VERSI : Mobile | Akhbar Digital
19 September 2014 / 24 Zulkaedah 1435  
  Carian Arkib
RENCANA

ARKIB : 02/07/2012

Cabaran pusat kesihatan mental komuniti

SESUATU yang menggembirakan apabila baru-baru ini kerajaan mengumumkan akan menubuhkan pusat kesihatan mental komuniti bagi setiap negeri. Ini sememangnya langkah bijak dan proaktif bagi meningkatkan tahap penjagaan kesihatan mental masyarakat di negara ini.

Semua anggota masyarakat berasa sungguh bertuah kerana aspek penjagaan kesihatan mental kini mula mendapat perhatian dan pembelaan sewajarnya. Bagi pesakit dan keluarga mereka khususnya, hak mereka untuk mendapatkan rawatan yang sewajarnya dan bebas daripada stigma buruk dan negatif menjadi semakin cerah.

Jika ditinjau dari segi sejarah perkembangan kesihatan mental di negara ini, pada peringkat awal (akhir kurun ke-18) ia lebih tertumpu kepada merawat pesakit mental dalam persekitaran yang amat terhad dan hanya melibatkan sekelompok pakar perubatan dan kesihatan mental.

Dalam fasa pertama ini, perkhidmatan hanya terdapat di hospital-hospital mental sahaja. Pesakit pula akan ditempatkan di hospital berkenaan dalam tempoh yang amat panjang dan berjauhan dengan keluarga. Secara tidak langsung, mereka akan tersisih daripada masyarakat awam. Keadaan ini tidak membantu proses untuk pulih yang menyeluruh.

Di samping menyisihkan pesakit dari dunia luar, keluarga mereka dan masyarakat awam, ia juga meningkatkan stigma negatif dan pandangan buruk masyarakat terhadap golongan pesakit mental. Malahan, ia turut meningkatkan beban penjagaan dan kos rawatan para pesakit dan kewangan negara. Kaum keluarga dan masyarakat pula semakin menjauhi dan menganggap pesakit sebagai makhluk yang pelik dan ganjil. Ini kerana pada ketika ini, pesakit mental dilihat sebagai mangsa kerasukan makhluk halus dan roh jahat dan lain-lain pengaruh berkaitan alam ghaib.

Hanya pada sekitar pertengahan kurun ke-19, gerakan reformasi dalam sistem perkhidmatan kesihatan mental bergerak aktif dalam usaha untuk memberi harapan baru kepada para pesakit dan keluarga mereka, memperbaiki kaedah rawatan dan mengiktiraf peranan penting masyarakat dalam membantu proses pemulihan.

Fasa kedua ini menyaksikan kesan dalam pemodenan sistem perkhidmatan kesihatan dan peningkatan mutu kajian serta kewujudan penemuan-penemuan baru dalam bidang sains perubatan yang akhirnya mengubah persepsi dunia terhadap bidang kesihatan mental.

Jika di peringkat fasa pertama masalah berkaitan gangguan mental dilihat berpunca daripada pengaruh makhluk halus dan roh jahat, pada fasa kedua ini, masalah itu dilihat berpunca akibat ketidakseimbangan hormon tertentu dalam badan pesakit yang menjejaskan tahap kesihatannya.

Seterusnya pada awal dan menjelang pertengahan kurun ke-20, perkhidmatan kesihatan mental memasuki fasa ketiga di mana ia menjadi semakin berkembang dan maju. Di antara beberapa petanda kemuncak dalam perkhidmatan ini pada peringkat ini adalah kewujudan pusat-pusat kesihatan mental komuniti dan masyarakat. Di antara peranan perkhidmatan pusat-pusat kesihatan mental seperti ini adalah mewujudkan proses pemulihan itu berlaku di peringkat komuniti.

Ia juga merupakan pendekatan untuk mengintegrasikan peranan setiap anggota keluarga dan masyarakat dalam proses pemulihan dan penjagaan kesihatan mental yang lebih bersepadu. Di samping itu, pendekatan ini juga membentuk dan mendidik masyarakat supaya lebih bersikap terbuka dan positif terhadap kesihatan mental dan memahami apakah penyakit mental serta lebih menerima pesakit dan keluarga pesakit tersebut.

Ia akhirnya diharapkan dapat menghilangkan pandangan buruk anggota masyarakat terhadap perkara ini dan seterusnya menghapuskan sebarang stigma berkaitan penyakit mental.

Walaupun pendekatan seperti ini lama diamalkan oleh negara maju, namun ia baru dilaksanakan di negara ini. Memang ini merupakan satu langkah yang baik, namun terdapat banyak perkara yang perlu dilakukan bagi mencapai matlamat penubuhannya dan untuk memastikan usaha murni bagi memperbaiki taraf kesihatan mental ke tahap yang lebih baik lagi untuk kebaikan masyarakat dan negara dapat dicapai.

Beberapa langkah dan aktiviti tertentu ke arah usaha dan matlamat ini perlu dilakukan seperti menyediakan kemudahan mencukupi, khususnya dari segi sumber tenaga manusia.

Pendekatan ini merupakan satu usaha untuk memasyarakatkan sistem perkhidmatan kesihatan mental kepada orang ramai. Oleh kerana ia lebih tertumpu kepada masyarakat, sudah pasti ia tidak lagi tertumpu di hospital besar, dan sudah pasti juga jumlah tenaga pakar perubatan dan kesihatan akan menjadi lebih terhad.

Masalah ini perlu di atasi segera seperti menempatkan pusat-pusat tersebut berhampiran hospital besar bagi tujuan rujukan dan kecemasan bagi kemudahan berkaitan dan jika berlaku perkara tidak diingini.

Begitu juga, peranan anggota masyarakat yang terbabit untuk membantu usaha murni ini perlu diperbanyakkan lagi dan diberi latihan khusus. Perlu ada perancangan kerajaan bagi tujuan ini. Adakah wajar dengan menempatkan pakar berkaitan, atau beberapa pakar kesihatan mental yang lain?

Di negara yang lebih maju, lebih ramai anggota masyarakat yang pakar dan diiktiraf dalam perkhidmatan kesihatan mental terlibat seperti pakar psikiatri komuniti, pakar psikologi klinikal, pekerja sosial, dan kaunselor profesional.

Adakah negara kita mempunyai orang seperti ini dengan jumlah yang mencukupi, diiktiraf dan telah menerima latihan yang kukuh dan bersesuaian? Ini kerana sekadar melantik dan melatih sesiapa sahaja yang berminat bukan satu langkah bijak, malah mereka gagal untuk berperanan secara aktif dalam menyumbang ke arah mencapai matlamat yang murni itu, lantas menggagalkan matlamat penubuhan pusat kesihatan mental masyarakat seperti yang dicadangkan.

PENULIS ialah Felo Pusat Kajian Ekonomi dan Kemasyarakatan, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:48
Zohor 1:10
Asar 4:13
Maghrib 7:13
Isyak 8:21



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.