VERSI : Mobile | Akhbar Digital
17 April 2014 / 17 Jamadil Akhir 1435  
  Carian Arkib
POLIS & TENTERA

ARKIB : 04/07/2012

Memastikan rantau ASEAN selamat

Ahmad Zahid Hamidi (tiga dari kanan) serius mengikuti perbincangan dalam Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN Keenam di Pnomh Penh baru-baru ini.

TUNTUTAN bertindih terhadap beberapa kepulauan kecil di Laut China Selatan yang melibatkan negara-negara ASEAN termasuk Malaysia sering menjadi perhatian dan perbincangan setiap kali ada majlis dialog dan forum antara pemimpin serantau.

Walaupun tuntutan itu melibatkan negara-negara yang berjiran, penyelesaiannya tidak semudah disangka dan ditambah pula dengan pembabitan negara kuasa besar seperti China yang turut menuntut hak di perairan berkenaan.

Tersalah langkah, ia boleh menimbulkan ketegangan dan mungkin mengakibatkan peperangan.

Sehubungan itu, Malaysia mencadangkan agar Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN membincangkan soal berkaitan tuntutan bertindih Laut China Selatan itu dalam mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) di Phnom Penh, Kemboja baru-baru ini.

Ekoran itu, Malaysia menggerakkan inisiatif agar isu berkenaan diselesaikan secara diplomasi dan sehari sebelum mesyuarat dijalankan pada 29 Mei lalu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengambil kesempatan mengadakan perbincangan dengan Menteri Pertahanan Kemboja, Jeneral Tea Banh.

Katanya, Menteri Pertahanan Kemboja yang turut mengadakan perbincangan dengan Menteri Pertahanan China, Jeneral Lieong Guang Lei mengakui pendekatan serupa wajar diketengahkan.

Menurutnya, ASEAN mesti ada rasa kebersamaan dalam menghadapi isu-isu tertentu termasuk kerjasama dalam industri pertahanan masing-masing.

''Malaysia berpendirian bahawa negara ASEAN mestilah bebas daripada sebarang konflik termasuk dengan negara-negara kuasa besar dunia,'' ujarnya.

Katanya, kawasan tuntutan yang mempunyai potensi dari segi pembekalan hidrokarbon itu haruslah dieksplorasi secara perkongsian kerana Malaysia telah berjaya membuktikan langkah tersebut apabila melakukannya dengan Thailand, Vietnam dan Brunei.

Mesyuarat ADMM merupakan landasan yang paling sesuai membincangkan isu pertahanan dan keselamatan serantau kerana negara terbabit mempunyai kepentingan bersama.

''Dalam masa yang sama juga pemimpin negara ASEAN mahu menggunakan perhubungan diplomatik untuk menyelesaikan masalah politik dan keselamatan serantau sekali gus menolak penyelesaian menggunakan kaedah ketenteraan,'' kata Ahmad Zahid.

Sehubungan itu katanya, Malaysia berpuas hati kerana ADMM yang berlangsung baru-baru ini mencapai kematangan walaupun baru enam tahun ditubuhkan.

Menurutnya, Kemboja yang baru pertama kali menjadi tuan rumah juga berjaya melakukan lebih daripada yang apa yang diharapkan anggota ASEAN lain.

"Kerjasama Industri Pertahanan ASEAN (ADIC) dan cadangan ADMM-Plus (China) menjadi realiti lebih awal daripada tempoh sepatutnya," katanya.

ADMM yang berlangsung selama dua hari mulai 28 Mei lalu disertai 10 Menteri Pertahanan ASEAN dan Menteri Pertahanan China sebagai ahli ADMM-Plus turut hadir.

Ahmad Zahid berkata, ADMM akan dianggap lebih penting apabila dasar buka pintu Myanmar menampakkan hasilnya pada 2015.

Selain itu katanya, kerjasama ASEAN menangani ancaman kegiatan pengganas sudah menampakkan kesungguhan di peringkat tertinggi dan negara yang bersempadan juga sudah mempunyai Jawatankuasa Antara Sempadan (GBC) yang sentiasa bertukar-tukar maklumat.

"Kita berpendapat sebarang kesusahan dan kesukaran yang melibatkan mana-mana negara jiran turut membabitkan keselamatan Malaysia.

"Bagaimanapun kita cuba mengelak jika ASEAN dilihat sebagai pakatan ketenteraan kerana pendekatan itu merugikan semua pihak," jelasnya.

Kemunculan ancaman baru yang melibatkan jenayah siber turut mendapat perhatian dalam ADMM kerana pada tahun lalu sahaja, kajian menunjukkan ancaman tersebut melibatkan kerugian AS$380 bilion di seluruh dunia.

"Ancaman jenayah siber terutama penyebaran maklumat yang disalah tafsir atau tidak tepat oleh mereka yang tidak dikenali boleh menimbulkan rasa kurang senang antara negara di rantau ini.

"Sehubungan itu, kreativiti dan inovasi dalam menggunakan segala sumber yang ada termasuk kepakaran ketenteraan perlu diterokai secara bersama," katanya.

Dalam perkembangan sama, ADMM turut mengeluarkan dua dokumen pada penghujung mesyuarat iaitu Kertas Konsep Kajian kekerapan Mesyuarat ADMM-Plus (China) dan Deklarasi Bersama mengenai Memperkukuh Kesatuan ASEAN ke arah Masyarakat Yang Harmoni dan Selamat.

Antara deklarasi bersama yang dicapai ialah meningkatkan mekanisme bagi mengukuh kerjasama praktikal antara ASEAN dan China dalam hubungan strategik, pertahanan dan isu keselamatan serantau.

Mesyuarat juga menyatakan komitmen menyelesaikan isu di Laut Cina Selatan mengikut ketetapan dan Kod Tingkah Laku (COC) bagi memastikan keamanan dan kestabilan di rantau ini.

Deklarasi itu juga menggesa peranan ASEAN ditingkatkan melalui kerjasama dengan China sebagai anggota ADMM-Plus.

Ahmad Zahid bersama semua menteri pertahanan ASEAN turut mengadakan pertemuan tertutup dengan Menteri Pertahanan China, Jeneral Liang Guanglie yang antara lain turut membincangkan isu tuntutan bertindih di Laut China Selatan.

Utusan Online on Facebook
Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:50
Zohor 1:16
Asar 4:27
Maghrib 7:21
Isyak 8:31
 
 



IKLAN@UTUSAN



IKLAN@UTUSAN

MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.