara khusus ini bukan sahaja berfungsi sebagai platform, malah darjat yang tinggi, pahala, kelebihan dan pelbagai keistimewaan turut disertakan sebagai pakej transformasi jiwa dan diri yang amat sempurna. Di hujungnya pula suatu pengijazahan pada yang berjaya sebagai insan sesuci bayi yang baru dilahirkan. Seperti mana bicara Rasulullah SAW yang antaranya menyebut pada awal bulan ini adalah rahmat, pertengahannya keampunan dan akhirnya kemerdekaan dari api neraka.

Istimewanya ia sebagai latihan jiwa yang bersifat amat telus dan tulus kerana ujian-ujian yang terkandung di dalamnya hanya diselia oleh iman dan dilihat oleh Tuhan yang satu dan menjadikan puasa sebagai disiplin paling unggul. Dalam sebuah Hadis Qudsi, Rasulullah SAW bersabda, "Allah berfirman, 'Setiap amalan anak Adam adalah untuk anak Adam itu sendiri, melainkan puasa. Sesungguhnya puasa itu bagi-Ku, dan Aku mengurniakan balasan bagi puasanya itu."

Pun begitu, bagi meraih pahala yang berlipat kali ganda, ia harus menterjemahkan sifat empati dalam bentuk tindakan. Sementelah fakir miskin gembira kerana pada waktu siang para Muslimin dan Mukmin yang berada dan kaya juga berlapar dan merasa dahaga seperti mereka, maka si fakir miskin juga menjadi sumber bagi golongan yang berada dan kaya untuk menambah pahala dengan berkongsi rezeki yang dianugerahkan oleh Allah SWT kepada mereka.

Sedekah itu tidak sekali-kali diukur mengikut kuantiti, tetapi diukur mengikut keikhlasan hati pemberi. Dalam bulan yang paling Allah muliakan ini setiap sedekah yang dilakukan dengan ikhlas, akan menyuburkan kasih sayang sesama insan.

Ujar Rasulullah SAW, "Wahai manusia, kamu kini hampir dengan bulan yang agung lagi penuh keberkatan. Bulan yang salah satu malamnya adalah lebih baik berbanding daripada seribu bulan".

Saban tahun kita menyambut dan menempuhinya. Saban tahun juga kita diperingatkan dengan keindahan dan keistimewaan yang mengiringi kedatangannya. Namun malangnya, di hujung-hujung lembaran waktu ketika ia mula meninggalkan umat manusia, kebanyakan dari kalangan kita menjadi lebih asyik untuk menyambut ketibaan Syawal dan tidak mengambil peluang untuk memanfaatkannya secara maksimum.

Saf-saf yang mengikuti solat tarawih akan susut bermula di pertengahan bulan dan menjadi lebih menyusut bila menuju ke penghujung Ramadan. Hanya sedikit yang beriman akan beristiqamah untuk meneruskan amalan-amalan yang digalakkan dalam Ramadan sehingga ke penghujungnya. Seperti bertadarus dan beriktikaf.

Sifat 'hangat-hangat tahi ayam' ini tentunya tidak menepati dengan apa yang dinyatakan Rasulullah SAW yang mengatakan pada awal bulan yang dimuliakan ini adalah rahmat, pertengahannya keampunan dan akhirnya kebebasan dari api neraka.

Jika ini terus menjadi kebiasaan bagi sesetengah individu Muslim, bermakna ia meninggalkan peluang keemasan untuk mempertingkatkan kedudukan puasanya.

Tentunya tidak sama kualiti puasa orang yang berlapar dahaga semata-mata jika hendak dibandingkan dengan puasa orang yang mengisinya dengan amalan lain seperti bertilawah al-Quran, menghidupkan malam dengan bersolat sunat dan membanyakkan sedekah.

Melakukan kebaikan dengan hati ikhlas tentunya mengundang kegembiraan di sisi Allah dan memberi pulangan pahala kepada pelakunya. Secara timbal baliknya pula, bagi mendidik hati supaya ikhlas tentulah kita harus mengusahakannya dengan melakukan amalan soleh.

Melakukan ibadah berpuasa secara berkualiti secara konsisten sehingga ke penghujungnya adalah usaha seorang individu Muslim untuk mempertingkatkan darjat puasa dari puasa umum kepada puasa khawwas dan seterusnya puasa khawasil khawwas. Iaitu dari puasa yang hanya menahan perbuatan-perbuatan yang boleh membatalkan puasa kepada puasa yang menambah penahanan deria dan anggota tubuh daripada melakukan dosa dan seterusnya kepada peringkat puasa yang terbaik iaitu menahan perasaan terhadap perkara yang bersifat keduniaan dan sebarang perkara yang tidak mempunyai hubung kait dengan Allah SWT.

Mudah-mudahan Ramadan pada kali ini akan diisi dengan sebaik-baiknya kerana tiada kepastian kita akan menemuinya lagi pada tahun hadapan.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:50
Zohor 1:23
Asar 4:45
Maghrib 7:30
Isyak 8:44

 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
PRK Bukit Gelugor
Utusan Live di PRK Parlimen Bukit Gelugor
PRK Teluk Intan
Utusan Live di PRK Parlimen Teluk Intan
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN

MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.