ARKIB : 19/11/2012
Pas doa hancurkan UMNO demi PKR, DAP
ENTAH kitab mana yang dirujuk, entah ayat al-Quran mana yang dipetik dan entah hadis mana yang diambil apabila Pas sewenang-wenangnya menganjurkan majlis bagi mendoakan kehancuran UMNO dan Barisan Nasional (BN).
Malang sekali biar pun dianggotai oleh ratusan ulama dan sentiasa menguar-uarkan ulama adalah teras kepimpinan parti itu, namun demi kemaruk kuasa dan mahu menawan Putrajaya, perbuatan yang bertentangan dengan Islam 'dihalalkan' oleh Pas.
Kita memahami antara Pas dan UMNO sememangnya mempunyai ideologi politik berbeza tetapi dari segi Islam mereka tetap bersaudara, mengadap kiblat yang sama dan menyembah Allah yang satu.
Namun bagi Pas, itu semua bukanlah perhitungan utama, yang penting ialah merebut kekuasaan politik dengan apa cara sekali pun termasuk mendoakan insan seagama hancur.
Pas begitu mudah dalam doa yang dipimpin oleh Nik Razi Nik Mat, adik kepada Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat memohon Allah menghukum UMNO dan BN.
Alasan mereka kononnya, selama lebih 50 tahun UMNO dan BN memerintah parti itu melakukan kezaliman kepada agama Islam dan umat Islam.
Jelas sekali, ketaksuban berpolitik dan memburu kuasa telah menyebabkan pemimpin-pemimpin Pas sudah tidak mampu lagi membezakan antara yang hak dan batil.
Kalau benarlah Islam dizalimi, sudah pasti Malaysia tidak berada di kedudukan sekarang menjadi sebuah negara Islam contoh dan perkembangan syiar Islam di negara ini mendapat pujian ulama dunia.
Dan paling nyata sudah pasti Allah menurunkan bala kepada Malaysia jika benar negara ini penuh dengan kebatilan dan kezaliman, namun sampai ke hari ini Malaysia terus aman dan makmur, Islam terus dimartabatkan.
Tetapi ulama dan pemimpin Pas tidak mahu menerima hakikat itu kerana mereka tidak lagi melihat UMNO sekadar lawan politik tetapi musuh yang harus dimusnahkan.
Bagi Pas, selagi ada UMNO dan BN selagi itulah impian mereka untuk meraih kekuasaan bersama sekutu rapat mereka, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP tidak akan tercapai.
Oleh itu sebagai sebuah parti yang kononnya memperjuangkan Islam, Pas mewakili kedua-dua parti berkenaan mendoakan kehancuran UMNO.
Tindakan Pas ini sudah tentulah menggembirakan PKR dan DAP kerana Pas bukan sahaja bersedia menyiapkan jenteranya untuk bertarung habis-habisan dengan UMNO dan BN dalam pilihan raya malahan sanggup menganjurkan majlis doa bagi mencapai cita-cita politik mereka.
Apa yang anehnya, selama ini kita tidak pernah melihat Pas sanggup mengadakan solat hajat atau majlis berdoa bagi memohon Allah memberi petunjuk bagaimana hendak menyatukan umat Islam?
Pas juga tidak pernah berbuat demikian untuk diberikan hidayah bagaimana hendak menghapuskan perbezaan dengan UMNO, malahan Pas juga tidak mengadakan majlis solat hajat bagi memohon Allah menghapuskan mana-mana kelompok yang cuba mengembangkan perbuatan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).
Tetapi oleh kerana dikuasai keghairahan politik bagi memenangi Pilihan Raya Umum Ke-13, maka Pas sanggup membariskan para ulama, ustaz dan tok gurunya untuk mendoakan kehancuran UMNO.
Jelaslah Pas semakin terpesong daripada nilai-nilai politik Islam sebenarnya, biar pun mengaku sebuah parti Islam tetapi tindak-tanduk Pas ternyata bertentangan dengan nilai-nilai Islam.
Tahniahlah diucap kepada Pas kerana bersedia menjadi pejuang sejati dan pak turut abadi kepada pakatan pembangkang semata-mata kerana kemaruk kuasa.
Percayalah tidak semua orang Islam yang buta hati dan tertutup minda mereka untuk menilai apa yang Pas lakukan sama ada betul atau tidak. Hanya pemimpin dan penyokong Pas yang taksub sahaja yang merestui majlis doa berkenaan.
Memang benar Allah pernah menenggelamkan Firaun di dalam laut, Allah izinkan bumi menelan Qarun, Allah melaknatkan Namrud dan begitu juga Abu Lahab.
Tetapi pernahkah Pas bertanya kenapakah sehingga ke hari ini Allah masih belum memakbulkan doa mereka untuk menewaskan UMNO dan BN secara total dalam dalam pilihan raya atau meletakkan Pas sebagai parti pengganti UMNO?
Justeru daripada pemimpin dan penyokong Pas menghabiskan masa mendoakan kehancuran UMNO adalah lebih baik jika mereka bermuhasabah dan menilai di manakah silapnya perjuangan mereka selama ini.
Percayalah seburuk-buruk UMNO yang mereka doakan agar senasib dengan Firaun, Qarun, Namrud dan Abu Lahab, parti itu tidak pernah mempertaruhkan Islam untuk meraih undi.
UMNO juga tidak pernah memperdagangkan hukum hudud untuk menang dalam pilihan raya, UMNO tidak pernah sewenang-wenangnya mengkafirkan sesama Islam kerana berbeza ideologi politik dan UMNO tidak pernah menganggap ulama sebagai terompah.
Selain itu UMNO juga tidak pernah mendoakan mana-mana pemimpin Pas pecah perut atau ditimpa bala dan sudah pasti UMNO juga tidak pernah mendoakan kehancuran Pas dalam pilihan raya.
Tetapi kajilah apakah sikap berpolitik Pas selama ini dan kita pasti mendapat jawapan siapakah sebenarnya yang sedang menuju kehancuran akibat terlalu kemaruk mahu berkuasa!
Sekat sebelum parah
Segera bertindak terhadap Red Bean Army
Adam Adli tidak mewakili mahasiswa
CUEPACS larang penjawat awam sertai demonstrasi
PKR hanya 'parti kuat riuh' - Shah Headan
Warga Felda Bukit Tangga kecam Kit Siang, Anwar
Sumbang idea, kepakaran kepada negara bukan jatuhkan imej
Karpal bidas pihak kritik mansuh Dewan Negara
Palanivel nafi lulus resolusi larang rebut jawatan Presiden
Tian Chua, Haris, Tamrin ditahan
PKR 'bangga' rakyat langgar undang-undang Singapura
Mubarak: Lepaskan kerakyatan jika tidak setuju keputusan PRU-13
Rektor Kuin hantar surat letak jawatan
Forum bertukar sesi tohmahan terhadap BN
BN, Pakatan fail petisyen PRU-13
Cadangan Karpal dianggap hina Dewan Negara
Perkasa kutuk demonstrasi di kota London
Guling kerajaan bertentangan dengan maqasid syariah
Pas diminta keluar kenyataan rasmi tolak politik ganas
Waktu Solat Kuala Lumpur |
||||
|
||||









