VERSI : Mobile | Akhbar Digital
26 Julai 2014 / 28 Ramadan 1435  
  Carian Arkib
REKREASI

ARKIB : 07/09/2013

Bukit Kutu destinasi pilihan KRUM

LALUAN pendakian pada mulanya agak mudah namun semakin mencabar tatkala mula mendaki bukit pertama sehingga ke puncak.

MUNGKIN ramai dalam kalangan kita akan tergelak sebaik sahaja mendengar nama Bukit Kutu yang terletak di Kuala Kubu Bharu (KKB), Hulu Selangor.

Ini kerana nama bukit itu yang kedengaran agak melucukan. Biarpun begitu, bukit yang berketinggian kira-kira 1,053 meter (3,456 kaki) dari paras laut itu tetap mempunyai keistimewaan tersendiri sehingga lokasi itu dijadikan trek kegemaran ramai buat pencinta alam khususnya dari sekitar Lembah Klang.

Angan-angan menawan Bukit Kutu sebelum ini akhirnya tercapai jua apabila penulis bersama 17 pendaki termasuk ahli Kelab Rekreasi Utusan Melayu/Malaysia (KRUM) berkunjung ke sana baru-baru ini.

Kami memulakan perjalanan dari Kuala Lumpur ke KKB sejauh kira-kira 70 kilometer seawal pukul 6.30 pagi pada 25 Ogos 2013 yang lalu. Pemanduan mengambil masa satu jam 30 minit untuk ke sana. Ada juga yang datang lebih awal apabila bergerak meninggalkan Kuala Lumpur pada pukul 4.30 pagi kerana mengikut persetujuan, kami akan berkumpul di Masjid Jamek Ar-Rahimah, KKB pada pukul 7 pagi.

Oleh kerana ada yang ‘tersesat’ mengikut laluan ke arah Tanjung Malim, Perak termasuk tersasar memasuki lebuh raya Latar menuju ke Kuala Selangor, maka kesemua kami hanya dapat berkumpul sekitar pukul 9 pagi.

Selepas bersarapan di restoran mamak yang terkenal di KKB, Restoran Fazlina Maju, tanpa berlengah kami memandu ke penempatan baharu Kampung Orang Asli Simpang yang terletak tidak jauh dari Sungai Pertak dan Empangan Sungai Selangor.

Sebaik tiba di situ, semua peserta melakukan senaman ringan dan berdoa agar pendakian ini berjalan lancar. Laluan awal menempuh trek balak dengan meniti jambatan besi sebanyak dua kali. Jambatan besi itu dibina oleh pekerja balak bagi mengangkut keluar balak dari hutan berdekatan. Namun kini aktiviti pembalakan telah diharamkan apabila hutan tersebut diwartakan sebagai hutan simpan.

Selepas itu, kami menempuh laluan kebun getah yang berakhir di sebatang sungai. Oleh kerana tiada jambatan, maka kami membuka kasut untuk menyeberangi sungai.

Di hadapan laluan adalah bukit yang tinggi menegak yang mana beberapa bahagian di laluan itu diliputi akar-akar pokok yang menjalar.

Perjalanan yang dirasakan agak mudah pada awalnya bertukar sebaliknya apabila setiap wajah mulai berkerut kerana menahan lenguh dan lelah yang mula menguasai diri.

Laluan pendakian semakin mencabar apabila kami menempuh trek curam hampir 70 darjah membuatkan peserta yang sedang ketawa dan bergurau-senda mulai fokus terhadap cabaran di hadapan.

Ketahanan, kekuatan mental dan fizikal peserta benar-benar diuji tatkala kami tiba di sebuah gua kecil yang dikenali sebagai Gua Air.

Kami berehat dan mengisi air ke dalam botol kosong yang ditadah dari sumber air dari celah-celah batu besar.

Pendakian diteruskan menuju ke sebuah gua yang terbentuk daripada gabungan beberapa struktur bongkah batu besar yang dikenali sebagai Gua Kambing.

Menurut cerita masyarakat tempatan, gua itu mendapat namanya selepas beberapa Orang Asli menemui seekor kambing hitam berkeliaran di sekitar kawasan gua itu suatu ketika dahulu.

Ternyata perjalanan selama dua jam mendaki yang memenatkan memaksa kami melepaskan lelah seketika di gua tersebut sebelum meneruskan pendakian.

“Dari sini ke puncak, agak-agaknya berapa jam lagi?’ soal seorang pendaki.

“Dah dekat dah..lagi sejam lebih sikit," ujar ketua ekspedisi, Mohd Azraei Mohd Yusof.

Pendakian diteruskan ke puncak Bukit Kutu. Tidak sabar rasanya nak menjejaki puncak bukit tersebut.

Kumpulan akhir tiba sekitar pukul 1.52 petang dan setibanya kami ke sana, kami membentangkan tikar untuk duduk bersantai sambil menikmati bekalan makanan yang dibawa.

Ada yang membawa nasi kerabu berlaukkan telur masin dan ada juga yang memasak mi segera.

Dalam pada itu, kami tidak melepaskan peluang untuk mengambil air dari telaga peninggalan penjajah British dekat puncak Bukit Kutu.

Air yang jernih dan sejuk itu kami gunakan untuk memasak air minuman dan mengambil wuduk.

Selepas makan dan solat, kami meninjau kawasan banglo peninggalan Inggeris. Antaranya adalah cerobong asap dan sisa runtuhan banglo yang terletak kira-kira lima minit menuruni puncak.

Agak mencabar juga ekspedisi ini, namun kepuasan yang diperolehi selepas segala halangan berjaya diatasi membuatkan kami seronok, lebih-lebih lagi dapat melihat kesan sejarah di Bukit Kutu.

- SYAHRIL/ASMARUDDIN JAMALUDDIN

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:50
Zohor 1:23
Asar 4:45
Maghrib 7:30
Isyak 8:44

 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
PRK Bukit Gelugor
Utusan Live di PRK Parlimen Bukit Gelugor
PRK Teluk Intan
Utusan Live di PRK Parlimen Teluk Intan
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN

MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.