VERSI : Mobile | Akhbar Digital
30 Ogos 2014 / 4 Zulkaedah 1435  
  Carian Arkib
POLIS & TENTERA

ARKIB : 03/07/2012

Perspektif baru Jasman

Jasman Osman (dua dari depan) bersama rakan seperjuangan, ketika mula-mula bertugas sebagai Konstabel di Miri, Sarawak.

SELAMA 24 tahun mengabadikan diri dengan bertukar khidmat di beberapa lokasi serta memegang portfolio tugas berbeza dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM), Inspektor Jasman Osman kini menggalas jawatan sebagai Ketua Polis Balai Bandar Kinrara.

Memulakan tugas sejak Februari tahun ini, Jasman mencipta sejarah tersendiri apabila dipilih menjadi Ketua Polis Balai Bandar Kinrara yang pertama sejak mula beroperasi pada 28 Februari lalu.

Antara mercu tanda Polis Kontinjen Selangor yang menarik perhatian umum, balai yang berkeluasan 18.5 kilometer serta menempatkan Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang itu ternyata membuka lembaran baru dalam profesion beliau.

Kata Jasman, 44, memegang jawatan sebagai ketua balai ternyata memberi perspektif serta cabaran tersendiri buatnya, memandangkan kawasan itu sebelum ini diuruskan oleh Balai Polis Puchong.

"Bandar Kinrara dikenali sebagai penempatan bagi golongan berpendapatan sederhana dan elit, oleh itu, secara tidak langsung ada risiko untuk berlaku jenayah.

"Sebelum ini kawasan terbabit tidak mempunyai balai polis kerana ia merupakan salah satu penempatan baru di daerah Serdang dan segala urusan diuruskan oleh Balai Polis Puchong.

"Bagaimanapun, pembinaan balai ini bukan sahaja menjadi satu mercu tanda pada kawasan Kinrara ekoran strukturnya yang besar dan menarik, malah ia memberi kesan terhadap persepsi jaminan tahap keselamatan masyarakat," katanya di ketika ditemui di pejabatnya, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, bapa kepada tiga anak itu memberitahu, pengalaman mengetuai salah sebuah pondok polis seorang diri di Maran, Pahang, hampir 15 tahun lalu ternyata menjadi kelebihan buatnya untuk menguruskan balai itu.

"Pada 1998 iaitu ketika usia 30 tahun saya pernah bertugas di Maran dan diberi tanggungjawab untuk menjaga Pondok Polis Chenor. Hanya saya seorang berkhidmat di situ tanpa rakan seangkatan.

"Pengalaman itu ternyata cukup berharga dan saya kutip walaupun banyak perbezaan dengan situasi sekarang untuk diterapkan dalam pengurusan di sini," ujarnya.

Jasman memberitahu, kariernya di bahagian pentadbiran di IPD Maran, IPD Subang Jaya dan IPD Serdang turut membantu dalam menguruskan balai yang mempunyai kekuatan seramai 53 anggota dan pegawai itu.

Konstabel di Miri

Tujuh bulan di Pusat Latihan Polis (Pulapol) untuk menjalani latihan bermula Mac 1988, Jasman mendedahkan, dia terus 'diterbangkan' ke Miri, Sarawak, untuk bertugas di salah sebuah balai di daerah berkenaan.

Tidak pernah menjejakkan kaki di Borneo, Jasman berkata, beliau menerima tanggungjawab dengan penuh terbuka kerana sejak kecil, beliau serta adik-beradiknya sering hidup berpindah-randah memandangkan bapanya, Osman Mohammad adalah seorang anggota bomba.

"Saya di Miri selama 10 tahun sejak mula-mula menjawat jawatan sebagai anggota polis berpangkat Konstabel dan di situ, pelbagai cawangan saya telah berkhidmat termasuklah sebagai anggota trafik dan anggota peronda," katanya.

Mengimbau kenangan lalu, anak ketiga dari enam beradik itu berkata, antara pengalaman yang sukar dilupakan ketika berkhidmat di Balai Polis Sentral Miri adalah ketika dia menganggotai pasukan penyelamat bagi mencari dan menyelamat anak kapal sebuah pesawat Royal Brunei yang terhempas di Bukit Lambir, di situ.

"Ketika itu, Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Anuar Mat Zin (telah bersara) mengarahkan enam anggota polis termasuk saya ke Bukit Lambir untuk mencari pesawat itu.

"Kesemua kami tidak mempunyai sebarang pengetahuan bagi operasi di dalam hutan dan ketika itu Tuan Anuar hanya menasihati kami untuk membawa air dan pisang bagi menambah tenaga.

"Saya pula hanya membawa dua biji pisang sahaja dan belum pun pertengahan jalan, pisang itu telah habis dan kami hanya bergantung kepada pucuk-pucuk kayu serta air sungai untuk bertahan lebih 24 jam.

"Lebih malang lagi, kami mendaki bukit yang salah kerana pesawat yang terhempas berada jauh di bukit bersebelahan namun operasi kami tidak sia-sia kerana kami dedahkan koordinat sebenar lokasi pesawat itu kepada pasukan penyelamat yang lain," jelasnya sambil tersenyum.

Dalam perkembangan sama, Jasman turut teringat pengalaman dia membuat penyamaran bagi memburu anggota kumpulan Abu Sayaff yang ketika itu berselindung di negeri tersebut.

"Kebanyakan anggota kumpulan itu hidup berselindung di dalam masyarakat seharian tetapi jika tidak dibendung mereka akan mendatangkan bahaya kerana banyak mereka melakukan jenayah kecil-kecilan seperti meragut.

"Tiga daripada mereka pernah pasukan kami tahan di Miri. Ketika ditahan mereka menyamar menjadi tukang kasut tetapi sebenarnya adalah ahli kumpulan pengganas itu berdasarkan kad identiti Abu Sayyaf," jelasnya.

Tiga beradik polis

Minat kepada badan beruniform wujud sejak dari kecil lagi malah pada awalnya beliau cenderung untuk memilih agensi itu sebagai kerjaya.

"Sejak kecil dibesarkan dalam kalangan keluarga bomba, saya menanam cita-cita untuk menjadi ahli bomba seperti bapa tetapi permohonan saya ketika itu tidak berjaya.

"Oleh itu saya mencuba pula permohonan menjadi polis dan Alhamdulillah saya diterima dan memasuki Pulapol pada Mac 1988. Sebelum itu dua abang saya terlebih dahulu menjadi anggota polis," ujarnya.

Jasman menjelaskan, abang sulungnya Jami Asmara, 47, kini bertugas di Balai Polis Bukit Baru, Melaka manakala Jimi Osmera, 46, pula sebagai Pengiring Bermotosikal Sultan Johor.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zohor 1:17
Asar 4:26
Maghrib 7:21
Isyak 8:31


 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
PRK Bukit Gelugor
Utusan Live di PRK Parlimen Bukit Gelugor
PRK Teluk Intan
Utusan Live di PRK Parlimen Teluk Intan
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.