ARKIB : 26/06/2012
Unit 69 umpama satu keluarga - Mohd. Rafiee
KETUA Penyelia Unit Kawalan Lalu Lintas, Balai Polis Trafik Kuala Lumpur, Sub Inspektor Mohd. Rafiee Zakaria, 56, merupakan seorang anggota polis yang berperwatakan tenang, bersifat penyayang dan rendah diri.
Bibirnya tidak lekang daripada membicarakan kisah keluarga, anak dan cucunya. Riak wajahnya pula jelas menunjukkan dia sedang menjalani kehidupan yang bahagia di samping keluarga tercinta.
Namun di sebalik personaliti itu, anggota polis berusia 56 tahun ini sebenarnya telah melalui pengalaman kerjaya dalam unit Komando 69, Pasukan Polis Hutan (PPH) selama 21 tahun.
Amanah yang mencabar itu digalas selepas setahun menyertai Polis Diraja Malaysia (PDRM), iaitu pada 13 Mei 1978.
Beliau telah menamatkan latihan asas di Pusat Latihan Polis (Pulapol), Jalan Semarak sebelum menjalani latihan asas PPH di Ulu Kinta, Perak.
Mohd. Rafiee menceritakan, latihan PPH jauh lebih mencabar berbanding latihan-latihan lain kerana sebagai anggota PPH, sentiasa perlu bersedia berhadapan sebarang kemungkinan selain memerlukan kekuatan fizikal dan mental setiap masa.
"Unit Komando 69 menerima pelbagai latihan termasuk mengesan jejak musuh walaupun telah dihilangkan, jerangkap samar, bahan letupan, latihan menembak, latihan semboyan, skuba, pengendalian payung terjun, memandu bot serta menggunakan peralatan perubatan.
"Selain itu, anggota dilatih untuk berkomunikasi menggunakan bahasa kod, penyamaran serta kaedah ikhtiar hidup atau 'survival' ketika berlaku kecemasan serta persediaan ketika berhadapan musuh.
"Hubungan anggota dalam Unit Komando 69 sangat rapat, saling bekerjasama, semangat kerja berkumpulan yang tinggi serta penuh berdisiplin," katanya kepada Gaya Polis ketika ditemui di pejabatnya, baru-baru ini.
Sehingga hari ini, Mohd. Rafiee tidak pernah putus hubungan dengan lebih 100 veteran unit Komando 69 sama ada yang masih berkhidmat atau yang sudah bersara.
Antara pengalaman yang tidak dapat dilupakan Mohd. Rafiee adalah ketika menyertai unit bantuan bagi membantu unit kumpulan yang sedang bertempur dengan komunis di Hutan Simpan Templer Park, Selangor sekitar tahun 80-an.
Ketika dalam perjalanan ke lokasi yang diarahkan, dia ternampak wayar merah dan hitam di atas tanah yang diyakini wayar jerangkap samar.
"Saya memberi isyarat kepada rakan sepasukan lain supaya memperlahankan pergerakan. Kami mengikut prosedur mengesan jerangkap samar dan akhirnya 20 minit kemudian terjumpa jerangkap samar tersebut. Syukur kerana kesemua ahli kumpulan saya terselamat dalam kejadian itu," katanya lagi.
Selain pengalaman terjumpa jerangkap samar, sepanjang tempoh dua dekad itu dia turut mengakui pernah terserempak dengan dua anggota komunis yang baru memasuki sempadan tanah air.
"Ketika itu, saya dan anggota lain terus mengambil kedudukan masing-masing dan berbalas tembakan namun keadaan hutan tebal telah menghilangkan jejak mereka sehingga gagal dikesan," katanya lagi.
Selain itu juga, Mohd. Rafiee pernah berdepan pengalaman lain yang mencabar ketika dalam operasi PPH, ialah ketika berlaku cuaca buruk yang mengakibatkan petugas gagal menghantar bekalan makanan kepada kumpulannya selama beberapa hari.
"Ketika itu kami terpaksa catu bekalan makanan yang ada selain mencari buah-buahan hutan serta memancing ikan untuk meneruskan hidup," katanya yang telah menyertai puluhan operasi PPH dalam tempoh tersebut.
Jelas bapa kepada lima anak ini, selain cabaran-cabaran yang ditempuhi ketika menyertai operasi berkenaan, dia juga terpaksa berpisah dengan keluarga selama tiga hingga empat bulan setiap kali menyertai operasi.
"Saya bersyukur memiliki isteri dan anak-anak yang sangat memahami tugas saya untuk negara. Isteri banyak berkorban serta membantu membesarkan anak-anak.
"Ramai yang tidak tahu apa yang dilalui oleh anggota unit Komando 69, walau tanpa sebarang pujian atau sanjungan, kami merupakan barisan hadapan yang memastikan negara bebas daripada sebarang ancaman luar terutama komunis" ujarnya.
TLDM martabat inovasi
Pengalaman kendali kes black money
Pelan Strategik TLDM
'Suzana' dalam ingatan Haron
Perjuangan veteran british
Jiwa sukan Koperal Yusof
Ops Fajar jamin keselamatan kapal dagang
Kerana minat kimia
30 minit bersama rafale
Kepentingan Pulau Layang-Layang
Kehebatan M. Thamotharan
Penghargaan untuk wira negara
Aksi luar biasa Smokey Bandit
Tumpaskan sindiket seludup kapal
Tingkatkan imej negara
Tarmizi yakin dengan keputusan
Mejar Azhari penembak buta
Sumbangan besar PGA
PGA diperkasa seiring tuntutan masa
Waktu Solat Kuala Lumpur |
||||
|
||||









