ARKIB : 29/08/2012
Tinggal sanak saudara demi keselamatan negara
KEDATANGAN Syawal selepas sebulan menjalani ibadah puasa di bulan Ramadan sememangnya menjadi detik yang amat dinanti-nantikan oleh semua umat Islam di seluruh dunia.
Malah meraikan perayaan tersebut bersama keluarga dan sanak saudara tercinta menjadi antara perkara wajib yang berada dalam senarai keutamaan setiap daripada kita.
Namun, dalam kita bergembira menunggu detik bermulanya 1 Syawal, ada golongan yang terpaksa mengorbankan 'waktu-waktu emas' mereka untuk berkhidmat kepada tanah air tercinta.
Bagi anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), berada di perantauan bukanlah satu bebanan malahan menjadi satu bentuk tanggungjawab yang perlu dilunaskan bagi memastikan perairan negara sentiasa berada dalam keadaan terkawal dan selamat.
Begitulah yang dirasai oleh 159 anak kapal sokongan KD Sri Indera Sakti yang terus komited melaksanakan amanah walaupun terpaksa berjauhan daripada keluarga tersayang pada Syawal yang mulia.
Kapal yang ditauliahkan pada 7 November 1980 itu dibina berdasarkan dua peranan utama iaitu sebagai platform pemerintah dan kapal sokongan yang mengandungi stor, kontena dan bengkel yang membolehkan bantuan diberikan secepat mungkin kepada kapal lain di tengah lautan.
Pegawai Memerintah KD Sri Indera Sakti, Kapten Ahmad Asri Yaacob berkata, berpuasa dan menyambut kedatangan Syawal di atas kapal adalah perkara biasa baginya yang telah berkhidmat sebagai tentera sejak 29 tahun lalu.
Katanya, sebagai anak kapal, mereka sentiasa terdidik untuk bersedia dalam apa jua keadaan sekiranya diperlukan berlayar kerana tugas kepada negara merupakan keutamaan yang perlu diberi perhatian.
''Beraya di atas kapal juga menyeronokkan kerana kita turut mengerjakan rutin sama yang dilakukan mereka yang berada di daratan.
''Jika di daratan mereka mengerjakan sembahyang sunat hari raya, di atas kapal juga melakukan perkara yang sama malah kita turut bertakbir dan menikmati juadah raya yang disediakan chef dengan diiringi lagu-lagu hari raya," katanya yang berasal dari Langgar, Kedah.
Menurut Ahmad Asri yang lebih 12 kali berpuasa di atas kapal, perasaan sedih kebiasaannya dialami oleh anak kapal baru berbanding anak kapal senior yang telah terbiasa dengan keadaan itu.
''Perasaan sedih memang tidak dinafikan namun apabila berada di atas kapal, rakan-rakan adalah keluarga kita dan beraya dengan mereka juga menyeronokkan.
''Malah di atas kapal, kita turut meneruskan aktiviti kunjung mengunjung sesama anak kapal cuma yang membezakannya kami tidak memakai pakaian raya seperti mereka yang beraya di daratan," katanya.
Bagi Laskar Kanan, Mohd. Ridzuan Samusi, 32, tahun ini sudah masuk dua kali dia tidak menyambut hari raya bersama keluarga tercinta di kampung halamannya.
Kata anak kelahiran Sungai Petani, Kedah itu, meskipun bekerja pada hari raya, ia bukan halangan baginya untuk menyambut kemeriahan Aidilfitri.
''Walaupun tiada keluarga di sisi, dengan adanya rakan-rakan setugas ia mampu meleraikan perasaan sedih kerana tidak menyambutnya bersama keluarga.
''Lagipun keluarga saya memahami dan sudah terbiasa dengan keadaan ini. Beraya di atas kapal juga meriah sebab ada kawan-kawan dan ini sebenarnya pengalaman menarik bagi kami," katanya.
Sementara itu, bagi Sarjan Perubatan, Zairul Ismail, 32, tahun ini merupakan Syawal pertama yang diraikannya di atas kapal sepanjang 11 tahun berkhidmat sebagai anggota tentera.
''Walaupun sedih kerana tidak bersama keluarga, kehadiran rakan-rakan membantu mengurangkan kesedihan itu," katanya yang berasal dari Pasir Mas, Kelantan.
Penyelam Laskar Kelas 1, Mustakim Osman, 28, pula berkata, tahun pertama beraya di atas kapal benar-benar menguji kekuatan mental dan fizikalnya dalam menyambut ketibaan Aidilfitri.
Katanya, perbezaan amat dirasai tatkala berjauhan dengan keluarga dan sanak saudara namun kehadiran rakan-rakan setugas mengubati kesedihan yang datang tatkala mendengar laungan takbir.
''Masa kali pertama terpaksa berpuasa dan beraya di atas kapal memang terasa lain sangat tetapi apabila sudah selalu tidak rasa apa, sudah biasa," katanya.
Pendapat sama turut dikongsi Leftenan Pertama, Isnor Nazim Ishak, 32, yang memberitahu, dia sudah biasa berhari raya ketika bertugas.
Katanya, sekiranya berasa rindu dan terkenangkan keluarga di kampung, talian telefon menjadi penghubung untuknya menghubungi keluarga bagi melepaskan rindu.
''Berpuasa dan berhari raya di kapal sama sahaja seperti di luar. Sekiranya sedih pun, ia sekejap sahaja kerana ada rakan-rakan yang telah dianggap seperti keluarga sendiri," katanya.
Berlainan pula ceritanya bagi chef kapal, Lans Koperal Mohd. Izmanizam Mohd. Kamal, 25, apabila dia perlu menyediakan juadah berbeza berbanding hari biasa bagi meraikan rakan-rakan setugas.
Katanya, penyediaan makanan yang lazat dan menepati cita rasa sempena musim perayaan itu perlu bagi memastikan setiap anak kapal merasakan mereka seperti beraya di rumah sendiri.
''Untuk memeriahkan suasana berhari raya di atas kapal, kami akan menyediakan pelbagai juadah raya termasuk ketupat, lemang, nasi himpit dan kuah lodeh.
''Dengan adanya pelbagai juadah ini, walaupun tidak sama seperti berada di rumah sendiri, sekurang-kurangnya dapat mengubat kerinduan kepada keluarga,'' katanya.
TLDM martabat inovasi
Pengalaman kendali kes black money
Pelan Strategik TLDM
'Suzana' dalam ingatan Haron
Perjuangan veteran british
Jiwa sukan Koperal Yusof
Ops Fajar jamin keselamatan kapal dagang
Kerana minat kimia
30 minit bersama rafale
Kepentingan Pulau Layang-Layang
Kehebatan M. Thamotharan
Penghargaan untuk wira negara
Aksi luar biasa Smokey Bandit
Tumpaskan sindiket seludup kapal
Tingkatkan imej negara
Tarmizi yakin dengan keputusan
Mejar Azhari penembak buta
Sumbangan besar PGA
PGA diperkasa seiring tuntutan masa
Waktu Solat Kuala Lumpur |
||||
|
||||









